Tuesday, May 17, 2011

CATATAN TERAKHIRKU - BAHAGIAN 12 - MENGUNJUNGI SEMULA BUMI SEBERANG - TERSERAH PADAMU TUHAN.


Oleh Khatijah Sidek

Apabila aku kembali ke Bukit Tinggi dari Singapura, aku menerima sepucuk surat dari Pegawai Daerah. Dalam surat itu, Pegawai Daerah memaklumkan bahawa beliau telah menerima banyak aduan dan surat layang yang menyatakan pelajar-pelajarku di Puteri Kesatria (PK) banyak yang telah berkelakuan sumbang dan mengandung ketika ketiadaanku.

Aku bertindak segera dengan mengumpulkan kesemua pelajarku serta memeriksa sendiri setiap orang dari mereka. Aku bertanya terus kepada mereka, sama ada mereka ada melakukan perbuatan onar dan memalukan organisasi kami dan aku khasnya, ketika ketiadaanku di Bukit Tinggi.

Ternyata, keadaan ini telah benar-benar menimbulkan kemarahan mereka.

" Tidak Ibu. Sepanjang ketiadaan Ibu, kami sentiasa menjaga diri dan sebagai tentera, kami sewajarnya berdisiplin dan menjadi teladan kepada masyarakat," balas mereka dengan amat geram sekali.

Kami akhirnya sama berpendapat, aduan-aduan yang diterima oleh Pegawai Daerah itu datangnya dari kalangan mereka yang tidak senang dengan pencapaian dan kejayaan kami. Mereka mungkin mempunyai tujuan halus untuk menghancurkan dan menggugat organisasi kami.

Setiap pelajarku juga bersetuju untuk diperiksa oleh doktor dan sekiranya ada antaranya yang benar-benar menconteng arang, mereka bersedia pula untuk ditembak. Mereka juga meminta Pegawai Daerah memberitahu siapakah yang membuat aduan itu dan memperlihatkan buktinya jika ada.

Aku kemudiannya menemui Pegawai Daerah dengan membawa sepucuk surat bantahan. Dalam surat itu, aku meminta Pegawai Daerah untuk mengeluarkan bukti atas tuduhan itu. Sekiranya memang ada antara pelajarku yang membuat onar, mereka bersedia untuk dihukum atau diperiksa oleh doktor. Sekiranya tidak, kami mahu si pembuat fitnah itu pula yang mendapat hukuman dan balasan yang setimpal.

Pegawai Daerah bagaimanapun gagal memberikan sebarang bukti yang konkrit. Malah beliau kemudiannya meminta agar isu yang berbangkit ini dilupakan begitu saja.

Lanjutan itu, aku kemudiannya bertindak bersama teman-temanku mengunjungi kampung-kampung yang berhampiran dan memberikan pidato mengenai soal itu bagi mengelakkan salah faham penduduk dan ibu bapa khasnya terhadap organisasi kami khususnya mengenai anak-anak mereka.

Ternyata, dengan tindakan kami itu, kalangan masyarakat semakin memberikan sokongan padu kepada organisasi kami.

Sepanjang tempoh ini, suasana di Bukit Tinggi dan sekitarnya ternyata begitu aman. Tidak kelihatan sebarang kemungkinan Belanda akan melakukan serangan. Sepanjang tempoh itu juga, ahli-ahli PK turut giat melakukan kerja-kerja amal di kem-kem seperti memasak pada setiap Jumaat dan membersihkan sekitar kem.

Dalam tempoh setahun, setelah meninggalkan Tanah Melayu, aku telah menyusun semula strategi pembelajaran kami di PK. Aku mula memperkenalkan latihan vokasional kepada mereka. Mereka juga diwajibkan mempelajari Bahasa Inggeris.

Pada tahun 1947, setelah segala-galanya di PK berjalan dengan baik dan teratur, hatiku mula mengenangi Tanah Melayu dan Singapura. Aku bercadang untuk mengembangkan PK keluar Pulau Sumatera. Tenaga kerja akan terdiri dari bekas pelajarku. Mereka juga nanti akan berpeluang belajar Bahasa Inggeris dan apabila kembali ke Bukit Tinggi, mereka boleh mengembangkan ilmu ini kepada pelajar-pelajar PK yang lain.

Segala pandanganku, kubentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Puteri Kesatria di markas kami. Aku nyatakan, tujuan sebenarku untuk pergi ke Singapura adalah untuk mengembangkan sayap PK di sana dan terus ke Tanah Melayu. Mesyuarat itu, akhirnya menerima cadanganku. Mereka memutuskan, aku akan berangkat ke Singapura pada bulan Julai 1947.

Akhirnya, pada awal Julai 1947, aku bersama seorang bekas penuntutku, Baiyar bertolak ke Singapura. Baiyar, salah seorang anak didikku yang juga bijak berpidato dan pilihanku terhadapnya adalah lebih untuk membantuku nanti. Selain itu, Baiyar turut mempunyai seorang abang yang menetap di Singapura.

Perjalanan kami kali ini tidak lagi mengikut Pekan Baru tetapi terus ke Jambi. Sebagaimana perjalananku setahun lalu, perjalanan dari Bukit Tinggi ke Jambi kami menggunakan kenderaan tentera (trak) untuk bergerak . Ketika itu, masih belum ada bas atau kereta yang melalui jalan itu.

Trak yang kami tumpangi itu, ternyata begitu sarat dengan muatan minyak benzin. Seramai 20 anggota tentera duduk di atas tangki minyak itu. Aku dan Baiyar duduk di sebelah pemandu.

Setelah hampir 60 kilometer meninggalkan Bukit Tinggi, kenderaan kami terbabit dengan kemalangan berpunca dari kelebihan muatan dan berat. Tangki-tangki minyak yang penuh minyak benzin itu, menggelongsor keluar daripada trak ketika trak itu sedang memanjat laluan berbukit. Keadaan itu, sekaligus membuatkan, anggota tentera yang duduk di atasnya turut di gereng keluar dari trak itu dan tercampak di atas jalan raya yang mencuram itu.

Beberapa orang kelihatan terbaring berlumuran darah di atas jalanraya. Aku dan Baiyar dengan segera membantu memberikan pertolongan cemas kepada mereka. Mereka yang cedera segera dibawakan ke rumah sakit di kota yang berhampiran. Bagaimanapun, dua orang dari mereka gagal diselamatkan dan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Perjalanan ke Singapura melalui Jambi, akhirnya terpaksa kami batalkan dan kami kembali semula ke Bukit Tinggi.

Ramai saudara-mara dan sahabat menasihatiku agar mengundurkan dulu hasrat untuk pergi ke Singapura ke lain masa. Menurut mereka, tragedi kemalangan trak tentera yang meragut dua nyawa itu, semacam satu bayangan dan sekatan kepada langkahku. Mereka khuatir kalau-kalau aku akan mendapat kesusahan ketika di rantau orang nanti.

Ternyata aku tidak dapat menerima segala andaian dan tafsiran sebegitu. Dua hari kemudian, aku dan Baiyar menyambung semula perjalananku ke Singapura, tetapi kali ini mengikut perjalanan dari Bukit Tinggi ke Pekan Baru. Perjalanan dari Bukit Tinggi ke Pekan Baru, mengambil masa dua hari , satu malam. Pada malamnya kami terpaksa berhenti di tengah hutan dan tidur di bawah trak tentera bagi mengelakkan serangan binatang buas.

Dengan kerjasama seorang pegawai tentera di Pekan Baru, aku ditumpangkan dengan sebuah bot tongkang Cina ke Singapura. Sebagaimana perjalanan pertamaku ke Singapura, di bot itu kami tidak makan apa-apa. Bagaimanapun, beberapa pedagang Indonesia yang mengenali kami sebagai anggota penting PK, turut berkongsi makanan mereka dengan kami.

Sepanjang perjalanan kedua kalinya ke Singapura, hati dan dadaku bergetar sungguh. Aku terasa agak gelisah walaupun aku mampu mengawalnya. Ingatanku terpalit kepada kata-kata dan nasihat teman-temanku agar aku mengundurkan dulu hasrat untuk ke Singapura. Aku kembali terbayang, kerencatan perjalanan kami ketika dari Bukit Tinggi ke Jambi dulu. Aku teringat, tubuh-tubuh tentera yang bergelimpangan di atas jalanraya.

Namun, aku berusaha sungguh untuk menolak jauh-jauh fikiran yang bersimpang-siur itu. Matalamatku ke Singapura dan Tanah Melayu adalah lebih kepada keinginan murni bagi mengembangkan lagi Puteri Kesatria, organisasi kami.

Sepanjang perjalanan itu juga, aku memanjatkan doa, agar Tuhan melindungi kami dari segala yang merosakkan diri. Mungkin ada sesuatu yang baik atau lebih baik sedang menanti kami.

Aku menyerahkan untung nasibku dan Baiyar padamu Tuhan....

Kami tiba juga ke Singapura dengan selamat.

Di Singapura, langkah pertamaku adalah mengunjungi Konsul Indonesia serta menjelaskan maksud kedatanganku ke sana. Aku juga memberitahunya, kehadiranku di situ tidak lama, sekadar cukup untuk kami mempelajari dan memahami Bahasa Inggeris untuk kami kembangkan ilmu itu ke Bukit Tinggi.

Menariknya, bagi membantuku ketika di Singapura, Konsul itu memberikanku tugasan sebagai Pegawai Kebajikan Rakyat Indonesia di Singapura. Tugasan itu ternyata menarik perhatianku. Apatah lagi, aku berpeluang untuk menyelami nasib wanita-wanita Indonesia yang telah dicolek oleh Jepun dan kini terdampar di sana.

Kebanyakan mereka hidup menderita di sana.

Dengan tugasan baruku itu, aku berpeluang untuk menguruskan perjalanan mereka untuk kembali ke Indonesia. Ada antaranya yang tidak ingin kembali lagi kerana malu dan ada pula yang telah berumahtangga dan ingin terus menetap di sana.


Akan datang : TERDAMPAR DI BUMI SINGAPURA.


JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK


No comments:

Post a Comment