Oleh Khatijah Sidek
Semangat Bonda pada dasarnya sebuah pertubuhan sosial untuk kelompok masyarakat khususnya kaum ibu di Bindjai. Pada mulanya aku mengumpulkan isteri-isteri pegawai Indonesia dan Belanda yang begitu mesra denganku. Persatuan kami bergerak baik melalui pelbagai aktiviti sosialnya.
Bagaimanapun, apabila aku mula menyerapkan semangat kemerdekaan, aku mula menerima tentangan. Kawan-kawanku itu mula menasihatiku supaya tidakmenyimpang kerana mereka takut, aku akan disumbat dalam penjara atau mungkin disingkirkan dari jawatan guru.
' Tidak,' kataku. 'Usah risau dengan apa yang akan terjadi padaku. Risaulah apa yang akan terjadi kepada bangsa dan negara kita,' balasku lagi.
Kukatakan kepada merka, ayahku membantuku setiap bulan dan aku tidak peduli jika Belanda melucutkan jawatan guruku. Bagaimanapun, salah seorang guru lelaki berketurunan Jawa, kerap menyetujui dan menyebelahi aku. Dia kerap mendorongku untuk berjuang di samping memberikan latihan kepimpinan ke arah kemerdekaan. ( Lelaki ini akhirnya muncul sebagai salah seorang tokoh nasional Indonesia).
Pada 21 April 1938, hari kelahiran Kartini, aku dengan rasminya menjadikan persatuan kami, Semangat Bonda, sebuah organisasi politik wanita untuk Bindjai. Pada perayaan tahun berikutnya, sambutan Hari Kartini diadakan dengan lebih meriah lagi.
Pada hari itu, aku menjemput kesemua ahli-ahli Semangat Bonda serta pegawai Belanda dan isteri mereka ke jamuan makan. Malangnya tidak lama kemudian, hampir kesemua pegawai Belanda dan Indonesia serta isteri masing-masing keluar dari majlis itu.
Segala-galanya berpunca dari lagu Indonesia Raya yang dinyanyikan oleh pasukan Pandu Puteri kami serta ucapanku yang meminta seluruh bangsa Indonesia mencontohi Kartini, seorang aristokrat tetapi berjuang untuk kebebasan wanita Indonesia serta mendirikan sekolah perempuan di Jawa. Beliau adalah contoh terbaik wanita Indonesia yang berkorban untuk bangsanya.
Esoknya, Ketua Majlis Daerah Medan memanggilku ke pejabatnya. Aku pasti ketua itu akan memberikan kata dua atau menghukumku.
" Kamu sebagai seorang pemimpin politik sewajarnya mempunyai keyakinan dan kekuatan diri," nasihatnya kepadaku. " Justeru, kamu sewajarnya bersedia dengan pelbagai kemungkinan."
"Kamu juga perlu sedar betapa setiap kelakuan dan ucapan atau tindakan kamu, akan mengundang ketakutan pada ramai orang. Mereka tentunya akan membenci kamu dan tidak hairan nanti, mereka akan melakukan apa saja dan berusaha untuk menjatuhkan kamu bila-bila masa," sambungnya lagi.
Ternyata aku amat terkejut sekali dengan kata-kata nasihat serta sikap baik Ketua Majlis Daerah itu. Dia cuba menyedarkanku untuk bersedia dengan segala kemungkinan. Aku menjangkakan dia akan memberikan surat amaran atau kata dua kepadaku untuk memberikan tumpuan kepada bidang pendidikan semata-mata.
Jelas sekali, walaupun Ketua majlis Daerah itu seorang Belanda, tetapi dia mempunyai jiwa yang lebih mulia dari kebanyakan hati orang-orang yang sebangsa denganku yang ingin memusnahkan diriku.
