Oleh Khatijah Sidek.
Diterjemah dan diolahsemula mengikut kesesuaian teks,
dari teks asal Bahasa Inggeris oleh Sudirman Haji Rosli.
Ibuku seorang yang kuat agamanya. Atas alasan itu, beliau beria-ia benar mahukan aku menjadi seorang 'Ustazah'. Tidak hairan, jika namaku sendiri diambil dari nama isteri nabi, Siti Khadijah. Setiap hari aku diasuhnya dengan pelbagai ilmu agama.
Suatu hari tanpa pengetahuan ayah, ibu menghantarku belajar agama kepada seorang alim iaitu saudaranya di kampung, kira-kira 11 kilometer dari rumah kami di Kampung Chemparuh.
Ternyata ayah tidak menyenangi tindakan ibu. Ayah mempunyai cita-cita besar terhadapku. Ayah ingin menghantarku hingga ke Universiti. Ayah mahu aku menjadi seorang doktor.
Suatu hari melalui pertolongan seorang teman, aku dilarikan dari rumah saudara ibu. Ayah kemudiannya menghantarku ke sebuah sekolah Belanda, tidak jauh dari rumah. Selama tujuh tahun aku belajar di sekolah itu. Selama tujuh tahun itu aku begitu akrab dengan seorang guruku, Yuffron Destermis. Beliau aku anggap sebagai ibu angkatku.
Apa tidaknya, Cikgu Yaffron yang mengetahui cita-cita ayah, telah menjadikan aku murid istimewanya. Hampir setiap petang, selepas waktu persekolahan, aku akan berada di rumahnya. Aku diajarnya pelbagai ilmu seperti Bahasa Belanda, Sejarah, Ilmu Alam dan Bahasa Melayu.
Sahabat karibku di sekolah Belanda itu adalah seorang gadis Cina, Lee Seng Neo, anak seorang tauke Cina yang tinggal berhampiran rumahku di Pariaman. Apabila tamat persekolahan, kami bercadang dan memohon melanjutkan pelajaran ke Sekolah Convent Middle School, di Padang, sebuah sekolah berasrama.
Bagaimanapun, ketua sekolah, Encik Jensen, tiba-tiba memanggilku pada suatu hari.
' Nampaknya, peluang kamu untuk ke sekolah di Padang tidak berjaya,' katanya bersahaja.
' Kenapa cikgu?' tanyaku penuh kehairanan.
Cikgu Jensen memandangku seketika. ' Sebabnya mudah saja. Peperiksaan kamu gagal,' ujarnya secara selamba lagi.
Wajahku benar-benar sedih ketika itu. Aku tidak percaya aku gagal langsung dalam peperiksaan kerana setiap guru dan kawan-kawanku mengatakan aku adalah seorang pelajar yang pintar.
Aku keluar dari biliknya tanpa berkata apa-apa. Aku kecewa sekali. Hampir-hampir saja aku menangis. Tapi, aku tetap tidak mahu berputus asa, kerana aku yakin, aku telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan itu. Malah aku yakin telah berjaya mengalahkan Lee Seng Neo yang berjaya terpilih ke sekolah itu, dalam peperiksaan itu.
Aku yakin Cikgu Jensen, cuba menyembunyikan hakikat yang sebenarnya dari pengetahuanku.
Esoknya, aku mengajak abang menemaniku ke rumah Cikgu Jensen. Aku mahu dia memberitahuku keadaan yang sebenarnya. Aku tidak takut walaupun umurku ketika itu baru mencecah 13 tahun.
Abang menunggu di luar ketika aku berbincang dengan Cikgu Jensen, kerana dia takut dengan orang Belanda. Aku mendesak Cikgu Jensen untuk berkata yang sebenarnya, apatah lagi bila aku ketahui, dua atau tiga pelajar yang aku dan ramai teman tahu tidak begitu baik pelajarannya telah terpilih ke sekolah Convent itu.
' Cikgu Jensen. Saya yakin, cikgu ada membuat satu kesilapan. Saya rasa yakin, setelah menyemak semula soalan bersama Cikgu Yufron, keputusan peperiksaan saya lulus dengan cemerlang. Dan sekaligus saya layak dipilih ke Convent Padang,' zahirku menghujah lepas satu persatu.
' Walau apapun sebabnya, sekurang-kurangnya tuan pertimbangkan agar saya dapat melanjutkan pelajaran di mana-mana,' desakku lagi.
Akhirnya setelah melihat kesungguhanku itu, Cikgu Jensen mengubah fikirannya dan membatalkan kegagalanku dalam peperiksaan. Bagaimanapun, beliau tidak akan menghantarku ke Sekolah Convent itu, tetapi menjuruskan aku ke sekolah Melayu kerajaan saja.
Ternyata permintaanku ditunaikan tanpa perlu aku mengulangkaji peperiksaan yang dikatakan aku gagal itu. Soal inilah yang kini bermain di fikiranku. Apakah aku benar-benar gagal atau aku sebenarnya menjadi mangsa penyelewengan orang lain?
Berita gembira bagiku, ternyata satu berita sedih buat ibu. Beliau mengharapkan, kegagalanku melanjutkan pelajaran peringkat selanjutnya adalah satu rahmat tuhan bagi membolehkan anak kesayangannya ini tetap ada di hadapan matanya. Mungkin juga anak perempuan ini boleh mula diasuh dan disediakan untuk ke gerbang perkahwinan.
Pada malamnya, ibu dengan raut wajah sedih, menyediakan kesemua pakaianku kerana aku akan bertolak ke Padang esoknya. Sekali lagi, dia akan terpaksa berpisah dengan anak gadisnya itu. Ketika itu tahun 1931.
Di Padang aku ditumpangkan di rumah teman ibu.
Di sekolah baruku itu terdapat sebuah Persatuan Pelajar Indonesia Muda untuk lelaki dan Keputrian Indonesia Muda untuk perempuan. Pelajar-pelajar Indonesia termasukku, diwajibkan menyertai organisasi itu. Bagaimanapun, persatuan kami itu mula dicurigai oleh Belanda, kerana dikatakan berunsur politik. Kami dilarang menyanyi lagu 'Indonesia Raya' dan akan disngkirkan jika didapati berbuat demikian.
Akhirnya, lanjutan dari sikap degil kami (jika sesuatu berkaitan dengan negara Indonesia), maka pada akhir 1933, 30 orang pelajar lelaki dan perempuan termasuk aku telah disingkirkan atas alasan terbabit aktif dalam aktiviti politik yang tidak sesuai dengan taraf dan tahap persekolahan mereka.
Walaupun aku kecewa, ternyata ibu sekali lagi menjadi seorang manusia yang paling gembira. Ini bermakna, tiada lagi halangan bagi ibu untuk mengahwinkan aku dengan calon suami yang dipilihnya sendiri.
Namun yang terpenting, aku tentunya akan sentiasa berada di sampingnya.
Bersambung:
Apakah Khatijah akan mengalah pada takdir atau terus berjuang mencapai cita-citanya....
JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK
No comments:
Post a Comment