Sistem jalan di Kota Tinggi ketika itu masih tidak
sempurna. Sistem perhubungan terbaik adalah melalui sungai dengan menaiki
motorboat. Sebelum ke Kota Tinggi, aku telah menghubungi Pak Engku, Ketua UMNO
Kota Tinggi serta ketua pemudanya. Merekalah yang membantu kami dan menguruskan
perjalanan kami di sekitar Kota Tinggi itu. Oleh kerana kesuntukan masa,
aturcara perjalanan kami begitu ketat sekali serta berterusan dari siang hingga
malam.
Perjalanan kami begitu meletihkan. Apabila berhenti
di sesebuah kampung, wakil UMNO atau Ketua Kampung, akan mengumpulkan orang
ramai untuk aku bersyarah. Setelah diwujudkan cawangan Kaum Ibu UMNO, kami
menaiki bot semula dan meneruskan perjalanan ke kampung lain pula.
Jadi, sepanjang lawatan selama tiga hari ke Kota
Tinggi itu kami berjaya menubuhkan cawangan-cawangan di Kampung Lukut, Bukit
Sengat, Tanjung Buai, Linting, Tanjung Surat, Tanjung Langsat dan Kangkung.
Umumnya, di setiap kampung, kaum ibunya begitu
takut mendengar perkataan MERDEKA, kerana perkataan itu bererti menentang
kerajaan penjajah Inggeris. Adakalanya, kaum ibu di sesetengah kampung
menasihati kami supaya tidak menyebut MERDEKA kerana ditakuti akan ditangkap
oleh mata-mata Inggeris dan disumbatkan ke dalam penjara.
Ada juga yang berpendapat, jika kita benar-benar
merdeka, orang Melayu pasti akan mendapat kesusahan dan menderita. Menurut
mereka, setakat manalah keupayaan orang Melayu mampu merdeka sedangkan untuk
membuat jarumpun kita tidak tahu.
Oleh itu, dalam setiap ceramah, kami terpaksa
menjelaskan erti MERDEKA. Setiap kali sebelum memulakan ucapanku, aku akan mulakan dengan laungan “MERDEKA!”
dengan lantang serta seterusnya menerangkan pengertian merdeka itu.
Aku katakan kepada mereka. perkataan MERDEKA adalah ilham dari Allah (SWT) kerana dalam perkataan itu terkandung satu kekuatan yang diberi Allah (SWT). Oleh itu,
kita tidak sewajarnya takut berjuang untuk MERDEKA kerana Allah (SWT) sentiasa
bersama kita.
“ Kekuatan ini, setiap hari semakin berkembang
seperti seorang bayi menjadi kanak-kanak atau seperti mata air menjadi sungai
hingga mampu memecah ampangan,” zahirku.
“ Ibu-ibu, bapak-bapak serta saudara sekelian. Janganlah ibu bapak merasa takut untuk menyebut MERDEKA dengan
lantang. Usahlah juga taku akan kemungkinan mendapat tindak balas daripada pihak Inggeris. Lihat di sana. Ada beberapa orang mata-mata (polis) yang sedang memerhatikan saya berucap. Kalau memang satu kesalahan untuk menyebut Merdeka, pasti saya sudah ditangkap sekarang. Tapi lihat, Saya masih
berdiri di sini dan mereka tidakpun menangkap saya,” zahirku lantang lagi.
“Seandainya pihak Mata-mata ingin menangkap orang
yang berteriak MERDEKA, maka orang pertama yang akan ditangkap adalah para
pemimpin UMNO dan khususnya orang seperti saya dan bukannya orang seperti ibu
bapak. Jadi, ibu bapak serta saudara sekelian usah gusar atau bimbang,” tekanku
dengan penuh semangat lagi.
Aku kemudian menceritakan kepada mereka apa yang
berlaku di Indonesia dan bagaimana rakyat di sana telah berjuang bermati-matian
demi untuk kemerdekaan negaranya.
“Saudara kita di Indonesia yang berjuang untuk
kemerdekaan, bukan saja terdiri dari kaum lelaki dan pemuda, malah kaum
ibunya. Mereka juga turut bersedia untuk menyerahkan barang-barang kemas dan
pakaian serta turun ke medan perang untuk berperang menentang Belanda. Tetapi
kita di Tanah Melayu tidak seperti mereka. Justeru itu, adalah menjadi
tanggungjawab kita menjadikan parti kita, parti UMNO kuat.”
“ Bukanlah tujuan saya, mengajak ibu-ibu,
bapak-bapak dan saudara sekelian untuk kita berperang dengan Inggeris. Tidak.
Saya hanya merayu ibu bapak dan saudara, untuk bersama kami dan menjadi ahli
parti UMNO serta sama-sama berusaha agar kita berjaya mencapai kemerdekaan dari tangan penjajah Inggeris!!!!,” zahirku dengan amat bersemangat lagi.
Pernah pada suatu masa, kami bertolak dari Kota Tinggi
pada pagi hari dan berhenti di kampung-kampung sepanjang sungai hingga larut
malam. TIba-tiba, ketika tiba di Linting, enjin motorbot kami mati. Ketika itu,
keadaan alam begitu gelap gelita. Angin pula ketika itu, bertiup dengan amat
kencang sekali.
Pemuda yang menjadi jurumudi terpaksa meneriak
kepada orang kampung di pinggir sungai itu untuk meminta bantuan. Tidak lama
kemudian, dua buah sampan menghampiri kami dan menarik motorboat kami hingga ke
tebing.
Malam itu, kami tidur di Linting. Pagi esoknya,
setelah urusan selesai di Linting dan enjin motorboat telah diperbaiki, kami
bertolak pula ke Tanjung Surat. Perjalanan kami terpaksa menempuh laut. Sekali
lagi enjin kami tidak berfungsi dengan baik dan kami terpaksa meminta bantuan
dari nelayan di sekitar kawasan itu.
Begitulah pelbagai pengalaman yang pahit dan getir, serta amat memenatkan, tetapi begitu menyeronokkan yang terpaksa kami lalui sepanjang usaha kami
untuk menarik minat orang Melayu khususnya kaum ibu untuk menyertai UMNO. Begitulah caranya aku bekerja dan kerja kerasku untuk selama dua setengah tahun demi untuk membangunkan dan memulihkan semula parti UMNO.
Di mana
saja aku pergi, khususnya di Pontian, aku sering diterima dan mendapat
sambutan. Di sana, masyarakatnya lebih bersemangat kerana kebanyakannya
mempunyai pertalian darah dan kekeluargaan dengan orang Indonesia.
Setelah berusaha keras mengembangkan
cawangan-cawangan Kaum Ibu UMNO di sekitar negeri Johor, aku meneruskan
‘serangan’ku ke negeri Melaka pula. Ketika itu di Melaka, hanya terdapat satu
cawangan UMNO iaitu di Bandar Melaka dan tidak terdapat cawangan Kaum Ibu UMNO.
Dengan kerjasama jawatankuasa UMNO dan Kaum Ibu
UMNO di Melaka yang diketuai oleh Che Noh, aku dibawa untuk menjelajah pelbagai kampung di negeri itu.
Antara tempat yang telah aku kunjungi adalah Alor Gajah, Pernu, Tedung, Kuala
Sungai Baru, Sungai Baru Masjid Tanah, Ramuan China, Sungai Udang, Jasin, Umbai dan Sungai Rambai. Di
setiap tempat yang kami kunjungi, dengan sendirinya wujud dan tertubuhlah satu cawangan
Kaum Ibu UMNO.
Kadangkala, ketua-ketua dan setiausaha-setiausaha
cawangan Kaum Ibu turut mengikuti rombonganku membuka cawangan-cawangan baru. Keadaan
ini secara tidak langsung dapat melatih mereka cara-cara mengendalikan
mesyuarat dan cara berucap atau berpidato di khalayak ramai.
Ketika itu, hanya satu saja keinginanku iaitu aku
mahukan agar perjuangan ini akan segera mendapat sokongan dari kaum ibu. Aku
mahukan agar kaum-kaum ibu Melayu dan kaum wanita segera berfikiran kritis dan
mula bergerak dan bergiat untuk perjuangan mengangkat martabat bangsa.
Dalam kata lain, fikiranku ketika itu adalah kalau
tidak 100 persen adalah 90 persen untuk perjuangan. Keadaan ini, pastinya
member implikasi kepada rumahtangga dan anak-anakku.
Malah, acapkali juga dalam
sebulan, aku hanya sekadar empat atau lima hari saja berada di rumah untuk
bersama suami dan anak-anak.
No comments:
Post a Comment