Saturday, July 23, 2011

CATATAN TERAKHIRKU BAHAGIAN 13 -HIMWIM DAN BERMULA TERDAMPAR DI BUMI SINGAPURA


Oleh Khatijah Sidek

Tidak lama setelah aku berada di Singapura, khususnya dalam sesi lawatan kerja menemui rakyat Indonesia, aku temui seorang teman lamaku semasa aku menuntut di Maktab Perguruan Padang Panjang, Sumatera. Oleh kerana, ia lebih dahulu dariku belajar di maktab itu, maka aku bahasakan dirinya 'kakak'.

Sebelum ketibaanku di Singapura, kakakku ini pernah cuma mengorganisasikan sebuah persatuan untuk wanita Indonesia iaitu PERWARI (Persatuan Wanita Republik Indonesia). Bagaimanapun, usahanya gagal kerana tiada sambutan.

Kakak kemudiannya memintaku membantunya menubuhkan persatuan itu sekali lagi. Aku tertarik dengan idea itu dan mengumpulkan ramai wanita-wanita Indonesia dalam satu pertemuan. Dalam ucapanku, aku nyatakan tujuan penubuhan persatuan yang lebih mengarah kepada soal kebajikan dan bukannya politik.

Persatuan itu nanti akan dikenali sebagai Himpunan Wanita Indonesia - Malaya atau HIMWIM.

Ternyata, usaha kami itu berhasil. Aku kemudiannya dipilih sebagai Presiden sementara kakakku itu dipilih sebagai Setiausahanya. Seramai 12 orang lagi dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa termasuk Naib Presiden yang aku panggil Makcik Rainah. Setiap ahli dikenakan yuran pendaftaran sebanyak dua ringgit serta yuran bulanan sebanyak 25 sen.

Setiap minggu, aku adakan kursus kraftangan, bimbingan penjagaan anak, kebersihan makanan dan kesihatan. Aktiviti ini ternyata menarik perhatian ahli HIMWIM. Tidak hairanlah, tidak lama kemudian keahlian HIMWIN semakin bertambah apabila cawangannya mula ditubuhkan di beberapa kampung.

Kami juga menganjurkan pelbagai kegiatan amal jariah seperti kutipan derma apabila keluarga salah seorang daripada ahli meninggal dunia, mengadakan kenduri, bergotong-royong ketika ada kalangan keluarga ahli mengadakan majlis perkahwinan atau meraikan seorang ahli yang baru melahirkan anak.

Memandangkan yuran bulanan sebanyak 25 sen tidak mencukupi untuk menampung kegiatan kami, maka persatuan kami turut mengadakan pelbagai kegiatan sosial bagi mengisi tabung persatuan. Antara kegiatan kami adalah mengadakan pameran dan jualan barang-barangan jahitan dan kraftangan, mengadakan pertunjukan pentas dengan kerjasama persatuan sosial kaum lain seperti persatuan wanita Cina dan persatuan wanita India.

Di Singapura ketika itu, sesuai dengan sifat sebuah kota besar, taraf hidupnya boleh dikira terlalu tinggi untuk diriku. Aku pastinya, tidak mampu untuk bergantung hidup semata-mata dari elaun bulananku sebagai seorang Pegawai Kebajikan. Tambahan pula, aku perlu membayar yuran belajar Bahasa Inggeris.

Bagi menampung hidupku, aku kerap membuat 'crochet hook'. Setiap sulaman aku jual dengan harga lima ringgit . Sehari, aku berupaya menyiapkan satu sulaman.

Suatu hari, seorang pemimpin besar Republik Indonesia, Dr. Agos Salim (Allahyarham) telah mengunjungi Singapura. Kesempatan itu aku ambil untuk memohon bantuan daripadanya. Aku beritahu beliau mengenai tujuanku ke Singapura serta keinginanku untuk belajar Bahasa Inggeris. Aku juga meminta pertolongannya untuk membantuku, kerana sijil perguruan Indonesiaku tidak diikhtiraf di Singapura dan atas alasan itu, aku tidak berpeluang untuk memohon atau mencari kerja sebagai seorang guru di sana.

Dengan bantuan dan sokongan beliau, Dr. Agos telah mengarahkan Konsul Indonesia di Singapura ketika itu, Dr Utoyo untuk membantuku serta menaikkan elaunku ke Seratus Lima Puluh ringgit sebulan sehinggalah aku mampu membiayai hidupku sendiri.

Selain itu, Persatuan Pemuda Indonesia yang berpusat di nombor 41, Jalan Joo Chiat telah melantikku sebagai setiausaha kerja mereka. Sebagai Setiausaha Kerja, aku diminta untuk tinggal di markas persatuan itu. Aku mengambil satu bilik untuk kamar tidurku. Baki bilik lainnya, selain dari pejabat (PPI), aku sewakan kepada orang lain dengan harga 20 ringgit sebulan. Terdapat seramai 20 keluarga, menginap bersamaku di sana.

Pada awal 1948, terdapat satu Persidangan Pemuda Se-dunia di Culcutta. Persatuan-persatuan di Singapura dan Tanah Melayu telah dijemput untuk menghantar wakil atau perwakilan. Persatuan kami HIMWIM turut bercadang untuk menghantar seorang wakil ke persidangan itu. Untuk itu, aku telah menghubungi Konsul Indonesia dan meminta bantuan kewangan untuk menghantar wakil HIMWIN itu.

Pihak konsul bagaimanapun menasihatiku supaya tidak pergi ke Culcutta dengan menggunakan nama Indonesia, kerana Indonesia sendiri telahpun mempunyai dan menghantar wakilnya. Beliau mencadangkan agar HIMWIM mengadakan satu mesyuarat dengan pelbagai persatuan di Tanah Melayu dan Singapura dan pergi sebagai wakil persatuan-persatuan itu.

Untuk biaya perjalanan dan penginapan, pihak konsul mencadangkan supaya diadakan satu pungutan derma dari tokoh di Singapura dan Tanah Melayu khususnya di Johor.
Soal ini aku bincangkan dengan 'kakakku' Setiausaha HIMWIM. Ia ternyata bersetuju dengan cadangan itu serta pemilihanku sebagai mewakili HIMWIM dan sekaligus mewakili persatuan-persatuan wanita di Tanah Melayu dan Singapura.

Malangnya, kakakku ini hanya setuju pada zahirnya. Dia sebaliknya mempunyai rancangan yang lain dengan sokongan suaminya seorang peguam. Mereka merancang mensabotaj diriku.

Kedua-dua suami-isteri itu membuat lis derma dan mengutip derma dari pedagang-pedagang Indonesia di serata Singapura. Lis itu ditandatangani oleh suaminya sebagai Presiden dan diri kakakku sebagai Setiausaha. Segala-galanya dilakukan tanpa pengetahuanku.

Satu mesyuarat HIMWIM telah diadakan di kediaman kakakku tidak lama kemudian. Sebelum ketibaanku, kakakku telah mengadakan perbincangan dengan beberapa orang ahli jawatankuasa supaya menolak cadangan untuk mengutip derma dari masyarakat yang bukan orang Indonesia.

Apabila aku bentangkan usul, ternyata usulku ditentang oleh ahli jawatankuasa HIMWIM. Aku jelaskan kepada mereka, idea ini bukan datangnya dari diriku tetapi dari Konsul Indonesia. Malah setiausaha HIMWIM sendiri telah bersetuju dengan soal ini sebelumnya.

Dalam mesyuarat itu juga telah pecah rahsia bahawa Setiausahaku telah mengutip wang sebanyak $600 dari pedagang Indonesia di Singapura. Wang itu adalah untuk membiayai dirinya seorang ke Culcatta.

Aku mempersoalkan tindakannya yang membelakangiku sebagai Presiden HIMWIM.

" Sekiranya, wang ini kamu kutip untuk dirimu, buat apa bangkitkan dalam mesyuarat? Sekiranya pedagang-pedagang berderma untuk persatuan, maka kita bolehlah berbincang untuk memutuskan siapakah yang perlu dilantik sebagai wakil," kataku.

Ternyata, mesyuarat itu menimbulkan perbalahan. Perbalahan itu, jelas akan kemudiannya memberikan kesan pahit dan buruk terhadap diriku, hingga aku terpaksa merengkok dalam penjara di Singapura.


Akan datang: AKU AGEN KOMUNIS INDONESIA.

JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK.