Thursday, November 24, 2011

BAHAGIAN 17: PENJARA OUTRAM ROAD SINGAPURA


Oleh Khatijah Sidek

Ketika itu, akulah satu-satunya tahanan politik wanita di Ibu Pejabat Polis Singapura. Aku merengkok di sana selama hampir dua bulan. Kemudian aku meminta dipindahkan ke Penjara Outram Road. Aku mendapat tahu dari teman-teman pegawal, penjara di situ lebih selesa.

Permohonanku akhirnya diluluskan.

Di penjara Outram Road, terdapat satu bahagian yang dikhususkan untuk tahanan politik wanita. Di bahagian itu, terdapat seramai 40 orang. Mereka ditempatkan beramai-ramai dalam sebuah bilik khas. Selain diriku seorang Melayu, terdapat juga seorang yang berketurunan India. Selebihnya seramai 38 orang adalah dari keturunan kaum China.

Wanita India itu adalah seorang guru dan aktif dalam pertubuhan buruh Singapura. Namanya Devani. Kebanyakan wanita datang dari Johor dan Sekolah Tinggi China Singapura. Kami semua menjadi begitu karib.

Tidak begitu lama berada di dalam penjara Outram Road itu, aku mula merancang mewujudkan sebuah kelab sesama kami. Tujuannya lebih untuk mengelakkan kami merasa resah dan berdukacita. Aku dipilih sebagai Pengerusi tidak rasmi kelab yang tidak berdaftar ini.

Setiap hari kami akan berkumpul dan menyanyi. Aku mengajar mereka lagu Melayu dan Indonesia. Devani pula mengajarkan lagu India.

Setiap hujung minggu, kami dibenarkan menerima tetamu. Kami mendapat banyak buah tangan dan air kopi yang disimpan dalam botol plastik. Sekiranya tetamu kami membawa biskut dalam tin, biskut itu kami ambil dan tinnya kami serahkan semula. Adalah menjadi larangan bagi kami untuk membawa botol kaca atau tin ke bilik penjara kerana mereka takut, barang-barang ini akan digunakan secara salah seperti membunuh diri.

Pada setiap hujung minggu juga, kami akan membentangkan kertas di atas lantai dan letakkan biskut-biskut tadi di atasnya serta membina arca biskut. Kami kemudiannya akan duduk di sekeliling biskut itu.

Sebelum biskut itu kami makan, setiap seorang antara kami diwajibkan untuk memberikan ucapan. Setelah itu, kami akan bersama-sama menyanyikan lagu patriotik, lagu Melayu, lagu China dan lagu India. Pada akhirnya, kami meneriakkan kata MERDEKA dan diulangi kata itu dalam bahasa China dan India.

Tidak hairanlah sekiranya kelakuan dan aktiviti kami itu menimbulkan suasana bising dan hiruk-pikuk hingga memaksa pegawai penjara untuk menegur kami. Untuk seketika kami akur dengan teguran itu dan terus tetawa serta memakan biskut-biskut yang sudah terhidang di hadapan kami. Anggaran setengah jam setelah dia beredar dari situ, kami kembali menyanyi.

Kerapkali juga, setiap kali kami menyanyi beramai-ramai, para tahanan politik lelaki dalam bilik kurungan yang bersebelahan akan turut serta.

Matron kami adalah seorang berbangsa Eropah dari Bangkok dan agak berumur. Aku lupa namanya, tetapi dia adalah seorang insan yang sangat baik. Dia begitu menyenangi diriku dan sentiasa memberi perhatian dan menaruh belas kasihan kepada nasibku.

Apa tidaknya. Ketika itu, aku sudah mengandung tujuh bulan.

Setiap pagi doktor akan melawat para tahanan dan aku merupakan tahan yang amat istimewa yang mesti ditemuinya. Kesempatan itu aku ambil dengan merayu kepadanya untuk memberikan aku makanan yang lebih baik daripada apa yang aku makan sebelumnya.

Umumnya, setiap pagi kami akan diberikan secawan bubur nasi. Kerapkali terdapat ulat di dalamnya hingga menghilangkan selera kami untuk makan. Pernah sekali, aku tidak mengambil sarapan pagiku selama tiga bulan disebabkan ulat itu.

Untuk makan tengahari, kami diberikan sedikit nasi dengan berlaukan sedikit sayur bercili dan sedikit ikan kering. Terdapat juga sedikit keledek. Bagaimanapun, aku tidak memakannya kerana menurut kepercayaan kami, keledek tidak baik dimakan oleh wanita yang sedang mengandung.

Pada sebelah petangnya, kami diberikan semangkuk kacang hijau, sedikit nasi dan ikan goreng, sekeping roti dan sedikit sayur.

Memandangkan keadaan tubuhku yang sedang mengandung itu, rakan-rakan sepenjaraku, sentiasa membantuku dengan membawa sebaldi air sejuk setiap petang. Aku gunakan air itu jika ingin membuang air kecil setiap malam. Selain itu aku memerlukan air itu untuk berwuduk bagi menunaikan tanggungjawabku kepada Ilahi.

Setelah makan malam, kami umumnya akan bermain dam China. Kerapkali juga ketawa dan gurau kami mengganggu ketenteraman di penjara itu. Pernah pada suatu masa yang lain, kami dihukum berada dalam kurungan sehari suntuk oleh warder kerana soal itu. Kami juga tidak dibenarkan mandi.

Apabila tiba waktu makan, mereka hanya mendorongkan pinggan ke dalam bilik kami. Bagaimanapun, tidak ada seorang pun yang mahu menjamahnya sebagai tanda protes. Esoknya, Penguasa Penjara menyoalsiasat kami untuk mencari siapakah ketua kumpulan kami. Menariknya, tidak ada seorangpun yang mahu membuka mulut.

Begitulah hebatnya kesatuan hati kami warga penjara tahanan politik wanita Outram Road ketika itu.

Salah seorang dari warder itu adalah kaum India. Dia seorang yang lekas panas darah dan membenci teman kami, Devani, dari kaumnya. Warder inilah juga orangnya yang menuduh Devani sebagai ketua kumpulan kami, hingga Devani terpaksa diasingkan dalam bilik kurungan gelap selama dua hari.

Sikap dan kelakuan biadap Warder India itu, betul-betul menimbulkan kemarahan kami. Kami memberontak benar serta membuat suasana penjara kecoh dan hingar-bingar. Ini memaksa Penguasa Penjara membebaskan Devani dengan syarat kami tidak membuat bising pada waktu malam.

Tidak lama kemudian, kami adakan satu mesyuarat tergempar mengenai warder India itu. Esoknya, kami memberikan amaran kepadanya supaya tidak mengulangi kelakuannya. Jika tidak sesuatu yang buruk akan terjadi pada dirinya.

Ternyata, ugutan kami menakutkannya. Malah Matron juga menasihatinya supaya tidak bertindak keras terhadap kami kerana kami bukannya penjenayah tetapi adalah kalangan orang tahanan politik saja. Kami adalah kelompok pejuang.

Sejak hari itu, kelihatan dia amat jauh berubah.

Bagaimanapun, satu perkara yang aneh sepanjang aku berada di penjara Outram Road, tidak kelihatan walau seorang pun ahli HIMWIM yang mengunjungiku. Mereka mungkin takut dituduh bersubahat denganku.

Setiap hujung minggu, hanya adikku yang datang berkunjung.

Selain itu, suamiku, Dr. Hamzah, juga turut mengunjungiku. Namun, kedatangannya tidaklah sekerap adikku. Malah tidak lama kemudian, dia tidak datang langsung. Aku difahamkan kemudian, soal ini bukan disebabkan ia takut, tetapi ada kaitannya dengan soal keluarga.

Sebenarnya, aku terlupa menceritakan keluarga suamiku sebelum berkahwin denganku. Aku adalah isteri keduanya. Isteri pertamanya yang tidak menyenangiku, masih hidup dan mereka mempunyai sembilan orang anak.

Sebelum mengahwiniku, aku sebenarnya tahu dia masih mempunyai seorang isteri. Perkahwinanku ketika itu bertujuan untuk membantu wanita di Tanah Melayu. Sesungguhnya, aku tidak mempunyai maksud seperti merampas suami orang. Ketika di Indonesia dulupun, aku berjuang menentang poligami.

Bagaimanapun, keadaan di Tanah Melayu adalah berbeda ketika itu kerana poligami adalah sesuatu yang lumrah. Dr. Hamzah juga bersedia mengahwiniku semata-mata untuk membantu dan melindungiku.

Pada setiap minggu terdapat sepasukan askar sukarela mengunjungi kami untuk membantu dalam soal-soal kebajikan. Aku telah meminta bantuan salah seorang wanita Eropah dari kumpulan itu untuk menemui suamiku di Johor dan bertanya suamiku, kenapa dia tidak lagi datang melawatku dan memberikan bantuan kewangan bagi keperluanku untuk melahirkan anak sulungku di penjara.

Wanita Inggeris itu bergegas ke Johor Bahru mencari suamiku.

Suamiku ketika itu, menurutnya sedang sakit dan dirawat di hospital. Isteri tuanya sentiasa saja berada di sisinya sepanjang masa. Wanita Inggeris itu kemudian memberitahuku, suamiku kelihatan tidak gembira dengan keadaan itu dan dia mencadangkan agar aku berpisah saja dengan suamiku.

Aku bagaimanapun tidak mahu terburu-buru membuat sebarang tindakan. Untuk itu, aku meminta adikku menemui suamiku dengan membawa Makcik Rainah yang memperkenalkan kami dahulu. Dari makluman dari adikku, suamiku Dr. Hamzah kelihatannya tidak begitu ghairah untuk menceraikanku ketika itu, kerana aku sedang mengandung dan adalah menjadi kesalahan dan dilarang oleh agama Islam untuk berbuat demikian.

Makcik Rainah kemudiannya mengambil inisiatif untuk menemui Konsulat Indonesia dan meminta rakan-rakanku di sana membantuku di penjara. Pihak Konsulat kemudiannya memberikan $50.00. Dengan wang itu, adikku membelikan pelbagai alatan untuk membuat pakaian bayi dan membeli biskut.

Adikku ketika itu adalah seorang pelatih jururawat. Ketika aku di dalam penjara, dia telah berhenti dari berkursus dan bekerja sebagai seorang jurutaip pada siangnya dan belajar Bahasa Inggeris pada malamnya.


Akan datang : MELAHIRKAN ANAK SULUNG DI PENJARA


JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK

Sunday, October 23, 2011

CATATAN TERAKHIRKU BAHAGIAN 16 : PENJARA ITU RUMAH BARUKU


Oleh Khatijah Sidek.

Anggaran jam tiga pagi, aku dibawa oleh dua orang polis siap bersenjata ke stesen keretapi Segamat. Kami tiba di Johor Bharu anggaran jam tujuh pagi dan aku terus dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Johor Baru untuk menemui seorang Ketua Polis Daerah tersebut, seorang Inggeris.

Pegawai Polis itu ternyata lebih bersopan dari Inspektor Melayu di Segamat. Ia bukan saja memintaku duduk, malah ia turut berdiri dan bersalam denganku, apabila menyambut ketibaanku. Tidak lama kemudian, seorang anggota polis membawa secawan kopi dan sepiring kuih untukku.

Hanya selepas aku selesai menjamah sarapanku, baru ia mula berbicara. Setelah selesai segala-galanya, ia lalu mengarahkan seorang daripada pegawainya, Encik Shariff membawaku ke Singapura dengan segera.

Encik Shariff membawaku dengan keretanya sendiri kerana menurutnya adalah lebih baik begini bagi mengelakkan orang menyangka yang aku adalah seorang tahanan polis.

Malah lebih jauh daripada itu, En. Sharif turut memberiku peluang singgah di dispensari suamiku untuk mengambil pakaian dan memesan kakitangan suamiku supaya memberitahunya, aku akan dibawa ke Singapura sebagai seorang tahan politik.

Setibanya di Singapura, En. Shariff menyerahkanku kepada Mr. Robinson, seorang Inspektor di cawangan CID. Setelah mencatatkan laporan mengenai diriku, Mr. Robinson membawaku pula ke Ibu Pejabat Polis Singapura. Di sana aku mula disoal siasat. Mereka bertanyaku akan alasanku datang ke Singapura dan adakah aku menerima sebarang gaji dari Konsul Indonesia.

Aku jelaskan kepada mereka tujuan kedatanganku adalah semata-mata untuk membuka cawangan TP di Singapura serta elaun yang aku terima sebagai Pegawai Kebajikan dan bantuan langsung daripada Dr Agus Salim. Aku juga jelaskan kepada mereka, aku tidak lagi mengambil elaunku setelah berkahwin dengan Dr. Hamzah.

Mereka kemudiannya bertanya mengenai alasanku mengunjungi dan menemui beberapa orang di Orchard Road Singapura, beberapa bulan yang lalu. Mereka secara sengaja menuduhku, sedang merancang satu pakatan sulit dengan orang-orang itu dengan tujuan untuk menggulingkan kerajaan Inggeris di Singapura.

Ketika itulah juga, aku mula memahami letak semua perkara serta alasan dan sebab kenapa aku ditahan polis serta siapa di sebalik semua angkara ini.

" Itu tidak benar!" jawabku deras dan sedikit marah. Saya bertemu mereka mengenai soal setiausaha saya dalam HIMWIM yang mengutip derma dari saudagar Indonesia. Mereka adalah kenalan saya," jelasku lagi.

" Tahukah Cik Khadijah, mereka semua adalah komunis...!?" tekan mereka lagi.

Aku jelaskan kepada mereka, setahuku mereka semua tidak ada kena mengena dengan komunis. Mereka hanya saudagar biasa. Apatah lagi mereka telah kukenali sebelumnya dari sejak di kampung lagi, kerana mereka adalah sahabat ayahku. Oleh kerana itu, mereka kerap menganggapku sebagai anak mereka juga dan sentiasa menjagaku dan melindungiku di Singapura.

Pihak polis itu kemudiannya membangkitkan beberapa nama orang Indonesia lain. Menurutnya, orang-orang ini adalah juga bersahabat dengan pedagang-pedagang Indonesia yang namanya dinyatakan terdahulu.

Aku maklumkan kepada pegawai polis itu, orang-orang yang namanya disebutkan itu, tidak aku kenali. Ketika aku menemui saudagar Indonesia itu, mereka juga mungkin ada di situ. Sebagai seorang anak, aku sewajarnya berkelaku sopan terhadap mereka.

" Tahukah kamu, mereka semua ini sedang dalam tahanan polis?"

Aku nyatakan yang aku tidak tahu semuanya. Bagaimanapun, dari laporan kawan-kawan yang mengunjungiku kemudian, aku dimaklumkan, beberapa orang tua yang aku temui di Orchard Road telah ditahan pada malam 16 Ogos 1948.

Lebih melucukan lagi, pihak CID Singapura juga mendakwa aku turut menjadi penyeludup candu dan emas ke Singapura dan Indonesia. Mendengar ini, aku ketawa besar. Kataku, jika benar demikian, aku sekarang sudah kaya raya dan mempunyai rumah besar dan banyak wang.

Mereka juga bertanyakan mengenai hubunganku dengan beberapa pemimpin parti politik di Tanah Melayu dengan memberikan beberapa nama. Aku jelaskan kepada mereka, aku tidak kenal akan nama-nama itu. Sekiranya, mereka kenal diriku, mungkin kerana kekerapan aku berpidato dan berucap di pelbagai majlis atau kemungkinannya melalui akhbar.

Aku menjangkakan aku akan dibebaskan selepas majlis soal-siasat itu. Bagaimanapun, keadaan yang berlaku sebaliknya. Aku ditempatkan ke dalam sebuah bilik kurungan yang sempit dengan tandas tapi tidak berair. Terdapat sebuah pangkin dan bantal kayu China. Terdapat juga banyak pijat yang menghuni bilik tahanan itu bersamaku.

Itulah penjara pertamaku. Bagaimanapun, atas nasihat doktor, aku dibenarkan keluar setiap hari pada jam 4.30 petang hingga 5.00 petang kerana ketika itu aku sedang mengandungkan anak pertamaku. Setiap kali aku keluar, terdapat seorang pengawal mengiringiku dari jarak 20 meter. Ini lebih bertujuan, untuk mengelakkan aku berbual dengan sesiapa saja.

Makanan yang diberikan padaku adalah sepinggan nasi dan sedikit ikan serta sayur. Acapkali juga aku tiada selera untuk makan. Adikku kerap dibenarkan mengunjungiku dan membawa makanan.

Pernah juga aku meminta kebenaran untuk membaca akhbar, tetapi permintaanku ditolak. Namun terdapat juga beberapa orang pengawal yang bersimpati denganku, memberikan aku akhbarnya untuk dibaca dengan segera sebelum kedatangan ketua mereka.

Sesungguhnya, aku begitu sedih dengan nasib malang yang menimpaku ketika itu. Acapkali juga aku menangis sendirian. Namun, sebagaimana menjadi sifatku, aku tetap tidak mahu mengalah dengan suratan takdir dan menyalahkan diriku.

Untuk menghilangkan kesunyianku, aku kerap menyanyi lagu Indonesia Raya. Apabila aku memulakan satu rangkap, terdengar beberapa tahanan lain menurutku menyanyikan lagu itu. Keadaan ini membuatkan aku bertambah yakin dengan diriku.

Aku tahu, sebagai seorang pemimpin, aku mesti kukuh pendirian untuk berjuang ke arah matlamat dan cita-cita. Perjuanganku tidak seharusnya berakhir di situ dan hanya kereta masalah itu.


Wednesday, September 14, 2011

CATATAN TERAKHIRKU : TUAH DAN MALANG DI BUMI SINGAPURA


Oleh Khatijah Sidek.


Sesekali, aku terpanggil untuk memikirkan akan keadaan hidupku di Singapura. Di sebelah pihak, aku kini sedang dimusuhi oleh ' kakakku dan suaminya'. Di pihak lain, ada seorang lelaki Tanah Melayu, yang secara terang telah melamarku untuk menjadi isterinya.

Keadaan ini membuatku aku sedikit keliru, akan tuah malang diriku di Singapura.

Sebenarnya kedua-dua peristiwa ini berlaku dalam tempoh masa yang agak sama dan paparan lanjut kisahku ini, akan memperlihatkan implikasi dan kesan kedua-dua peristiwa ini terhadapku kemudiannya.

Tentang kisah Dr. Hamzah yang melamarku itu, lalu aku beritahukan kepada Makcik Rainah, timbalanku dalam HIMWIM. Ternyata, Makcik Rainah memberikan sokongan yang amat positif.

Katanya, dalam keadaan diriku yang jauh di perantauan, serta umur yang semakin meningkat, ada baiknya, aku berkahwin. Paling kurang suamiku nanti akan jadi dahan untuk bergantung, jika berlaku sesuatu perkara terhadapku.

Akhirnya, setelah lama berfikir panjang, maka lamaran Dr. Hamzah itu aku terima. Bagaimanapun, aku telah meletakkan beberapa syarat. Antara syarat-syarat itu adalah, beliau tidak boleh melarangku pergi ke mana-mana yang aku mahu atas dasar perjuangan. Aku juga diberikan kebebasan untuk mengorganisasikan kegiatan wanita Tanah Melayu, ke arah kemerdekaan.

Dr. Hamzah bersetuju dan kami kemudiannya menulis suatu surat perjanjian dan menandatanganinya bersama.

Kami tetapkan majlis perkahwinan kami pada 21 Jun 1948.

Majlis perkahwinanku selang beberapa hari sesudah persidangan pemuda di Culcutta. Aku sebenarnya telah dipilih oleh persatuan-persatuan Wanita Tanah Melayu dan Singapura yang bermesyuarat di Kuala Lumpur sebagai wakil delegasi wanita bagi mewakili mereka.

Bagaimanapun, aku tidak juga pergi ke Culcutta kerana jatuh sakit beberapa hari sebelumnya. Begitu juga dengan setiausahaku. Dia tidak berjaya pergi kerana Konsul Indonesia yang sudah maklum dengan kelakuannya, tidak meluluskan sebarang visa.

Majlis perkahwinanku dibuat secara kecil-kecilan saja. Sejak menjadi isteri, aku ternyata lebih yakin untuk bergerak dalam HIMWIM. Antara langkah lanjutnya adalah untuk mencari ibupejabat HIMWIM yang lebih selesa dan luas untuk sebarang aktiviti HIMWIM.

Apatah lagi kegiatan HIMWIN dalam penghasila kraftangan, kerap menarik perhatian teman-teman dari persatuan kaum lain seperti Cina dan India. Malah ada antaranya berpendapat, hasil kraftangan kami adalah setanding dengan apa yang dihasilkan oleh orang Eropah.

Bagaimanapun, pihak Konsul Indonesia tidak berkemampuan menolong kami ketika itu kerana kekurangan wang. Tambahan pula pihak Belanda semakin menggiatkan serangan ke kubu tentera Indonesia dan peperangan sudah meletus dengan hebatnya di beberapa tempat sekitar Indonesia.

Malah, para pemimpin kami seperti Presiden Sukarno dan teman-temannya telah ditahan dan dipenjarakan oleh Belanda di Sumatera. Pihak Belanda juga turut mengawal perjalanan laut di Selat Melaka, Selat Sunda dan perairan kepulauan Indonesia.

Walau apapun keadaannya. pada 17 Ogos 1948, kami tetap menyambut hari ulangtahun kemerdekaan Indonesia. HIMWIM bercadang untuk mengadakan satu majlis besar-besaran untuk menyambut hari bersejarah itu.

Sehari sebelum perayaan itu iaitu pada 16 Ogos 1948, aku telah menemani suamiku ke Muar untuk diperkenalkan dengan ibunya. Aku berjanji dengan ahli-ahli HIMWIM akan pulang pada awal pagi 17 Ogos 1948 supaya dapat meraikan ulangtahun kemerdekaan bersama mereka.

Ketika ketiadaanku, adikku yang telah kubawa ke Singapura dan berkursus sebagai seorang Jururawat di Hospital Kandang Kerbau datang ke rumahku di 41 Jalan Joo Chiat. Sebagai seorang warga Indonesia, dia juga ingin turut bersama merayakan majlis itu. Dia terpaksa memecahkan kunci untuk masuk ke rumah kerana kunci itu kubawa bersama ke Muar.

Anggaran jam tiga pagi, sepasukan polis yang menaiki van tiba di rumahku. Pasukan yang diketuai oleh dua orang Inspektor polis, seorang Inggeris dan seorang Melayu itu, mula mengepung rumahku. Tidak lama kemudian, mereka mula menggelidah ke serata rumah termasuk rumah-rumah yang kusewakan untuk warga Indonesia, untuk mencariku.

Setelah gagal menemuiku, mereka kemudiannya membawa adikku serta 20 orang lagi penghuni lelaki rumah sewaku di bangunan besar itu ke balai polis.

Apabila aku kembali ke rumahku esoknya, isteri-isteri lelaki yang ditahan polis, mengerumuniku dan memberitahu peristiwa yang berlaku pada malamnya.

" Kenapakan bu, saya dimahukan polisi?" tanya saya agak kaget.
" Tak tahulah bu. Tapi menurut bicara mereka, ibu dikatakan orang subvesif," jawab mereka.
" Subversif.." lahirku agak terpinga-pinga. Untuk seketika, otakku mula berfikir, apakah kesilapan besar yang telah aku lakukan hingga mereka menuduhku sebagai seorang subversif itu.

Keadaan itu membuatkan aku kecewa dan bersedia untuk ke Balai Polis. Bagaimanapun, wanita-wanita itu, melarang aku berbuat demikian. Mereka merayu dan menasihatiku supaya segera meninggalkan rumah itu. Mereka juga meminta aku supaya bersembunyi buat sementara waktu, hingga keadaan kembali reda.

Malah mereka juga memberiku selendang untuk menutup mukaku dari pengtahuan pihak polis yang masih menungguku di kawasan berhampiran.

Mahu tidak mahu, aku terpaksa meninggalkan tempat itu. Aku mengambil sebuah teksi dan pergi ke rumah sepupuku di Jawa Road. Aku memberitahunya segala apa yang telah terjadi di rumahku.

Sepupuku terus menelefon suamiku di Johor Bahru.. Beberapa jam kemudian, suamiku muncul dan segera membawaku menyeberang tambak, ke dispensarinya di nombor 47, Jalan Ibrahim, Johor Bahru.

Aku meminta suamiku menulis kepada CID Singapura dan bertanya tentang alasan sebenar pihak polis Singapura ingin mencari dan menahankuku. Bagaimanapun, setelah sebulan berlalu, surat suamiku masih tidak dijawab mereka.

Suatu hari anggaran bulan Oktober 1948, suamiku membawaku ke Segamat kerana mahu menemui seorang pesakitnya di sana. Tambahan pula beliau mempunyai sebuah cawangan dispensari di bandar itu.

Kami menginap di sebuah Rest House berhampiran.

Pada malamnya, aku ditinggalkan keseorangan di rumah tumpangan itu sementara suamiku merawat pesakitnya di rumah pesakitnya itu.

Bagaimanapun, anggaran jam tujuh malam, sepasukan polis tiba di situ. Terdapat dua orang anggota polis yang berpakaian pereman iaitu seorang polis wanita keturunan Cina yang memakai cheong sam dan seorang polis Melayu memakai baju Melayu. Kesemua polis itu siap bersenjata.

' Encik cari siapa?' tanyaku kepada salah seorang daripada mereka yang sebelumnya mengetuk pintu rumah tumpanganku.
" Puan bernama Khatijah bukan.? Ketua HIMWIM...?' tanyanya.
" Ya. Tapi kenapa encik mahu cari saya..?"

Polis itu memberitahuku, pegawai atasannya di Johor Bahru, telah memintanya membawa saya ke balai polis untuk kemudiannya dihantar ke Singapura. Apabila aku mendengar sebabnya, aku merayu supaya menunggu seketika, kerana aku masih belum bersarapan malam dan sehingga suamiku pulang dari dispensarinya.

Mereka kelihatannya agak serbasalah dengan permintaanku. Bagaimanapun, salah seorang dari mereka segera menelefon pegawainya dan memberikan telefon itu kepadaku. Dalam perbualanku dengannya, pegawai polis itu dengan hormatnya memberitahu, polis hanya ingin bertemu seketika denganku dan aku akan dihantar kembali ke rest house itu sebelum suamiku kembali.

Aku bersetuju dengan permintaannya itu.

Polis-polis itu, kemudiannya membawaku ke Balai Polis Segamat. Di sana sudah menanti seorang Inspektor Polis Melayu. Berbanding cara bualnya sebentar tadi, lelaki ini ternyata seorang yang agak angkuh dan kasar. Malah aku tidak langsung dipelawanya untuk duduk.

Ia dengan agak keras, memberitahuku, tujuan sebenarnya aku dibawa ke balai itu, kerana arahan dari Ibu Pejabat Polis di Johor Bahru dan Singapura. Polis Singapura, mahu aku dihantar ke Singapura pada malam itu juga.

Aku merayu supaya aku dihantar kembali ke Rest House untuk menunggu sehingga suamiku kembali. Bagaimanapun, permintaanku ditolak. Oleh itu, aku memintanya mencari seorang dresar India, Ponniah namanya, pembantu suamiku di cawangan dispensari Segamat.

Anggaran setengah jam kemudian Ponniah muncul di Balai itu. Dia memberitahu, suamiku masih belum pulang dari tugasnya merawat pesakitnya di rumah pesakit itu. Aku kemudiannya meminta Ponniah untuk pergi ke rest house untuk mengambil pakaianku, sabun, tuala mandi, ubat-ubatan dan sebagainya. Aku juga meminta Ponniah memberitahu suamiku apa yang berlaku.

Ketika itu jam sudah melepasi sembilan malam.

Ponniah yang amat bersimpati denganku segera meninggalkan balai itu untuk melakukan tugas sebagaimana yang aku arahkan.


Akan Datang : Warga Penjara Singapura.

Catatan: Ketika kisah ini ditulis, saya telah dimaklumkan oleh seorang insan, Sdr. Kamal, anak lelaki tertua Ibu Khatijah Sidek, telah 100 hari meninggal dunia. Bersamalah kita menghadiahkan al-fatihah dan mendoakan agar rohnya dikasihi Allah dan ditempatkan bersama roh-roh mereka yang dikasihiNya. Amin.

JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK


Friday, August 5, 2011

MASALAH HIMWIM & SOAL JODOH DI SINGAPURA


oleh Khatijah Sidek

Aku benar-benar tidak menduga, pertemuan itu benar-benar begitu panas dan amat mengecewakan. Ramai ahli jawatankuasa HIMWIM bersetuju dengan 'kakakku'. Malah lebih jauh dari itu, mereka meminta aku meletakkan jawatan.

Ketika keadaan sedang gawat, suami kakakku tiba-tiba muncul dan campurtangan. Ia terus menyelarku dan memberitahu, wang itu dikutip hanya untuk menghantar isterinya dan bukan orang lain.

Aku membalas dengan mengatakan isterinya boleh pergi sendiri dengan menggunakan wang itu tapi atas nama peribadi dan bukan atas nama HIMWIM.

Jawapanku membuatkan suaminya lebih marah.

Ia mula membebel dengan mengatakan kerajaan Indonesia dan Sukarno adalah tidak baik dan bodoh. Kata-kata itu benar-benar menyinggungku sebagai seorang pejuang yang berjuang untuk Indonesia, bangsa dan negara. Oleh kerana aku tidak tahan mendengarnya, aku tinggalkan saja mesyuarat dan rumah itu.

Esoknya, aku mengunjungi beberapa orang saudagar Indonesia yang dikatakan turut menderma untuk kakakku. Mereka mensahkan, kakakku dan suaminya pernah memohon derma $10.00 untuk HIMWIM bagi menghantar kakakku ke Culcutta.

Salah seorang yang turut aku temui adalah Sutan Jamain, bapa mentua bekas Menteri Besar Selangor di Orchard Road. Beliau dan beberapa teman-temannya yang lain benar-benar marah kerana HIMWIM menghantar kakakku dan bukannya aku ke Culcutta. Aku terpaksa menjelaskan kedudukan perkara yang sebenarnya.

Esoknya, aku mengunjungi Timbalan Presiden HIMWIM, Makcik Rainah untuk memberitahu apa pandangan para saudagar mengenai 'kakakku'. Timbalanku ini turut tinggal di sebuah rumah besar yang dihuni oleh ramai orang Indonesia yang kebanyakannya ahli HIMWIM. Aku kemudiannya diberitahu oleh Makcik Rainah, suami kakakku akan tiba sebentar lagi. Aku diminta bersembunyi dan berdiam diri saja untuk mendengar kata-katanya nanti.

Tidak lama kemudian dia datang. Seperti yang diduga, ia mula mencaci diriku dan menfitnah dengan mengatakan aku seorang perempuan jahat yang suka mengutip wang dari orang lain. Aku juga ditohmah sebagai perempuan murahan yang berasal dari latar keluarga dan keturunan yang buruk. Malah dia mengatakan bapa saudaraku pernah dipenjara pada tahun 1926 sebagai seorang pemberontak.

Aku mendengar segala cacian dan tohmahan itu dengan rasa hati yang amat pedih. Akhirnya kesabaranku hilang dan aku muncul dari persembunyian itu.

" Kamu jangan seenaknya bicara. Sila berikan hitam putih, atas tuduhan kamu itu. Kamukan seorang lawyer yang hebatkan. Boleh kita bicarakan ke mahkamah dan aku bisa minta tuntut saman malu," jerkahku geram.

" Kamu fikir aku ni siapa-siapa..Keluargaku bukan orang jahat. Kami orang terhormat di Pariman. Apatah lagi, aku seorang pemimpin Putri Kesatria di Bukit Tinggi dan cabangnya seluruh Sumatera Barat dan Riau,' bentakku deras lagi.

Lelaki itu agak terperangah denga kata-kataku. Dia akhirnya melontarkan satu ugutan.

" Kamu ingat baik-baik. Ini Singapura, bukan Indonesia mahupun Bukit Tinggi. Aku bisa guna pengaruhku orang Inggeris untuk nyahkan kamu dalam 24 jam," balasnya lantang juga.

" Silakan. Aku cabar kamu kalau benar kamu orang hebat," pangkahku pantas. " Kalau kamu gagal mengusirku dalam 24 jam, bererti kamu dayus dan tidak selayaknya menjadi seorang jantan. Baik kamu tukar pakai pakaian perempuan saja," tambahku lagi.

Ramai wanita-wanita Indonesia yang berada di rumah itu, turut merasa marah dengan sikap dan tingkah laku biadap suami 'kakakku' itu. Mereka mula berdiri di belakangku, seolah-olah ingin mempertahankan diriku dari tindak balas lelaki itu.

Kehadiran ramai wanita Indonesia yang semacam marah itu, agak menggusarkan lelaki itu. Dia akhirnya meninggalkan rumah itu dengan perasaan yang amat marah dan malu. Jejari telunjuk kanannya diangkat-angkat seolah-olah memberi amaran kepadaku.

Aku kekal di situ seketika untuk menenangkan perasaanku.

Beberapa hari kemudian, aku menerima sepucuk surat layang, mengugutku supaya tidak bertindak sesuatu terhadap peguam itu, jika tidak mahu aku dianiaya. Aku ketawa sungguh menerima surat itu kerana aku tidak bercadang berbuat apa-apa kepadanya.

Ternyata, dendam lelaki itu terhadapku tidak tamat di situ saja.

Bagaimanapun, biarlah, kisah kakakku dan suaminya, aku tangguhkan seketika dan akan aku kaitkan pula dengan implikasinya terhadap diriku dalam urutan kisah ini pada kesempatan akan datang.

Sepanjang aku menjadi Presiden HIMWIM, kerapkali juga nama dan ucapanku menjadi bahan media-cetak. Aku mula dikenali oleh masyarakat Singapura khasnya dan masyarakat Tanah Melayu amnya. Kerapkali juga aku menerima banyak surat dari peminat yang ingin berkenalan denganku.

Ramai juga kalangan wanita dan ibu-ibu dalam HIMWIM menasihatiku untuk berkahwin. Menurut mereka, sebagai seorang Presiden, aku memerlukan seseorang untuk tempat berlindung. Aku hanya tersenyum apabila menerima nasihat mereka. Kukatakan, aku belum ada seru atau jodoh. Sekiranya aku ditakdirkan berkahwin juga, maka perkahwinanku akan dijalankan di kampungku di Pariaman, di rumah ibuku sendiri.

Suatu hari Makcik Rainah, Timbalan Presiden HIMWIM telah ditemui oleh seorang doktor dari Johor Bahru. Doktor itu meminta bantuan Makcik Rainah untuk memperkenalkannya denganku. Suatu petang beberapa hari kemudian, Makcik Rainah membawa kenalannya doktor itu dan seorang sahabatnya ke rumahku.

Makcik Rainah memberitahuku, namanya Doktor Hamzah.

Sepetang itu, kami banyak berbual mengenai keadaan politik semasa di Tanah Melayu. Beliau juga bertanya, mengenai keadaan dan peranan wanita di negara Indonesia.

"Kaum wanita kami juga berdarah perjuangan," jawabku. " Kami akan sentiasa berada di samping kaum lelaki untuk perjuangan kemerdekaan negara," sambungku lagi.

Dalam perbualan lain, aku turut memaklumkan kepadanya, tujuan sebenar kedatanganku adalah untuk membantu di mana boleh membangun dan menyedarkan wanita di sini khususnya orang Melayu dengan matalamat berjuang mencapai kemerdekaan.

Aku juga paparkan kepada mereka, satu lagi tujuanku adalah untuk mengembangkan Putri Kesatria (PK) di Singapura serta harapanku untuk membawa ramai pelatih PK ke luar negara untuk mendalami pelbagai ilmu tentang kraftangan khususnya pembuatan kain sutera dari India, China dan Jepun yang telahpun menggunakan mesin. Kami ingin ingin mendalami dan belajar bahasa Inggeris.

Dr. Hamzah memberitahuku akan kesedihan hatinya, kerana melihat, betapa perkembangan jiwa dan semangat wanita Tanah Melayu, khususnya orang Melayu amat perlahan sekali. Beliau dan para sahabatnya memintaku supaya meluangkan sedikit masa untuk membantu mereka dalam soal ini semoga wanita Melayu turut bangkit dan sedar tentang hak-hak mereka.

Sejak itu, kelihatannya Dr. Hamzah semakin kerap mengunjungiku di Singapura. Setiap kali pertemuan, perbualan kami banyak berkisar pada isu-isu wanita Melayu dan Indonesia. Kami juga turut berbual mengenai isu-isu politik semasa.

Pertemuan yang kerap itu, ternyata menerbitkan satu bibit yang semakin mesra.

" Cik Khatijah, rasanya amat payah mahu saya lahirkan kata-kata ini," suatu hari Dr. Hamzah, dalam suatu pertemuan lain, menzahirkan satu kata-kata yang amat menggetarkan diri saya.

" Sebenarnya, agak lama juga, rasa ini terpendam dalam jiwa saya. Saya benar-benar amat tertarik dengan diri dan perwatakan Cik Khadijah," zahirnya lagi.

" Jadi maksud saya, sudikah Cik Khadijah menjadi isteri saya?" Akhirnya, terlepas juga terpedo akhir kata-katanya itu.

Mahu saja aku tergamam ketika itu. Mukaku rasa kepanasan yang amat sangat. Dadaku mula tergetar kerana inilah pertama kali seorang lelaki meluahkan hasrat hatinya terus kepadaku. Mulutku semacam terkunci tiba-tiba dan peluh dingin mula membasahi pipi.

Selama ini, hubungan akrab kami kukirakan hanya sebagai seorang kawan dan kenalan warga perjuangan. Tidak lebih dari itu. Apatah lagi, aku atas semangat perjuangan turut memerlukan kenalan untuk mengembangkan sayap Putri Kesatria ke bumi Tanah Melayu.

Fikiranku amat berbolak balik ketika itu kerana jika aku menerima lamarannya bererti dunia PK di Sumatera, akan terpaksa aku tinggalkan. Jika aku menolaknya, bererti aku sudah menolak 'pelindung' diriku ketika aku berada di Singapura.

Aku akhirnya meminta masa untuk berfikir tentang lamarannya itu.


Akan datang: BERTEMU JODOH DI SINGAPURA?

JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK

Saturday, July 23, 2011

CATATAN TERAKHIRKU BAHAGIAN 13 -HIMWIM DAN BERMULA TERDAMPAR DI BUMI SINGAPURA


Oleh Khatijah Sidek

Tidak lama setelah aku berada di Singapura, khususnya dalam sesi lawatan kerja menemui rakyat Indonesia, aku temui seorang teman lamaku semasa aku menuntut di Maktab Perguruan Padang Panjang, Sumatera. Oleh kerana, ia lebih dahulu dariku belajar di maktab itu, maka aku bahasakan dirinya 'kakak'.

Sebelum ketibaanku di Singapura, kakakku ini pernah cuma mengorganisasikan sebuah persatuan untuk wanita Indonesia iaitu PERWARI (Persatuan Wanita Republik Indonesia). Bagaimanapun, usahanya gagal kerana tiada sambutan.

Kakak kemudiannya memintaku membantunya menubuhkan persatuan itu sekali lagi. Aku tertarik dengan idea itu dan mengumpulkan ramai wanita-wanita Indonesia dalam satu pertemuan. Dalam ucapanku, aku nyatakan tujuan penubuhan persatuan yang lebih mengarah kepada soal kebajikan dan bukannya politik.

Persatuan itu nanti akan dikenali sebagai Himpunan Wanita Indonesia - Malaya atau HIMWIM.

Ternyata, usaha kami itu berhasil. Aku kemudiannya dipilih sebagai Presiden sementara kakakku itu dipilih sebagai Setiausahanya. Seramai 12 orang lagi dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa termasuk Naib Presiden yang aku panggil Makcik Rainah. Setiap ahli dikenakan yuran pendaftaran sebanyak dua ringgit serta yuran bulanan sebanyak 25 sen.

Setiap minggu, aku adakan kursus kraftangan, bimbingan penjagaan anak, kebersihan makanan dan kesihatan. Aktiviti ini ternyata menarik perhatian ahli HIMWIM. Tidak hairanlah, tidak lama kemudian keahlian HIMWIN semakin bertambah apabila cawangannya mula ditubuhkan di beberapa kampung.

Kami juga menganjurkan pelbagai kegiatan amal jariah seperti kutipan derma apabila keluarga salah seorang daripada ahli meninggal dunia, mengadakan kenduri, bergotong-royong ketika ada kalangan keluarga ahli mengadakan majlis perkahwinan atau meraikan seorang ahli yang baru melahirkan anak.

Memandangkan yuran bulanan sebanyak 25 sen tidak mencukupi untuk menampung kegiatan kami, maka persatuan kami turut mengadakan pelbagai kegiatan sosial bagi mengisi tabung persatuan. Antara kegiatan kami adalah mengadakan pameran dan jualan barang-barangan jahitan dan kraftangan, mengadakan pertunjukan pentas dengan kerjasama persatuan sosial kaum lain seperti persatuan wanita Cina dan persatuan wanita India.

Di Singapura ketika itu, sesuai dengan sifat sebuah kota besar, taraf hidupnya boleh dikira terlalu tinggi untuk diriku. Aku pastinya, tidak mampu untuk bergantung hidup semata-mata dari elaun bulananku sebagai seorang Pegawai Kebajikan. Tambahan pula, aku perlu membayar yuran belajar Bahasa Inggeris.

Bagi menampung hidupku, aku kerap membuat 'crochet hook'. Setiap sulaman aku jual dengan harga lima ringgit . Sehari, aku berupaya menyiapkan satu sulaman.

Suatu hari, seorang pemimpin besar Republik Indonesia, Dr. Agos Salim (Allahyarham) telah mengunjungi Singapura. Kesempatan itu aku ambil untuk memohon bantuan daripadanya. Aku beritahu beliau mengenai tujuanku ke Singapura serta keinginanku untuk belajar Bahasa Inggeris. Aku juga meminta pertolongannya untuk membantuku, kerana sijil perguruan Indonesiaku tidak diikhtiraf di Singapura dan atas alasan itu, aku tidak berpeluang untuk memohon atau mencari kerja sebagai seorang guru di sana.

Dengan bantuan dan sokongan beliau, Dr. Agos telah mengarahkan Konsul Indonesia di Singapura ketika itu, Dr Utoyo untuk membantuku serta menaikkan elaunku ke Seratus Lima Puluh ringgit sebulan sehinggalah aku mampu membiayai hidupku sendiri.

Selain itu, Persatuan Pemuda Indonesia yang berpusat di nombor 41, Jalan Joo Chiat telah melantikku sebagai setiausaha kerja mereka. Sebagai Setiausaha Kerja, aku diminta untuk tinggal di markas persatuan itu. Aku mengambil satu bilik untuk kamar tidurku. Baki bilik lainnya, selain dari pejabat (PPI), aku sewakan kepada orang lain dengan harga 20 ringgit sebulan. Terdapat seramai 20 keluarga, menginap bersamaku di sana.

Pada awal 1948, terdapat satu Persidangan Pemuda Se-dunia di Culcutta. Persatuan-persatuan di Singapura dan Tanah Melayu telah dijemput untuk menghantar wakil atau perwakilan. Persatuan kami HIMWIM turut bercadang untuk menghantar seorang wakil ke persidangan itu. Untuk itu, aku telah menghubungi Konsul Indonesia dan meminta bantuan kewangan untuk menghantar wakil HIMWIN itu.

Pihak konsul bagaimanapun menasihatiku supaya tidak pergi ke Culcutta dengan menggunakan nama Indonesia, kerana Indonesia sendiri telahpun mempunyai dan menghantar wakilnya. Beliau mencadangkan agar HIMWIM mengadakan satu mesyuarat dengan pelbagai persatuan di Tanah Melayu dan Singapura dan pergi sebagai wakil persatuan-persatuan itu.

Untuk biaya perjalanan dan penginapan, pihak konsul mencadangkan supaya diadakan satu pungutan derma dari tokoh di Singapura dan Tanah Melayu khususnya di Johor.
Soal ini aku bincangkan dengan 'kakakku' Setiausaha HIMWIM. Ia ternyata bersetuju dengan cadangan itu serta pemilihanku sebagai mewakili HIMWIM dan sekaligus mewakili persatuan-persatuan wanita di Tanah Melayu dan Singapura.

Malangnya, kakakku ini hanya setuju pada zahirnya. Dia sebaliknya mempunyai rancangan yang lain dengan sokongan suaminya seorang peguam. Mereka merancang mensabotaj diriku.

Kedua-dua suami-isteri itu membuat lis derma dan mengutip derma dari pedagang-pedagang Indonesia di serata Singapura. Lis itu ditandatangani oleh suaminya sebagai Presiden dan diri kakakku sebagai Setiausaha. Segala-galanya dilakukan tanpa pengetahuanku.

Satu mesyuarat HIMWIM telah diadakan di kediaman kakakku tidak lama kemudian. Sebelum ketibaanku, kakakku telah mengadakan perbincangan dengan beberapa orang ahli jawatankuasa supaya menolak cadangan untuk mengutip derma dari masyarakat yang bukan orang Indonesia.

Apabila aku bentangkan usul, ternyata usulku ditentang oleh ahli jawatankuasa HIMWIM. Aku jelaskan kepada mereka, idea ini bukan datangnya dari diriku tetapi dari Konsul Indonesia. Malah setiausaha HIMWIM sendiri telah bersetuju dengan soal ini sebelumnya.

Dalam mesyuarat itu juga telah pecah rahsia bahawa Setiausahaku telah mengutip wang sebanyak $600 dari pedagang Indonesia di Singapura. Wang itu adalah untuk membiayai dirinya seorang ke Culcatta.

Aku mempersoalkan tindakannya yang membelakangiku sebagai Presiden HIMWIM.

" Sekiranya, wang ini kamu kutip untuk dirimu, buat apa bangkitkan dalam mesyuarat? Sekiranya pedagang-pedagang berderma untuk persatuan, maka kita bolehlah berbincang untuk memutuskan siapakah yang perlu dilantik sebagai wakil," kataku.

Ternyata, mesyuarat itu menimbulkan perbalahan. Perbalahan itu, jelas akan kemudiannya memberikan kesan pahit dan buruk terhadap diriku, hingga aku terpaksa merengkok dalam penjara di Singapura.


Akan datang: AKU AGEN KOMUNIS INDONESIA.

JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK.

Tuesday, May 17, 2011

CATATAN TERAKHIRKU - BAHAGIAN 12 - MENGUNJUNGI SEMULA BUMI SEBERANG - TERSERAH PADAMU TUHAN.


Oleh Khatijah Sidek

Apabila aku kembali ke Bukit Tinggi dari Singapura, aku menerima sepucuk surat dari Pegawai Daerah. Dalam surat itu, Pegawai Daerah memaklumkan bahawa beliau telah menerima banyak aduan dan surat layang yang menyatakan pelajar-pelajarku di Puteri Kesatria (PK) banyak yang telah berkelakuan sumbang dan mengandung ketika ketiadaanku.

Aku bertindak segera dengan mengumpulkan kesemua pelajarku serta memeriksa sendiri setiap orang dari mereka. Aku bertanya terus kepada mereka, sama ada mereka ada melakukan perbuatan onar dan memalukan organisasi kami dan aku khasnya, ketika ketiadaanku di Bukit Tinggi.

Ternyata, keadaan ini telah benar-benar menimbulkan kemarahan mereka.

" Tidak Ibu. Sepanjang ketiadaan Ibu, kami sentiasa menjaga diri dan sebagai tentera, kami sewajarnya berdisiplin dan menjadi teladan kepada masyarakat," balas mereka dengan amat geram sekali.

Kami akhirnya sama berpendapat, aduan-aduan yang diterima oleh Pegawai Daerah itu datangnya dari kalangan mereka yang tidak senang dengan pencapaian dan kejayaan kami. Mereka mungkin mempunyai tujuan halus untuk menghancurkan dan menggugat organisasi kami.

Setiap pelajarku juga bersetuju untuk diperiksa oleh doktor dan sekiranya ada antaranya yang benar-benar menconteng arang, mereka bersedia pula untuk ditembak. Mereka juga meminta Pegawai Daerah memberitahu siapakah yang membuat aduan itu dan memperlihatkan buktinya jika ada.

Aku kemudiannya menemui Pegawai Daerah dengan membawa sepucuk surat bantahan. Dalam surat itu, aku meminta Pegawai Daerah untuk mengeluarkan bukti atas tuduhan itu. Sekiranya memang ada antara pelajarku yang membuat onar, mereka bersedia untuk dihukum atau diperiksa oleh doktor. Sekiranya tidak, kami mahu si pembuat fitnah itu pula yang mendapat hukuman dan balasan yang setimpal.

Pegawai Daerah bagaimanapun gagal memberikan sebarang bukti yang konkrit. Malah beliau kemudiannya meminta agar isu yang berbangkit ini dilupakan begitu saja.

Lanjutan itu, aku kemudiannya bertindak bersama teman-temanku mengunjungi kampung-kampung yang berhampiran dan memberikan pidato mengenai soal itu bagi mengelakkan salah faham penduduk dan ibu bapa khasnya terhadap organisasi kami khususnya mengenai anak-anak mereka.

