Tuesday, August 10, 2010

CATATAN TERAKHIRKU.


PRELUDE
CATATAN TERAKHIRKU

oleh KHADIJAH SIDEK.
(diterjemah dan diolah semula dari teks asal Bahasa Inggeris
mengikut kesesuaian teks oleh Sudirman Haji Rosl)i.



Dari sejak tahun 1951, aku telah berjuang dan berusaha untuk meningkatkan dan memajukan orang Melayu di Tanah Melayu terutamanya kaum ibunya. Sepanjang tempoh itu, falsafah perjuanganku, masih padu dan tidak pernah gagal. Falsafahku adalah nyata. Berjuang untuk hak mereka dan keadilan dalam ekonomi dan undang-undang, pelajaran dan poligami.

Aku sebenarnya, seorang yang menentang poligami walaupun aku adalah salah seorang yang turut terlibat dalam amalan itu. Aku lakukan ini semata-mata untuk perjuanganku. Dalam masyarakat kita, seseorang itu akan mudah dipandang serong jika tidak bersuami dan bersuami adalah lambang penghidupan.

Di Tanah Melayu ketika itu, undang-undang Al-Quran mengenai poligami tidaklah begitu jelas amalannya. Sara hidup anak tidak diberikan jika ibubapa bercerai. Perceraian ternyata begitu mudah. Anak-anak dan isteri kerap menjadi mangsa tanpa jaminan keselamatan ekonomi. Keadaan ini kerap berlaku di mana seorang isteri yang ditinggalkan, akan dibiarkan sendirian untuk menghidupkan anak-anak tanpa sebarang jaminan masa depan dan bantuan.

Atas sebab itulah, Wanita atau organisasi Kaum Ibu perlu meneruskan perjuangan yang padu.

Namun, di Tanah Melayu, sifat penyelesaiannya tidak begitu jelas kerana Pergerakan Kaum Ibu kerap dibayangi oleh birokrasi feudal. Pergerakan itu pula diterajui oleh isteri-isteri Menteri dan isteri orang besar. Mereka sebenarnya tidak berminat dalam kebajikan kaum ibu dan hanya inginkan wajah mereka terpampang di akhbar semata-mata.

Seminar Karut Marut

Malah ada juga tokoh-tokoh besar Kuam ibu dijemput ke seminar antarabangsa di Amerika Syarikat untuk memberikan ceramah. Mereka fikir dengan cara itu mereka telah berupaya mencari jawapan tentang masalah wanita. Kemudian apabila kembali, mereka pula menganjurkan seminar dan persidangan antarabangsa mengenai wanita dan menjemput tokoh-tokoh luar negara memberikan ceramah mengenai wanita. Tidak hairan, jika persidangan itu dimonopoli oleh rakan Amerika mereka.

Mulalah mereka membincangkan soal-soal yang karut-marut dan merepek-repek seperti, "Bagaimana menjadi lebih feminin", " Bagaimana membahagiakan suami dan rumahtangga" dan " Bagaimana sentiasa menarik dan awet muda". Atau mereka bincangkan perbedaan antara wanita Eropah dan Asia dan bagaimana wanita Asia lebih berjaya memikat suami.

Segala-gala ini adalah isu yang merepek dan keadaan ini sekaligus menenggelamkan isu dan persoalan sebenar mengenai wanita. Kesemua ini terjadi kerana mereka sendiri tidak pernah hidup dan mengalami kepahitan hidup dalam serba kemiskinan serta ditinggalkan suami.

Institusi wanita juga ditadbirkan oleh kalangan sejenis mereka. Mereka pergi ke kampung-kampung untuk mengajar anak-anak gadis bagaimana membuat kek. walhal hidup di kampung begitu payah dan mereka tidak cukup wang untuk membeli gula. Segala-galanya kelihatan palsu.

Majlis Tari Menari

Satu contoh yang menarik adalah mengenai seorang isteri Menteri yang pergi ke Tokyo baru-baru ini untuk melihat dan mengamati tentang taraf hidup dan keadaan wanita Jepun dengan segala perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan.

Apabila kembali, ia menulis di akhbar serta menyarankan betapa perlunya kaum isteri belajar menari supaya apabila menghadiri majlis tari menari, siisteri itu akan tahu menarikan tarian barat tanpa canggung. Walhal, kebanyakan isteri adalah orang kampung, malah ada antaranya terpaksa menjadi pelacur untuk menghidupkan anak-anak.

Ada juga antara isteri pegawai-pegawai kerajaan yang turut minum arak sesuatu yang dilarang oleh agama dan sesuatu yang dipelajari dari Barat. Orang-orang kampung melihat ini semua dan mereka membencinya.

Sebenarnya tidak salah mempelajari sesuatu dari barat tetapi ia mestilah sesuatu yang baik dan sempurna dan bukan sesuatu yang buruk. Sebenarnya, inilah masalahnya dan amat saya takuti. Di negara-negara Asia kini, para pemimpin mempraktikkan sesuatu yang buruk yang diterima dari barat. Ia adalah sesuatu yang mendukacitakan, jika yang melakukannya adalah kaum wanita pula.

Di Tanah Melayu, di mana masih banyak tugas yang belum diselesaikan untuk memajukan taraf ekonomi kaum ibunya, telah wujud budaya " Ratu Cantik". Walhal di kampung-kampung, anak-anak gadis tidak dapat meneruskan persekolahan kerana terpaksa berkahwin pada umur 13 tahun kerana kehidupan keluarga yang miskin.

Mereka juga mempunyai anak yang ramai hingga ada yang menjangkau 20 orang. Kesihatan mereka juga tidak sempurna dan negara masih lagi kekurangan doktor. Ada juga yang telah bercerai dua tiga kali sebelum menjangkau umur 20 tahun dan apabila mereka diceraikan, apa yang boleh mereka lakukan?

Oleh itu, mereka terpaksa menjadi pelayan di kedai kopi dan bar. Mulalah mereka didatangi pelanggan hingga akhirnya dipenjarakan kerana menjadi pelacur atau berkhalwat? Lepas itu apa lagi?

Aku rasakan, sesuatu perlu dilakukan untuk melihat dan cuba mengatasi segala masalah wanita ini kerana wanita tidak lagi dapat bergantung kepada para pemimpin ' kelas tinggi' kerana mereka lebih sibuk mengadakan 'tea party' sesama sendiri dan bukan membincangkan tentang nasib wanita.
Ketika dalam PAS dulu , kami sentiasa berusaha untuk menasihati kaum ibu di kampung-kampung supaya sentiasa menghantarkan anak-anak ke sekolah agama, supaya mendapat asas pendidikan rohani dan mengenai moral. Dengan ini, anak-anak ini nanti akan lebih dimantapkan kesedaran dan kemurniaan timur.

Bagi mengatasi masalah ekonomi, kami melatih mereka dalam seni kraftangan supaya hasilnya dapat dibuat penambahan belanja. Pada masa yang sama, kami mendidik mereka mengenai hak-hak kaum isteri dan wanita.

Aku Mahu Teruskan Perjuangan

Aku kini sudah berumur 54 tahun. Selama 30 tahun aku telah berjuang untuk kebahagiaan orang ramai, untuk hak kaum wanita serta menentang penjajah dan imperialis barat. Aku tidak akan berhenti hingga di sini.

Aku tahu, dua tiga kali dalam hidupku sekurang-kurangnya, jika aku menarik diri dari segala ini, aku mungkin sudah menjadi orang yang hidup senang. Tapi, bukanlah aku orangnya yang sanggup berbuat begitu.

Aku tahu, pada hari-hari mendatang, kehidupanku akan menjadi serba payah. Aku juga tahu, aku mungkin akan disumbat kembali dalam penjara dan mungkin lebih lama lagi. Aku juga tahu, aku mempunyai empat orang anak yang memerlukan perlindunganku. Aku tahu, aku tidak semuda dan sekuat dulu serta aku mudah merasa penat. Tetapi, aku juga tidak semudah itu menyerah kalah. Aku masih mahu meneruskan perjuangan.

Dalam dua tahun kebelakangan ini, aku semakin kuat beribadat dan mempelajari kandungan Al-Quran. Ini adalah baik bagiku, kerana apa saja kesulitan yang kutempuh, aku sebaliknya kerap merasa kuat, tenang dan berani.

Setahun lalu, doktor memberitahuku, aku sedang sakit dan mengidap sakit anemia. Aku kerap merasa lemah dan rasa kesejukan sepanjang masa. Aku perlu disuntik katanya.

Aku semakin rajin bersembahyang dan berdoa. Suatu hari ketika berdoa, aku rasakan satu kekuatan menyerapi tubuhku. Tanganku bergerak-gerak tanpa aku berjaya mengawalnya. Aku tahu Tuhan membantu memulihkan masalah kesihatanku.

Pada suatu masa yang lain, tengah malam, aku terdengar seruan 'Allahuakbar', seolah-olah dari azan sebuah masjid. Aku tersedar dan terus bersembahyang dan ia berlarutan selama dua jam. Tiba-tiba sekali lagi, aku menerima kekuatan itu.

Kini kesihatanku semakin baik dan pulih seperti biasa. Aku tidak lagi menghadapi anemia atau lemah tubuh badan. Aku ingin meneruskn lagi perjuanganku kerana aku tahu Tuhan sentiasa menyebelahiku.


CATATAN

Pada kesempatan akan datang, akan dipaparkan Prelude 2 : Biodata Katijah Sidek dan diikuti dengan bahagian pertama biografi hidup Khadijah Sidek, wanita besi yang turut memberi tangan dalam memerdekakan tiga buah negara.

Judulnya, CATATAN TERAKHIRKU .

Justice For Khadijah Sidek.

No comments:

Post a Comment