Sunday, October 23, 2011

CATATAN TERAKHIRKU BAHAGIAN 16 : PENJARA ITU RUMAH BARUKU


Oleh Khatijah Sidek.

Anggaran jam tiga pagi, aku dibawa oleh dua orang polis siap bersenjata ke stesen keretapi Segamat. Kami tiba di Johor Bharu anggaran jam tujuh pagi dan aku terus dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Johor Baru untuk menemui seorang Ketua Polis Daerah tersebut, seorang Inggeris.

Pegawai Polis itu ternyata lebih bersopan dari Inspektor Melayu di Segamat. Ia bukan saja memintaku duduk, malah ia turut berdiri dan bersalam denganku, apabila menyambut ketibaanku. Tidak lama kemudian, seorang anggota polis membawa secawan kopi dan sepiring kuih untukku.

Hanya selepas aku selesai menjamah sarapanku, baru ia mula berbicara. Setelah selesai segala-galanya, ia lalu mengarahkan seorang daripada pegawainya, Encik Shariff membawaku ke Singapura dengan segera.

Encik Shariff membawaku dengan keretanya sendiri kerana menurutnya adalah lebih baik begini bagi mengelakkan orang menyangka yang aku adalah seorang tahanan polis.

Malah lebih jauh daripada itu, En. Sharif turut memberiku peluang singgah di dispensari suamiku untuk mengambil pakaian dan memesan kakitangan suamiku supaya memberitahunya, aku akan dibawa ke Singapura sebagai seorang tahan politik.

Setibanya di Singapura, En. Shariff menyerahkanku kepada Mr. Robinson, seorang Inspektor di cawangan CID. Setelah mencatatkan laporan mengenai diriku, Mr. Robinson membawaku pula ke Ibu Pejabat Polis Singapura. Di sana aku mula disoal siasat. Mereka bertanyaku akan alasanku datang ke Singapura dan adakah aku menerima sebarang gaji dari Konsul Indonesia.

Aku jelaskan kepada mereka tujuan kedatanganku adalah semata-mata untuk membuka cawangan TP di Singapura serta elaun yang aku terima sebagai Pegawai Kebajikan dan bantuan langsung daripada Dr Agus Salim. Aku juga jelaskan kepada mereka, aku tidak lagi mengambil elaunku setelah berkahwin dengan Dr. Hamzah.

Mereka kemudiannya bertanya mengenai alasanku mengunjungi dan menemui beberapa orang di Orchard Road Singapura, beberapa bulan yang lalu. Mereka secara sengaja menuduhku, sedang merancang satu pakatan sulit dengan orang-orang itu dengan tujuan untuk menggulingkan kerajaan Inggeris di Singapura.

Ketika itulah juga, aku mula memahami letak semua perkara serta alasan dan sebab kenapa aku ditahan polis serta siapa di sebalik semua angkara ini.

" Itu tidak benar!" jawabku deras dan sedikit marah. Saya bertemu mereka mengenai soal setiausaha saya dalam HIMWIM yang mengutip derma dari saudagar Indonesia. Mereka adalah kenalan saya," jelasku lagi.

" Tahukah Cik Khadijah, mereka semua adalah komunis...!?" tekan mereka lagi.

Aku jelaskan kepada mereka, setahuku mereka semua tidak ada kena mengena dengan komunis. Mereka hanya saudagar biasa. Apatah lagi mereka telah kukenali sebelumnya dari sejak di kampung lagi, kerana mereka adalah sahabat ayahku. Oleh kerana itu, mereka kerap menganggapku sebagai anak mereka juga dan sentiasa menjagaku dan melindungiku di Singapura.

Pihak polis itu kemudiannya membangkitkan beberapa nama orang Indonesia lain. Menurutnya, orang-orang ini adalah juga bersahabat dengan pedagang-pedagang Indonesia yang namanya dinyatakan terdahulu.

Aku maklumkan kepada pegawai polis itu, orang-orang yang namanya disebutkan itu, tidak aku kenali. Ketika aku menemui saudagar Indonesia itu, mereka juga mungkin ada di situ. Sebagai seorang anak, aku sewajarnya berkelaku sopan terhadap mereka.

" Tahukah kamu, mereka semua ini sedang dalam tahanan polis?"

Aku nyatakan yang aku tidak tahu semuanya. Bagaimanapun, dari laporan kawan-kawan yang mengunjungiku kemudian, aku dimaklumkan, beberapa orang tua yang aku temui di Orchard Road telah ditahan pada malam 16 Ogos 1948.

Lebih melucukan lagi, pihak CID Singapura juga mendakwa aku turut menjadi penyeludup candu dan emas ke Singapura dan Indonesia. Mendengar ini, aku ketawa besar. Kataku, jika benar demikian, aku sekarang sudah kaya raya dan mempunyai rumah besar dan banyak wang.

Mereka juga bertanyakan mengenai hubunganku dengan beberapa pemimpin parti politik di Tanah Melayu dengan memberikan beberapa nama. Aku jelaskan kepada mereka, aku tidak kenal akan nama-nama itu. Sekiranya, mereka kenal diriku, mungkin kerana kekerapan aku berpidato dan berucap di pelbagai majlis atau kemungkinannya melalui akhbar.

Aku menjangkakan aku akan dibebaskan selepas majlis soal-siasat itu. Bagaimanapun, keadaan yang berlaku sebaliknya. Aku ditempatkan ke dalam sebuah bilik kurungan yang sempit dengan tandas tapi tidak berair. Terdapat sebuah pangkin dan bantal kayu China. Terdapat juga banyak pijat yang menghuni bilik tahanan itu bersamaku.

Itulah penjara pertamaku. Bagaimanapun, atas nasihat doktor, aku dibenarkan keluar setiap hari pada jam 4.30 petang hingga 5.00 petang kerana ketika itu aku sedang mengandungkan anak pertamaku. Setiap kali aku keluar, terdapat seorang pengawal mengiringiku dari jarak 20 meter. Ini lebih bertujuan, untuk mengelakkan aku berbual dengan sesiapa saja.

Makanan yang diberikan padaku adalah sepinggan nasi dan sedikit ikan serta sayur. Acapkali juga aku tiada selera untuk makan. Adikku kerap dibenarkan mengunjungiku dan membawa makanan.

Pernah juga aku meminta kebenaran untuk membaca akhbar, tetapi permintaanku ditolak. Namun terdapat juga beberapa orang pengawal yang bersimpati denganku, memberikan aku akhbarnya untuk dibaca dengan segera sebelum kedatangan ketua mereka.

Sesungguhnya, aku begitu sedih dengan nasib malang yang menimpaku ketika itu. Acapkali juga aku menangis sendirian. Namun, sebagaimana menjadi sifatku, aku tetap tidak mahu mengalah dengan suratan takdir dan menyalahkan diriku.

Untuk menghilangkan kesunyianku, aku kerap menyanyi lagu Indonesia Raya. Apabila aku memulakan satu rangkap, terdengar beberapa tahanan lain menurutku menyanyikan lagu itu. Keadaan ini membuatkan aku bertambah yakin dengan diriku.

Aku tahu, sebagai seorang pemimpin, aku mesti kukuh pendirian untuk berjuang ke arah matlamat dan cita-cita. Perjuanganku tidak seharusnya berakhir di situ dan hanya kereta masalah itu.