Pada tahun 1955 telah
diadakan satu pilihanraya umum. Sekelian masyarakat dunia sudah maklum bahawa
parti Perikatan telah memenangi pilihanraya itu dengan mendapat sokongan padu
dan undi bulat dari pergerakan Kaum Ibu UMNO.
Bagaimanapun, sebelum pilihanraya
itu, pelbagai peristiwa lain telah terjadi padaku. Pertamanya menjelang
pilihanraya khususnya untuk Dewan Undangan Negeri Johor pada bulan Ogos tahun
1954, Kaum Ibu UMNO Johor telah mengadakan satu mesyuarat khas. Dalam mesyuarat
itu, aku cadangkan supaya Kaum Ibu UMNO memohon daripada UMNO Pusat agar beberapa buah kerusi diperuntukkan kepada Pergerakan Kaum Ibu UMNO.
Sekiranya rayuan Kaum Ibu
UMNO itu tidak dipenuhi, aku mencadangkan agar Pergerakan Kaum Ibu UMNO
tidak akan memberikan kerjasama dengan UMNO pusat termasuk untuk memangkah
calon-calon UMNO dan Perikatan.
Cadangan itu menariknya
telah dipersetujui dengan sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa Kum Ibu UMNO
Johor. Satu surat telah dihantar kepada Setiausaha Agong UMNO mengenai cadangan
itu.
Setelah aku meninggalkan
bumi Johor untuk meneruskan tugasku membuka banyak lagi cawangan Pergerakan
Kaum Ibu UMNO di negeri-negeri lain, Setiausaha Agong UMNO telah memanggil
kesemua Ahli Jawatankuasa Kaum Ibu UMNO Johor untuk berbincang mengenai soal
itu.
Setelah didesak, mereka katakan
cadangan itu datangnya daripadaku. Kaum Ibu UMNO Johor kelihatannya cuba melepaskan tengkok dengan meletakkan
seluruh kesalahan itu kepadaku. Memang benar aku mencadangkan idea itu, tetapi
dalam konsep berorganisasi, keputusannya adalah secara bersama dan dipersetujui
secara bersama juga.
Ternyata, perkara ini telah menimbulkan kemarahan Setiausaha Agong UMNO. Dia menasihati Kaum Ibu UMNO
supaya tidak lagi mendesak pihak UMNO pusat, sebaliknya mempergiatkan lagi usaha
dan terus berbakti kepada UMNO.
Sejak peristiwa itu,
Setiausaha Agong UMNO mula memperlihatkan perasaan tidak senangnya kepada
diriku. Keadaan ini tergambar dalam Mesyuarat Agong UMNO serta pemilihan Ketua
Kaum Ibu UMNO yang baru di Pulau Pinang pada bulan Oktober 1954.
Sebelum pemilihan
dijalankan, semua cawangan Kaum Ibu UMNO diminta bermesyuarat serta
mencadangkan calon untuk mengetuai Kaum Ibu UMNO Malaya. Kebetulan, kebanyakan nama yang mereka cadangkan adalah namaku.
Ada juga yang mencadangkan Cik Halimaton dan Ibu Zain.
Kesemua cadangan itu telah
dimajukan kepada pejabat Setiausaha Agong UMNO Pusat. Setiausaha kemudiannya telah menghantar surat
persetujuan kepada setiap calon termasuk diriku. Aku telah menyatakan
persetujuanku terhadap pencalonan itu.
Anehnya, sebaik saja
menerima surat makluman mengenai persetujuanku menerima pencalonan itu,
Setiausaha Agong UMNO ketika itu, menegurku..
“ Kenapa Cik Khatijah nak
jadi Ketua? Bukankah sekarang ni pun sudah jadi Pemangku Ketua dan Setiausaha
Hal Ehwal Wanita UMNO Pusat?” zahirnya dengan nada suara yang agak
menjengkilkan.
“ Tak salah kan, jika
Pemangku Ketua bersetuju menerima pencalonan untuk menjadi Ketua Kaum Ibu
UMNO,” jawabku. “ Tambahan pula, bukan nama
saya seorang. Ada dua nama lagi, Cik Halimaton dan Ibu Zain. Yang penting
biarlah wakil cawangan Kaum Ibu UMNO serata Malaya, memilih secara bebas siapa
yang mereka mahukan untuk memimpin Kaum Ibu UMNO Malaya nanti,” tambahku lagi.
Salah seorang calon Ketua
Kaum Ibu UMNO, Cik Halimaton adalah isteri seorang Pegawai Daerah di sebuah kawasan
berhampiran Kuala Lumpur. Suatu hari, ketika berada
dalam satu majlis di mana dia turut
serta, aku telah berbincang mengenai soal itu kepadanya. Kukatakan, sekiranya dia berhasrat untuk
meneraju Kaum Ibu UMNO Pusat, aku sedia untuk menarik semula persetujuan
pencalonanku dan hanya kekal sebagai Setiausaha Hal Ehwal Wanita dalam
Jawatankuasa Induk UMNO saja.
“ Maaflah Cik Khadijah,”
katanya. “ Saya tidak sedia menjadi Ketua Kaum Ibu UMNO, kerana masalah kesihatan.. Doktor telah menasihatkan saya untuk banyak berihat, “
tambahnya lagi.
Berdasarkan keadaan itu, aku
berfikir, oleh kerana dia tidak bersedia untuk bertanding atas masalah
kesihatan, kemungkinan besar dia nantinya akan menarik diri. Bagaimanapun, keadaan itu tidak benar-benar terjadi. Apabila Mesyuarat Agong UMNO
di Pulau Pinang pada bulan Oktober 1954 itu berlangsung, khususnya pada agenda
perlantikan Ketua Kaum Ibu UMNO, aku dapati namaku, selain nama Ibu Zain, nama Halimaton terdapat dalam senarai calon. Anehnya, namaku pula yang tercicir dari senarai pencalonan itu.
Aku benar-benar hairan
dengan kewujudan keadaan itu. Begitu juga dengan kebanyakan delegasi pelbagai cawangan Kaum Ibu UMNO
serata Malaya. Ramai di antara mereka menerpa ke arahku dan bertanya kenapa aku menarik
diri atau kenapa namaku tiada dalam senarai calon untuk jawatan Kaum Ibu UMNO
Malaya.
Aku benar-benar marah dengan
keadaan itu.
Padaku, Jika sekiranya, mereka tidak bersedia menerima pencalonanku atau mahu namamu
digugurkan, sekurang-kurangnya pihak Setiausaha Agong UMNO, perlu memaklumkan kepadaku terlebih
dahulu.
Aku segera menemui
Setiausaha Agong UMNO Malaya serta bertanya mengenai soal itu.
Malangnya, Setiausaha Agong itu memperlihatkan sikap angkuh dan sombong serta tidak
mahu langsung melayan bantahanku. DIa tetap mengekalkan nama Ibu Zain dan Halimaton sebagai calon Ketua Kaum Ibu UMNO.
Sebelum
persidangan untuk pemilihan khas jawatan Kaum Ibu UMNO dijalankan, salah satu
agenda mesyuarat adalah laporan aktiviti dan kegiatan Jawatankuasa Hal Ehwal
Kaum Ibu UMNO Malaya. Aku, sebagai Setiausaha Khas bagi biro itu, mengambil
kesempatan untuk 'menyelar' Setiausaha Agong UMNO berhubung isu pencalonan bagi jawatan Ketua Kaum Ibu UMNO pusat.
“Jika beginilah sikap dan
perangainya sebagai seorang pemimpin besar UMNO, di manakah letaknya makna demokrasi. Apakah
sebenarnya tafsiran demokrasi yang ada dalam kepada Tuan Setiausaha Agong UMNO
ini? Dia sendiri yang memberikan arahan kepada setiap cawangan Kaum Ibu UMNO
untuk mengadakan mesyuarat dan mencadangkan nama calon untuk jawatan Ketua
Kaum Ibu UMNO.”
“ Apabila, segala ini telah
dilakukan, Setiausaha Agong UMNO inilah juga telah sewenang-wenangnya, bertindak membelakangi
hasrat setiap ahli cawangan dan tidak mengendahkan hasrat sebenar masyarakat
kampung. Orang-orang kampong hanya digunakan semata-mata untuk kepentingan
diri.”
“ Soalnya, apakah ini bentuk
polisi dan bentuk demokrasi yang mahu diterapkan atau mahu dijadikan amalan ahli-ahli
dalam parti UMNO ini nanti..!!!!?” bentakku keras dan deras.
“ Jika inilah keadaannya dan
kalau beginilah bentuk sikap perangai UMNO dan orang UMNO, maka saya, dengan
lafaz 'Bismillaa hirrahmaa nirrahim', menarik diri dari semua jawatan saya dalam
UMNO dan mengisytiharkan keluar dari parti UMNO,” zahirku lantang dan terus
meninggalkan dewan mesyuarat itu.
No comments:
Post a Comment