Tuesday, February 15, 2011

CATATAN TERAKHIRKU - BAHAGIAN 9 - MEMBANGUN PUTERI KESATRIA


oleh: KHATIJAH SIDEK

Perjalanan antara Pariaman ke Bukit Tinggi, tidaklah begitu jauh berbanding dari Padang ke Bukit Tinggi. Namun, perjalanan itu begitu mendebarkan. Kehadiran teman-teman termasuk Pegawai Polis sahabatku itu, banyak membantu menenangkan perasaanku

Kehadiranku ke Bukit Tinggi, ternyata sudah dimaklumkan oleh teman-teman di Pariaman. Tidak hairan, sebaik saja aku tiba di sana, kawan-kawanku segera datang menemuiku. Mereka memberiku pakaian kerana aku melarikan diri sehelai sepinggang. Mereka benar-benar bersimpati denganku.

" Kami akan menolong kamu kerana perjuangan," begitu kata mereka.

Adikku adalah salah seorang pemimpin Persatuan Puteri Bukit Tinggi. Ia memintaku membantunya untuk mengembangkan persatuannya ke kampung-kampung. Aku membantunya dan di setiap kampung-kampung yang kukunjungi, aku memperkenalkan diriku sebagai Aminah dari Padang.

. Sebagaimana biasa, aku hadir untuk memberi ceramah dan berkempen di sebuah kampung berhampiran Bukit Tinggi. Setelah selesai berceramah, beberapa wanita yang hadir mendengar ceramahku, kelihatan pada mukanya, perasaan seribu tanda tanya. Mereka akhirnya menemuiku setelah majlis itu usai.

" Maaf ya Uni Aminah. Sekadar ingin mendapat kepastian...'" tanya salah seorang dari mereka.
" Tentang apa dik.." tanya saya kembali.
" Ya..dari tadi kami memerhati uni. Cara percakapan uni, malah rupanya sekali, persis seorang yang kami kenali. Apakah mungkin, ibu ini Khatijah?..Ibu Khatijah..?" tanya mereka lagi.

Aku tersenyum senang. Ternyata, masih ramai antara mereka telah mengenali diriku. Lalu secara perlahan aku menyatakan kebenaran pandangan mereka itu.

" Justeru...kenapa Uni mahu bertukar nama jadi Aminah. Bukankah orang lebih mengenali Uni sebagai Khatijah..?"

Aku akhirnya, terpaksa juga memberitahu mereka perihal diriku yang sedang dijejaki oleh Jepun. Aku meminta mereka agar merahsiakan identiti diriku dan tidak mendedahkannya kepada orang lain, bagi menjamin keselamatan diriku. Mereka faham.

Sementara itu, para kepimpinan pemuda di Pariaman, melalui wakil mereka yang melawatku di Bukit Tinggi, menasihatiku supaya tidak kembali ke Pariaman kecuali jika mereka mengutuskan wakil bagi menjemputku. Menurut mereka, Jepun masih belum putus asa menjejakiku dan masih mengawal rumahku.

Dalam masa yang sama, aku dimaklumkan, adikku dan dua lagi pemuda desa telah ditahan oleh Jepun sebagai tebusan. Menurut mereka ketiga-tiga mereka akan dijatuhi hukuman pancung sampai mati andainya aku tidak juga menyerah diri. Keadaan ini, menjadikan aku begitu serba salah. Fikiranku berbolak balik dan kerap juga aku melahirkan keinginan untuk menyerahdiri kepada Jepun demi keselamatan dan nyawa adik lelakiku itu. Malangnya, permintaanku sering disanggah oleh kalangan kepimpinan pemuda dan puteri Bukit Tinggi.

" Indonesia, dalam keadaan sebegini, amat memerlukan kepimpinan ibu," begitu kata mereka.

Aku juga difahamkan kemudian, dua orang lelaki yang ditahan Jepun bersama adikku berjaya melarikan diri. Adikku malangnya, berjaya ditangkap kembali oleh Jepun. Keadaan itu benar-benar membuatkan Jepun marah. Beberapa minggu kemudian, Jepun telah meluluskan dan mengarahkan agar adikku itu, dihukum bunuh dan dipancung sampai mati.

Pada hari adikku mahu dilaksanakan hukuman bunuh, Jepun sudah menyediakan sebuah meja khas. Kepala adikku sudah diletakkan di atas meja pancung itu dan mereka hanya menunggu arahan dari kepimpinan Jepun sahaja. Adikku diperkabarkan menangis dan berdoa terus kepada Tuhan di dalam keadaan yang serba genting itu.

Diperkabarkan juga, ketika Pegawai Jepun itu, mahu keluar untuk menyaksikan dan memberikan arahan supaya hukuman pancung itu dijalankan, dia menerima satu panggilan telefon dari ketuanya di Padang. Tidak lama selepas itu, dia keluar dan mengarahkan orang-orangnya membatalkan hukuman pancung itu dan bersiap sedia kerana tentera Inggeris kini sudah tiba ke Pariaman untuk mengambilalih kuasa di tempat itu.

Adikku lalu dibebaskan oleh mereka. Aku benar-benar memanjatkan syukur pada tuhan kepada menyelamatkan adikku itu.

Sementara itu kegiatan berpersatuan perempuan yang mula kuceburi di Bukit Tinggi, ternyata semakin mendapat sambutan dan sokongan. Kewujudan keadaan ini, ternyata berjaya menarik perhatianku untuk berperanan lebih aktif lagi. Masaku mula dipenuhi dengan pelbagai kegiatan yang bermanfaat. Aku mula menukar sifat persatuan puteri ke arah perjuangan serta membantu pemuda dan tentera berjuang menentang penjajah.

Pada mulanya, aku wujudkan satu jawatankuasa tujuh orang dan berusaha mencari satu kawasan untuk dijadikan markas persatuan wanita kami. Dengan kerjasama pemuda Indonesia, kami mendapat sebuah rumah banglo. Rumah ini adalah sebahagian dari rumah banglo yang ditinggalkan oleh Belanda dahulu.

Rumah banglo itu terletak di atas sebidang tanah seluas satu ekar. Keadaan rumah itu tidak terjaga langsung. Ia kelihatan begitu buruk sekali. Persekitarannya pula ditumbuhi lalang dan semak. Tugas puteri kami adalah membersihkan kawasan itu. Kami berjaya membunuh lima ekor ular tedung ketika itu.

Dengan adanya markas ini, ternyata banyak membantu kekukuhan semangat dan usaha kami. Kami, para pemimpin wanita ketika itu, kerap berbincang bagi mencari kesatuan ide tentang konsep dan identiti anggota kami agar ia nanti dapat dibedakan dengan organisasi wanita lainnya.

Akhirnya, kami memutuskan, persatuan wanita kami ini akan mengarah kepada pasukan sukarela tentera wanita. Tujuannya untuk membantu tentera Indonesia menentang Belanda. Kami bersetuju menamakan persatuan kami, Puteri Kesatria (PK). PK dilahirkan pada 11 November 1944.

Kami berusaha sungguh untuk menambahkan keahlian PK. Ketika itu terdapat juga sebuah persatuan wanita yang dipanggil Keputerian Republik Indonesia (KRI). Kebanyakan ahli-ahlinya terdiri dari kalangan orang berada.

Keahlian PK terdiri dari kebanyakan gadis desa lepasan pendidikan sekolah agama dan gadis-gadis yang gagal mendapat kerja di bandar-bandar. Tidak hairan, KRI kerap memandang rendah. Bagaimanapun, keahlian yang ramai dari gadis desa ini, menjadikan kumpulan kami amat berpengaruh dari KRI. Malah kami mendapat sokongan kuat dari kaum lelaki.

Selain itu, terdapat juga persatuan lain seperti Barisan Keamanan Rakyat (BKR) yang dianggotai oleh pemuda dan Hisbul Wathan, yang lebih militan, sukarelawan sekolah Arab. Satu lagi persatuan wanita adalah Barisan Muslimat (BM). BM mudah dikenali melalui identiti pakaian mereka iaitu pakaian seragam baju kurung dan berselindang.

Kami dalam PK kerap berbincang untuk mencari identiti persatuan kami. Akhirnya kami putuskan untuk memakai pakaian seragam ala tentera, berseluar, berbaju dan bertopi seperti lelaki.

Corak pakaian kami ternyata mendapat reaksi kurang menyenangkan dari masyarakat tempatan khususnya dari kalangan pemimpin agama. Mereka berpendapat, cara berpakaian kami adalah bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan agama. Begitu juga tentangan kami terima dari ketua-ketua pemuda.

Lanjutan dari itu, satu mesyuarat tergempar telah diadakan di Kamang, berhampiran kota Bukit Tinggi. Mesyuarat itu telah dihadiri oleh Datuk Penghulu dan para pemimpin agama tempatan. Aku juga diminta hadir untuk mempertahankan identiti dan pakaian PK.

Dalam mesyuarat itu, aku telah jelaskan kepada mereka kenapa pakaian ala tentera itu yang kami pilih serta membidas sikap mereka kerana menentang tanpa usul periksa.

Dalam hujahku, aku bangkitkan tentang nasib wanita dan gadis pada zaman Jepun. Ketika pihak lelaki berjuang di garis hadapan dan wanita tinggal di rumah, tentera-tentera Jepun telah masuk ke kampung-kampung lalu membuat aniaya serta mencolek adik-adik, anak-anak dan isteri mereka untuk dijadikan pelacur. Yang lain pula mengandungkan dan melahirkan anak-anak haram dari benih Jepun itu.

" Ketika ini berlaku, di manakah bapak-bapak yang alim ini serta Tok Penghulu sendiri...!?", bidasku.

" Kenapakah tiada satupun pertolongan yang datang. Malah masing-masing berdiam diri, mati ketakutan dan membiarkan Jepun berkelaku sewenang-wenangnya."

" Kenapa...ya kenapa ketika itu, bapak-bapak sekelian tidak langsung mahu memikirkan soal agama, walhal Islam menuntut supaya kita berjuang menegakkan maruah agama dari musuh.....!!?, bentakku geram dan amat lantang. Emosiku benar-benar marah dengan sikap hipokrasi mereka.

Aku juga katakan, sekiranya mereka sanggup menentang Jepun ketika itu dan mati kerananya, maka matinya itu tidak sia-sia dan matinya itu mati sahid dan balasannya adalah syurga. Ternyata, hujah dan butir tuturku, benar-benar membuatkan mereka kelemasan dan menjadi amat malu. Jelas sekali tidak ada seorangpun yang baerani maju ke muka untuk menyanggah kata-kataku.

Kataku lagi, seandainya ada sesiapa dari kalangan mereka yang berani berbuat begitu ketika itu, aku sedia menulis sebuah buku mengenai pengorbanan dan perjuangannya dengan tinta emas, dengan dakwat emas dan di atas kertas emas serta aku serta anggota PK akan membangunkan sebuah tugu peringatan bagi mengenangi jasanya.

Ucapan terus terang dan pedasku, membuatkan mereka insaf. Mereka rata-rata mengakui kebenaran kata-kataku itu. Aku kemudiannya menjelaskan tujuan pakaian ala tentera yang kami pilih untuk PK. Ia sebenarnya untuk melatih wanita untuk berpakaian rengkas dan sentiasa bersedia sekiranya musuh menyerang kampung ketika kaum lelaki berada di garis hadapan medan perjuangan.

Sejak hari itu, soal pakaian tidak lagi menjadi masalah. Malah, di mana-mana saja kami berada ketika itu, kami menerima sokongan dari masyarakat. Malah keahlian PK semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Dengan pertambahan ahli PK yang begitu pesat, membuatkan kami kembali berfikir dan merancang satu kurikulum pendidikan yang lebih sempurna. Untuk itu, markas kami, kami jadikan satu pusat pendidikan atau sekolah dengan ciri asas ketenteraan. Kami juga mendapat bantuan dan kerjasama dari kalangan tentera Indonesia untuk melatih mereka.

Setiap pagi, para pelatih bangun pada jam lima pagi untuk bersembahyang subuh. Mereka kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan ditentukan tugas masing-masing seperti membersihkan halaman, berkebun, tugasan dapur dan sebagainya.

Pada pukul tujuh pagi, mereka akan berkumpul untuk perbarisan dan berkawat, lengkap dengan uniform masing-masing. Pada akhir kawat dan perbarisan, mereka berkumpul di hadapan markas untuk mendengar ucapanku. Umumnya, sebaik saja aku muncul, mereka akan menyebut 'MERDEKA'. Ini diikuti pula oleh nyanyian ramai lagu-lagu patriotik termasuk lagu kebangsaan 'Indonesia Raya' dan menaikkan bendera. Selepas ucapan, mereka bersurai dan masuk ke bilik sarapan untuk bersarapan pagi. Hanyalah setelah itu, pelajaran sekolah biasa diadakan.

Aku mendapat bantuan dan kerjasama dari kalangan guru sekolah kerajaan untuk mengajar para pelatihku dalam pelbagai mata pelajaran seperti Ilmu Alam, Geometri dan urusan Rumah Tangga. Kami juga belajar Bahasa Inggeris dan Bahasa Belanda. Dua minggu sekali, para pelatih kami diberikan kursus dan ilmu ketenteraan oleh Tentera Indonesia.

Terdapat juga tiga orang doktor turut memberika kursus mengenai kesihatan, cara-cara membuat ubat-ubatan dan kursus asas perbidanan. Aku pula memberikan kuliah dalam soal politik dan kegiatan sosial dan kemasyarakatan.

Seminggu sekali, para pelatihku diwajibkan untuk bergiat dalam bidang perkebunan. Kami mempunyai sebidang tanah seluas 2 hektar tidak jauh dari markas. Di atas tanah itulah kami tanamkan sayur-sayuran dan pokok-pokok buah-buahan dan herba, bagi keperluan harian kami.

Setiap pagi ketika berangkat ke kebun, para pelatih kami akan berkawat dan bernyanyi beramai-ramai. Tiga bulan sekali, kami akan memetik hasilnya. Sebahagian dari hasil tanaman, kami dermakan kepada tentera. Bakinya kami gunakan untuk keperluan sendiri atau dijual untuk tabungan PK.

Setiap sesi kursus PK adalah selama enam bulan. Bagi setiap sesi terdapat seramai 80 orang pelatih terdiri dari gadis-gadis. Mereka datang dari serata kampung di seluruh Sumatera. Setiap gadis dikehendaki membayar wang untuk keperluan sendiri bagi membeli makanan atau hal-ehwal pembelajaran. Sekiranya mereka tidak mampu, mereka hanya diminta membawa beras.

Kebanyakan kami pemimpin PK terpaksa berkorban demi untuk kemajuan persatuan dan sekolah seperti menyediakan pelbagai kelengkapan asas sekolah. Aku misalnya terpaksa menjual barang-barang kemas milik ibu semata-mata untuk membiayai sekolah itu.

Terdapat sebanyak 40 buah katil kayu dengan beralaskan tikar, dengan bantal menggunakan sabut kelapa dan bukan kekabu sebagaimana lazimnya.

Di Medan, terdapat sebuah kampung yang penduduknya membuat benang dari daun nenas. Aku telah pergi ke Medan untuk membeli benang-benang itu dengan bantuan wang dari pihak tentera. Sebagai balasannya, kami menjahitkan pakaian untuk mereka.

Kami juga menjahit uniform kami sendiri.



Akan datang: FOTO-FOTO EKSKLUSIF KHATIJAH SIDEK


JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK




No comments:

Post a Comment