Lama juga aku menanti akan kemungkinan sesuatu tindakan akan dilakukan terhadapku, lanjutan dari aktiviti Semangat Bondaku itu. Ternyata ia akhirnya berlaku juga sebulan kemudian. Pegawai Pelajaran Daerah, memanggilku dan memberikan kata dua kepadaku sama ada menghentikan terus kegiatan politik atau perkhidmatanku sebagai guru akan ditamatkan serta-merta.
" Kalau tuan sukakan saya, saya boleh terus mengajar. Tapi kalau tuan mahu saya menarik diri dalam perjuangan untuk Indonesia, saya minta maaf. Saya lebih senang mengundurkan diri dan memberikan surat letak jawatan, kalau itu tuan mahu," jawabku pantas tanpa teragak-agak lagi. Mungkin aku sudah lama menyediakan jawapannya dalam benakku.
Mungkin, jawapanku itu menimbulkan serba-salah kepada Pegawai Pelajaran itu. Jika aku dibiarkan meletakkan jawatan tanpa perhatian dari pihak berkuasa, kemungkinannya aku lebih bebas dalam aktiviti politik dan boleh menggugat wibawa pemerintah. Kemungkinan juga masalah ini nanti akan digunakan oleh organisasi politik Indonesia lainnya untuk lebih banyak menentang mereka.
Ternyata, tiada keputusan diambil oleh mereka terhadap diriku ketika itu.
Tiga bulan kemudian, aku menerima sepucuk surat arahan untuk berpindah serta merta ke kawasan pedalaman di Matang Gelumpangdua, kira-kira 16 kilometer dari Bireuen di Acheh. Aku tahu ini adalah tindakan balas Belanda terhadapku, agar dapat melemahkan kegiatanku. Mereka mungkin berharap, dengan cara ini aku akan mengalah dan terus memberikan notis perletakan jawatan tanpa paksaan dari mereka.
Bagaimanapun, aku sebenarnya senang mengajar di kawasan desa terpencil sebegitu. Dengan cara ini aku berupaya dan lebih mudah memimpin anak-anak desa ke arah semangat perjuangan dan kemerdekaan.
Di sekolah baruku, ada tiga bilik darjah, tetapi hanya seorang guru iaitu aku. Keadaan sekolah ketika itu serba dhaif. Begitu juga dengan anak-anak muridku kesemuanya perempuan yang comot dan kerapkali tidak mandi pagi. Mereka juga mengidap sakit kulit.
Aku tahu satu saja cara untuk memulihkan mereka serta mewujudkan rasa senang mereka terhadapku adalah menjadikan diriku sebahagian dari mereka. Untuk itulah, setiap pagi aku akan hadir awal ke sekolah. Apabila loceng berbunyi, mereka akan kubariskan. Pelajar yang bersih aku izinkan masuk ke kelas. Yang lainnya aku kumpulkan dan berleter mengenai soal kebersihan.
Mereka kemudiannya ku bawa ke bilik air dan kumandikan. Kusikat rambut dan kubedakkan dan kububuhkan ubat kudis kepada mana-mana yang sakit kulit. Aku belikan pelbagai ubat-ubatan bagi pelbagai penyakit lain yang diidapi oleh anak-anak muridku.
Aku turut mengajar mereka berdandan wajah serta membuat wangi-wangian daripada daun pandan. Suatu hari berlaku satu peristiwa lucu yang kekal menjadi kenangan. Seorang anak muridku yang begitu ghairah untuk kelihatan cantik telah membedakkan keseluruhan mukanya.
" Naning, kenapa begini?" tanyaku.
" Ibukan suruh bedakkan muka selalu supaya jadi cantik. Naning mahu jadi cantik bu.." lahirnya.
Aku ketawa sungguh hari itu. Lalu aku perbetulkan hiasan bedak di mukanya agar kelihatan lebih menarik.
" Lain kali, Naning buat begini saja ya.. Kalau macam tadi, kalau waktu malam, semua orang akan lari jika melihat Naning,' lahirku.
" Kenapa bu..." tanyanya.
