Saturday, January 15, 2011

CATATAN TERAKHIRKU - BAHAGIAN 7 - Merampas Senjata Jepun


oleh - Khatijah Sidek


Kedinginan malam itu, langsung tidak dirasakan oleh kami. Wajah kami kesemuanya amat tegang. Dada kami bergoncang kuat. Apa tidaklah. Tugasan yang akan kami lakukan nanti, adalah satu tugasan yang amat membahayakan keselamatan diri. Kalau tersilap perhitungan, boleh meletakkan nyawa kami dalam bahaya.

Agak lama kumpulan kami berkumpul di beberapa lokasi masing-masing. Jam ketika itu, sudah menunjukkan pukul sembilan malam. Hanya beberapa detik saja lagi, sebagaimana lazimnya, sebuah trak tentera Jepun akan meluncur keluar dari kem itu dengan membawa ramai tentera Jepun untuk berpeleseran di Kota Padang dan meninggalkan sejumlah kecil tentera Jepun untuk mengawal kem itu.

Tidak lama kemudian, trak tentera itu muncul juga dan keluar dari pintu kem. Trak tentera itu adalah penanda kami untuk memulakan operasi . Apabila trak itu, sudah hilang dari pandangan, kami berkumpul seketika untuk mengukuhkan azam agar tidak melakukan sebarang kesilapan.

Hampir dua puluh minit kami menunggu sebelum memulakan tindakan. Kami mahu memastikan agar trak yang meluru keluar tadi tidak secara tiba-tiba kembali atas sebarang sebab. Akhirnya, aku meminta bomoh-bomoh yang berada dalam kumpulan kami untuk memulakan operasi.

Bomoh-bomoh itu, lalu memakaikan beberapa orang pemuda dengan pakaian wanita. Salah seorang dari mereka dihiasi dengan barangan kemas dan disolekkan seperti seorang pengantin. Mereka kemudiannya berkumpul anggaran 50 meter dari pintu gerbang kem tersebut. Kumpulan itu kemudian bergerak sebagaimana orang yang mengarak seorang pengantin perempuan untuk di hantar ke rumah mempelai lelaki. Bersama mengiringi 'pengantin' ini adalah 'wanita-wanita' cantik tadi dan orang-orang lelaki yang terdiri dari bomoh-bomoh ini.

Sebaik saja melalui, pintu gerbang kem Jepun itu, kelihatan sekali beberapa askar Jepun d mula meninggalkan pos mereka dan memerhati dan mengusik rombongan 'pengantin' itu. Kelekaan mereka itu ternyata mengundang padah apabila serentak itu, kalangan bomoh memulakan jampi mentera dan serapahnya. Menariknya, askar-askar Jepun itu, yang awalnya begitu ghairah mengusik 'anak-anak dara dan pengantin' secara tiba-tiba menjadi lemah dan akhirnya terkulai begitu saja.

Sebaik saja kawasan pintu gerbang dikuasai, para bomoh sebagaimana biasa, meneruskan jampi serapah mereka. Ternyata akhirnya, kami tidak lagi melihat sebarang pergerakan di mana-mana dan semua tentera Jepun yang terdapat di mes pegawai, di bilik kawalan stor senjata dan peluru serta di mana-mana saja, didapati tidur agak lena.

Serentak itu juga, para bomoh memberi 'signal' dengan menyalakan obor dan mengarahkan dua lagi kumpulan yang terdiri dari anak-anak muda muda dari arah laut dan sungai menyerbu masuk. Kami memunggah beratus-ratus senjata api pelbagai jenis termasuk senapang dam bom tangan ke luar dari kawasan kem. Kami sembunyikan senjata-senjata itu di beberapa tempat di sekitar kampung kami dan hanya diketahui oleh beberapa orang pemimpin. Salah satu tempat itu adalah di rumah ibuku.

Sebenarnya, bapaku telah meninggal dunia pada tahun 1940. Yang tinggal di rumah itu adalah ibu dan adik-adikku. Abang-abangku sudah menyemenda di kampung lain. Oleh itu, demi keselamatan mereka, aku telah meminta ibu dan adik-adikku tinggal di rumah ibu saudaraku di kampung lain. Aku pula bersembunyi di sebuah tempat sulit yang hanya diketahui oleh para pemimpin pemuda sahaja.

Esoknya, apabila pihak Jepun tersedar, mereka dapati mereka tidak mempunyai senjata. Mereka begitu marah dan dalam masa yang sama amat kuathir akan kemungkinan kalangan yang merampas senjata itu, akan melakukan sesuatu yang buruk terhadap mereka. Mereka bersegera meminta bantuan persenjataan dan anggota dari Markas Jepun di Padang dan Bukit Tinggi. Tiga hari kemudian bantuan senjata dan anggota tiba ke kem tentera itu.

Menjelang subuh, anggaran empat hari kemudian, kampung kami riuh rendah dengan bunyi siren dan wisel dari tentera Jepun. Kesemua tentera Jepun dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan menyerbu rumah-rumah dalam lingkungan kawasan atas lorong. Mereka dengan ganas dan rakuskan menggelidah setiap pelosok rumah untuk menjejaki senjata-senjata mereka yang hilang itu.

Tindakan rakus dan ganas mereka, pastinya mengundang ketakutan. Setiap penghuni rumah diperlakukan dengan kasar dan ganas. Tidak hairan, suasana ketika itu, turut disulami dengan pekikan dan tangisan dari penduduk kampung itu. Lebih menakutkan, setiap pemuda dan orang tua lelaki yang ditemui di rumah-rumah diseret dengan paksa dan dibawa ke kem untuk disoal-siasat.

Tempat persembunyianku adalah berhampiran dengan pejabat gerakan Pemuda Indonesia. Pejabat ataupun rumah itu hanya dijaga oleh seorang wanita tua. Mungkin, beberapa orang lelaki dan pemuda yang ditahan oleh Jepun telah membocorkan rahsia betapa operasi itu diketuai oleh diriku. Tidak hairan, beberapa hari kemudian, pejabat Pemuda Indonesia telah diserbu oleh pihak Jepun.

Ibu tua yang malang itu ternyata menjadi mangsa kekejaman tentera-tentera Jepun. Ibu itu diseret keluar dan telah didera. Mereka memaksa ibu tua itu untuk memberitahu lokasi persembunyianku.

Bunyi jeritan wanita tua itulah yang sebenarnya telah menyelamatkan diriku. Seorang anggota Pemuda Indonesia telah diarahkan menyiasat dan tidak lama kemudian dia berlari-lari kepayahan dan tercungap-cungap.

" Tinggalkan tempat ini segera. Jepun sudah datang di markas. Mereka mencari kita. Mereka mencari Ibu Jah..." zahirnya pantas.

" Segera bu, mari kita tinggalkan tempat ini. Jepun sedang menjejak ibu," minta pemimpin pemuda yang menerima laporan dari temannya.

Aku segera meninggalkan tempat itu dan pergi ke rumah seorang Inspektor Polis kenalanku. Pada fikiranku, rumah inspektor polis itulah yang paling selamat. Malangnya, Inspektor polis itu juga sedang ketakutan dan menolak untuk membantuku demi keselamatan dirinya sendiri. Dia memintaku bersembunyi di tempat lain.

" Kamu mesti membantu saya dan tidak menyerahkan saya kepada tentera Jepun," rayuku. Dia bagaimanapun terus menolak dan memintaku bersembunyi di rumah orang lain.

Aku segera berlari ke beberapa rumah yang berhampiran. Malangnya, setiap penghuni rumah yang kutemui menolak untuk melindungiku. Malah ada yang mencadangkan agar aku menyamar dengan pakaian wanita tua. Akhirnya, aku memutuskan untuk berlindung saja di rumah ibuku.

Sepanjang perjalanan ke rumah ibuku, hatiku sebak sungguh. Aku menangis mengenangkan nasibku dan sikap manusia. " Apabila aku berjaya dalam usaha berjuang untuk kemerdekaan, ramai orang yang akan menyayangiku. Tetapi, apabila aku kini dalam keadaan bahaya, tiada sesiapun yang sudi menolongku."

Aku berdoa sungguh kepada Tuhan hari itu supaya melindungiku dari segala masalah dan bencana. Sekiranya memang sudah ditakdirkan aku akan mati malam itu, maka aku bersedia untuk itu. Jika tidak, aku tidak akan menyerah kalah sebegitu mudah.

Aku membaca beberapa ayat Al-Quran dan bertawakal kepada Allah subhanahuwataala.

Ternyata ada suatu rahsia yang tersembunyi di sebalik tidak ada sesiapapun yang mahu membantuku pada hari itu. Jelas sekali, Allah saja yang mahu mengetahuinya. Sebaik saja tiba ke rumah ibuku, tempat asal berkumpulnya para pemuda perjuangan, aku dapati kawasan yang kerap sibuk itu sudah lengang. Tiada sesiapun yang berada atau mengawal tempat itu. Hatiku ternyata mula gempar.

Kegemparan hatiku semakin membuak, sebaik saja membuka pintu rumah ibuku. Di mana-mana saja, sama ada di sekitar atau di dalam rumahku, terdapat senjata 'curi' berselerakan. Aku benar-benar marah sekali dengan sikap mereka kerana membiarkan senjata berselerakan di mana-mana. Selain itu, di dinding rumahku tertera pelbagai kata nista dan tulisan yang mencerca tentera Jepun.

Aku bersyukur benar kepada Tuhan kerana mengarahkan aku kembali ke rumah. Jika tidak pasti Jepun akan menemui senjata itu dan aku serta keluargaku mungkin akan jadi mangsa kekejaman Jepun itu.

Rumahku mungkin dibakar untuk dijadikan pengajaran kepada orang lain.


Akan datang: Meninggalkan Bumi Pariaman

JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK