oleh: Khatijah Sidek.
Tidaklah terkirakan lagi, banyak doa kesyukuran aku limpahkan kepada Ilahi. Sesungguhnya, kewujudan sikap manusia yang tidak sudi membantuku, ternyata mempunyai sebab yang tersendiri. Tentunya, ia ada kaitan dengan kemungkinan sesuatu yang lebih buruk akan terjadi kepada diriku dan seluruh kaum keluargaku.
Ternyata, hanya Ilahi yang lebih mengetahuinya.
Dengan segera, dalam kedinginan dinihari, aku berkemas sakan dan menyembunyikan senjata itu. Sebahagiannya aku sembunyikan dalam pasu bunga. Yang lain, aku sembunyikan di mana saja yang agak terlindung. Setelah selesai, aku duduk berihat seketika.
Tiba-tiba mataku terkilas pintu loteng rumah yang sedikit terdedah. Setahuku, pintu loteng rumah itu, tidak pernah dibuka kecuali jika kami ingin menyimpan atau mengambil sesuatu darinya. Loteng itu, umumnya kami gunakan untuk menyimpan barangan lama yang tidak digunakan lagi atau untuk digunakan semula suatu hari nanti.
Perasaan ingin tahuku, menggerakkan aku untuk memanjat tangga ke loteng rumah itu.
Sekali lagi, hatiku kegemparan yang amat sangat. Di loteng rumahku itu terdapat lebih banyak lagi senapang dan senjata api yang dibiarkan berselerakan. Segera, dengan keadaan bersusah-payah, senapang-senapang dan senjata api itu, aku angkut sedikit demi sedikit turun ke bawah.
Ketika berfikir-fikir dan mencari-cari tempat yang sesuai untuk menyembunyikan senjata-senjata itu, mataku tiba-tiba menampan selonggok senjata api yang agak tersembunyi di penjuru loteng itu. Jumlahnya anggaran dua puluh buah. Sekali lagi hatiku menjadi gempar. Dengan segera kesemua senjata itu aku punggah dan bawa turun ke bawah. Tindakan lanjutku adalah membawa kesemua senjata itu keluar rumah.
Berhampiran rumahku terdapat sebuah rumah perempuan tua yang tinggal bersendirian. Ia selalu mengumpulkan daun-daun kelapa kering dan sabut kelapa untuk digunakan sebagai bahan bakaran. Oleh itu, kesemua senjata itu aku bawa ke sana. Aku sempat menggali sebuah lubang di bawah himpunan sabut itu dan meletakkan senjata-senjata api itu di dalamnya. Lubang itu aku kambus semula dan di atasnya aku litupi dengan longgokan sabut-sabut dan daun kelapa kering itu.
Aku benar-benar kepenatan, setelah melakukan tugas itu. Jam ketika itu sudah menghampiri tiga pagi.
Tiba-tiba ingatanku terpalit kepada coretan tulisan yang terdapat pada dinding-dinding rumahku. Tulisan-tulisan itu sama bahayanya dengan senjata-senjata api itu. Dengan segera aku bergegas kembali ke rumah. Tulisan-tulisan yang mencemuh tentera-tentera Jepun itu aku padamkan dengan menggunakan air teh yang terdapat pada teko-teko yang juga berselerakan.
Aku benar-benar lega apabila segala tugas itu selesai kujalankan. Mulutku dan hatiku tidak putus-putus bersyukur kepada tuhan kerana membantuku pada saat-saat sebegini. Ada kalanya, aku merasa hairan, bagaimana dalam masa yang begitu singkat, aku mampu menyelesaikan segala-galanya. Mungkin tuhan mengasihaniku.
Setelah berihat seketika, aku pergi mandi dan membersihkan diri. Sebaik saja aku selesai mengerjakan sembahyang subuh, terdengar tapak kaki berlari berhampiran ke rumahku. Bunyi tapak kaki itu ternyata semakin kuat dan jelas sekali ia menuju ke rumahku. Aku benar-benar jadi kaget ketika itu.
" Uni (kakak) Jah. Uni Jah....!!!?" terdengar laungan kuat di muka pintu sebaik saja bunyi tapak kaki itu berhenti. Suara itu berbaur dengan nafas yang kecungapan.
" Uni Jah...Uni Jah...," lahir suara itu lagi. Dengan segera aku menyelak tingkap dan mendapati suara itu datang dari seorang anak muda kampungku yang aku kenali. Namanya kupanggil Bujang.
" Jang ke tu..?"
" Ya..." lahir anak muda itu dalam nada yang masih kecungapan.
" Kenapa Jang..?"
" Baik Uni tinggalkan tempat ini. Jepun sudah sampai ke kampung kita.." lahirnya.
" Sudah sampai ke kampung kita...1?"
" Ya Uni. Lekas. Lari lekas. Jepun nak datang ke rumah ini," lahirnya. Suaranya ternyata amat gelisah sekali.
Mendengar itu, aku bergegas turun dan mengekor Bujang. Dalam perjalanan itu, Bujang memberitahuku, Jepun telah menahan dan mendera seorang perempuan yang disangkakan diriku. Setelah mengetahui perkara yang sebenarnya, Jepun kini sedang bergegas dan dalam perjalanan ke rumahku untuk menangkapku.
Bagi mengelakkan pihak Jepun terus menyiksa penduduk kampung, akubercadang untuk menyerahkan diri kepada tentera Jepun. Untuk itu, aku menuju terus ke rumah Inspektor Polis tadi kerana ingin menyerah diri.
Sebaik saja aku tiba di sana, kelihatan sudah berkumpul beberapa orang ketua pemuda. Mereka rupa-rupanya telah mencariku dan akhirnya berkumpul di sana menanti hingga aku muncul. Di rumah Inspektor Polis itu, sudah tersedia sebuah kereta yang akan membawaku keluar dari bumi Pariaman.
Aku beritahu mereka hasratku untuk menyerahkan diri kepada Jepun. Mereka segera menentang hasratku.
" Itu satu ide yang tidak wajar. Tidak ada baiknya cara begitu. Jepun adalah monyet bukan manusia," kata mereka. " Akhirnya pasti buruk nanti."
Mereka mendesakku supaya meninggalkan bumi Pariaman dan bersembunyi di Bukit Tinggi.
" Ibu adalah tenaga penting kami. Pemergian ibu bukan bererti kita tewas, tetapi satu langkah terbaik untuk kita bagi menyusun kembali agenda perjuangan kita selanjutnya," tekan mereka lagi.
Akhirnya setelah berfikir masak-masak dan berbincang akan buruk dan baiknya tindakan meninggalkan bumi Pariaman, maka aku akhirnya bersetuju dengan rancangan mereka. Menjelang jam enam pagi, aku bergerak keluar meninggalkan bumi Pariaman dengan kereta itu. Bersamaku terdapat empat orang pemuda lain. Inspektor Polis kenalanku, bertindak sebagai pemandu dan ia memakai pakaian seragam. Aku duduk di sebelahnya.
Sepanjang perjalanan ke Bukit Tinggi, hatiku benar-benar dipaut debar dan gelisah.Takut, gentar, seram dan pelbagai macam perasaan dan fikiran bermain di fikiranku. Apa tidaknya. Di sepanjang jalan itu, terdapat banyak sekatan jalan raya oleh tentera Jepun.
Bagaimanapun, kami tidak dipengapakan oleh Jepun, kerana Jepun menghormati Inspektor Polis ini. Setiap kali Jepun bertanyakan diriku, Inspektor Polis itu memberitahu, aku adalah isterinya.
Kami akhirnya, sampai juga di Bukit Tinggi tanpa sebarang masalah. Aku benar-benar bersyukur dengan Tuhan kerana menyelamatkan diriku dan memudahkan perjalananku.
Aku mendapat tahu kemudian dari ibuku, dua puluh minit setelah aku meninggalkan rumahku untuk ke rumah Inspektor Polis ini, Jepun telah mengepung rumahku. Mereka datang dari tiga arah dan mencariku di mana-mana. Setelah mereka putus asa, mereka akhirnya bergerak mencari ibuku di rumah saudara kami.
" Kamu semua telah bunuh anak saya," bentak ibu sambil menangis teresak-esak. " Sudah lama Khatijah tidak balik rumah..." lahir ibu lagi.
" Tidak. Kami tidak bunuh dia sebab dia cikgu kami. Kami cuma mahu bercakap dengan dia," balas pegawai Jepun yang serba-salah kerana laungan dan tangisan ibuku.
" Bohong....! Kamu semua pembohong....!!!!<" bentak ibuku lagi. " Ibu sudah lama tak jumpa Tijah. Kamu sudah bunuh dia....!!!" jerit ibuku deras dan kuat..
Jepun yang semakin serba-salah itu akhirnya terus mengalah. Bagaimanapun, mereka kelihatannya kerap datang secara tiba-tiba dan menggelidah rumah untuk mencariku.
Akan datang: Cik Aminah Bukit Tinggi.
'JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK'
No comments:
Post a Comment