" Nanti orang fikir Naning hantu malam.." lahirku ketawa seronok. Naning juga ketawa sama.
Ternyata, untuk tempoh antara 1940-1942, aku disenangi oleh masyarakat setempat. Sekolah dan murid yang serba dhaif telah menjadi cantik dan baru. Orang-orang kampung di Matang Gelumpangdua, turut membantu dan bergotong-royong untuk yang membersihkan halaman, membuat landskap dengan tanaman pokok-pokok serta mencat dan membaiki bangunan yang serba usang itu.
Aku semakin disenangi oleh orang-orang kampung khususnya Ketua Kampung itu sendiri yang turut menjadikan aku anak angkatnya dan sentiasa menjaga kebajikan dan keselamatanku di kampung itu.
Tahun 1942, Jepun telah tiba ke Bireuen serta ke Gelumpangdua. Anehnya, Belanda, penjajah yang berkurun menjajahi kami, tidak melakukan sebarang tentangan. Mereka kelihatan tergesa-gesa meninggalkan bumi Bireuen dan Gelumpangdua.
Ketika itu, kami benar-benar gembira dengan kehadiran Jepun. Kami merasakan mereka, bangsa Asia telah berjaya membebeaskan kami dari imperialis Belanda. Jepun kami anggap sebagai pembela bangsa Indonesia dan pada merekalah harapan kami untuk merdeka.
Bagaimanapun, sikap dan pandangan tinggi kami terhadap mereka berubah apabila kami mendengar banyak sikap dan perlakuan buruk mereka terhadap gadis-gadis Indonesia. Aku juga hampir mengalami peristiwa yang sama.
Suatu hari, di hadapan rumah kami di Matang Gelumpangdua, kelihatan seorang askar Jepun sedang mundar-mandir. Matanya kelihatan melilau dan melihat keliling. Dia kemudian seperti berkata sesuatu melalui corong telefon yang dibawanya.
Sepuluh minit kemudian, muncul seorang lagi dengan membonceng basikal. Ini diikuti tidak lama kemudian, tiba sebuah trak yang sarat dengan askar Jepun. Mereka berhenti tidak jauh dari rumah kami. Dengan rakus mereka melompat keluar dari trak dan mula mengetuk pintu rumah yang berhampiran.
Sebagai orang yang agak terpelajar di kampung itu, aku berkira untuk menemui ketua atau pegawai askar-askar itu untuk bertanya apa yang dimahukan mereka. Bagaimanapun, golongan pemuda kampung yang sudah ramai hadir di rumah kami, melarangku berbuat demikian.
" Mereka itu syaitan bu.. Perangainya buruk. Ramai anak-anak gadis Indonesia di kota yang telah diperkosa mereka, " bantah mereka. Mereka memberitahu beberapa contoh perangai buruk yang telah dilakukan oleh askar-askar gila Jepun itu.
" Kami kira, baik ibu pergi bersembunyi. Mari lekas bu..mari..., " minta mereka bersungguh-sungguh.
Aku benar-benar kaget dengan kata-kata mereka. Ketika itu aku menjadi benar-benar terlalu takut. Dengan pantas kugapai tangan adikku keluar melalui pintu belakang dan terus bersembunyi di dalam sawah.
Malamnya, kami diiringi ke rumah semula. Ketua Kampung mengarahkan anak buahnya mengawasi rumah kami, siap dengan parang panjang di tangan mereka. Seandainya, ada Jepun yang mahu mengganggu, mereka akan bertindak walaupun terpaksa membunuh sekalipun. Di Matang Gelumpangdua, kaum lelakinya tidak takut melakukan sebegitu.
Anggaran jam sebelas malam, kami dikejutkan oleh trak tentera Jepun.
" Uni (kakak) lari lekas!" pekik adikku. "Jepun celaka datang.....!!!"
Akan datang:
Dapatkah Khatijah menyelamatkan dirinya dari Tentera Jepun?
JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK