Sebenarnya, nasibku begitu malang kerana mengandung ketika masih dalam penjara. Adat kami di Sumatera, jika seseorang wanita mengandung pada kali pertama, ia akan sentiasa diawasi dan dijaga setiap masa.
Apatah lagi, aku adalah anak perempuan yang tertua.
Tentu saja, dalam keadaanku sebegini, aku tidak mendapatkan itu semua. Pada tahun baru misalnya, aku sepatutnya mendapat makanan yang sempurna tetapi yang diberikan hanyalah makanan penjara yang memuakkan.
Aku menangis sungguh mengenangkan keadaan itu dan nasib anak dalam kandunganku. Tetapi jauh di sudut hatiku, aku menentang sikap lemah diriku sendiri. Aku bisikkan dalam hati, malang yang menimpaku kini, bukan kerana aku berdosa dengan orang lain, tetapi terjadi lanjutan dari hasratku untuk membantu memulihkan nasib wanita-wanita yang lain.
Bisikan halus itu, ternyata menjadikan aku kembali bersemangat untuk meneruskan hidupku.
Suatu hari aku kehabisan biskut. Aku terpaksa merayu Devani meminjamkanku sedikit kerana perutku sentiasa lapar pada waktu malam. Aku berjanji untuk menggantikannya apabila adikku datang mengunjungiku kelak. Sesungguhnya, aku benar-benar malu malam itu dan menangis mengenangi nasibku kerana terpaksa meminta untuk makan.
" Kakak kenapa mahu pinjam?" balas Devani yang kelihatan turut bersedih dengan nasibku. "Biskut saya, biskut kakak juga kan. Jika saya dalam keadaan seperti kakak, saya pasti akan minta dari kakak. Janganlah kakak sedih. Kitakan seperti adik beradik," sambung Devani lagi lalu memberikanku kesemua biskutnya.
Pada akhir bulan Februari 1949, doktor yang merawatku memberitahu, aku dijangka melahirkan anak dalam tempoh sebulan lagi. Bagaimanapun, beberapa hari kemudian iaitu pada 13 Mac 1949, anggaran jam 12.30 malam, aku mula diserang sakit. Ketika itu, aku masih memakai telekung sambil membaca Al-Quran.
Rakan-rakanku dalam penjara itu sedang nyenyak tidur.
Tidak lama kemudian, aku terkejut bila mendapati telekung aku kelihatan merah darah. Aku tidak pasti, sama ada itu petanda untuk bersalin. Jadi aku segera menukar pakaian. Namun, titisan darah kelihatan lebih banyak dan aku menjadi semakin gusar dan serba salah.
Dengan segera, aku mengejutkan salah seorang rakan kaum Cinaku yang pernah beberapa kali melahirkan anak. Setelah mengetahui keadaanku, ia segera mengejutkan kawan-kawanku yang lain dan menjerit-jerit memanggil warder.
Tidak lama kemudian, kelihatan Matron tergesa-gesa datang ke bilik tahanan kami. Ia segera menelefon doktor dan ambulan. Sebelum ketibaan ambulan, Matron telah memimpinku naik dan turun tangga beberapa kali kerana menurutnya senaman ini sangat baik untuk memudahkan aku bersalin.
Setengah jam kemudian, seorang doktor Cina tiba untuk memeriksaku. Ia mensahkan, aku akan melahirkan anak. Dia mengiringiku ke Hospital Kandang Kerbau dan terus ditunda dengan katil sorong ke bilik bersalin sebaik tiba di sana.
Anggaran jam 3.30 pagi, sakitku mula kuat dan aku tiba-tiba berasa begitu lapar. Aku meminta Matron mencarikanku sedikit makanan. Dia tidak dapat membantuku kerana hari sudah jauh malam dan tiada sesiapa yang menjual makanan pada waktu hampir subuh itu.
Apabila sakitku menjadi-jadi, ingatanku ketika itu tiba-tiba terpalit kepada ibuku yang jauh di kampungku di Pariaman Sumatera Barat Indonesia.
" Matron tolonglah saya. Saya mahu ketemu ibu saya tetapi ibu saya tidak ada...," lahirku pilu. " Tolonglah Matron menjadi ibu saya dan ciumilah saya," rayuku.
Matron itu ternyata begitu kesihan dan belas melihat keadaanku. Da segera duduk di sampingku, sambil mencium dan mengusap-usap rambutku. Airmatanya kelihatan membasihi pipinya. Perlakuannya itu, membuatkanku terasa sedih dan sedikit lega.
Anggaran jam 5 pagi, ketika seorang doktor memberiku seutas tali untuk aku berpaut ketika mahu meneran keluar anakku, muncul seorang doktor Eropah yang diiringi beberapa orang doktor pelatihnya. Doktor itu segera meneliti carta perubatan peribadiku yang tergantung di kaki katil. Tiba-tiba, kelihatan wajah doktor itu mula berubah jengkil.
" Jangan berlebih-lebih sangat membantu perempuan ini!" tegur doktor Eropah itu dalam Bahasa Inggeris kepada doktor yang sedang merawatku. Doktor itu berpaling kepada doktor Eropah yang mungkin ketuanya dengan wajah kehairanan.
" Perempuan ini seorang komunis dari Indonesia..." tambahnya lagi.
Namun, kelihatan kalangan mereka yang berada di wad bersalin itu, tidak langsung mempedulikan kata-kata doktor Eropah itu. Mereka semakin bersungguh-sungguh membantuku dalam proses kelahiran anak pertamaku. Masing-masing sentiasa memberikan dorongan supaya aku terus memegang tali sambil meneran.
Anggaran jam 9 pagi, anak sulungku akhirnya berjaya kulahirkan ke dunia, dalam keadaanku yang begitu lelah, penat dan lesu yang amat sangat. Doktor dan jururawat -jururawat itu, kemudiannya membaringkan aku di atas meja dan membiarkan aku berihat. Ternyata aku kemudiannya terlena di situ untuk beberapa jam.
Sebaik saja aku terjaga dari tidurku, seorang jururawat membawa seorang bayi yang comel kepadaku. Bayi itu, adalah anakku, seorang perempuan. Terasa benar, hidupku kini begitu bererti kerana untuk pertama kali aku benar-benar menjadi seorang ibu sejati.
Bagaimanapun, ketika itu juga, aku merasakan kesedihan yang amat sangat apabila mengenangkan nasib dan masa hadapan anak sulungku ini. Apatah lagi, aku ketika itu dianggap sebagai seorang pesalah politik dan sedang meringkuk dalam penjara. Entah bila aku akan dibebaskan oleh mereka, aku tidak tahu.
Airmataku merembas keluar seiring aku mencium anak sulungku itu.
Melihat keadaanku itu, jururawat itu segera mengambil anakku kembali. Aku kemudiannya didorong oleh seorang jururawat lain dari bilik bersalin itu ke sebuah bilik yang agak gelap. Tiada sesiapapun di situ kecuali aku. Di muka pintu bilik itu, kelihatan seorang polis keturunan India yang menggantikan Matron untuk mengawalku.
" Encik polis," panggilku, apabila polis itu kelihatan sedang memerhatiku.
" Saya puan. Ada apa?" tanyanya.
" Boleh tolong saya. Saya sangat lapar. Dari malam lagi saya tidak makan. Lagipun, saya sakit. Doktor langsung tak beri injetsen. Boleh cari makan untuk saya?" pinta saya.
Polis India itu ternyata seorang yang baik. Tanpa berfikir panjang dan tanpa syak betapa aku akan kemudiannya mengambil peluang untuk meloloskan diri, terus bergegas ke sebuah kedai dan membelikanku sepotong roti dan kari untukku.
Dalam perjalanan pulang ke bilik gelapku, dia sempat menemui seorang jururawat dan memberitahunya sakit yang sedang aku rasai ketika itu. Ternyata, jururawat yang ditemuinya itu, adalah kenalan suamiku dan dia juga sedang mencariku. Mereka berdua bergerak sama ke bilik gelapku.
Jururawat itu memberitahuku, suamiku baru saja menelefonnya dan meminta pertolongannya membantuku di mana perlu. Untuk itulah, aku kemudiannya, dengan bantuannya, dipindahkan ke bilik kelas dua yang lebih selesa dan diberikan makanan kelas pertama, serta diberikan pil dan suntikan yang sesuai dengan keadaan kesihatanku.
Di kelas kedua itu, terdapat seramai 20 orang. Mereka adalah orang awam. Bezanya mereka daripadaku adalah di sampingku terdapat seorang polis wanita. Anakku juga tidak ditempatkan di sampingku seperti orang lain.
Pernah aku meminta polis wanita itu, membawa anakku berada di sampingku. Bagaimanapun, permintaanku ditolak kerana menurutnya atas arahan dari pihak atasannya.
Esok paginya, beberapa orang datang mengunjungiku kerana matron telah memberitahu mereka, aku telahpun melahirkan seorang anak perempuan. Adikku datang lebih awal bersama beberapa orang kenalanku. Pada petangnya, suamiku turut mengunjungiku. Sebagai seorang ayah kepada anakku, beliau telah mengqamatkan anaknya. Setiap pertemuan, kami hanya diberikan masa sekadar lima minit sahaja.
Pihak polis akan sentiasa saja mengawasi gerakgeriku sepanjang pertemuanku dengan tetamuku.
" Jah dah berikan anak kita namanya?" tanya suamiku.
" Belum. "
" Kalau begitu, apa kata kita namakannya Umi Kalsom?"
Ternyata, aku tidak tertarik dengan nama itu kerana aku sudah juga menyediakan nama anak sulungku ini. Cuma, aku hanya mahu persetujuan dari suamiku.
" Jadi, nama apa yang Jah mahu berikan?"
" Apa kata namanya Khadria Taswim Malahayati?"
" Panjang namnya tu. Apa maksudnya?" tanya suamiku.
Aku lantas memberitahunya, Khadria Taswim Malahayati itu bermaksud:
KHAD - dari nama Khadijah, ibunya.
RIA - nama ringkas tentera wanita Putri Kesatria.
TA - dari kata tahanan
S - dari nama Singapura
WIM - dari huruf HIMWIM, organisasi wanita kami.
MALA - dari nama MALAYA
HAYATI - dari kata hayat dan baka ayahnya.
Aku sengaja memilih nama itu, agar apabila anakku besar nanti, namanya akan merangkumi segala liku kehidupan dan keperitan sejarah ibunya dan sejarahnya ketika aku meringkuk dalam penjara. Apatah lagi, aku akan nanti begitu mudah untuk mengisahkannya nanti, jika dia bertanyaku.
Suamiku, akhirnya bersetuju dengan nama itu.