Tuesday, September 7, 2010

CATATAN TERAKHIRKU - BAHAGIAN 3


oleh KHATIJAH SIDEK


Sebenarnya, nama Ardjasni itu hasil gabungan ikatan persahabatan bersama lima lagi teman persekolahan semasa di Sekolah Menengah Melayu Berasrama. Mereka adalah Mahyar, Nurkhatama, Rahmani, Nursiah dan Nurchahaya. Di sekolah ketika itu terdapat kira-kira 120 pelajar perempuan. Di dalam kelasku saja ada seramai 40 orang yang datang dari serata Sumatera.

Dari jumlah itu, hanya kami berenam berketurunan Minangkabau.

Idea mewujudkan Ardjasni sebenarnya berpunca dari gadis-gadis Batak. Mereka bijak tetapi beragama Kristian. Tidak hairan sekiranya matron dan guru-guru Eropah sangat menyenangi mereka. Mereka sentiasa diberikan perhatian hingga kami terasa dianaktirikan.

Kami kerapkali berbincang mengenai hubungan intim guru-guru dan gadis-gadis Batak ini serta keupayaan mereka meraih keputusan terbaik serta menjadi pelajar terbaik sekolah asrama kami. Jadi bagi membuktikan anak-anak Minangkabau turut mampu menyaingi mereka, kami memutuskan untuk bersedia dan mendisiplinkan diri kami. Kami berhasrat untuk turut muncul sebagai pelajar terbaik sekolah asrama kami.

Akhirnya, suatu hari kami mengadakan satu perbincangan sulit di halaman sekolah. Kami ambil gelas berisi air dan larutkan sedikit garam, lalu minum. Kami bersumpah dan berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh dan berusaha menaikkan nama Minangkabau. Kemudian kami ambil bunga rumput berwarna kuning yang mempunyai enam kelopaknya. Bunga ini kami jadikan lambang kami berenam serta namakan kumpulan kami Ardjasni. Aku dipilih sebagai ketuanya.

Umumnya kami penghuni asrama, bangun jam enam pagi. Bagaimanapun, kami berenam bangun lebih awal dari itu untuk mengemas katil, bersugi dan mandi. Jika ada antara kami berenam yang liat, aku akan menyebut 'Arr' sebagai amaran. Mengikut sumpah kami, sekiranya mana-mana antara kami yang disebut "Arr" sebanyak tiga kali akan dikenakan denda dua setengah sen. Kata " Arr" turut kami gunakan setiap waktu termasuk ketika belajar pagi dan mengulangkaji pada waktu petang dan malam.

Selepas makan tengahari, kami kembali ke kamar untuk sembahyang dan terus tidur rihat hingga jam empat. Selepas minum petang, kami melibatkan diri dalam sukan dan riadah. Malamnya selepas Maghrib, kami terus belajar hingga jauh malam.

Sepanjang zaman persekolahan ini, fikiranku tidak putus ingin terus berjuang untuk kemerdekaan Indonesia.

Tidak hairan sebaik saja menamatkan persekolahan di sekolah Melayu Berasrama dengan kerajaan, aku memutuskan untuk mengajar di sekolah rakyat. Melalui cara itu saja, aku dapat melatih anak bangsaku dan membimbing para pelajarku serta berupaya meniupkan semangat kemerdekaan dalam jiwa mereka.

Aku berkhidmat di sekolah rakyat Muhammadiah tidak jauh dari kampung di Pariaman. Hampir setahun setengah aku mengajar di sana, sebelum pihak Belanda yang mula menyedari dan mencurigaiku, menukarkan aku ke Medan secara paksa.

Sebagaimana biasa, apabila ibu mengetahui aku akan bertugas jauh dari matanya, beliau beria-ia benar memujukku berhenti menjadi guru dan berkahwin saja dengan calon pilihannya. Bagaimanapun, minatku untuk berkahwin ketika itu tidak ada. Aku lebih senang untuk berjuang terus demi Indonesia dan memimpin wanitanya untuk sama berjuang untuk kemerdekaan Indonesia.

Aku akhirnya terpaksa membohongi ibu. Kukatakan padanya bahawa arahan ini datangnya dari Pegawai Pelajaran Belanda. Sekiranya, aku menolak, aku pasti akan disumbat dalam penjara. Mendengar nama penjara, ibu menjadi takut. Beliau akhirnya mengizinkan aku bertugas di Medan tetapi mahukan aku ditemani oleh seorang adik perempuanku.

Di Medan, aku dilantik sebagai seorang Kepala Sekolah di sekolah Desa Pangkalan Susu. Gajiku ketika itu hanyalah 25 rupiah. Padaku, jumlah itu ketika itu adalah mencukupi kerana segala-galanya begitu murah.

Pada 1938, aku dipindahkan pula ke Pangkalan Brandas Acheh kerana dirasakan oleh Belanda aku sudah mula membina pengaruh di kalangan rakyat tempatan di Pangkalan Susu. Bagaimanapun, mungkin Belanda merasakan tindakan itu merugikan mereka kerana tidak dapat mengawal aktiviti dan kecenderungan politikku, maka setahun kemudian, Belanda memindahkan aku semula ke Medan dan ditempatkan ke sebuah sekolah di Bindjai, 16 kilometer dari Medan.

Ternyata keinginanku yang meluap-luap demi kemerdekaan negaraku Indonesia, berupaya menggagalkan hasrat Belanda untuk mengawal aktivitiku.

Di Bindjai, aku menubuhkan sebuah persatuan dipanggil Semangat Bonda.


AKAN DATANG:
AKTIVITI PERSATUAN SEMANGAT BONDA DAN KEDATANGAN TENTERA JEPUN


JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK


No comments:

Post a Comment