Thursday, October 21, 2010

CATATAN TERAKHIRKU - BAHAGIAN 5

Oleh : Khatijah Sidek


Tidak mampu aku bayangkan kegetiran hatiku ketika itu. Perasaan benci kepada bangsa bernama Jepun itu, mula terbina dijiwaku. Ketika itu, apa yang terbayang dibenakku adalah untuk melarikan diri bersama adikku bagi mengelak dari sikap rakus tentera Jepun.

Serentak itu juga kami menghambur keluar dan berlari susup-sasap meredah malam yang begitu pekat sekali. Kami hanya menuju satu arah. Arah yang sama ketika kami berkelaku sebegitu pada siangnya. Kami menghala ke arah sawah padi.

Tiba-tiba aku terserandung akar pokok dan terus tersungkur dan terguling-guling hingga akhirnya terdampar dalam sebuah kolam.

" Uni..." pekik adikku, apabila pegangan erat tanganku terhadapnya terlepas.
" Uni....." pekik adikku berterusan. Ada nada sedih tersangkut di kerongkongnya. " Uni di mana...?"

Pekikan adikku itu terdengar sayup di telinga. Tubuhku tenggelam ke dasar kolam. Tiba-tiba, aku mendapat kekuatan yang maha hebat apabila aku melaungkan nama Allah sekuat hati. Tubuhku kembali terapung di permukaan dengan nafasku tercungap-cungap.

" Uni... uni di mana... adik takut..." zahir adikku.

" Uni ...Uni di sini.. dalam kolam...," akhirnya zahirku, apabila mula mendapat sedikit kekuatan.

Adikku perlahan-lahan mara ke arah suaraku. Seketika dia tiba di sana dan terus membantuku keluar dari kolam itu. Ia menangis sungguh sambil memelukku erat-erat. Ketika itu terasa benar aku rela mati bersama adikku daripada menjadi mangsa sifat ganas tentera Jepun.

Ketua Kampung turut terkejut dengan kehadiran tentera Jepun. Dia bersama beberapa pemuda kampung dengan pantas berkumpul di rumahku. Apabila melihat kehadiran ramai orang-orang kampung itu, masing-masing siap membawa parang panjang, pihak tentera Jepun segera mengangkat kaki meninggalkan kampung itu.

Orang-orang kampung kemudian terus mencari kami.

" Saya di sini," balasku menyahut teriakan mereka, apabila yakin itu suara Ketua Kampung.

Kami akhirnya ditemui dalam keadaan basah kuyup. Kakiku pula luka dan berdarah. Kami kemudiannya digiring kembali ke rumah dan bertukar pakaian. Luka ditubuh kami dibersihkan dan dirawat.

" Orang kampung amat senang sekali dengan kehadiran ibu di sini. Namun, dengan sikap celaka, tentera Jepun ini, bapak kira ada baiknya Ibu mengusut dulu dari sini. Kami takut kalau tidak mampu menjaga keselamatan ibu nanti," akhirnya Ketua Kampung menzahirkan pandangannya, apabila keadaan sudah kembali tenang dan reda.

" ESok-esok, apabila keadaan sudah tenang dan aman, mungkin ibu boleh kembali mengajar di sini lagi," tambahnya lagi.

Sebenarnya, idea untuk meninggalkan desa itu, juga sudah tertanam sejak kali pertama Jepun hadir di desa itu. Aku mengangguk lemah mengatakan persetujuanku.

Beberapa hari kemudian, aku menemui sepupuku di Bireuen, sebuah bandar kira-kira 16 kilometer dari desa Matang Gelumpangdua. Suami sepupuku ini adalah seorang Inspektor Polis di sana. Aku meminta bantuan suaminya, untuk memindahkan aku mengajar di Kota Bireuen. Kami tahu, tentera Jepun, umumnya tidak begitu mahu campurtangan atau mencari masalah dengan polis Indonesia. Dengan cara itu, kami boleh selamat tanpa diganggu oleh Jepun.

Permintaanku ternyata berhasil. Aku dipindahkan ke Bireuen tidak lama kemudian dan menjadi Guru Besar sebuah sekolah di sana. Bagi memastikan keselamatan kami berdua, kami menumpang tinggal bersama sepupuku di sana. Selama enam bulan kemudian, tiada sebarang peristiwa yang berlaku.

Dalam sistem pendidikan, pihak Jepun telahpun mengubah bahasa pengantar Belanda kepada Bahasa Jepun. Para pegawai Jepun telah mengajar kami Bahasa Jepun dan menjadi tanggungjawab kami kalangan pendidik mengajar anak-anak murid kami. Kami menerima latihan tiga kali seminggu. Dengan sistem ini Bahasa Jepun mudah dikembangkan dan dipelajari.

Jepun juga telah mengajar kami 'seisen', satu seni untuk kekuatan mental. Untuk latihan kekuatan tubuh badan, kami mendapat latihan gimnastik Jepun melalui radio Taisoa setiap pagi. Menurut fahaman Jepun, jika badan kita sihat, kita boleh berfikir dengan sempurna.

Setiap pagi, kami akan membawa pelajar kami ke padang. Kami lakukan senaman gimnastik Jepun, sambil diiringi muzik dari Radio Taisoa itu. Kerapkali kami turut mendendangkan lagu-lagu Jepun itu.

Pihak Jepun juga telah menurunkan bendera Belanda dan menggantikan dengan bendera mereka. Ketika itu masih belum terdapat bendera Indonesia, ' Sang Saka Merah Putih'.

Suatu hari, seorang pegawai tentera Jepun, kenalan baik suami sepupuku, berkunjung ke rumah. Mereka adalah rakan bersukan. Sejak hari itu, pegawai Jepun itu acapkali datang ke rumah.

Pada mulanya, aku tidak mensyaki apa-apa. Sifat kunjung-mengunjung ini adalah sesuatu yang lumrah khususnya bagi kalangan mereka pegawai kerajaan Jepun dan Indonesia bagi mengukuhkan tali persahabatan. Bagaimanapun, aku benar-benar terkejut, suatu hari apabila suami sepupuku, melamarku untuk menjadi isteri teman Tentera Jepunnya.

Lamaran itu membuatku terkaku seketika. Aku hampir jadi tergamam. Walaupun pada zahirnya, pegawai Jepun ini seorang yang agak sopan dan berpelajaran, tetapi jauh di sudut hatiku, sudah lama tercerna rasa benci pada bangsa Jepun ini. Apatah lagi, kerapkali aku terdengar, umpatan masyarakat akan kerakusan orang Jepun dan sikap biadapnya pada bangsaku, Indonesia.

" Bagaimana Jah ..?" tanya suami sepupuku pada malamnya, apabila lamarannya pada waktu siang tidak mendapat sebarang jawapan balas dariku.
" Baik kamu bersetuju saja Jah. Kalau tidak mungkin Jepun itu akan meradang dan menganiaya kita nanti," tambahnya lagi.

Lama juga aku terdiam dan berfikir. Akhirnya aku membulatkan tekad untuk menolak lamarannya. Kukatakan, agamaku menegah berkahwin dengan orang kafir. Sebenarnya, itu bukanlah alasan yang tepat. Lelaki Jepun itu boleh menukarkan agamanya dan memeluk agama Islam jika mahu berkahwin denganku.

Tetapi hakikat sebenarnya, sebagaimana yang kunyatakan dulu, adalah dia bangsa penjajah dan bangsa penjajah yang kini menjajah negara dan bangsaku, tidak aku izinkan menempati mana-mana sudut dalam hatiku.

Lanjutan dari keadaan itu, aku juga memutuskan untuk meninggalkan sama sekali profesi perguruanku di sana. Aku katakan pada suami sepupuku, betapa aku sudah tidak lagi betah berada di Bireuen dan ingin kembali ke desa halamanku di Pariaman.

Malamnya, aku dan adikku berkemas dan terus menaiki keretapi dari Bireuen ke Medan yang jauhnya anggaran 250 kilometer jauhnya. Aku langsung tidak memberikan notis perletakan jawatanku sebagai guru ke Pejabat Pelajaran.

Dari Medan kami menaiki bas terus ke kampung kami di Pariaman. Di dalam bas itu hanya terdapat tiga orang perempuan termasuk kami. Penumpang yang lainnya terdiri dari tentera Jepun. Sepanjang perjalanan itu, aku benar-benar berdebar kerana takut dipengapakan oleh mereka. Bagi mengelakkan semua itu, aku dan adikku memakai lencana pengenalan diri.

Ketika berada di Pariaman, pihak Jepun sedang memilih guru-guru terbaik untuk memasuki Sekolah Perguruan Tinggi Jepun-Indonesia atau Jokayu Sihan Gakko. Sekolah itu terletak 75 kilometer dari Pariaman. Kali pertama aku menduduki ujiannya, aku gagal. Ujiannya adalah mengenai kemahiran berbahasa Jepun, bagaimana perasaan kami terhadap Jepun dan perasaan terhadap kemerdekaan dan Indonesia.

Aku lulus ujian kedua yang diadakan tiga bulan kemudian dan memasuki kursus Jokayu Sihan Gakko di Bukit Tinggi selama enam bulan. Setiap hari kami mempelajari Bahasa Jepun, undang-undang Jepun, tarian dan nyanyian Jepun 'seisen' malah perasaan cintakan Jepun.

Mereka katakan, kami mesti berdikari dan menganggap Jepun dan Indonesia adalah bersaudara. Oleh itu, kami perlu bekerjasama dengan mereka menentang Belanda. Propaganda Jepun ini begitu menarik sekali. Namun realitinya tidak terjadi sebegitu. Mereka sebenarnya mahukan orang Indonesia tunduk di bawah kuasa mereka dan tidak menentang mereka.

Yang terjadi akhirnya, kami tanpa sedar akan membantu menukarkan sifat pemerintahan dari imperialis Belanda kepada imperialis Jepun.

Aku ditempatkan mengajar di Sekolah Nippon Indonesia di Pariaman pada tahun 1943. Aku mengajar ketujuh-tujuh kelas di dalam bahasa Jepun. Ketika itu, aku sudah mahir bahasa itu. Malah aku juga boleh menulis dan membaca tulisan Honji, Hirakana dan Katakawa. Aku juga diberikan kesempatan berceramah di radio mengenai wanita dan Pandu Puteri dalam bahasa itu.

Pada sebelah petangnya, tiga kali seminggu, aku mengajar pula Bahasa Indonesia kepada pegawai-pegawai Jepun. Terdapat dua puluh orang murid Jepunku. Aku juga mengajar mereka mengenai adat-resam dan budaya kami serta agama Islam. Aku nasihatkan mereka supaya menghormati adat resam dan agama kami, jika mereka inginkan kami menghormati mereka.

Ketika di Periaman itu, aku kembali aktif secara sulit dalam kegiatan berpersatuan. Aku adalah Ketua Bahagian Wanita Persatuan Pemudi Republik Indonesia di kampungku. Aku juga adalah pegawai penerangan untuk Persatuan Wanita atau disebut ' Haha Noi Kai'. Aku juga ahli jawatankuasa 'Komite Nasional', satu badan politik yang berjuang untuk kemerdekaan Indonesia.

Apabila ada mana-mana pegawai Jepun yang ingin membuat ucapan, aku kerap diminta menjadi jurubahasanya. Jika mereka memasuki kampung untuk bertemu rakyat, aku kerap dibawa sama untuk menerangkan kepada mereka bagaimana untuk bekerjasama dengan Jepun. Aku juga berpeluang berucap di hadapan Gyugun, tentera Jepun dari kalangan penduduk tempatan dan menasihati mereka berjuang untuk Indonesia.

Ternyata, kesempatan ini aku ambil untuk membina hubungan baik dengan masyarakat tempatan dan mendapat kepercayaan pegawai tinggi Jepun. Keadaan ini juga, menjadi katalis kepada kewujudan satu perancangan sulit kelompok organisasi kami.



Akan datang:

Hubungan baik Khatijah Sidek dengan pemimpin tentera Jepun membolehkan beliau secara sulit menyusun organisasi merampas senjata Jepun, sebaik saja tamat Perang Dunia Kedua.


JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK