Monday, August 23, 2010

CATATAN TERAKHIRKU -biodata Khatijah Sidek




BIODATA KHATIJAH SIDEK

Khatijah Sidek dilahirkan di Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia pada 15 hb. Disember 1918. Beliau mendapat pendidikan asas sekolah rendah Belanda, Hollands Inslandsche School (HIS) hingga tahun 1931.

Beliau melanjutkan pelajarannya ke M.U.L.O (Sekolah Menengah Belanda) dan terpilih untuk memasuki jurusan perubatan. Malangnya ketika di tingkatan 2 (1932), beliau disingkirkan dari sekolah kerana pembabitannya dalam Persatuan Pelajar Indonesia Muda (IM) dan Kepaduan Bangsa Indonesia (KBI).

Beliau menyambung pelajaran ke sekolah normal perempuan (Darjah 6) tetapi dinaikkan terus ke tingkatan 2 setelah berjaya menjadi pelajar terbaik seluruh Sumatera Barat. Tamat sekolah tahun 1936, beliau dilantik sebagai Ketua atau Kepala Sekolah Landschep di kerajaan Langkat, Sumatera Timur.

Pada tahun 1937, beliau ditukarkan ke Bindjai. Di sana beliau menubuhkan Pergerakan Kaum Ibu beraliran politik bernama ' Semangat Bonda'. Beliau turut aktif sebagai ahli jawatankuasa dalam Pertubuhan Daya Memperhalus Kebatinan (DMK), Pertubuhan Sasterawan Muda dan Kepaduan Bangsa Indonesia.

Beliau dipindahkan Belanda ke Acheh kerana terlalu aktif berpolitik tetapi pada zaman Jepun beliau ditukarkan ke kampungnya Pariaman. Tidak lama kemudian beliau terpilih ke Sekolah Guru Tinggi Jepun (Tokyo Sihan Gokko).

Setelah lulus ditempatkan ke Sekolah Nippon Indonesia dan menjadi guru Bahasa Indonesia kepada tentera-tentera Jepun, jurubahasa kepada Taicha Jepun, Ketua Penerangan Kaum Ibu (Haka Noi Kai), Ketua Pergerakan Pemudi (Josi Sainee Dan), Ketua KBI sekolah-sekolah dan Ketua Palang Merah.

Beliau menyusun gerakan sulit menentang Jepun dengan kerjasama Barisan Keamanan Rakyat (BKR) serta kerap menggunakan nama Aminah. Akhir 1944, dengan kerjasama BKR, menubuhkan sebuah gerakan revolusier wanita yang dipanggil Puteri Kesatria (PK) iaitu tentera Sukarela Wanita di Bukit Tinggi.

Sebelum itu, beliau mengelolakan sebuah maktab Perguruan Wanita Taman Pendidikan Puteri Kesatria (TPPK). Cawangan maktab ini ditubuhkan di merata-rata tempat seluruh Sumatera. Ketika inilah beliau berkenalan dengan ramai pelarian politik Tanah Melayu.

Pada tahun 1946, setelah melakukan kunjungan ke cawangan TPPK sekitar Riau, Khatijah langsung ke Singapura. Melalui kerjasama Persatuan Kaum Buruh Indonesia-Malaya (PERKABIM), beliau berpeluang melawat Semenanjung Tanah Melayu di samping memberikan pidatonya kepada kaum-kaum ibu Tanah Melayu.

Pada Julai 1947, lanjutan dari permintaan golongan kaum Ibu Singapura dan Tanah Melayu, beliau mengunjungi Singapura sekali lagi untuk menubuhkan cawangan TPPK. Beliau terperangkap di Singapura sejak itu, kerana Belanda telah kembali ke Indonesia dan beliau dianggap Belanda sebagai orang yang amat bahaya.

Tidak lama kemudian, beliau menubuhkan Himpunan Wanita Indonesia Malaya (HIMWIM). Pada Julai 1948, beliau berkahwin dengan Dr. Hamzah dari Johor Bahru. Pada Oktober 1948, beliau ditahan oleh Inggeris sebagai tahanan politik dan tidak lama kemudian melahirkan anak dalam penjara.

Beliau kemudian dibuang daerah ke Johor Bahru pada tahun 1950. Setahun kemudian beliau terpilih menjadi Ketua Kaum Ibu Persatuan Melayu Semenanjung Johor. Pada April 1953, beliau diminta menyertai UMNO dan terus dipilih sebagai Wakil Kaum Ibu UMNO ke Persidangan Agung UMNO di Melaka. Tidak lama kemudian, beliau dilantik oleh Tunku Abdul Rahman dalam Majlis Tertinggi UMNO merangkap Setiausaha Hal Ehwal Kaum Ibu UMNO Malaya.

Pada tahun 1954, beliau terpilih menjadi Ketua Kaum Ibu UMNO. Bagaimanapun, menjelang merdeka (1956), disingkirkan dari UMNO kerana desakan dari UMNO Johor khususnya setelah suaminya Dr. Hamzah meninggal dunia.

Pada tahun 1958, beliau diminta oleh Dr. Burhanudin menyertai PAS dan mengetuai Kaum Ibu PAS. Tahun berikutnya terpilih sebagai Ahli Parlimen wanita PAS pertama melalui kerusi kawasan Dungun.

Dalam pilihanraya 1964, beliau menentang Tun Dr. Ismail di Johor Bahru dan tewas. Beliau mengundurkan diri dari PAS tahun 1964, apabila dirasakannya PAS telah semakin mengamalkan dasar 'Famili-esme' dan 'Pronvincialisme' di bawah kepimpinan Datuk Asri Haji Muda.

Pada tahun 1972 menyertai UMNo semula sebagai ahli biasa. Beliau meningal dunia pada tahun 1982 setelah beberapa lama mengidap sakit lumpuh.


Akan datang: Bahagian 1- Catatan Terakhirku.

JUSTICE FOR KHATIJAH SIDEK.






















































































































































































































































No comments:

Post a Comment