Sehari selepas mesyuarat
UMNO,Tunku memanggilku untuk berbincang mengenai usaha untuk mengembangkan dan
memajukan UMNO termasuk dengan Kaum Ibu UMNO. UMNO ketika itu, sedang dalam
keadaan serba dhaif, kerana baru saja mengalami pergolakan dalaman lanjutan
perletakan jawatan Dato' Onn bin Jaafar.
Sepatah kata Tunku ketika
mengambilalih jawatan Yang Di Pertua Agung UMNO Malaya ialah, " UMNO
bagaikan kain buruk yang tak laku dijual". Maksud kata-kata Tunku itu adalah, ketika
itu Parti UMNO benar-benar tidak mendapat sokongan dan dokongan orang Melayu, kerana
Dato' Onn bin Jaafar adalah seorang tokoh pemimpin orang Melayu yang amat terkenal dan amat berpengaruh.
Apabila beliau meninggalkan UMNO,
ramai pemimpin dan ahli UMNO turut meninggalkan UMNO dan menyertai parti baru
yang ditubuhkan Dato' Onn bin Jaafar iaitu Parti IMP atau Independent Malayan
Party.
Begitu juga keadaannya dengan
Kaum Ibu UMNO. Sayap ini ketika itu dapat diibaratkan seperti "kerakap tumbuh
di batu" . Peribahasa ini membawa erti, keadaan dan kedudukan Pergerakan Kaum Ibu UMNO ketika itu, masih belum mantap dan kuat. Kebanyakan ahlinya pula, terdiri dari penduduk kawasan bandar dan isteri
orang yang berpangkat serta isteri kakitangan kerajaan British.
Tunku meminta aku untuk turut
bersama-samanya memikirkan pelbagai cara atau strategi untuk memperteguhkan
parti serta menambahkan bilangan keahlian orang Melayu di dalam parti
UMNO.
Inilah yang kulakukan
sepanjang perjalanan pulangku dari Alor Setar ke Johor Bahru. Kotak
fikirku tiada henti mencongak pelbagai perkara. Akhir dari pemikiranku yang
panjang, aku akhirnya mendapat satu kesimpulan bahawa, satu cara terbaik untuk
meningkatkan sokongan dan pengaruh UMNO. adalah dengan mengukuhkan dan
mengembangkan sayap Kaum Ibu UMNO itu sendiri.
Aku benar-benar yakin, betapa
sayap Kaum Ibu UMNO yang maju, akan turut memajukan dan meningkatkan keahlian
UMNO. Dalam kata lain, untuk memajukan UMNO, maka sayap Kaum Ibu perlu berusaha
gigih untuk membuka lebih banyak lagi cawangan Kaum Ibu dan menarik seberapa
banyak ahli-ahli Kaum Ibu.
Pada fikiranku, salah satu
langkah terbaik untuk berbuat sebegitu adalah dengan melawat ke kampung-kampung untuk
memberikan penerangan. Ini bererti, UMNO perlu melantik seorang lagi Pegawai
Penerangan dari kalangan sayap kaum Ibu UMNO itu sendiri.
Beberapa hari, setelah tiba di
Johor Bahru, aku segera menemui Tunku di pejabat UMNO. Aku bentangkan
cadanganku agar Kaum Ibu mula mengembangkan sayapnya ke kawasan-kawasan luar bandar.
Aku juga kemukakan cadangan untuk melantik seorang Pegawai Penerangan dari
kalangan Kaum Ibu UMNO untuk tugasan tersebut.
" Pada hemat saya, kita
tidak perlukan seorang lagi Pegawai Penerangan. Saya kan sudah ada,"
bantah Ketua Penerangan UMNO ketika itu, Tuan Syed Jaafar Albar. Dia berkata
begitu, apabila Tunku meminta pandangannya.
Aku cuba meyakinkan Tunku akan
kepentingan seorang Pegawai Penerangan terdiri dari Kaum Ibu. Menurutnya, kaum
ibu lebih mudah dihampiri dan diyakini oleh kaum yang sejenis dengan mereka
berbanding dengan kaum bapa. Tunku akhirnya bersetuju dengan cadanganku untuk
melantik seorang Pegawai Penerangan Kaum Ibu.
" Ibu ada calon pilihan?
Setakat ini, saya tak nampak sesiapa yang boleh melaksanakan program itu
kecuali ibu sendiri. Beginilah Ibu Khadijah. Saya dengan ini melantik ibu
sebagai Pegawai Penerangan Kaum Ibu UMNO,"zahir Tunku.
Aku bersetuju dengan tawaran itu. Tunku Abdul Rahman Putra gembira dengan persetujuanku untuk menerima perlantikan sebagai Pegawai Penerangan Khas UMNO untuk Pergerakan Kaum Ibu UMNO.
" Ibu
Khadijah mahu melawat kawasan mana dulu? Nanti saya bincang dengan ahli UMNO di tempat itu," kata Tunku.
" Pada fikiran saya, kawasan
luar bandar yang mahu saya pergi adalah sekitar kawasan Kota Tinggi. Ada
seorang ahli kita, Kak Ara, namanya ada berminat untuk mengikut saya. Tambahan pula,
Kak Ara memang asalnya orang sana dan tahu selok belok kawasan dan kampung di
sekitar kawasan itu," jawabku.
Tunku mengangguk. Wajahnya
kelihatan tersenyum senang.
No comments:
Post a Comment