Tuesday, April 4, 2017

33 - KETUA KAUM IBU UMNO MALAYA

Protesku terhadap sikap Setiausaha Agong UMNO dengan meninggalkan dewan mesyuarat serta melepaskan semua jawatan dari parti UMNO benar-benar memberikan impak besar kepada suasana persidangan UMNO ketika itu. Keadaan itu benar-benar mengejutkan banyak pihak, kerana mereka benar-benar tidak menduga, sikap dan tindakan protes itu datangnya  dari seorang Kaum Ibu yang sepatutnya begitu lemah lembut.

Ternyata aku tidaklah berseorang dalam menzahirkan protesku. Seorang demi seorang perwakilan Kaum Ibu UMNO mula meninggalkan dewan persidangan. Keadaan ini ternyata telah menimbulkan suasana panas dan tegang. Umumnya setiap perwakilan mula menzahirkan rasa tidak senang dengan sikap  Setiausaha Agong UMNO terhadapku.

Dalam kedaan serba gawat, beberapa orang pemimpin pusat dan tokoh UMNO khususnya Dato’ Sheikh Ahmad dari Perlis telah datang mencariku di bilik rihat.

“ Cik Khadijah,” begitu katanya. “Cik Khadijah anggaplah yang saya ini sebagai seorang bapak kerana usia saya yang lebih tua. Demi perpaduan UMNO dan demi untuk matlamat perjuangan kita Kaum Melayu dan untuk kemerdekaan, saya dan yang lain-lain merayu, agar Cik Khadijah kembali semula ke dewan,” rayunya.

“Saya tiada halangan Ayah Sheikh,” zahirku penuh hormat. “ Pada saya, dalam apa keadaan sekalipun, kita perlu menegakkan amalan demokrasi dan keadilan. Kita bukan berada pada zaman feudal di mana apa yang dikata orang atasan, orang bawah mesti akur dan menurut perintah,” sambungku lagi.

Dato’ Sheikh Ahmad dan beberapa pemimpin lain bersetuju dengan pandanganku. Beliau berjanji akan memastikan amalan demokrasi dalam UMNO dilaksanakan. Atas janji-janji itu, aku akhirnya kembali ke dalam Dewan persidangan dan menarik semula perletakan jwatanku.

Cik Halimaton yang beria-ia tidak mahu turut bertanding, akhirnya menarik diri dari pencalonan itu. Kini yang tinggal adalah namaku dan nama Ibu Zain. Apabila undian dijalankan, aku menang undian secara majoriti. Mesyuarat Agong UMNO pada Bulan Oktober di Pulau Pinang, akhirnya mengesahkan perlantikanku sebagai Ketua Kaum Ibu UMNO yang baru.

Apabila tiba pada agenda pembentangan resolusi, Kaum Ibu UMNO ketika itu telah mengemukakan lima resolusi. Resolusi yang terbesar ketika itu adalah, Kaum Ibu UMNO telah mendesak UMNO Pusat, untuk memperuntukkan lima kerusi Parlimen untuk Kaum Ibu UMNO untuk pilihanraya yang akan datang. Usul ini dibawa oleh perwakilan Kaum Ibu UMNO dari Kuala Lumpur, Cik Aishah Ghani.

Ternyata, usul dan cadangan lima kerusi Parlimen untuk Kaum Ibu UMNO oleh Cik Aishah Ghani, menjadi bahan perdebatan panas dalam Dewan perhimpunan pada esoknya. Kaum Bapa dan Kaum Pemuda menentang keras permintaan Kaum Ibu, dengan alasan Kaum Ibu adalah kelompok kaum yang lemah dan tidak berwibawa dan umumnya mereka lebih layak duduk di dapur.

Menurut mereka lagi, Kaum Ibu masih belum mampu dan masih belum bersedia untuk menjadi wakil rakyat serta mereka pula masih perlu banyak berlatih untuk berucap atau berpidato di hadapan khalayak yang ramai.

Apabila keadaan perdebatan semakin panas, dan puak kaum lelaki sama ada kaum bapa atau pemuda, masih tidak mahu mengalah, maka aku akhirnya bangkit ke rostrum, lalu menyampaikan hujahku yang agak keras dan panas. Ternyata, kata-kataku itu menjadi suatu isu besar kemudiannya di mana ia kemungkinan besaar menjadi punca, aku disingkirkan dari UMNO.

“ Bapak-bapak dan anak-anak muda, usahlah memandang enteng dan remeh akan kemampuan kami Kaum Ibu. Biarlah saya berikan satu contoh, bagaimana kami sanggup pergi ke mana saja dan berjuang atas apa saja demi untuk UMNO dan untuk merdeka,” kataku.

“Saya misalnya, adalah seorang wanita dan bertugas dalam UMNO Pusat sebagai Setiausaha Hal Ehwal Wanita sebelum ini. Suatu hari Tunku bertanya kepada Pegawai  Penerangan UMNO, apakah mungkin kita boleh melantik seorang Pegawai  Penerangan dari Kaum Ibu UMNO  untuk memberikan penerangan kepada kaum ibu di kampung-kampung  tentang perjuangan UMNO. Bagaimanapun, Pegawai  Penerangan itu, menolak kata-kata Tunku dan mengatakan, perlantikan Kaum Ibu adalah tidak perlu.”

“ Kemudian, saya meminta Tunku untuk mencuba saya sebagai Pegawai Penerangan Kaum Ibu UMNO. Tunku bersetuju. Kesannya, lihat sendiri pada hari ini. Dalam tempoh 10 bulan saja denga kerja keras kami bergerak ke seluruh Tanah Melayu, keahlian UMNO telah meningkat lebih 10,000 orang dan cawangan UMNO kini sudah menjadi lebih 130 buah.”

“ Apakah, bukti-bukti perangkaan ini, tidak mempunyai sebarang maksud atau makna apa-apa? Cuba lihat, fikir dan bandingkan. Siapakah yang mempunyai rekod yang lebih cemerlang dalam meningkatkan jumlah keahlian UMNO di negara ini…!!!!??” zahirku tegas dan lantang.

Kata-kataku mendapat tepukan gemuruh khususnya dari kalangan Kaum Ibu dan kaum Bapa yang berkecuali. Bagaimanapun, usul itu ditangguhkan untuk perbincangan dan keputusan lanjut akan dinyatakan kemudiannya.

Menjelang akhir bulan Oktober itu juga khususnya pada 28 hb Oktober 1954, pihak berkuasa panitia Bahasa Indonesia, telah mengadakan suatu Kongres Bahasa Indonesia di Medan, Sumatera Utara. Bagi memeriahkan acara, pihak penganjur telah menghantar jemputan kepada banyak organisasi Melayu serata Nusantara.  Sepucuk surat telah dihantar kepada UMNO untuk menghantarkan wakilnya ke Kongres itu.

Perkara ini telah juga dikemukakan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tertinggi UMNO. Pada kesempatan itu, aku merayu agar, aku dipilih menjadi wakil UMNO untuk ke Kongres itu. Selain itu, kesempatan itu, akan memberi peluang kepadaku untuk singgah ke kampungku di Pariaman untuk menemui keluargaku.

Tunku Abdul Rahman Putra telah menyokong agar aku dipilih menjadi wakil UMNO. Bagaimanapun, mesyuarat itu berakhir tanpa sesiapapun yang dipilih untuk menjadi wakil UMNO ke Kongres itu. Apatah lagi, dalam Majlis Tertinggi itu masih terdapat beberapa orang yang kelihatannya, sudah mula memperlihatkan bibit-bibit tidak senang terhadap diriku.

Tunku juga memberikan alasan betapa dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana masa untuk Kongres itu terlalu singkat untuk membuat sebarang passport atau suntikan vaksinasi atau memohon visa dari konsol Indonesia.

Sebenarnya, selain perkara di atas, di dalam  Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu sendiri, terdapat pelbagai pandangan tentang Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia. Ada kelompok yang ingin mengekalkan perbezaan antara Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia. Bagaimanapun, kelompok lain, yang kebanyakan golongan muda, yang kerap menggunakan lenggok bahasa Indonesia, mahukan agar tulisan Bahasa Melayu yang ketika itu berbentuk Jawi di'romanize'kan serta berusaha mencari kesatuan dan memperdekatkan persamaan antara Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia.

Memandangkan peluang untukku ke Indonesia dan terus ‘balik kampung’ sudah tertutup, maka aku meneruskan semula perananku untuk memantapkan lagi penubuhan cawangan baru dan organisasi UMNO. Kali ini, aku pergi atas kapasitiku sebagai seorang Ketua Kaum Ibu UMNO Malaya. Langkahku kali imi adalah ke Sungai Petani Kedah. Aku berada selama dua hari di sana untuk membuka beberapa buah lagi cawangan Kaum Ibu UMNO dan sekaligus cawangan UMNO di beberapa buah kampung sekitar Sungai Petani.

Pada hari ketiganya, aku langsung menaiki keretapi ke Johor Bharu. Sehari kemudian aku terus pula ke Singapura untuk urusan membuka cawangan baru Kaum Ibu UMNO.
Menariknya, atas izin Allah, ketika singgah bertemu kenalan lamaku di sana, aku bertembung dengan kenalanku yang bertugas di pejabat Konsul Indonesia.

“ Kenapa ya, Uni Khadijah, tidak ke Kongres Bahasa Indonesia di Medan nanti?” tanyanya.
“ Oh bukan begitu. Masanya begitu suntuk. Apalagi mahu bikin passport, vaksinasi, tiket lagi, visa lagi,” jawabku.
“ Kenapa tiada masa?” katanya. “ Kalau tentang visa, saya dapatkannya hari ini juga. Nah..Ibu balik semula ke Johor dan buatkan pasport segera. Nanti, saya juga pastikan ibu dapat tiket untuk penerbangan ke Medan,” katanya lagi.

Amat gembira aku mendengar kata-kata temanku itu. Aku bergegas kembali ke Johor Bahru dan meminta suamiku menyediakan satu surat perakuan dari Lembaga Persuratan Melayu, persatuannya, yang memaklumkan bahawa aku adalah wakil dari persatuan itu, kerana UMNO tidak bersedia menghantarku.

Sebaik mendapat surat itu, aku bergegas ke pejabat Imigresen untuk membuat pasportku. Oleh kerana aku adalah seorang bekas tahanan politik, pasportku agak berlainan daripada passport biasa. Tertera dalam pasportku, yang aku masih lagi dalam pengawasan polis. Begitu juga dengan kad pengenalanku.

Untungnya, ramai kakitangan Imigresen itu mengenaliku sebagai seorang pemimpin Kaum Ibu UMNO pusat. Atas alasan itu, mereka dengan rela berusaha mempercepatkan pengeluaran pasportku. Pasportku, dapat mereka siapkan dalam tempoh satu hari. Pada malamnya, suamiku, atas sifatnya sebagai seorang doktor perubatan bertauliah, memberikanku suntikan vaksinasi dan kolera. 

Esoknya, aku bergegas ke Konsul Indonesia untuk urusan visa dan tiket penerbanganku pula. Ternyata, dalam tempoh 24 jam, urusan penerbanganku ke Medan untuk menghadiri Kongres Bahasa Indonesia berjaya dibereskan. Lusanya, rakanku menghantarku ke Lapangan Terbang Changi Singapura dan aku akhirnya tiba juga ke bumi Medan Indonesia, setelah sekian lama meninggalkan bumi itu. 

Terasa, mahu menitis air mataku ketika itu.

Di  Medan, aku tidak menghadapi banyak masalah, kerana kebanyakan Ahli Jawatankuasa Kongres Bahasa itu adalah bekas kenalanku ketika menjadi guru di Indonesia.


BAB 32: POLIMIK PEMILIHAN KETUA KAUM IBU UMNO MALAYA 1954

Pada tahun 1955 telah diadakan satu pilihanraya umum. Sekelian masyarakat dunia sudah maklum bahawa parti Perikatan telah memenangi pilihanraya itu dengan mendapat sokongan padu dan undi bulat dari pergerakan Kaum Ibu UMNO.

Bagaimanapun, sebelum pilihanraya itu, pelbagai peristiwa lain telah terjadi padaku. Pertamanya menjelang pilihanraya khususnya untuk Dewan Undangan Negeri Johor pada bulan Ogos tahun 1954, Kaum Ibu UMNO Johor telah mengadakan satu mesyuarat khas. Dalam mesyuarat itu, aku cadangkan supaya Kaum Ibu UMNO memohon  daripada UMNO Pusat agar beberapa buah kerusi diperuntukkan kepada Pergerakan Kaum Ibu UMNO.

Sekiranya rayuan Kaum Ibu UMNO itu tidak dipenuhi, aku mencadangkan agar Pergerakan Kaum Ibu UMNO tidak akan memberikan kerjasama dengan UMNO pusat termasuk untuk memangkah calon-calon UMNO dan Perikatan.

Cadangan itu menariknya telah dipersetujui dengan sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa Kum Ibu UMNO Johor. Satu surat telah dihantar kepada Setiausaha Agong UMNO mengenai cadangan itu.

Setelah aku meninggalkan bumi Johor untuk meneruskan tugasku membuka banyak lagi cawangan Pergerakan Kaum Ibu UMNO di negeri-negeri lain, Setiausaha Agong UMNO telah memanggil kesemua Ahli Jawatankuasa Kaum Ibu UMNO Johor untuk berbincang mengenai soal itu. 

Setelah didesak,  mereka katakan cadangan itu datangnya daripadaku. Kaum Ibu UMNO Johor kelihatannya  cuba melepaskan tengkok dengan meletakkan seluruh kesalahan itu kepadaku. Memang benar aku mencadangkan idea itu, tetapi dalam konsep berorganisasi, keputusannya adalah secara bersama dan dipersetujui secara bersama juga.

Ternyata, perkara ini telah menimbulkan kemarahan Setiausaha Agong UMNO. Dia menasihati Kaum Ibu UMNO supaya tidak lagi mendesak pihak UMNO pusat, sebaliknya mempergiatkan lagi usaha dan terus berbakti kepada UMNO.

Sejak peristiwa itu, Setiausaha Agong UMNO mula memperlihatkan perasaan tidak senangnya kepada diriku. Keadaan ini tergambar dalam Mesyuarat Agong UMNO serta pemilihan Ketua Kaum Ibu UMNO yang baru di Pulau Pinang pada bulan Oktober 1954.
Sebelum pemilihan dijalankan, semua cawangan Kaum Ibu UMNO diminta bermesyuarat serta mencadangkan calon untuk mengetuai Kaum Ibu UMNO Malaya. Kebetulan, kebanyakan nama yang mereka cadangkan adalah namaku.  Ada juga yang mencadangkan Cik Halimaton dan Ibu Zain.

Kesemua cadangan itu telah dimajukan kepada pejabat Setiausaha Agong UMNO Pusat.  Setiausaha kemudiannya telah menghantar surat persetujuan kepada setiap calon termasuk diriku. Aku telah menyatakan persetujuanku terhadap pencalonan itu.

Anehnya, sebaik saja menerima surat makluman mengenai persetujuanku menerima pencalonan itu, Setiausaha Agong UMNO ketika itu, menegurku..

“ Kenapa Cik Khatijah nak jadi Ketua? Bukankah sekarang ni pun sudah jadi Pemangku Ketua dan Setiausaha Hal Ehwal Wanita UMNO Pusat?” zahirnya dengan nada suara yang agak menjengkilkan.

“ Tak salah kan, jika Pemangku Ketua bersetuju menerima pencalonan untuk menjadi Ketua Kaum Ibu UMNO,” jawabku. “ Tambahan pula, bukan nama saya seorang. Ada dua nama lagi, Cik Halimaton dan Ibu Zain. Yang penting biarlah wakil cawangan Kaum Ibu UMNO serata Malaya, memilih secara bebas siapa yang mereka mahukan untuk memimpin Kaum Ibu UMNO Malaya nanti,” tambahku lagi.

Salah seorang calon Ketua Kaum Ibu UMNO, Cik Halimaton adalah isteri seorang Pegawai Daerah di sebuah kawasan berhampiran Kuala Lumpur. Suatu hari, ketika berada dalam satu majlis  di mana dia turut serta, aku telah berbincang mengenai soal itu kepadanya.  Kukatakan, sekiranya dia berhasrat untuk meneraju Kaum Ibu UMNO Pusat, aku sedia untuk menarik semula persetujuan pencalonanku dan hanya kekal sebagai Setiausaha Hal Ehwal Wanita dalam Jawatankuasa Induk UMNO saja.

“ Maaflah Cik Khadijah,” katanya. “ Saya tidak sedia menjadi Ketua Kaum Ibu UMNO, kerana masalah kesihatan.. Doktor telah menasihatkan saya untuk banyak berihat, “ tambahnya lagi.

Berdasarkan keadaan itu, aku berfikir, oleh  kerana dia tidak bersedia untuk bertanding atas masalah kesihatan, kemungkinan besar dia nantinya akan menarik diri. Bagaimanapun, keadaan itu tidak benar-benar terjadi. Apabila Mesyuarat Agong UMNO di Pulau Pinang pada bulan Oktober 1954 itu berlangsung, khususnya pada agenda perlantikan Ketua Kaum Ibu UMNO, aku dapati namaku, selain nama Ibu Zain, nama Halimaton terdapat dalam senarai calon. Anehnya, namaku pula yang tercicir dari senarai pencalonan itu.

Aku benar-benar hairan dengan kewujudan keadaan itu. Begitu juga dengan kebanyakan delegasi  pelbagai cawangan Kaum Ibu UMNO serata Malaya. Ramai di antara mereka  menerpa ke arahku dan bertanya kenapa aku menarik diri atau kenapa namaku tiada dalam senarai calon untuk jawatan Kaum Ibu UMNO Malaya.

Aku benar-benar marah dengan keadaan itu. 

Padaku, Jika sekiranya, mereka tidak bersedia menerima pencalonanku atau mahu namamu digugurkan, sekurang-kurangnya pihak Setiausaha Agong UMNO, perlu memaklumkan kepadaku  terlebih dahulu.

Aku segera menemui Setiausaha Agong UMNO Malaya serta bertanya mengenai soal itu. Malangnya, Setiausaha Agong itu memperlihatkan sikap angkuh dan sombong serta tidak mahu langsung melayan bantahanku. DIa tetap mengekalkan nama Ibu Zain dan Halimaton sebagai calon Ketua Kaum Ibu UMNO.

Sebelum persidangan untuk pemilihan khas jawatan Kaum Ibu UMNO dijalankan, salah satu agenda mesyuarat adalah laporan aktiviti dan kegiatan Jawatankuasa Hal Ehwal Kaum Ibu UMNO Malaya. Aku, sebagai Setiausaha Khas bagi biro itu, mengambil kesempatan untuk 'menyelar'  Setiausaha Agong UMNO  berhubung  isu pencalonan bagi  jawatan Ketua Kaum Ibu UMNO pusat.

“Jika beginilah sikap dan perangainya sebagai seorang pemimpin besar UMNO, di manakah letaknya makna demokrasi. Apakah sebenarnya tafsiran demokrasi yang ada dalam kepada Tuan Setiausaha Agong UMNO ini? Dia sendiri yang memberikan arahan kepada setiap cawangan Kaum Ibu UMNO untuk mengadakan mesyuarat dan  mencadangkan nama calon untuk jawatan Ketua Kaum Ibu UMNO.”

“ Apabila, segala ini telah dilakukan, Setiausaha Agong UMNO inilah juga telah sewenang-wenangnya, bertindak membelakangi hasrat setiap ahli cawangan dan tidak mengendahkan hasrat sebenar masyarakat kampung. Orang-orang kampong hanya digunakan semata-mata untuk kepentingan diri.”

“ Soalnya, apakah ini bentuk polisi dan bentuk demokrasi yang mahu diterapkan atau mahu dijadikan amalan ahli-ahli dalam parti UMNO ini nanti..!!!!?” bentakku keras dan deras.

“ Jika inilah keadaannya dan kalau beginilah bentuk sikap perangai UMNO dan orang UMNO, maka saya, dengan lafaz 'Bismillaa hirrahmaa nirrahim', menarik diri dari semua jawatan saya dalam UMNO dan mengisytiharkan keluar dari parti UMNO,” zahirku lantang dan terus meninggalkan dewan mesyuarat itu.