oleh KHATIJAH SIDEK
diterjemah dan diolah semula mengikut kesesuaian teks dari teks asal bahasa Inggeris
oleh Sudirman Haji Rosli.
" Ibu carikan kamu seorang Ustaz. Orangnya jugak ganteng. Ada ilmu ugama lagi. Anak kawan ibu," begitu satu hari pujuk ibuku.
Aku tersenyum dengan keinginan dan kesungguhan ibu mahu mencarikan pasangan hidup untukku. Seketika aku melihat ke sekeliling. Ramai teman-teman yang sebayaku sudah menjadi isteri orang. Malahan, ada yang lebih muda dariku, sudah mula menggelek anak kecil.
Sebenarnya, berkahwin pada usia menginjak 16 tahun, pada waktu itu di kampungku adalah sesuatu yang lumrah. Malah, bagi anak-anak gadis yang mula melepasi usia 17 tahun dan tidak berkahwin, sudah mula menjadi bahan percakapan orang. Perkara inilah yang cuba dielakkan oleh ibu apabila beliau mencadangkan agar aku menghentikan hasrat untuk terus bersekolah dan memberikan fokus ke alam perkahwinan.
" Bagaimana Tijah? " desak ibu apabila aku tidak berkata apa-apa.
Aku melerek ke arah ayah. Ayah kelihatannya tidak senang dengan saranan ibu. Sebagaimana yang telah aku catatkan, ayahku mempunyai cita-cita besar terhadapku. Dia mahu aku menjadi orang terpelajar dan tepatnya menjadi seorang doktor.
" Begini saja ibu. Ijah rasa, ada sesuatu hasrat yang mahu Ijah gapai dalam hidup. Esok, Ijah mahu ke kantor Pegawai Daerah....," akhirnya terburai juga, apa yang sedang terbuku dalam hatiku.
" Ke kantor Pegawai daerah? Buat apa? Kenapa...?" lahir ibu terkejut besar. Ayah kelihatan hampir terbeliak biji matanya, kerana kurang percaya kata-kata itu lahir dari anak gadisnya itu.
" Ijah mahu protes. Penyingkiran Ijah dari sekolah di Padang itu, bukan kerana masalah pelajaran Ijah, tetapi lebih dari masalah politik," zahirku tegas. Aku benar-benar nekad kini.
" Benar, Ijah mahu ke kantor Pegawai daerah?" tanya ayah, yang mula tertarik dengan keberanian dan kedegilan anaknya ini.
" Benar. Esok Ijah akan ke sana..."
Esok paginya, dengan rasa penuh nekad, aku terus berbasikal untuk bertemu dengan Pegawai Daerah, yang juga seorang Belanda. Sebelum bertolak, ibu dan ramai teman-teman ibu melarangku, kerana kuwathir tindak balas dari orang Belanda. Apatah lagi, orang yang ingin aku temui, bukan sebarang orang. Seorang orang besar daerah dan seorang Belanda.
Lama juga, aku berlegar-legar di luar pejabat orang besar itu. Kakitangan kantor orang tempatan , yang mengetahui hasratku, juga berusaha untuk menegahku dari bertemu dengan pegawai itu. Akhirnya, dengan penuh ragu-ragu, aku memberanikan diri menemuinya.
Ternyata, pegawai Belanda itu, bukanlah jenis manusia yang sombong atau begitu menakutkan sebagaimana yang difikirkan oleh kebanyakan orang. Ia melayani aku dengan begitu baik serta mendengar kata-kataku dengan penuh teliti.
Mungkin, ia agak terkejut, dengan wibawa seorang anak gadis Melayu yang bisa bertutur dengan fasih dalam bahasa Belanda. Atau mungkin, beliau rasa tertarik dengan keberanian seorang anak gadis yang cuba mempertahankan haknya serta menuntut keadilan.
Ternayata, pegawai Belanda itu bersimpati dengan nasibku. Beliau akhirnya membantuku untuk menyambung pelajaranku ke sebuah sekolah rakyat Melayu di Padang. Bagaimanapun, aku perlu berada kembali di darjah enam dan mengambil peperiksaan semula.
" Macam mana ni Ijah. Kamu kan sudah kelas menengah. Kini balik semula ke sekolah dasar lagi. Ambil periksa lagi. Ayah tidak setuju dan ayah mahu menolaknya..," zahir ayah agak kecewa. Harapannya, melalui keberanian anaknya itu, anaknya mungkin dikembalikan semula ke sekolah lama atau sekurang-kurangnya dipindahkan ke sekolah menengah yang lain.
" Umur kamu juga sudah lebih 15 tahun..." tambahnya agak kecewa.
Lanjutan dari itu, ayah kemudiannya mengutus surat kepada Pegawai Daerah serta menolak tawaran itu. Tindakan ayah itu benar-benar mengecewakan aku. Tindakan itu juga bermakna, aku tidak akan lagi dapat berpeluang untuk bersekolah atau melanjutkan pembelajaranku ke peringkat yang lebih tinggi yang menjadi hasrat dan keinginanku juga ayah.
Sebagai tanda protes, aku melepaskan geram dengan menguncikan diriku di dalam kamar. Aku menangis teresak-esak sepanjang hari. Ibu ternyata gelisah dengan keadaanku. Begitu juga ayah dan saudaraku yang lain. Akhirnya, ayah terpaksa menarik semula surat yang dikirimkan kepada Pegawai Daerah.
Esoknya, ayah menghantarku ke Padang, ke rumah adiknya bagi membolehkan aku meneruskan pelajaranku di sana.
Bapa saudaraku pada hari berikutnya membawaku menemui Kepala (Ketua) Sekolah Rendah. Aku ditempatkan di darjah enam dan terpaksa mengambil peperiksaan sekali lagi.
Bagaimanapun, di sekolah baruku ini, aku dilumuri dengan satu masalah baru. Bahasa pengantarnya adalah bahasa Melayu sedangkan aku sebelumnya berbahasa pengantar bahasa Belanda di sekolah yang lalu. Aku acapkali terkeliru dengan istilah-istilah serta kurang fasih dalam tulisan jawi.
Syukurnya, bapa saudaraku maklum tentang masalahku. Setiap malam, bapa saudaraku meminta seorang guru mengajarku ejaan jawi. Malah ada kalanya aku terpaksa berjaga hingga pukul tiga pagi untuk mengulangkaji pelajaranku.
Ternyata, segala penat lelahku berhasil juga. Dari seramai 500 orang pelajar seluruh Sumatera Barat yang menduduki peperiksaan pada akhir tahun, aku muncul sebagai pelajar terbaik. Keputusan ini, benar-benar menggembirakan diriku.
Aku sudah bersiap sedia untuk menyambung pelajaranku ke sekolah menengah Belanda, apabila 'malapetaka' muncul sekali lagi. Pegawai Pendidikan telah menerima pelbagai surat bantahan dari ibubapa yang anaknya gagal melanjutkan pelajaran.
Menurut pelbagai aduan itu, umurku ketika itu 15 tahun, adalah lebih dari kelayakan yang sepatutnya. Tambahan pula aku pernah belajar darjah sembilan di sekolah Belanda. Namaku akhirnya digugurkan dari senarai mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah Belanda. Keadaan ini sekali lagi mengecewakanku.
Bapa saudaraku turut kecewa dengan perkara ini. Beliau, memaklumkan betapa, langkah terbaik adalah dengan pulang semula ke Pariaman. Tapi, sebagaimana sebelumnya, aku bukanlah seorang manusia yang mudah menyerah kalah. Keesokannya, aku bergegas ke Pejabat Pegawai Pendidikan Padang.
Pertemuan pertama dengannya berakhir dengan kegagalan.
Aku keluar dari biliknya dengan perasaan penuh kecewa. Bagaimanapun, aku tidak terus pulang ke rumah. Aku terus mundar-mandir di hadapan biliknya, sambil berfikir, apakah langkahku seterusnya. Akhirnya, aku tekad untuk menemui Pegawai Pelajaran itu semula.
" Umur kamu sudah tinggi dan melepasi kelayakan. Itu alasan terbaik kenapa saya menolak kamu dari melanjutkan pelajaran ke sekolah Belanda," ujarnya, sama seperti pertemuan sebelumnya.
" Betul tuan. Betul umur saya lebih tinggi," akhirnya terfikir aku jawapan terbaik untuk menarik simpati dan bantuannya. " Justeru, kalau begitu, kenapa tidak dicuba saya di darjah yang lebih tinggi..?" tambahku harap-harapan.
Jawapan spontanku, ternyata membuatkan Pegawai Pelajaran itu terdiam seketika. Matanya memandangku dengan penuh aneh. Lama dia begitu, seolah-olah memikirkan sesuatu. Dan aku pasti fikiran itu, adalah lebih cenderung kepada butir-kata anak gadis yang degil ini.
Akhirnya, Pegawai Daerah itu tersenyum senang sambil menggeleng-geleng kepala. Mungkin dia sedang ketawa lucu memikirkan kewujudan seorang anak gadis Melayu yang degil tetapi petah dan penuh keberanian, yang tidak kelihatan pada diri anak-anak gadis lain seusianya atau lebih.
Beliau akhirnya bersetuju membenarkanku meneruskan pelajaran langsung ke Menengah tiga.
" Tapi tuan, saya hanya mahir Bahasa Melayu selama setahun. Saya kira ada baiknya jika saya dicuba di menengah dua dulu," rayuku.
Akhirnya, beliau bersetuju dengan permintaanku. Malah beliau bercadang untuk memberikanku biasiswa kerajaan. Aku menolaknya, dengan alasan ayahku seorang pedagang dan mampu membiayai pelajaranku. Aku akhirnya meneruskan pelajaranku di Sekolah Menengah Melayu dari bulan Ogos 1933 hingga 1936.
Di situlah aku berkenalan dengan lima orang sahabat baruku. Kami menubuhkan satu kumpulan yang dipanggil Ardsjasni.
AKAN DATANG: Siapa menganggotai Ardsjasni dan kenapa kumpulan ini ditubuhkan...
JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK
No comments:
Post a Comment