Tuesday, September 25, 2012

KHADRIA BUAH HATI TEMAN PENJARAKU

Seminggu kemudian, khususnya setelah tali pusat anakku tanggal, aku dihantar kembali ke penjara. Anakku turut serta.

Di dalam penjara itu, aku diberikan katil lamaku. Untuk anakku pula diberikan buaian dengan kelambu kecil dan tilam. Mereka memberikan anakku susu tepung "Cow and Gate".

Kesemua teman-temanku dalam bilik penjara begitu menyayangi anakku. Mereka bergilir-gilir membantu menjaga anakku atau membawa air atau membasuh pakaian atau menyediakan susu.

Kawan-kawanku juga, acapkali menyimpan baki makanannya untukku. Setiap malam, dua orang dari mereka bergilir-gilir menjaga anakku. Dua hari sekali aku dibenarkan berjalan dan bersenam di luar penjara.

Aku benar-benar inginkan wajah anak sulungku dipotret. Malah adikku juga inginkan gambar anakku  untuk ditunjukkan kepada teman-teman kami di luar penjara.

Bagaimanapun matron tidak membenarkan gambar anakku diambil dalam penjara. Beliau izinkan anakku dibawa keluar satu hari dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Seorang sukarelawan telah diminta untuk menemani  anakku ketika di luar.

Ketika itu anakku sudahpun berusia 6 bulan. (September 1949). Aku telah memakaikan anakku dengan pakaian menyerupai uniform tentera Indonesia dan dengan kopiahnya yang terdapat bendera Indonesia.  Potret comelnya ada dalam simpananku hingga kini.

Dalam tempoh masa itu juga, matron telah menerima sepucuk surat dari seorang Penguasa Polis yang mengarahkanku supaya dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan. Beberapa hari kemudian, anggaran jam sembilan pagi, sepasukan polis telah datang ke penjara dan mengiringiku dalam sebuah trak polis untuk dibawa ke mahkamah.

Di mahkamah ketika itu terdapat seorang hakim berbangsa Eropah dan dua orang pembantunya.

Hakim banyak bertanya tentang latar belakangku, suamiku serta soal sama ada memang benar aku berhasrat menggulingkan kerajaan British dan Singapura. Aku menolak dakwaan itu serta menjelaskan hasrat sebenar kedatanganku ke Singapura adalah ingin belajar Bahasa Inggeris dan dalam kesempatan itu ingin membantu wanita-wanita Indonesia yang terdampar di Singapura kerana dibawa oleh askar Jepun sebelumnya.

Setelah pertemuan itu, tiada apa yang berlaku. Aku kekal berada dalam penjara bersama anakku. Lebih menyedihkan lagi, suamiku sudah tidak lagi datang menjengokku dan anaknya.
Sesekali terbetik juga rasa kesal di hati akan kewujudan keadaan itu.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati, aku  memahami keadaan yang berlaku sebenarnya. 

Aku tahu ibu bapa suamiku menyenangi diriku, tapi tidak adik beradiknya. Aku tidak dapat memahami kenapa mereka bersikap sebegitu terhadapku. Namun pernah juga aku dimaklumkan, bahawa mereka takut suamiku akan menceraikan isteri tuanya dan mereka kuatir jika ini berlaku, anak-anaknya nanti akan terbiar begitu saja. Tambahan pula aku orang Indonesia.

" Kamu punyai ramai anak dari isteri tuamu dan mereka adalah tanggungjawabmu," begitu kata mereka.

Malah mereka juga pernah mendesak agar suamiku menceraikanku tetapi tidak dilakukannya. Sebaliknya, aku dimaklumkan kemudian, betapa, ketika akan sedang sarat mengandung tujuh bulan, suamiku telah bertindak menahan arahan dari Penguasa Polis Singapura untuk mengusirku kembali ke Indonesia.

Kisahnya begini. Penguasa Polis Singapura telah menghantar arahan kepada Penguasa Penjara supaya mempersiapkan diriku untuk dihantar pulang ke Indonesia. Matron kemudiannya telah diarahkan untuk menyuntik "small pox" dan taun.' 

Apabila adikku datang, aku memintanya menghubungi dan memaklumkan keadaanku, padanya.

Sebaik menerima makluman itu, suamiku segera bertindak. Ia terus menghubungi sahabatnya Ahmad Ibrahim seorang peguam Melayu di Singapura dan memintanya bertindak untuk meminta Polis Singapura membatalkan arahan itu. Alasannya begitu jelas. Aku adalah isteri kepada seorang rakyat Tanah Melayu.

Enam bulan selepas aku dibawa ke Mahkamah Tinggi sebagaimana yang aku maklumkan terdahulu, tepatnya pada 30 Januari 1950,  Matron menemuiku.

" Kamu dibebaskan hari ini, " katanya. " Bersiaplah. Tapi kamu hanya boleh tinggal di Johor Bahru saja dan tidak boleh pergi ke mana-mana," tambahnya lagi.

Perkabaran itu, benar-benar amat menggembirakanku. Aku bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana  memperkenankan doaku ini.

Pada pukul 11 pagi itu, aku sudah berada dalam trak polis untuk dibawa terus ke Johor Bahru. Tinggallah kenangan manis bersama teman-teman sepenjara yang begitu gembira tapi sedih dengan pembebasanku itu.  Satu kenangan manis dan pahit di penjara Singapura yang tidak mungkin akan aku lupa sepanjang hayatku. 

Anakku Khadria, sekecil itu, kelihatan juga girang seolah-olah sama meraikan hari pembebasanku.

Monday, January 2, 2012

BAHAGIAN 18 - ANAK SULUNGKU LAHIR KETIKA AKU MASIH DALAM PENJARA


Sebenarnya, nasibku begitu malang kerana mengandung ketika masih dalam penjara. Adat kami di Sumatera, jika seseorang wanita mengandung pada kali pertama, ia akan sentiasa diawasi dan dijaga setiap masa.

Apatah lagi, aku adalah anak perempuan yang tertua.

Tentu saja, dalam keadaanku sebegini, aku tidak mendapatkan itu semua. Pada tahun baru misalnya, aku sepatutnya mendapat makanan yang sempurna tetapi yang diberikan hanyalah makanan penjara yang memuakkan.

Aku menangis sungguh mengenangkan keadaan itu dan nasib anak dalam kandunganku. Tetapi jauh di sudut hatiku, aku menentang sikap lemah diriku sendiri. Aku bisikkan dalam hati, malang yang menimpaku kini, bukan kerana aku berdosa dengan orang lain, tetapi terjadi lanjutan dari hasratku untuk membantu memulihkan nasib wanita-wanita yang lain.

Bisikan halus itu, ternyata menjadikan aku kembali bersemangat untuk meneruskan hidupku.

Suatu hari aku kehabisan biskut. Aku terpaksa merayu Devani meminjamkanku sedikit kerana perutku sentiasa lapar pada waktu malam. Aku berjanji untuk menggantikannya apabila adikku datang mengunjungiku kelak. Sesungguhnya, aku benar-benar malu malam itu dan menangis mengenangi nasibku kerana terpaksa meminta untuk makan.

" Kakak kenapa mahu pinjam?" balas Devani yang kelihatan turut bersedih dengan nasibku. "Biskut saya, biskut kakak juga kan. Jika saya dalam keadaan seperti kakak, saya pasti akan minta dari kakak. Janganlah kakak sedih. Kitakan seperti adik beradik," sambung Devani lagi lalu memberikanku kesemua biskutnya.

Pada akhir bulan Februari 1949, doktor yang merawatku memberitahu, aku dijangka melahirkan anak dalam tempoh sebulan lagi. Bagaimanapun, beberapa hari kemudian iaitu pada 13 Mac 1949, anggaran jam 12.30 malam, aku mula diserang sakit. Ketika itu, aku masih memakai telekung sambil membaca Al-Quran.

Rakan-rakanku dalam penjara itu sedang nyenyak tidur.

Tidak lama kemudian, aku terkejut bila mendapati telekung aku kelihatan merah darah. Aku tidak pasti, sama ada itu petanda untuk bersalin. Jadi aku segera menukar pakaian. Namun, titisan darah kelihatan lebih banyak dan aku menjadi semakin gusar dan serba salah.

Dengan segera, aku mengejutkan salah seorang rakan kaum Cinaku yang pernah beberapa kali melahirkan anak. Setelah mengetahui keadaanku, ia segera mengejutkan kawan-kawanku yang lain dan menjerit-jerit memanggil warder.

Tidak lama kemudian, kelihatan Matron tergesa-gesa datang ke bilik tahanan kami. Ia segera menelefon doktor dan ambulan. Sebelum ketibaan ambulan, Matron telah memimpinku naik dan turun tangga beberapa kali kerana menurutnya senaman ini sangat baik untuk memudahkan aku bersalin.

Setengah jam kemudian, seorang doktor Cina tiba untuk memeriksaku. Ia mensahkan, aku akan melahirkan anak. Dia mengiringiku ke Hospital Kandang Kerbau dan terus ditunda dengan katil sorong ke bilik bersalin sebaik tiba di sana.

Anggaran jam 3.30 pagi, sakitku mula kuat dan aku tiba-tiba berasa begitu lapar. Aku meminta Matron mencarikanku sedikit makanan. Dia tidak dapat membantuku kerana hari sudah jauh malam dan tiada sesiapa yang menjual makanan pada waktu hampir subuh itu.

Apabila sakitku menjadi-jadi, ingatanku ketika itu tiba-tiba terpalit kepada ibuku yang jauh di kampungku di Pariaman Sumatera Barat Indonesia.

" Matron tolonglah saya. Saya mahu ketemu ibu saya tetapi ibu saya tidak ada...," lahirku pilu. " Tolonglah Matron menjadi ibu saya dan ciumilah saya," rayuku.

Matron itu ternyata begitu kesihan dan belas melihat keadaanku. Da segera duduk di sampingku, sambil mencium dan mengusap-usap rambutku. Airmatanya kelihatan membasihi pipinya. Perlakuannya itu, membuatkanku terasa sedih dan sedikit lega.

Anggaran jam 5 pagi, ketika seorang doktor memberiku seutas tali untuk aku berpaut ketika mahu meneran keluar anakku, muncul seorang doktor Eropah yang diiringi beberapa orang doktor pelatihnya. Doktor itu segera meneliti carta perubatan peribadiku yang tergantung di kaki katil. Tiba-tiba, kelihatan wajah doktor itu mula berubah jengkil.

" Jangan berlebih-lebih sangat membantu perempuan ini!" tegur doktor Eropah itu dalam Bahasa Inggeris kepada doktor yang sedang merawatku. Doktor itu berpaling kepada doktor Eropah yang mungkin ketuanya dengan wajah kehairanan.

" Perempuan ini seorang komunis dari Indonesia..." tambahnya lagi.

Namun, kelihatan kalangan mereka yang berada di wad bersalin itu, tidak langsung mempedulikan kata-kata doktor Eropah itu. Mereka semakin bersungguh-sungguh membantuku dalam proses kelahiran anak pertamaku. Masing-masing sentiasa memberikan dorongan supaya aku terus memegang tali sambil meneran.

Anggaran jam 9 pagi, anak sulungku akhirnya berjaya kulahirkan ke dunia, dalam keadaanku yang begitu lelah, penat dan lesu yang amat sangat. Doktor dan jururawat -jururawat itu, kemudiannya membaringkan aku di atas meja dan membiarkan aku berihat. Ternyata aku kemudiannya terlena di situ untuk beberapa jam.

Sebaik saja aku terjaga dari tidurku, seorang jururawat membawa seorang bayi yang comel kepadaku. Bayi itu, adalah anakku, seorang perempuan. Terasa benar, hidupku kini begitu bererti kerana untuk pertama kali aku benar-benar menjadi seorang ibu sejati.

Bagaimanapun, ketika itu juga, aku merasakan kesedihan yang amat sangat apabila mengenangkan nasib dan masa hadapan anak sulungku ini. Apatah lagi, aku ketika itu dianggap sebagai seorang pesalah politik dan sedang meringkuk dalam penjara. Entah bila aku akan dibebaskan oleh mereka, aku tidak tahu.

Airmataku merembas keluar seiring aku mencium anak sulungku itu.

Melihat keadaanku itu, jururawat itu segera mengambil anakku kembali. Aku kemudiannya didorong oleh seorang jururawat lain dari bilik bersalin itu ke sebuah bilik yang agak gelap. Tiada sesiapapun di situ kecuali aku. Di muka pintu bilik itu, kelihatan seorang polis keturunan India yang menggantikan Matron untuk mengawalku.

" Encik polis," panggilku, apabila polis itu kelihatan sedang memerhatiku.

" Saya puan. Ada apa?" tanyanya.

" Boleh tolong saya. Saya sangat lapar. Dari malam lagi saya tidak makan. Lagipun, saya sakit. Doktor langsung tak beri injetsen. Boleh cari makan untuk saya?" pinta saya.

Polis India itu ternyata seorang yang baik. Tanpa berfikir panjang dan tanpa syak betapa aku akan kemudiannya mengambil peluang untuk meloloskan diri, terus bergegas ke sebuah kedai dan membelikanku sepotong roti dan kari untukku.

Dalam perjalanan pulang ke bilik gelapku, dia sempat menemui seorang jururawat dan memberitahunya sakit yang sedang aku rasai ketika itu. Ternyata, jururawat yang ditemuinya itu, adalah kenalan suamiku dan dia juga sedang mencariku. Mereka berdua bergerak sama ke bilik gelapku.

Jururawat itu memberitahuku, suamiku baru saja menelefonnya dan meminta pertolongannya membantuku di mana perlu. Untuk itulah, aku kemudiannya, dengan bantuannya, dipindahkan ke bilik kelas dua yang lebih selesa dan diberikan makanan kelas pertama, serta diberikan pil dan suntikan yang sesuai dengan keadaan kesihatanku.

Di kelas kedua itu, terdapat seramai 20 orang. Mereka adalah orang awam. Bezanya mereka daripadaku adalah di sampingku terdapat seorang polis wanita. Anakku juga tidak ditempatkan di sampingku seperti orang lain.

Pernah aku meminta polis wanita itu, membawa anakku berada di sampingku. Bagaimanapun, permintaanku ditolak kerana menurutnya atas arahan dari pihak atasannya.

Esok paginya, beberapa orang datang mengunjungiku kerana matron telah memberitahu mereka, aku telahpun melahirkan seorang anak perempuan. Adikku datang lebih awal bersama beberapa orang kenalanku. Pada petangnya, suamiku turut mengunjungiku. Sebagai seorang ayah kepada anakku, beliau telah mengqamatkan anaknya. Setiap pertemuan, kami hanya diberikan masa sekadar lima minit sahaja.

Pihak polis akan sentiasa saja mengawasi gerakgeriku sepanjang pertemuanku dengan tetamuku.

" Jah dah berikan anak kita namanya?" tanya suamiku.
" Belum. "
" Kalau begitu, apa kata kita namakannya Umi Kalsom?"

Ternyata, aku tidak tertarik dengan nama itu kerana aku sudah juga menyediakan nama anak sulungku ini. Cuma, aku hanya mahu persetujuan dari suamiku.

" Jadi, nama apa yang Jah mahu berikan?"
" Apa kata namanya Khadria Taswim Malahayati?"
" Panjang namnya tu. Apa maksudnya?" tanya suamiku.

Aku lantas memberitahunya, Khadria Taswim Malahayati itu bermaksud:

KHAD - dari nama Khadijah, ibunya.
RIA - nama ringkas tentera wanita Putri Kesatria.
TA - dari kata tahanan
S - dari nama Singapura
WIM - dari huruf HIMWIM, organisasi wanita kami.
MALA - dari nama MALAYA
HAYATI - dari kata hayat dan baka ayahnya.

Aku sengaja memilih nama itu, agar apabila anakku besar nanti, namanya akan merangkumi segala liku kehidupan dan keperitan sejarah ibunya dan sejarahnya ketika aku meringkuk dalam penjara. Apatah lagi, aku akan nanti begitu mudah untuk mengisahkannya nanti, jika dia bertanyaku.

Suamiku, akhirnya bersetuju dengan nama itu.