Selain Perak, aku juga
diminta untuk mengembangkan cawangan Kaum Ibu UMNO di negeri Selangor. Di
negeri itu, aku telah dibawa ke merata-rata tempat seperti ke Kuala Selangor,
Kuang, Kuala Kubu, Kelang, Ulu Langat, Kajang, Sabak Bernam, Sungai Besar, Jenderh Hilir, Rawang, Ulu
Bernam, Kelumpang dan banyak lagi.
Sebagaimana keadaan
perhubungan dan pengangkutan ketika itu yang serba susah, aku acapkali dibawa
dari suatu tempat ke tempat lain dengan menaiki bot dan motorsikal. Banyak
peristiwa pahit yang kualami ketika menubuhkan cawangan-cawangan itu.
Bagaimanapun, aku mendapat kepuasan kerana dengan usahaku itu, banyak cawangan
Kuam Ibu UMNO ditubuhkan.
Malah, aku turut mendapat surat penghargaan
dari UMNO Negeri Selangor.
Cuma mungkin, kawasan yang
agak bermasalah sedikit di Selangor adalah Kuala Lumpur. Pertamanya mungkin
kerana cawangan ini berada dalam sebuah kota besar yang mempunyai tahap
pemikiran masyarakat yang lebih modern dan berpelajaran. Namun, aku merasakan, faktor utama masalahnya adalah,
cawangan Kuala Lumpur tidak mempunyai seorangpun tokoh pemimpin yang disenangi
oleh mereka.
Sebenarnya, memang ada
seorang pemimpin yang berpelajaran tinggi yang pernah memimpin cawangan Kaum
Ibu UMNO Kuala Lumpur. Malah dia juga adalah isteri seorang Pegawai Daerah di sebuah
daerah di Hulu Selangor.
Bagaimanapun, pemimpin ini
tidak begitu berpengaruh dan amat kurang disenangi oleh masyarakat Melayu.
Apatah lagi, pemimpin ini dikabarkan sentiasa saja berpakaian kebaratan dan
kerapkali melanggar adat istiadat dan adap sopan budaya masyarakat Melayu.
Setelah mendengar pelbagai
keluhan mereka, maka aku cuba perlihatkan kepada mereka bagaimana seharusnya
mereka berorganisasi dan membina semula cawangan Kaum Ibu UMNO Kuala Lumpur.
Ketika itu cawangan ini
berpusat di Kampung Baru. Langkah pertamaku untuk menarik perhatian mereka adalah
dengan mencngkan satu aktiviti amal iaitu mengadakan pertunjukan dan persembahan
pentas. Bagi memeriahkan lagi, persembahan pentas itu, ramai artis-artis
terkenal dari Singapura dijemput untuk mengadakan persembahan itu.
Pada peringkat awal,
cadangan ini kurang mendapat perhatian. Namun, setelah aku meyakinkan mereka
akan kebolehan diri mereka dalam mengorganisasi, maka cadangan itu akhirnya
mereka terima.
Persembahan pentas itu,
ternyata memberikan impak yang amat membanggakan. Cawangan Kaum Ibu UMNO Kuala
Lumpur berjaya meraih keuntungan lebih $1000. Dengan wang untung sebanyak
itu, Kaum Ibu UMNO cawangan Kuala Lumpur telah membeli banyak pinggan mangkuk
dan sebagainya.
Pinggan mangkuk ini kemudiannya menjadi disewakan kepada
pelbagai majlis keraian, kenduri-kendara dan sebagainya untuk mengumpulkan dana bagi keperluan aktiviti Kaum Ibu UMNO Kuala Lumpur.
Usaha-usaha yang menjurus
kepada aktiviti kebajikan dan bekerjasama antara sesama mereka ternyata menarik
perhatian ramai kaum ibu. Tidak hairan, tidak lama kemudian, cawangan Kaum Ibu
UMNO Kuala Lumpur mendapat sokongan dan ramai kaum ibu mula menyertai
pergerakan itu.
Keadaan ini kemudiannya
diikuti pula dengan pembukaan pelbagai lagi cawangan Kaum Ibu UMNO di sekitar
Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang berhampiran dengannya. Rasanya aku berada
hamper dua minggu membangun cawangan Kaum Ibu UMNO di kawasan itu.
Suatu hari yang lain,
Pergerakan Pemuda telah membawaku ke Sabak Bernam. Oleh kerana sistem
pengangkutan kurang memuaskan, kami pergi ke sana dengan menaiki motorbot. Dari
Sabak Bernam aku telah dibawa ke kampung di sekitar dengan menaiki motosikal.
Pernah pada suatu masa, aku
terjatuh dari motosikal kerana jalannya licin. Tambahan pula hujan ketika itu
begitu lebat. Pakaian yang kupakai begitu basah dan pakaian lain dalam beg bertaburan di atas
jalan.
Malamnya, badanku terasa
amat panas dan kepalaku terlalu sakit. Aku demam. Seorang doktor tempatan telah
dibawa merawatku serta aku diberikannya satu suntikan.
Walaupun kesihatanku kurang
baik, aku terpaksa juga meneruskan aktivitiku untuk melawat, berceramah serta
membuka cawangan baru di sekitar tempat itu. Di mana saja, aku pergi, telah ramai orang menunggu kehadiranku. Aku
terpaksa juga mengharungi lecak dalam keadaan hujan yang amat lebat untuk tidak
mahu menghampakan mereka serta tetap juga berucap dalam 10 hingga 20 minit.
Selain daripada
tempat-tempat yang aku nyatakan, aku juga turut ke Kedah dan Kelantan serta
negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Setiap kali aku mengunjungi negeri-negeri
itu, pasti saja banyak cawangan baru Kaum Ibu UMNO aku tubuhkan.
Bagaimanapun, satu perkara
yang tidak aku lakukan adalah membuka cawangan Kaum Ibu UMNO Singapura kerana
ketika itu, aku masih tidak dibenarkan masuk ke pulau itu selama 10 tahun.
Suatu hari aku terfikir,
walaupun aku dilarang memasuki Singapura selama 10 tahun, anehnya aku tidak
pernah menerima secara rasmi sepucuk suratpun untuk memaklumkan kepadaku akan
arahan itu. Oleh itu, aku rasakan tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya aku
pergi ke Singapura dengan mendapat izin pihak polis. Mungkin mereka sudah
terlupa akan kes yang berlaku ke atasku dulu.
Jadi pada tahun 1954 aku
mengunjungi Singapura buat pertama kali setelah dibebaskan dari penjara untuk
menubuhkan cawangan Kaum ibu UMNO di situ. Ketika itu David Marshall baru saja
dilantik sebagai Menteri Buruh Singapura.
Kali pertama ke Singapura,
aku tidak disoal=siasat oleh polis. Jadi bagi kali keduanya aku sengaja ke
Singapura bersama suamiku Dr Hamzah untuk menonton wayang mengenai Tien Tsing,
orang pertama yang mendaki dan sampai ke kemuncak gunung Himalaya. Kami menonton di Panggung Pavillion di Jalan
Orchard.
Malangnya ketika kembali
dari Singapura, kereta kami ditahan oleh polis di Tambak Johor. Seorang
daripada mereka meminta kad pengenalanku saja walaupun di dalam kereta itu
terdapat suamiku dan seorang kaum Cina pembantunya di dispensari.
Aku tunjukkan kad
pengenalanku tanpa memberikan terus kepadanya. Ia sekadar menyentuh dan
memandangku ke bawah ke atas. Dia kemudian meminta maaf dan memberitahuku
betapa satu arahan telah diterima dari ibu pejabat untuk menahan dan menangkap
seorang wanita yang bernama Khadijah yang meninggalkan Johor Bahru dari jam 3.30
petang dan masih belum kembali.
Kami bergerak dengan pantas
memasuki Johor Bahru dengan rasa penuh kesyukuran kerana polis itu tidak
mengecamkanku. Mungkin wajahku agak
berbeza sedikit tanpa mengenakan kacamata atau mungkin juga polis itu buta
huruf dan tidak tahu membaca.
“ Syukur…!!!” kata suamiku.
“ Nasib baik dia tak cam kan Jah. Kalau tidak, kita susah nanti. Anak-anak kita
pula tentunya macam anak ayam kehilangan ibu,” tambahnya lagi.
Esoknya, aku memberitahu
Tunku Abdul Rahman Putra, mengenai masalah
yang kuhadapi itu.
Tunku dengan segera
menghubungi CID di Johor dan Singapura untuk bertanya tentang soal ini. Akhir
dari perbincangan itu, Tunku telah membuat satu temujanji dengan Setiausaha
Jabatan Colonial atau Pejabat Tanah Jajahan di Singapura. Aku dibawanya bersama
dalam pertemuan itu. Turut menyertai kami adalah Dr Ismail.
Tunku dan Dr Ismail beria-ia
meyakinkan Setiausaha Jabatan Tanah Jajahan itu akan kedudukanku serta perlunya aku untuk
kerap ke Singapura atas urusan parti UMNO. Akhirnya, Setiausaha Jabatan
Colonial itu, beralah serta bersetuju menarik larangan terhadapku untuk ke
Singapura.
Bagaimanapun, aku dikenakan
syarat iaitu untuk membuat satu surat jaminan dengan bayaran $10,000. Tunku dan
Dr Ismail bertindak sebagai penjaminku.
“ Cik Khadijah,” kata Tunku sebaik saja kami meninggalkan
pejabat Setiausaha Jabatan Colonial atau
Setiausaha Jabatan Tanah Jajahan itu. “Mestilah hati-hati mulai sekarang. Kalau
tidak saya hilang $10,000.”
Ketika pilihanraya Majlis
Bandaran diadakan di Singapura, Dato’ Hamid Jumat, Ketua UMNO cawangan
Singapura, yang isterinya bekas anak muridku di Indonesia, telah memintaku
untuk membantu UMNO dalam kempen dan ceramah.
UMNO ketika itu telah bekerjasama dengan Parti Buruh Singapura di bawah
pimpinan David Marshall.
Perikatan antara Parti Buruh
dan Parti UMNO telah membuahkan kejayaan. Lanjutan dari itu David Marshall
telah dilantik menjadi Ketua Menteri Singapura, sementara Dato’ Hamid Jumat
dilantik sebagai seorang Menteri.
Kesempatan itu aku ambil
untuk memohon pembebasan dari ikatjamin $10,000. Permohonanku telah diluluskan
kemudian dan sejak itu aku bebas untuk keluar masuk Singapura.
Sepanjang penglibatanku
dalam Pergerakan Kaum Ibu UMNO kh ususnya sebagai Setiausaha Hal Ehwal Kaum Ibu
dan Pegawai penerangan , aku telah Berjaya menubuhkan sejumlah 130 cawangan
Kaum Ibu UMNO seluruh Tanah Melayu. Selain itu, terdapat penambahan jumlah ahli
UMNO melalui Kaum Ibunya seramai lebih 10,000 orang ahli.
Sepanjang tempoh itu juga,
bukan saja cawangan pergerakan Kaum Ibu UMNO saja bertambah, malah ia turut
mempengaruhi penubuhan cawangan UMNO Kaum Bapa dan Pemuda. Dalam kata lain, urusan penubuhan cawangan Kaum Ibu UMNO
telah menggerakkan orang-orang Melayu dari Kaum Bapa dan Pemuda untuk bersaing
dan mewujudkan cawangan Parti UMNO di kawasan atau kampung mereka.
Bagi menjadikan Pergerakan
Kaum Ibu lebih menarik perhatian, saya
telah menyusun strategi serta mengaturkan pelbagai aktiviti yang bermanfaat
serta berkebajikan. Setiap ahli UMNO diminta membayar yuran tahunan $1.00 dan
20 sen bagi yuran khairat kematian.
Wang-wang inilah kemudian
digunakan untuk pelbagai aktiviti. Sekiranya ada kematian, maka yuran yang
berupa khairat kematian itu dikumpulkan dan didermakan kepada keluarga simati
yang menjadi ahli UMNO. Wang itu akan digunakan untuk membeli perkakas kematian
seperti kain kafan dan sebagainya. Keadaan ini dengan sendirinya meringankan
beban keluarga simati.
Selain itu, aku juga
menggalakkan supaya diwujudkan pelbagai kegiatan lain seperti majlis pelajaran
agama dan kelas urusan rumah tangga seperti memasak dan menjahit. Bagi
membolehkan semua kegiatan itu dijalankan, aku menggalakkan setiap ahli untuk
mencari sebuah bilik gerakan, walaupun ia sekadar sebuah pondok.
Kesemua hasil jahitan dan
masakan ini, kemudiannya dijual untuk mendapatkan hasil untuk parti pada setiap
hujung minggu. Hasil jahitan dan masakan itu biarlah sentiasa berubah-ubah
serta menarik atau unik atau berbeza dari yang pernah dibuat orang atau dimakan
oleh orang seperti soto ayam atau puding.
Bagi tujuan memperkenalkan
hasil jualan, ahli-ahli kami telah pergi ke pejabat-pejabat kerajaan dan
sekolah-sekolah untuk mencari tempahan. Setiap barangan dan makanan yang
ditempah, mereka perlu ambil sendiri di bilik gerakan dan membayar sekaligus.
Malah, kami juga pernah menjual pelbagai resepi makanan yang kami buat dan
keadaan ini telah menghasilkan pendapatan yang agak lumayan untuk pergerakan
kaum ibu UMNO kami.
Segala aktiviti dan usaha
ini ternyata menjadi satu tarikan kepada Kaum Ibu Melayu untuk menyertai UMNO.
Mereka ketika itu sudah menyedari betapa Parti UMNO bukan lagi sebuah parti untuk
golongan bangsawan dan berpangkat, tetapi sebuah parti untuk rakyat dan seluruh
orang Melayu.
Malah penglibatan mereka dalam parti bukan sia-sia tetapi bermanfaat
kerana banyaknya kegiatan yang berunsur kebajikan dan bimbingan pengetahuan
yang telah dijalankan.
Tidak hairanlah, UMNO ketika
itu, semakin hari semakin pulih dan semakin mendapat sambutan dan sokongan
menyeluruh orang Melayu.
No comments:
Post a Comment