Saturday, December 4, 2010

CATATAN TERAKHIRKU - BAHAGIAN 6


Oleh: Khatijah Sidek

Di sekolah, budak lelaki berumur 12 hingga 15 tahun adalah ahli pengakap. Aku latih mereka cara berkawad dan berjuang tanpa senjata. Mereka hanya berseluar pendek dengan baju sambil menyandang senjata yang diperbuat dari buluh runcing.

Setiap petang, mereka akan berkawad keliling kampung sambil menyanyikan lagu seperti Barisan Benteng dan Pemuda Indonesia. Mereka begitu sekali bersemangat dan berdisiplin. Tujuanku ketika itu adalah satu, iaitu apabila mereka dewasa kelak, mereka akan sentiasa bersiap sedia sekiranya Belanda kembali menjajah Indonesia.

Ternyata, pihak Jepun mula melihat dan memerhati kegiatanku. Aku mula dicurigai oleh 'Kempetai' (CID) dan 'Butai' (Tentera) Jepun. Suatu hari aku dipanggil mengadap mereka bagi menjelaskan maksud aku kerap mengadakan latihan ketenteraan kepada anak-anak muridku. Kukatakan, selain ia suatu aktiviti sekolah, tujuanku yang lain adalah untuk membantu Jepun bagi menyediakan tenaga manusia yang terlatih, sekiranya Belanda kembali ke Indonesia.

Walaupun mereka pada zahirnya bersetuju, ternyata kecurigaan mereka padaku tetap wujud. Malah aku difahamkan kemudian, khususnya setelah Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua, namaku sudah termasuk dalam senarai hitam Jepun. Selalunya, mereka yang tergolong dalam senarai ini, akan dibuang daerah atau dihantar ke sebuah pulau atau dijatuhi hukum bunuh.

Mungkin, nasibku diselamatkan oleh letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945. Dengan serangan itu, Jepun telah menyerah kalah dan sudah bersiap-sedia meninggalkan Indonesia.

Para Pemuda Indonesia dengan segera mendesak pemimpin Indonesia, Sukarno untuk mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia. Apabila Sukarno keberatan untuk mengisytiharkannya, Pemuda Indonesia mengugut untuk mengetepikan Sukarno malah mungkin membunuhnya. Akhirnya pada 17 Ogos 1945, Sukarno mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia.

Ketika itu di Sumatera, rakyatnya masih dalam ketakutan. Kami masih tidak pasti sama ada Presiden Sukarno telah mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia di Jawa, kerana tiada sebarang laporan di akhbar. Kami hanya mendengar kabar-kabar angin saja. Apabila aku mendengarnya, aku segera mengisytiharkan sendiri kemerdekaan Indonesia di rumahku di Pariaman.

Sejak hari itu, kami adakan majlis keramaian. Pertubuhan kami juga berusaha 'mengusir' saki baki tentera Jepun yang ada di situ. Apabila kesemua tentera Jepun telah pergi, kesemua orang Indonesia merancang untuk melawan Belanda apabila mereka kembali ke Indonesia. Mereka dengan rela hati menderma segala wang ringgit dan harta benda untuk tabung menentang Belanda. Kami bersatu dan saling bekerjasama. Tiada berlaku sebarang kekecohan di tempat kami ketika itu antara saat Belanda kembali dan Jepun menyerah diri.

Kaum wanitanya, sentiasa sedia untuk turut berjuang dan membantu kaum lelaki. Kami bergotong-royong memasak untuk keluarga tentera Indonesia. Ramai antara mereka yang berasal jauh dari kampung kami. Jadi, kami di Pariaman menganggap mereka seperti saudara kami sendiri agar mereka akan terasa seperti berada di dalam keluarga sendiri. Dengan itu juga mereka akan berusaha bermati-matian menentang Belanda. Perasaan bersaudara itulah yang kami tanamkan ke jiwa setiap wanita di kampung kami.

Kami juga sedar, demi untuk perjuangan, kesemua kaum lelaki akan turun ke medan perang. Kaum wanita akan tinggal di rumah. Siapakah nanti yang akan membantu kami? Untuk itu, kami sepakat untuk membuat senjata kami sendiri.

Aku mengajar mereka membuat bom tangan. Bom tangan itu terdiri dari telur itik. Kami lubangkan sedikit telur itu dan masukkan ke dalamnya dengan serbuk kaca yang dicampur dengan serbuk lada dan kapur. Sekiranya ada sesiapa yang mengganggu kami, telur itu akan dibaling ke mukanya dan akan membutakan matanya.

Kami juga membuat 'pam tembak' dari buluh. Lubang dalam buluh akan diisikan dengan air yang telah dicampurkan dengan lada. Sekiranya musuh datang, kami akan menyemburkan air itu dengan pam buluh ke muka mereka.