Ternyata, dengan tindakan kami itu, kalangan masyarakat semakin memberikan sokongan padu kepada organisasi kami.

Sepanjang tempoh ini, suasana di Bukit Tinggi dan sekitarnya ternyata begitu aman. Tidak kelihatan sebarang kemungkinan Belanda akan melakukan serangan. Sepanjang tempoh itu juga, ahli-ahli PK turut giat melakukan kerja-kerja amal di kem-kem seperti memasak pada setiap Jumaat dan membersihkan sekitar kem.

Dalam tempoh setahun, setelah meninggalkan Tanah Melayu, aku telah menyusun semula strategi pembelajaran kami di PK. Aku mula memperkenalkan latihan vokasional kepada mereka. Mereka juga diwajibkan mempelajari Bahasa Inggeris.

Pada tahun 1947, setelah segala-galanya di PK berjalan dengan baik dan teratur, hatiku mula mengenangi Tanah Melayu dan Singapura. Aku bercadang untuk mengembangkan PK keluar Pulau Sumatera. Tenaga kerja akan terdiri dari bekas pelajarku. Mereka juga nanti akan berpeluang belajar Bahasa Inggeris dan apabila kembali ke Bukit Tinggi, mereka boleh mengembangkan ilmu ini kepada pelajar-pelajar PK yang lain.

Segala pandanganku, kubentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Puteri Kesatria di markas kami. Aku nyatakan, tujuan sebenarku untuk pergi ke Singapura adalah untuk mengembangkan sayap PK di sana dan terus ke Tanah Melayu. Mesyuarat itu, akhirnya menerima cadanganku. Mereka memutuskan, aku akan berangkat ke Singapura pada bulan Julai 1947.

Akhirnya, pada awal Julai 1947, aku bersama seorang bekas penuntutku, Baiyar bertolak ke Singapura. Baiyar, salah seorang anak didikku yang juga bijak berpidato dan pilihanku terhadapnya adalah lebih untuk membantuku nanti. Selain itu, Baiyar turut mempunyai seorang abang yang menetap di Singapura.

Perjalanan kami kali ini tidak lagi mengikut Pekan Baru tetapi terus ke Jambi. Sebagaimana perjalananku setahun lalu, perjalanan dari Bukit Tinggi ke Jambi kami menggunakan kenderaan tentera (trak) untuk bergerak . Ketika itu, masih belum ada bas atau kereta yang melalui jalan itu.

Trak yang kami tumpangi itu, ternyata begitu sarat dengan muatan minyak benzin. Seramai 20 anggota tentera duduk di atas tangki minyak itu. Aku dan Baiyar duduk di sebelah pemandu.

Setelah hampir 60 kilometer meninggalkan Bukit Tinggi, kenderaan kami terbabit dengan kemalangan berpunca dari kelebihan muatan dan berat. Tangki-tangki minyak yang penuh minyak benzin itu, menggelongsor keluar daripada trak ketika trak itu sedang memanjat laluan berbukit. Keadaan itu, sekaligus membuatkan, anggota tentera yang duduk di atasnya turut di gereng keluar dari trak itu dan tercampak di atas jalan raya yang mencuram itu.

Beberapa orang kelihatan terbaring berlumuran darah di atas jalanraya. Aku dan Baiyar dengan segera membantu memberikan pertolongan cemas kepada mereka. Mereka yang cedera segera dibawakan ke rumah sakit di kota yang berhampiran. Bagaimanapun, dua orang dari mereka gagal diselamatkan dan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Perjalanan ke Singapura melalui Jambi, akhirnya terpaksa kami batalkan dan kami kembali semula ke Bukit Tinggi.

Ramai saudara-mara dan sahabat menasihatiku agar mengundurkan dulu hasrat untuk pergi ke Singapura ke lain masa. Menurut mereka, tragedi kemalangan trak tentera yang meragut dua nyawa itu, semacam satu bayangan dan sekatan kepada langkahku. Mereka khuatir kalau-kalau aku akan mendapat kesusahan ketika di rantau orang nanti.

Ternyata aku tidak dapat menerima segala andaian dan tafsiran sebegitu. Dua hari kemudian, aku dan Baiyar menyambung semula perjalananku ke Singapura, tetapi kali ini mengikut perjalanan dari Bukit Tinggi ke Pekan Baru. Perjalanan dari Bukit Tinggi ke Pekan Baru, mengambil masa dua hari , satu malam. Pada malamnya kami terpaksa berhenti di tengah hutan dan tidur di bawah trak tentera bagi mengelakkan serangan binatang buas.

Dengan kerjasama seorang pegawai tentera di Pekan Baru, aku ditumpangkan dengan sebuah bot tongkang Cina ke Singapura. Sebagaimana perjalanan pertamaku ke Singapura, di bot itu kami tidak makan apa-apa. Bagaimanapun, beberapa pedagang Indonesia yang mengenali kami sebagai anggota penting PK, turut berkongsi makanan mereka dengan kami.

Sepanjang perjalanan kedua kalinya ke Singapura, hati dan dadaku bergetar sungguh. Aku terasa agak gelisah walaupun aku mampu mengawalnya. Ingatanku terpalit kepada kata-kata dan nasihat teman-temanku agar aku mengundurkan dulu hasrat untuk ke Singapura. Aku kembali terbayang, kerencatan perjalanan kami ketika dari Bukit Tinggi ke Jambi dulu. Aku teringat, tubuh-tubuh tentera yang bergelimpangan di atas jalanraya.

Namun, aku berusaha sungguh untuk menolak jauh-jauh fikiran yang bersimpang-siur itu. Matalamatku ke Singapura dan Tanah Melayu adalah lebih kepada keinginan murni bagi mengembangkan lagi Puteri Kesatria, organisasi kami.

Sepanjang perjalanan itu juga, aku memanjatkan doa, agar Tuhan melindungi kami dari segala yang merosakkan diri. Mungkin ada sesuatu yang baik atau lebih baik sedang menanti kami.

Aku menyerahkan untung nasibku dan Baiyar padamu Tuhan....

Kami tiba juga ke Singapura dengan selamat.

Di Singapura, langkah pertamaku adalah mengunjungi Konsul Indonesia serta menjelaskan maksud kedatanganku ke sana. Aku juga memberitahunya, kehadiranku di situ tidak lama, sekadar cukup untuk kami mempelajari dan memahami Bahasa Inggeris untuk kami kembangkan ilmu itu ke Bukit Tinggi.

Menariknya, bagi membantuku ketika di Singapura, Konsul itu memberikanku tugasan sebagai Pegawai Kebajikan Rakyat Indonesia di Singapura. Tugasan itu ternyata menarik perhatianku. Apatah lagi, aku berpeluang untuk menyelami nasib wanita-wanita Indonesia yang telah dicolek oleh Jepun dan kini terdampar di sana.

Kebanyakan mereka hidup menderita di sana.

Dengan tugasan baruku itu, aku berpeluang untuk menguruskan perjalanan mereka untuk kembali ke Indonesia. Ada antaranya yang tidak ingin kembali lagi kerana malu dan ada pula yang telah berumahtangga dan ingin terus menetap di sana.


Akan datang : TERDAMPAR DI BUMI SINGAPURA.


JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK


Sunday, April 10, 2011

CATATAN TERAKHIRKU - BAHAGIAN 11 - MENJEJAK BUMI TANAH MELAYU


Oleh Khatijah Sidek.

TPPK kini sudah menjadi pertubuhan yang cukup berpengaruh di Sumatera Barat khususnya persekitaran Bukit Tinggi. Tidak lama kemudian, ia mula mengembangkan sayapnya hingga ke wilayah Riau.

Di setiap cawangan TPPK, kami mempraktikkan sistem pendidikan yang serupa dengan latihan ala ketenteraan. Bagaimanapun, aspek yang penting dan kerap ditekankan adalah latihan kepimpinan dalam soal urusan kerumahtanggaan.

Suatu hari, aku melakukan lawatan untuk meninjau perkembangan cawangan TPPK di daerah Pekan Baru. Ketika itu adalah akhir bulan Mei 1946. Sebagaimana keadaan sebelumnya, perjalananku adalah dibantu oleh pihak tentera Indonesia. Kami pergi dengan menaiki kenderaan tentera.

Sepanjang perjalanan ke Pekan Baru itu, aku singgah ke desa dan kota untuk memberikan ceramah dan pidato bagi menaikkan semangat perjuangan rakyat Indonesia menentang Belanda.

Umumnya, sara hidupku dan tempat tinggal adalah ditanggung oleh Pegawai Daerah atau Ketua Kampung. Mereka juga bertanggungjawab memastikan keselamatanku di samping mencari kenderaan tentera untuk aku meneruskan perjalanan ke tempat lain.

Di Pekan Baru, aku menginap di sebuah kem tentera. Pemerintah tentera tempatan serta pegawai daerah kemudiannya mengaturkan pergerakanku untuk memberi ceramah dengan dibantu oleh pemimpin tempatan TPPK di kota itu.

Ketika di sinilah, aku dimaklumkan bahawa kedudukan Pulau Singapura dan Tanah Melayu begitu hampir hanya di seberang Selat Melaka. Sejak itulah perasaanku mula memuncak untuk mengunjungi pulau itu yang dikatakan sebagai Pulau Kota Antarabangsa. Ingatanku pula tiada hentinya mengenangkan kata-kata kenalanku orang Malaya seperti Abdullah Senggora yang pernah mengajakku untuk mengunjungi tanah airnya, Tanah Melayu.

Satu hari, kunyatakan kepada Kolonel Hassan Basri pemerintah tentera Indonesia di kota itu, akan keinginanku untuk mengunjungi dan meninjau keadaan di Singapura. Tujuanku adalah untuk melihat akan kemungkinan membuka cawangan TPPK di sana.

" Bolehlah kalau begitu hasrat ibu," jawab Kolonel Hassan setelah aku berjaya meyakinkan beliau akan tujuan dan maksudku mengunjungi pulau Singapura.

" Ibu boleh saya tumpangkan naik motorbot dari Pekan Baru ke Singapura," tambahnya lagi.

Aku gembira sungguh malam itu kerana hasratku untuk ke Singapura akhirnya tercapai.

Setelah segala perancangan dan persediaan surat menyurat dibereskan, maka pada hari esoknya, Kolonel Hassan Basri menghantarku ke pelabuhan. Aku ditumpangkan dengan sebuah motorbot kepunyaan seorang toke Cina. Turut serta bersamaku adalah seorang penolong kananku, Rasidah. Rasidah adalah seorang jururawat hospital kerajaan dan pekerja sukarela kami di TPPK Bukit Tinggi.

Pada awal pelayaran kami ke Singapura tidak banyak peristiwa berlaku. Bagaimanapun, setelah dua jam kemudian, tekong kapal itu telah menemui kami. Ia menuntut supaya kami membayar tambang $15 untuk dua orang. Walaupun kami memberikan alasan bahawa perjalanan kami atas nama perjuangan dan dianjurkan oleh tentera Indonesia, tekong itu masih tetap berkeras meminta wangnya.

Akhirnya setelah berfikir seketika, maka aku keluarkan notaku. Lalu kutuliskan sesuatu di dalam buku itu. Catatan itu lalu kuberikan kepadanya.

" Nanti, kalau toke balik ke Pekan Baru, tolong berikan kertas ini kepada Kepten Peter. Nanti Kepten Peter akan berikan wang sama toke kerana dia ada simpan wang kami," kataku akhirnya.

Mendengar nama Kepten Peter yang terkenal dengan sifatnya yang keras itu, tekong China itu berubah mukanya. Mungkin dia dapat membayangkan bagaimanakah reaksi Kepten Peter nanti jika surat itu diunjukkan kepadanya. Kemungkinan lebih besar adalah, dia tidak lagi dibenarkan mengunjungi Pekan Baru sampai bila-bila.

Tekong itu akhirnya beralah. Bagaimanapun, ia meminta kami hanya membayar wang makan sepanjang perjalanan itu saja. Sekali lagi permintaannya kutolak.

"Makan awak tak usah beri sama kamilah. Kami tak makanpun tak apa. Kalau tak makan satu atau dua haripun kami tak mati. Jadi tak apalah," balasku. Tekong itu akhirnya mengalah lagi dan membiarkan kami begitu saja.

Sebenarnya, turut berada dalam motorbot itu adalah ramai pedagang Indonesia. Ramai juga antara mereka mengenali diriku sebagai pemimpin tertinggi TPPK. Tidak hairanlah, jika sepanjang perjalanan itu, mereka turut membantuku. Mereka juga bersedia berkongsi makanan denganku. Mereka jugalah yang kemudiannya turut membantuku semasa di Singapura serta mempertemukan kami dengan para pemimpin Persatuan Buruh Indonesia Malaya (PERKABIM).

Para pemimpin PERKABIM benar-benar terkejut tetapi gembira dengan kehadiran kami. Pada malamnya, mereka mengumpulkan ramai pemimpin kaum buruh yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk mendengar pidato sulungku di bumi seberang. Ternyata, pidato sulungku itu membuka lebaran persahabatan baruku dengan teman-teman baruku.

Tidak habis di situ. Aku dan Rashidah kemudiannya dibawa mengembara ke serata Tanah Melayu di samping melawat dan berkenalan dengan ramai para pemimpin parti politik dan pertubuhan sosial khususnya pertubuhan wanita. Kunjungan pertamaku adalah di negeri Perak.

Di Kuala lumpur, kami telah turut diperkenalkan dengan para pemimpin PEKEMAM (kemudian dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya) antaranya Dr.
Burhanuddin dan Ishak Haji Mohammad. Kami juga turut berkenalan dengan sayap pemuda dan kaum ibu seperti API (Angkatan Pemuda Insaf) pimpinan Ahmad Boestamam) dan AWAS (Angkatan Wanita Sedar) pimpinan Shamsiah Fakeh dan Asiah Ghani.

Aku juga turut berkenalan dengan ramai pemimpin wanita Singapura seperti Cik Yah isteri Othman Kalam dan Cik Marliah dan Cik Rohani.

Di Johor Bharu, aku diperkenalkan dengan Dr Ismail dan peguam Sulaiman yang menerajui sebuah pertubuhan yang berpusat di bandar itu iaitu Kesatuan Melayu. Terdapat juga sebuah persatuan yang dikenali sebagai Persatuan Indonesia Merdeka yang didokong oleh Hadi Nor.

Sepanjang pengembaraan kami, aku telah diberikan peluang untuk berucap dan berpidato. Sebagaimana di Indonesia, segala perbelanjaan perjalanan dan penginapanku adalah ditanggung oleh mana-mana pertubuhan yang menganjurkan lawatan dan perjalanan kami itu.

Satu perkara yang aku sedar ketika itu adalah sikap dan mentaliti masyarakat Melayu begitu lemah sekali. Malah mereka ketika itu masih risau dan takut untuk mendengar atau berteriak perkataan MERDEKA.

Itulah satu hakikat masyarakat Melayu di Tanah Melayu ketika itu yang tidak boleh dinafikan. Sebelumnya, masyarakat Melayu bukan saja telah dijajah fizikalnya malah mental mereka sekali. Tambahan pula era 1946, memperlihatkan kewujudan masalah pertelingkahan kaum yang hebat antara Melayu dan Bintang Tiga khususnya setelah Jepun menyerah kalah dalam perang dunia kedua.

Justeru itu, ketakutan orang Melayu meneriak perkataan MERDEKA lebih disebabkan kegusaran mereka sekiranya British meninggalkan Tanah Melayu, kaum Cina melalui Bintang Tiga, berkemungkinan besar mengambilalih teraju pemerintahan negara.

Slogan kaum Melayu yang lebih ketara ketika itu adalah HIDUP MELAYU iaitu satu slogan yang lebih mengarah kepada peningkatan dan survival orang Melayu di negara mereka sendiri yang dipelopori ole PERKEMBAR (UMNO).

Begitu juga dengan pertubuhan wanita Melayu. Jelas ketika itu tidak terdapat satu pertubuhan wanita Melayu yang mantap malah boleh dikatakan tidak wujud langsung. Paling mungkin terdapat sebahagian kecil para pemimpin wanita yang turut menyertai parti-parti induk sebagai ahli biasa.

Sebagaimana cara ucapanku di Indonesia, aku terus-terusan meneriak kata MERDEKA kepada mereka. Aku nyatakan alasan kenapa kita perlu merdeka serta menerangkan kepada mereka bagaimana sikap dan peranan wanita Indonesia dalam menghadapi dan dalam membebaskan negara dari penjajah Belanda.

Aku terangkan kepada mereka bagaimana dan kenapa TPPK diwujudkan dan berharap masyarakat wanita Melayu akan turut bergabung tenaga dan bangkit serta turut serta dengan kaum bapa ke arah perjuangan kemerdekaan.

Bagaimanapun, ramai juga yang kelihatan tidak senang dengan teriakan semangat MERDEKA yang cuba aku zahirkan. Dalam satu pidatoku di Johor misalnya, seorang tokoh politik Johor (kemudian pernah menjadi Menteri Perikanan) menegurku mengenai soal itu.

" Cik Khatijah," katanya. " Harap minta maaf kerana di sini kami belum merdeka lagi dan belum begitu boleh mempunyai semangat yang macam itu lagi," tambahnya kerana pidatoku ketika itu begitu bersemangat sekali.

Mungkin tempat yang seronok untuk berpidato adalah di Negeri Sembilan kerana rata-rata masyarakatnya terdiri dari orang Minang. Lagipun, aku mampu bertutur dalam loghat yang mudah difahami mereka. Dalam kata lain, aku berupaya menggunakan banyak perbidalan dan pepatah-petitih dalam ucapan dan pidatoku.

Antara pepatah yang kerapkali aku gunakan adalah, " Kita harus bersatu-padu kerana kalau bulat di pembuluh, kalau bulat boleh digunakan, pipih boleh dilayangkan atau seciap bak ayam segenting bak besi."

Satu hari, sepanjang kunjunganku ke Tanah Melayu, aku turut menghadiri satu perhimpunan parti-parti Melayu untuk membahaskan mengenai rekabentuk warna bendera Tanah Melayu. Aku menjadi pemerhati PEKEMAM. Pemimpin PEKEMAM, Ishak Haji Mohamad mencadangkan supaya bendera Tanah Melayu mesti menyerupai bendera Indonesia Sang Saka Merah Putih. Bagaimanapun, cadangan itu ditolak. Keadaan ini membuatkan para pemimpin PEKEMAM akhirnya meninggalkan majlis.

Bagaimanapun, masa kunjunganku ke Tanah Melayu terasa begitu singkat, walaupun aku telah berada selama hampir satu bulan. Aku menerima satu telegram dari ibu pejabat TPPK di Bukit Tinggi yang memintaku balik segera kerana tempoh pelajar TPPK berkursus akan selesai . Aku diperlukan hadir untuk menyampaikan diplomanya.

Beberapa hari kemudian, aku bertolak ke Pekan Baru melalui Singapura dengan meninggalkan ribuan kenangan manis ketika bersama orang Melayu di Tanah Melayu.

Bagaimanapun, fikiranku lebih tertumpu kepada kaum wanitanya yang kelihatan masih segan silu untuk mara ke hadapan. Terbetik di hatiku, untuk kembali ke sana untuk membuka TPPK serta menggerakkan kesedaran mereka tentang erti tanah air dan kemerdekaan serta peranan mereka untuk membangun negara.

Mungkin tenaga kerja dan pelatihnya akan terdiri dari bekas-bekas muridku. Mereka nanti bukan saja akan berperanan sebagai guru , tetapi mungkin juga berupaya mempelajari Bahasa Inggeris. Aku sedar, Bahasa Inggeris penting sebagai bahasa antarabangsa.

Walaupun keinginanku meluap-luap untuk datang segera ke Tanah Melayu, namun peranan dan kepimpinanku juga masih diperlukan di TPPK Bukit Tinggi. Apatah lagi Belanda semakin hebat menggempur kubu tentera Indonesia.

" Selamat tinggal bumi Melayu. Harap aku akan kembali semula dalam kudukmu," bisik hatiku.


Akan datang: Terdampar di Bumi Singapura.

JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK




Friday, March 25, 2011

CATATAN TERAKHIRKU BAHAGIAN 10 - MENGEMBANGKAN PUTERI KESATRIA


Oleh Khatijah Sidek.

Setiap hari, antara jam empat dan lima petang, aku akan memimpin pelatihku dalam pakaian seragam berkawad keliling kampung. Masing-masing menyandang senapang kayu bermuncungkan besi tajam di bahu. Sepanjang berkawad dari kampung ke kampung, kami menyanyi lagu-lagu patriotik.

Ramai kalangan pemuda menentang cara dan sistem pendidikan kami dengan menjadikan gadis berjiwa tentera. Mereka sentiasa ketawa dan menyindir-nyindir kami.

Satu hari kami lakukan satu tindakan balas. Kami kirimkan suatu bungkusan kepada mereka. Di dalamnya terdapat sehelai kain sarung, lipstik dan bedak. Turut disertakan sepucuk surat.
Melalui surat itu pihak kami memohon kepada mereka untuk bersetuju menukarkan lipstik dan bedak yang kami sertakan dengan seluar mereka, dan kami juga meminta sebagai ganti seluar itu, mereka memakai kain sarung yang kami bekalkan.

Lucunya, sejak hari itu, tidak lagi kelihatan anak-anak muda 'biang' yang selalu mengganggu kami. Malahan, tiada lagi kedengaran sebarang kelakuan sindiran atau gelak ketawa dari mereka.

Keadaan dan sikap masyarakat yang semakin memberi sokongan terhadap usaha kami, semakin meningkatkan lagi keyakinan kami. Justeru, keyakinan itu kami perkukuhkan dengan mempergiatkan lagi usaha murni demi untuk bangsa, agama dan tanahair.

Tidak hairan, dalam waktu yang paling singkat, Puteri Kesatria akhirnya muncul sebagai sebuah organisasi separa tentera wanita yang amat berpengaruh dan dikenali serta mendapat sokongan dari serata Sumatera khasnya dan di serata Indonesia amnya. Malah terdapat juga makcik-makcik yang telah lanjut usia dan orang-orang cacat yang turut hadir untuk mendengar ceramah bagaimana menggunakan senjata untuk mempertahankan diri dari Belanda dan sekutu-sekutu mereka.

Sekutu-sekutu Belanda berada dalam N.I.C.A iaitu Nederland Indies Cooperative Association yang terdiri dari orang Ambon dan Minado serta sebahagian orang Kristian Indonesia.

Di sekolah PK, aku juga mengajar pelatihku tentang aspek teknikal seperti telekomunikasi. Mana-mana yang berminat dalam aspek perubatan, aku hantar berkursus ke hospital-hospital. Mana-mana yang ingin jadi guru, kami latih mereka sendiri. Kami juga mengajar mereka mengenai soal kebudayaan seperti tarian, nyanyian, kraftangan dan sebagainya.

Suatu hari tanpa diduga, kami menerima kunjungan, rombongan tetamu kehormat dari Jakarta. Mereka terdiri dari bapak-bapak menteri dan pembesar negara Indonesia. Rombongan ini dipimpin oleh Bapak Amir Syarifuddin.

Ketibaan rombongan ini, kami sambut dengan begitu meriah sekali. Salah seorang pelatih kami berkawal di pintu gerbang dengan menyandang senjata. Pelatih yang lain berbaris di kiri dan kanan jalan masuk ke markas dengan pakaian separa tentera dan menyandang rotan gelung dihiasi bunga putih dan merah.

Ketika perbarisan lintas hormat dijalankan, satu kumpulan menukar pakaian ke uniform penuh Puteri Kesatria sementara satu kumpulan lagi menukar pakaian seragam kejururawatan.

Dalam ucapannya, Bapak Amir Syarifuddin melahirkan rasa terharunya kerana melihat kesediaan gadis-gadis Indonesia khususnya kelompok kami Puteri Kesatria, untuk menggembelingkan tenaga dan bersatu dengana kalangan pemuda demi untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara.

" Tetapi, sungguhpun anak-anak bapak bertindak secara ini, sebenarnya dalam hati kecil kami kaum lelaki, kami belum mahu anak-anak perempuan kami tampil ke hadapan sebagai tentera untuk menghancurkan musuh," lahir beliau dalam ucapannya.

" Sungguhpun begitu, bapak benar-benar berbesar hati dengan semangat berkobar-kobar yang ditunjukkan oleh kelian semua," tambahnya lagi.

Bagaimanapun, aku dalam ucapan balas menjelaskan dengan lebih terperinci, kenapa TPPK diasaskan. Menurutku, pengalaman dalam zaman pemerintahan Jepun, telah banyak mengajar kami, bagaimana biadapnya tentera Jepun yang memaksa wanita Indonesia sewenang-wenangnya hingga terlahir ribuan anak di luar nikah.

Atas alasan itulah juga, maka TPPK diwujudkan sebagai benteng pertahanan diri dari musuh di samping membantu kaum ibu bapa dan pemuda dalam membela tanah air.

Ternyata ucapan balasku dapat diterima oleh Bapak Amir. Beliau akhirnya merestui kewujudan TPPK. Malah beliau telah menjemputku ke Jakarta untuk diangkat sebagai pegawai pemuda untuk menyusun gerakan kemerdekaan seluruh Indonesia. Bagaimanapun, permintaannya kutolak dengan alasan, tugasanku di TPPK masih banyak yang belum selesai.

Sejak mendapat pengikhtirafan dari Jakarta, TPPK semakin rancak menerima sokongan dari setiap lapisan masyarakat. Para pelajar kami bertambah dengan amat pesat. Cawangan-cawangan TPPK telah muncul bagai cendawan selepas hujan, di mana-mana serata Sumatera hingga jauh ke Wilayah Riau.

Kewujudan banyak cawangan TPPK ini, adalah melalui usaha bekas pelatih TPPK sendiri. Sebagaimana kukatakan terdahulu, para pelatihku datang dari serata pelosok Pulau Sumatera. Selepas menamatkan pengajian atau kursus selama enam bulan di Bukit Tinggi, mereka kembali ke desa masing-masing dan membuka cawangan TPPK di desa mereka. Keadaan ini, sekaligus meletakkan kedudukan mereka sebagai pemimpin wanita di kampung mereka sendiri.

Inilah sebenarnya tujuan dan matalamatku dalam mewujudkan TPPK. Melalui peranan yang dimainkan oleh anak-anak didik TPPK ini, kami akan akhirnya berjaya mewujudkan satu rantaian atau rangkaian tentera sukarela wanita atau Puteri Kesatria di serata Indonesia.

Matlamat dan harapan yang aku impikan itu, kini sudah mula membuahkan hasilnya. Aku benar-benar berasa amat gembira dengan kewujudan keadaan ini.


Kewujudan banyak cawangan TPPK ini, ternyata menjadikan markas TPPK di Bukit Tinggi begitu penting dan amat sibuk sekali. Bagi memperkemaskinikan lagi TPPK, banyak kurikulum dan ko-kurikulum pendidikan ditambah. Kami juga banyak mencipta lagu-lagu patriotik untuk pelatih kami. Kami juga nyanyikan lagu Indonesia Raya, Barisan Benteng dan Hancurkan Belanda.

Malah terdapat juga lagu khas Puteri Kesatria yang menjadi lagu rasmi kami. Lagu itu dicipta pada tahun 1944. Lagu itu berbunyi:

Inilah barisan kita,
Puteri Indonesia,
Bersemangat Kesatria,
Lagi jujur dan rela.

Untuk capai maksudnya
Berani berkorban jiwa
Merebut tanah pusaka
Dari musuh Belanda.

Puteri Kesatria, hiduplah!
Puteri Kesatria, bangunlah!
Berjuang sampai Indonesia Merdeka
Berjuang sampai Indonesia Merdeka.

Umumnya, selepas itu, ikrar Puteri Kesatria pula kami lafadzkan. Ikrar itu berbunyi:

" Bahawa kami, pemudi-pemudi Indonesia, bersedia menyerahkan jiwa dan raga untuk tanah air dan kami bersedia dengan tabah dan semangat berkobar-kobar dan dengan bersabar menghadapi segala kepahitan, segala kesusahan dalam menjalankan tugas dalam perjuangan."

Sepanjang aku bergiat dalam TPPK ini, aku telah turut berkenalan dengan ramai pemuda-pemuda dari Tanah Melayu. Mereka terdiri dari bekas 'Heiho' Jepun yang ditugaskan di Bukit Tinggi. Apabila Jepun menyerah kalah, sebahagian dari mereka kekal menetap di sana serta menyertai Angkatan Tentera Republik Indonesia (ATRI).

Mereka sentiasa mengunjungi TPPK untuk melihat dan mempelajari sendiri pelbagai kegiatan dan latihan yang diberikan kepada para pelatih kami. Antara yang masih kuingat adalah Abdullah Sanggora dari Rembau, Dahari Ali, Abdul Rahman dari Melaka, Mayor Karim dan Kepten Aghar.

Mayor Karim sehingga catatan ini ditulis masih menetap di Indonesia. Jika tidak silap, beliau pernah dilantik sebagai diplomat Republik Indonesia ke Filipina. Sementara Kepten Aghar (Azhar) pula difahamkan telah meninggal dunia dan dipercayai beliau mempunyai kaitan tali persaudaraan dengan Datuk Hamzah Abu Samah (Tan Sri).

Setiap kali kami bertemu, mereka mempelawaku datang ke Tanah Melayu untuk mengembangkan TPPK. Mereka juga berharap agar aku dan teman-temanku dalam TPPK dapat memberikan pidato, syarahan atau ceramah bagi menyedarkan masyarakat khususnya orang Melayu di negeri itu.

Sejak itulah, hasratku untuk mengunjungi Tanah Melayu tetap subur.



AKAN DATANG : Menjejaki bumi Tanah Melayu.


JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK