Dari Melaka, aku terus ke Negeri Sembilan. Di negeri ini,
aku merasakan satu perasaan yang amat menyeronokkan kerana orang-orang Negeri
Sembilan berasal dan berketurunan Minangkabau seperti aku. Aku juga merasakan
begitu rapat dengan mereka kerana cara percakapan seharian yang hampir serupa
dan aku senang berbicara dalam loghat itu. Aku juga merasakan seolah-olah aku
berada dalam kampungku sendiri.
Sebagaimana di tempat-tempat lain, ceramahku diadakan
sepanjang waktu. Misalnya, di sebelah pagi jam 10 di sebuah kampung dan diikuti
dengan kampung berhampiran menjelang zohor. Selepas zohor aku beralih ke
kampung berhampiran . Pada petangnya aku sudah berada di kampung lain dan pada
sebelah malamnya, aku sudah pula berada di kampong lain pula.
Dalam kata lain, dalam sehari suntuk aku akan mengunjungi
antara empat atau lima buah kampung untuk membuka cawangan baru Kaum Ibu UMNO.
Sudah juga menjadi kebiasaanku, setiap kali berceramah atau
menubuhkan cawangan Kuam Ibu UMNO, aku akan masukkan semangat dan perasaan
kemerdekaan kepada ibu-ibu dengan mengajar mereka menyanyi. Nyanyiannya ringkas
tetapi apabila menyanyi, mereka akan mudah memahami maksud MERDEKA.
Aku juga meminta mereka mengajarkan lagu itu kepada
anak-anak supaya mereka sama-sama menyanyi dan sekaligus berdoa untuk Tanah
Melayu segera merdeka. Berikut adalah rangkap lagu itu:
“MERDEKA, MERDEKA. MALAYA MERDEKA”.
Pada mulanya, apabila aku meminta mereka turut menyanyi,
mereka agak malu-malu. Namun setelah diminta terus, akhirnya mereka berjaya
melagukannya dengan penuh semangat secara beramai-ramai.
Selain itu, setiap kali aku ingin memulakan ceramahku,
selalunya aku menyebut begini:
” Assalam mualaikum warah matullahhi wabarah
katuh, dan sekarang terimalah salam kebangsaan kita, MERDEKA!”.
Pastinya,
pekikan MERDEKA itu, aku disambut dengan amat kuat sekali dari para hadiran akan membalas laungan itu dengan pekikan, MERDEKA!!!!.
Sebenarnya, di Negeri Sembilan sudah terdapat banyak
cawangan Kaum Ibu UMNO seperti di Seremban, Rasah, Pantai, Labu, Rantau, Pasir Panjang, Mantin dan Chuah. Oleh itu,
tumpuanku di negri itu adalah di sekitar kawasan yang belum kukuh seperti di
Rembau, Ulu Gadang, Ayer Kuning, Gemas, Kuala Pilah, Juasih, Sri Menanti, Ulu Jempol, Johol, Kampong Tengah, Kampung
Sawah Lebar, dan Jelebu.
Pada tahun 1953 itu juga, aku turut berusaha
bersungguh-sungguh untuk membangun cawangan-cawangan Kaum Ibu UMNO di Negeri
Perak. Negeri Perak ketika itu, adalah sebuah negeri yang bermasalah kepada
UMNO kerana pengaruh dan ketokohan Dato’ Panglima Bukit Gantung.
Jika tidak silap,
dalam Mesyuarat Agung UMNO di Negeri Melaka beberapa tahun sebelumnya, beliau
telah dipecat dari UMNO kerana cadangannya untuk menubuhkan parti UMNO Baru. Beliau yang berasal dari Perak, kemudiannya,
telah menubuhkan Parti NAP atau Parti Kebangsaan Perak, untuk
menyaingi UMNO di negeri Perak.
Kelahiran Parti NAP ternyata semakin melumpuhkan lagi parti
UMNO. Tidak hairan, bagi mengimbangi pengaruh Dato’ Panglima Bukit Gantang di
negeri Perak, para pemimpin UMNO pusat seperti Tunku Abdul Rahman Putra, Dr Ismail (Tun) serta ramai lagi pemimpin
UMNO yang lain termasuk diriku telah mengunjungi dan berkampung di Perak.
Ke mana saja Tunku pergi seperti ke Ipoh, Tanjung Rambutan,
Selama dan banyak tempat lagi, aku akan turut serta. Aku juga bersama Dr Ismail pernah menaiki Land Rover memasuki
dan melintasi ladang-ladang getah ke kampung-kampung seperti Bota Kanan dan
Bota Kiri untuk berceramah dan berkempen bagi menyelamatkan pengaruh Parti UMNO
di negeri Perak.
Setelah Tunku dan rombongannya menyelesaikan siri lawatan
pengukuhan UMNO di negeri Perak, aku sekali lagi kembali ke negeri itu, untuk
tujuan penubuhan cawangan-cawangan Kaum Ibu UMNO. Ketika itu penyokong kuat
UMNO Malaya di Perak adalah dari Bahagian Kuala Kangsar yang dipimpin oleh Tuan
Haji Said (Senator) yang berasal dari Kota Lama Kiri.
Di rumah Tuan Haji Said inilah, aku jadikan markas Kaum Ibu
UMNO Negeri Perak. Melalui usaha Tuan Haji Said juga serta dibantu oleh Kaum
Pemuda, aku telah dibawa mengelilingi Perak hingga meliputi Larut, Taiping,
Kampung Gajah, Temenggur, Matang, Batu Kurau dan Semanggol.
Boleh dikatakan, di negeri Peraklah yang paling lama dan
paling kerap aku kunjungi dan sentiasa berulang-alik. Hasil dari usaha gigih dan berterusan untuk membangun semula UMNO, parti NAP yang
asalnya mendapat dokongan orang Perak semakin lemah dan cawangan Kaum Ibu UMNO
berkembang dengan amat pesat sekali di negeri itu.
Sepanjang berada di Perak, aku berjaya menubuhkan sebanyak
52 cawangan Kaum Ibu UMNO. Malah kubu kuat Dato’ Panglima Bukit Gantang,
cawangan Kaum Ibu NAP di Taiping, akhirnya berjaya kami ambilalih.
Aku merasakan, ke mana saja aku pergi, aku diterima dan menerima sambutan
meriah dan mesra oleh kaum-kaum ibu di
tempat itu. Mereka melayanku seperti
saudara mereka sendiri. Kadang-kala kami berkongsi bantal. Ada kalanya, bila
aku kepenatan atau pening, mereka membantu memicit kepala dan kakiku.
Aku terasa mereka begitu kasih dan sayang terhadapku.
Alasannya mungkin mudah.
Mereka mungkin
tidak pernah menemui seorang pemimpin sepertiku. Bergurau dan saling usik mengusik
tanpa batasan. Tidur bersama serta berkongsi makanan.
Malah, lebih jauh dari itu, aku juga mengenali anak-anak
mereka.
No comments:
Post a Comment