Sebenarnya, Jepun tidak ikhlas membantu perjuangan kami bangsa Indonesia untuk merdeka. Apabila mereka menyerah kalah kepada pihak Berikat, mereka tidak menyerahkan dan memberikan sebahagian daripada senjata mereka kepada kami. Sebaliknya senjata-senjata itu mereka simpan di dalam kem.

Oleh itu, suatu hari aku mengumpulkan kesemua pemimpin organisasi politik dan ketenteraan dari kampungku untuk berbincang mengenai perkara itu. Kami lalu membuat perancangan untuk ' mencuri ' sentaja-senjata Jepun yang disimpan mereka dalam kem, bagi mengelakkan senjata-senjata itu jatuh ke tangan Belanda. Ketika itu, kami umumnya bersenjatakan 'Bambu Runcing'.

Setelah berfikir dan berbincang tentang cara dan strategi untuk mendapatkan senjata itu secara sulit, maka kami akhirnya memutuskan untuk mendapatkan khidmat 'bomoh' yang pakar dan mahir dalam ilmu 'pukau'. Sebagai Ketua Penerangan Pemudi Indonesia, aku menemui beberapa orang Ketua Pemuda di Kota Pariaman dan meminta bantuan mereka untuk menemukan aku dengan beberapa orang bomoh serta meminta mereka membantuku ' mencuri' senjata Jepun dari dalam kem.

Tidak hairanlah, apabila idea ini benar-benar mengejutkan mereka. Apatah lagi permintaan itu datang dari seorang wanita. Namun begitu, kalangan pemuda itu, sudah lama mengenali hatibudi dan diriku serta kekukuhan semangatku untuk berjuang mempertahankan negara dan bangsa Indonesia. Permintaanku akhirnya dipersetujui oleh mereka. Malah mereka juga turut ingin membantuku dan bekerjasama 'mencuri' senjata Jepun itu.

Aku ditemukan dengan beberapa 'bomoh' yang handal ketika itu. Sebagaimana, pemuda-pemuda itu, bomoh-bomoh itu juga agak terkejut dengan permintaanku. Namun akhirnya mereka turut bersetuju dengan rancangan 'menarik' kami ini.

Mulai hari itu, kami mula melakukan perancangan dengan teliti dan membina strategi bagi merampas senjata tersebut. Beberapa keperluan asas mula dicerna termasuk melakar kedudukan senjata dan peta kem Jepun itu. Tugasan itu diserahkan kepadaku kerana aku mempunyai hubungan baik dengan Ketua Tentera Jepun serta keadaanku yang bebas keluar masuk dalam kem Jepun.

Tugasan itu, aku lakukan dengan baik sekali, siap dengan waktu-waktu santai Jepun serta waktu jumlah tentera Jepun amat berkurangan dalam kem kerana ada yang bercuti rehat ke kota Padang dan sebagainya. Aku juga dapat memberikan kedudukan stor senjata Jepun itu dengan amat terperinci sekali termasuk jumlah pengawalnya pada waktu-waktu tertentu serta waktu pertukaran syif tugasan.

Sementara, kumpulan perbomohan bersungguh-sungguh berbincang, menilik dan mencari waktu dan hari yang baik dan sesuai untuk bertindak dan memulakan gerakan sulit ini.

Sehari sebelum malam yang ditentukan untuk bertindak, kami kesemua telah berkumpul sekali lagi untuk mengemaskinikan kesemua perancangan dan strategi.
Kami membahagikan kumpulan kami kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama akan menyerbu kem melalui jalan laut. Kumpulan kedua akan menyerbu kem dari arah sungai sementara kumpulan ketiga akan masuk kem dari pintu hadapan bersama-sama dengan kumpulan bomoh-bomoh itu.

Aku juga mengarahkan kesemua Puteri Indonesia dalam kumpulan kami bersiap sedia malam itu untuk mengawal kampung dan rumah masing-masing. Mereka memakai baju dan seluar serba hitam serta tudung hitam di kepala. Untuk senjata, kami gunakan pisau dan bom tangan dari telur itik dan pam buluh dengan menggunakan air cili. Aku menasihati mereka supaya sentiasa berwaspada pada malam itu sekiranya musuh menyerang ketika ketiadaan kaum lelaki.

Malam esoknya, gerakan sulit 'mencuri' senjata Jepun mula di laksanakan.

Kem itu terletak di tepi pantai. Terdapat sebatang sungai di bahagian selatan. Bahagian utara dan timur dipagari dengan kawat dan dawai berduri. Hanya terdapat sebuah pintu gerbang untuk laluan keluar masuk. Laluan ini dikawal oleh beberapa orang tentera Jepun.


Akan datang:

Gerakan mencuri senjata Jepun dan implikasi terhadap Khatijah lanjutan dari gerakan itu.


JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK