Thursday, November 24, 2011

BAHAGIAN 17: PENJARA OUTRAM ROAD SINGAPURA


Oleh Khatijah Sidek

Ketika itu, akulah satu-satunya tahanan politik wanita di Ibu Pejabat Polis Singapura. Aku merengkok di sana selama hampir dua bulan. Kemudian aku meminta dipindahkan ke Penjara Outram Road. Aku mendapat tahu dari teman-teman pegawal, penjara di situ lebih selesa.

Permohonanku akhirnya diluluskan.

Di penjara Outram Road, terdapat satu bahagian yang dikhususkan untuk tahanan politik wanita. Di bahagian itu, terdapat seramai 40 orang. Mereka ditempatkan beramai-ramai dalam sebuah bilik khas. Selain diriku seorang Melayu, terdapat juga seorang yang berketurunan India. Selebihnya seramai 38 orang adalah dari keturunan kaum China.

Wanita India itu adalah seorang guru dan aktif dalam pertubuhan buruh Singapura. Namanya Devani. Kebanyakan wanita datang dari Johor dan Sekolah Tinggi China Singapura. Kami semua menjadi begitu karib.

Tidak begitu lama berada di dalam penjara Outram Road itu, aku mula merancang mewujudkan sebuah kelab sesama kami. Tujuannya lebih untuk mengelakkan kami merasa resah dan berdukacita. Aku dipilih sebagai Pengerusi tidak rasmi kelab yang tidak berdaftar ini.

Setiap hari kami akan berkumpul dan menyanyi. Aku mengajar mereka lagu Melayu dan Indonesia. Devani pula mengajarkan lagu India.

Setiap hujung minggu, kami dibenarkan menerima tetamu. Kami mendapat banyak buah tangan dan air kopi yang disimpan dalam botol plastik. Sekiranya tetamu kami membawa biskut dalam tin, biskut itu kami ambil dan tinnya kami serahkan semula. Adalah menjadi larangan bagi kami untuk membawa botol kaca atau tin ke bilik penjara kerana mereka takut, barang-barang ini akan digunakan secara salah seperti membunuh diri.

Pada setiap hujung minggu juga, kami akan membentangkan kertas di atas lantai dan letakkan biskut-biskut tadi di atasnya serta membina arca biskut. Kami kemudiannya akan duduk di sekeliling biskut itu.

Sebelum biskut itu kami makan, setiap seorang antara kami diwajibkan untuk memberikan ucapan. Setelah itu, kami akan bersama-sama menyanyikan lagu patriotik, lagu Melayu, lagu China dan lagu India. Pada akhirnya, kami meneriakkan kata MERDEKA dan diulangi kata itu dalam bahasa China dan India.

Tidak hairanlah sekiranya kelakuan dan aktiviti kami itu menimbulkan suasana bising dan hiruk-pikuk hingga memaksa pegawai penjara untuk menegur kami. Untuk seketika kami akur dengan teguran itu dan terus tetawa serta memakan biskut-biskut yang sudah terhidang di hadapan kami. Anggaran setengah jam setelah dia beredar dari situ, kami kembali menyanyi.

Kerapkali juga, setiap kali kami menyanyi beramai-ramai, para tahanan politik lelaki dalam bilik kurungan yang bersebelahan akan turut serta.

Matron kami adalah seorang berbangsa Eropah dari Bangkok dan agak berumur. Aku lupa namanya, tetapi dia adalah seorang insan yang sangat baik. Dia begitu menyenangi diriku dan sentiasa memberi perhatian dan menaruh belas kasihan kepada nasibku.

Apa tidaknya. Ketika itu, aku sudah mengandung tujuh bulan.

Setiap pagi doktor akan melawat para tahanan dan aku merupakan tahan yang amat istimewa yang mesti ditemuinya. Kesempatan itu aku ambil dengan merayu kepadanya untuk memberikan aku makanan yang lebih baik daripada apa yang aku makan sebelumnya.

Umumnya, setiap pagi kami akan diberikan secawan bubur nasi. Kerapkali terdapat ulat di dalamnya hingga menghilangkan selera kami untuk makan. Pernah sekali, aku tidak mengambil sarapan pagiku selama tiga bulan disebabkan ulat itu.

Untuk makan tengahari, kami diberikan sedikit nasi dengan berlaukan sedikit sayur bercili dan sedikit ikan kering. Terdapat juga sedikit keledek. Bagaimanapun, aku tidak memakannya kerana menurut kepercayaan kami, keledek tidak baik dimakan oleh wanita yang sedang mengandung.

Pada sebelah petangnya, kami diberikan semangkuk kacang hijau, sedikit nasi dan ikan goreng, sekeping roti dan sedikit sayur.

Memandangkan keadaan tubuhku yang sedang mengandung itu, rakan-rakan sepenjaraku, sentiasa membantuku dengan membawa sebaldi air sejuk setiap petang. Aku gunakan air itu jika ingin membuang air kecil setiap malam. Selain itu aku memerlukan air itu untuk berwuduk bagi menunaikan tanggungjawabku kepada Ilahi.

Setelah makan malam, kami umumnya akan bermain dam China. Kerapkali juga ketawa dan gurau kami mengganggu ketenteraman di penjara itu. Pernah pada suatu masa yang lain, kami dihukum berada dalam kurungan sehari suntuk oleh warder kerana soal itu. Kami juga tidak dibenarkan mandi.

Apabila tiba waktu makan, mereka hanya mendorongkan pinggan ke dalam bilik kami. Bagaimanapun, tidak ada seorang pun yang mahu menjamahnya sebagai tanda protes. Esoknya, Penguasa Penjara menyoalsiasat kami untuk mencari siapakah ketua kumpulan kami. Menariknya, tidak ada seorangpun yang mahu membuka mulut.

Begitulah hebatnya kesatuan hati kami warga penjara tahanan politik wanita Outram Road ketika itu.

Salah seorang dari warder itu adalah kaum India. Dia seorang yang lekas panas darah dan membenci teman kami, Devani, dari kaumnya. Warder inilah juga orangnya yang menuduh Devani sebagai ketua kumpulan kami, hingga Devani terpaksa diasingkan dalam bilik kurungan gelap selama dua hari.

Sikap dan kelakuan biadap Warder India itu, betul-betul menimbulkan kemarahan kami. Kami memberontak benar serta membuat suasana penjara kecoh dan hingar-bingar. Ini memaksa Penguasa Penjara membebaskan Devani dengan syarat kami tidak membuat bising pada waktu malam.

Tidak lama kemudian, kami adakan satu mesyuarat tergempar mengenai warder India itu. Esoknya, kami memberikan amaran kepadanya supaya tidak mengulangi kelakuannya. Jika tidak sesuatu yang buruk akan terjadi pada dirinya.

Ternyata, ugutan kami menakutkannya. Malah Matron juga menasihatinya supaya tidak bertindak keras terhadap kami kerana kami bukannya penjenayah tetapi adalah kalangan orang tahanan politik saja. Kami adalah kelompok pejuang.

Sejak hari itu, kelihatan dia amat jauh berubah.

Bagaimanapun, satu perkara yang aneh sepanjang aku berada di penjara Outram Road, tidak kelihatan walau seorang pun ahli HIMWIM yang mengunjungiku. Mereka mungkin takut dituduh bersubahat denganku.

Setiap hujung minggu, hanya adikku yang datang berkunjung.

Selain itu, suamiku, Dr. Hamzah, juga turut mengunjungiku. Namun, kedatangannya tidaklah sekerap adikku. Malah tidak lama kemudian, dia tidak datang langsung. Aku difahamkan kemudian, soal ini bukan disebabkan ia takut, tetapi ada kaitannya dengan soal keluarga.

Sebenarnya, aku terlupa menceritakan keluarga suamiku sebelum berkahwin denganku. Aku adalah isteri keduanya. Isteri pertamanya yang tidak menyenangiku, masih hidup dan mereka mempunyai sembilan orang anak.

Sebelum mengahwiniku, aku sebenarnya tahu dia masih mempunyai seorang isteri. Perkahwinanku ketika itu bertujuan untuk membantu wanita di Tanah Melayu. Sesungguhnya, aku tidak mempunyai maksud seperti merampas suami orang. Ketika di Indonesia dulupun, aku berjuang menentang poligami.

Bagaimanapun, keadaan di Tanah Melayu adalah berbeda ketika itu kerana poligami adalah sesuatu yang lumrah. Dr. Hamzah juga bersedia mengahwiniku semata-mata untuk membantu dan melindungiku.

Pada setiap minggu terdapat sepasukan askar sukarela mengunjungi kami untuk membantu dalam soal-soal kebajikan. Aku telah meminta bantuan salah seorang wanita Eropah dari kumpulan itu untuk menemui suamiku di Johor dan bertanya suamiku, kenapa dia tidak lagi datang melawatku dan memberikan bantuan kewangan bagi keperluanku untuk melahirkan anak sulungku di penjara.

Wanita Inggeris itu bergegas ke Johor Bahru mencari suamiku.

Suamiku ketika itu, menurutnya sedang sakit dan dirawat di hospital. Isteri tuanya sentiasa saja berada di sisinya sepanjang masa. Wanita Inggeris itu kemudian memberitahuku, suamiku kelihatan tidak gembira dengan keadaan itu dan dia mencadangkan agar aku berpisah saja dengan suamiku.

Aku bagaimanapun tidak mahu terburu-buru membuat sebarang tindakan. Untuk itu, aku meminta adikku menemui suamiku dengan membawa Makcik Rainah yang memperkenalkan kami dahulu. Dari makluman dari adikku, suamiku Dr. Hamzah kelihatannya tidak begitu ghairah untuk menceraikanku ketika itu, kerana aku sedang mengandung dan adalah menjadi kesalahan dan dilarang oleh agama Islam untuk berbuat demikian.

Makcik Rainah kemudiannya mengambil inisiatif untuk menemui Konsulat Indonesia dan meminta rakan-rakanku di sana membantuku di penjara. Pihak Konsulat kemudiannya memberikan $50.00. Dengan wang itu, adikku membelikan pelbagai alatan untuk membuat pakaian bayi dan membeli biskut.

Adikku ketika itu adalah seorang pelatih jururawat. Ketika aku di dalam penjara, dia telah berhenti dari berkursus dan bekerja sebagai seorang jurutaip pada siangnya dan belajar Bahasa Inggeris pada malamnya.


Akan datang : MELAHIRKAN ANAK SULUNG DI PENJARA


JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK