Ucapan-ucapanku, pidato-pidatoku
dan kata-kataku, yang menyatakan betapa setiap manusia adalah setaraf, sama ada
dia seorang yang berpangkat atau orang yang dari keturunan yang baik atau
bertaraf tinggi mahupun dari kalangan orang-orang biasa, ternyata mula menarik
perhatian banyak pihak.
Kalangan
masyarakat biasa turut mengiakan dan menyokong kritikanku mengenai kewujudan
kelas masyarakat dalam sesuatu mesyuarat UMNO di mana pihak orang dari keluarga
bangsawan, atau isteri orang berpangkat, duduk di kerusi sementara
kelompok masyarakat biasa, duduk bersimpoh atas tikar mengkuang mengadap
mereka.
Bagaimanapun,
kata-kata dan pandanganku itu ternyata turut menyinggung ramai
isteri-isteri orang berpangkat dan golongan bangsawan di Johor.
Bibit-bibit penentangan terhadap kemasukanku ke dalam UMNO mula kelihatan dan
semakin bercambah.
Keadaan
ini akan aku paparkan dalam urutan kisah perjuanganku ini kemudian hingga aku
akhirnya berjaya mereka singkirkan secara total dari parti UMNO pada tahun
1956.
Antara
bibit penentangan awal terhadap diriku berlaku tidak lama kemudian apabila
Ketua Kaum Ibu UMNO Johor Bharu, isteri seorang pembesar negeri dan juga
seorang Syarifah telah meletakkan jawatannya sebagai tanda protes. Tindakannya
itu, menimbulkan kemarahan dan kebencian golongan wanita bangsawan serta
kawan-kawannya terhadap saya.
Sebenarnya,
aku tidak percaya dan amat kesal dengan tindakannya meletakkan jawatan sebagai
Ketua Kaum Ibu UMNO itu, semata-mata sebagai tanda protes terhadap kata-kataku.
Sebagai seorang pemimpin, dia sewajarnya seorang yang berfikiran terbuka dan
dapat memperakukan secara benar dan bijaksana betapa perkara ini memang
benar-benar berlaku khususnya di Johor Bharu khasnya dan di Tanah Melayu amnya.
Ketika
itu, umum dapat melihat akan kemungkaran dalam sistem lapis masyarakat Melayu
di Tanah Melayu ketika itu. Dalam satu majlis perkahwinan di Negeri Johor
misalnya, Tengku-tengku, Datin-Datin dan Syarifah-syarifah duduk di atas
sementara orang kebanyakan duduk di bawah, seolah-olah wujud satu sistem kasta
yang begitu menyerlah dan menakutkan orang-orang kampung untuk menyertai UMNO.
Seorang
orang biasa bernama Ramlah kemudiannya dipilih menjadi Ketua Kaum Ibu UMNO
Johor Bharu yang baru untuk tempoh dua tahun. Sepanjang tempoh itulah, Ramlah
dan aku, sebagai sifatnya seorang Pegawai Penerangan Kaum Ibu UMNO cwanga
Johor, berusaha gigih menambahkan lagi cawangan-cawangan Kaum Ibu UMNO Johor
Bharu.
Malah
tidak bersalahan jika dikatakan bahawa cawangan Kaum Ibu UMNO Johor Bharu adalah
cawangan Kaum Ibu UMNO terbesar di Tanah Melayu ketika itu.
Pada
tahun 1954, Perhimpunan Agung UMNO telah diadakan di Alor Setar Kedah. Kaum Ibu
UMNO cawangan Johor Bharu telah menghantar dua orang wakilnya iaitu Cik Ramlah
dan aku. Sebagaimana biasa, aku terpaksa memohon izin polis untuk ke Alor
Setar.
Salah
satu kegiatan ahli-ahli Kaum Ibu UMNO Johor Bharu adalah mewujudkan kelas
Urusan Rumah Tangga. Jadi sebelum pergi ke Kedah, Kaum Ibu UMNO Johor Bharu
telah bekerjasama dan bergotong-royong menyulam dan menjahit sapu tangan dengan
setiap sudutnya tertulis MERDEKA dan UMNO.
Kami
pergi Kedah dengan keretapi. Di Kedah, kesemua deligasi kaum Ibu UMNO seramai
50 orang ditempatkan di rumah adik Tunku Abdul Rahman, Tengku Habsah. Ketika
itu, Kaum Ibu UMNO tiada ketuanya, kerana Ketua Kaum Ibu UMNO, Ibu Zain mengambil cuti
beberapa bulan kerana sakit.
Di Perhimpunan Agong UMNO itu pula, Kaum Ibu UMNO
Tanah Melayu, terpaksa melantik Ketua Kaum Ibu UMNO yang baru.
Beberapa para perwakilan telah
mencadangkan namaku dan nama Tengku Habsah. Tunku Abdul Rahman bagaimanapun
kurang bersetuju dengan cadangan itu kerana aku ketika itu masih lagi dalam
perhatian polis sementara mengenai adiknya Tengku Habsah, Tunku kurang senang
dengan idea adik-beradik dilantik menerajui kepimpinan UMNO pusat.
Ketika itu, pilihan kami adalah
Raja Permaisuri Perlis kerana kami berpendapat bagainda adalah seorang wanita
yang progresif daripada kesemua permaisuri dan isteri Sultan-Sultan Melayu,
puteri-puteri raja atau kerabat diraja ketika itu.
Lanjutan dari itu, kami Kaum Ibu
UMNO telah menghantar satu rombongan untuk memujuk baginda Permaisuri Perlis.
Bagaimanapun, baginda telah menolaknya dengan alasan, sebagai Permaisuri Raja Perlis,
baginda tidak wajar terlibat dalam mana-mana organisasi atau pertubuhan
politik.
Oleh kerana masalah dan keadaan
itulah, Kongres atau Perhimpunan Agong UMNO di Kedah, para perwakilan dari Kaum
Ibu UMNO tidak melantik sesiapapun untuk menjadi Ketua Kaum Ibu UMNO. Para perwakilan UMNO di perhimpunan
itu, hanya melantik Tunku Abdul Rahman
sebagai Yang Di Pertua UMNO dan Tun Abdul Razak, En Saadon Jubir dan Tun Dr
ismail sebagai Naib yang Di Pertua.
Bagaimanapun, suatu perkara yang
menyedihkan Kaum Ibu UMNO ketika itu adalah dalam susunan barisan kepimpinan dalam Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dipilih, tidak
terdapat walau seorangpun dari kalangan Kaum Ibu UMNO.
Keadaan ini benar-benar
menimbulkan kejengkilan kepada Kaum Ibu UMNO terhadap sikap Kaum Bapa dan Kaum
Pemuda. Pihak Kaum Ibu merasakan, mereka ketika itu hanyalah dijadikan sebagai alat oleh Kaum Bapa untuk bekerja saja-saja untuk mereka dan untuk UMNO. Kaum Ibu UMNO juga mahukan pengikhtirafan terhadap sumbangan mereka terhadap UMNO.
Dalam kongres itu, aku sebagai
salah seorang daripada empat perwakilan yang dipilih oleh 50 wakil Kaum Ibu
UMNO serata Tanah Melayu, telah menyuarakan bantahan terhadap sikap dan
tindak-tanduk Kaum Bapa terhadap Kaum Ibu.
“ Kenapa tidak terdapat walau
seorangpun kaum ibu yang dipilih untuk menganggotai Ahli Majlis Tertinggi UMNO?”
soalku keras. “ Adakah ini bererti, kaum bapa
serta pemuda menilai taraf kaum ibu begitu rendah dan tugas kami hanyalah
semata-mata untuk berbakti seluruh jiwa dan raga untuk lelaki semata-mata…!!!!”
tanyaku deras dan keras lagi.
“ Kalau beginilah caranya dan
kalau beginilah sikap kaum bapa dan pemuda, tidaklah ada gunanya kaum ibu
menghadiri kongres ini!!!!”
“Tengok…!!” kataku lagi. Kaum ibu
berusaha dan berikhtiar bermacam-macam cara untuk sama-sama membangunkan semula
UMNO seperti menjual sapu tangan ini untuk mencari dana dan wang yang cukup
bagi membiayai pelbagai aktiviti dan bagi memajukan parti UMNO.”
“ Soalnya, kenapakah kaum bapa
tidak cuba atau tidak mahu memberikan perhatian dalam soal ini supaya dapat
memberikan semangat kepada Kaum Ibu UMNO untuk sama-sama bergiat dan berjuang
untuk membangunkan semula UMNO!!!!!?” tanyaku lantang.
Mungkin kata-kataku yang keras
dan deras dalam perhimpunan agung UMNO yang didominasi sepenuhnya oleh kaum
bapa dan pemuda menimbulkan gegaran kerana untuk pertama kali, kaum ibu yang
selama ini hanya bertindak sebagai 'Mak Turut', tiba-tiba menzahirkan kritikan
keras kepada kaum bapa.
Untuk seketika, kata-kataku
mendapat tepukan gemuruh dari kaum ibu sementara kaum bapa semacam terdiam.. Keadaan ini mungkin juga turut menyedarkan banyak pihak khususnya
kepimpinan pusat UMNO. Dalam ucapan penangguhan pada akhir persidangan UMNO di Alor Setar Tunku Abdul
Rahman menzahirkan persetujuannya dengan kata-kataku itu.
“ Bolehlah nanti. Sebagai Yang Di
Pertua UMNO Malaya, yang ada hak untuk memilih mengikut kehendaknya sendiri,
akan melantik salah seorang dari Kaum Ibu UMNO untuk menganggotai Ahli Majlis
Tertinggi UMNO Malaya,” kata Tunku Abdul Rahman.
Pada akhir ucapannya juga, Tunku Abdul
Rahman memaklumkan bahawa aku, sebagai wakil Kaum Ibu UMNO, telah dipilihnya untuk menganggotai Ahli Majlis
Tertinggi UMNO.
Memandangkan jawatan Ketua Kaum Ibu UMNO masih kosong kerana
Ibu Zain bercuti sakit, maka UMNO kemudian melantikku sebagai Setiausaha Hal
Ehwal Kaum Ibu UMNO Malaya. Jawatanku itu, adalah sekaligus
merangkap Pemangku Ketua Kaum Ibu UMNO Malaya.