Protesku terhadap sikap
Setiausaha Agong UMNO dengan meninggalkan dewan mesyuarat serta melepaskan
semua jawatan dari parti UMNO benar-benar memberikan impak besar kepada suasana
persidangan UMNO ketika itu. Keadaan itu benar-benar
mengejutkan banyak pihak, kerana mereka benar-benar tidak menduga, sikap dan
tindakan protes itu datangnya dari seorang Kaum Ibu yang sepatutnya begitu
lemah lembut.
Ternyata aku tidaklah
berseorang dalam menzahirkan protesku. Seorang demi seorang
perwakilan Kaum Ibu UMNO mula meninggalkan dewan persidangan. Keadaan ini
ternyata telah menimbulkan suasana panas dan tegang. Umumnya setiap
perwakilan mula menzahirkan rasa tidak senang dengan sikap Setiausaha Agong UMNO terhadapku.
Dalam kedaan serba gawat,
beberapa orang pemimpin pusat dan tokoh UMNO khususnya Dato’ Sheikh Ahmad dari
Perlis telah datang mencariku di bilik rihat.
“ Cik Khadijah,” begitu
katanya. “Cik Khadijah anggaplah yang saya ini sebagai seorang bapak kerana usia
saya yang lebih tua. Demi perpaduan UMNO dan demi untuk matlamat perjuangan
kita Kaum Melayu dan untuk kemerdekaan, saya dan yang lain-lain merayu, agar
Cik Khadijah kembali semula ke dewan,” rayunya.
“Saya tiada halangan Ayah
Sheikh,” zahirku penuh hormat. “ Pada saya, dalam apa keadaan sekalipun, kita
perlu menegakkan amalan demokrasi dan keadilan. Kita bukan berada pada zaman
feudal di mana apa yang dikata orang atasan, orang bawah mesti akur dan menurut
perintah,” sambungku lagi.
Dato’ Sheikh Ahmad dan
beberapa pemimpin lain bersetuju dengan pandanganku. Beliau berjanji akan
memastikan amalan demokrasi dalam UMNO dilaksanakan. Atas janji-janji itu, aku
akhirnya kembali ke dalam Dewan persidangan dan menarik semula perletakan
jwatanku.
Cik Halimaton yang beria-ia
tidak mahu turut bertanding, akhirnya menarik diri dari pencalonan itu. Kini
yang tinggal adalah namaku dan nama Ibu Zain. Apabila undian dijalankan, aku
menang undian secara majoriti. Mesyuarat Agong UMNO pada Bulan Oktober di Pulau
Pinang, akhirnya mengesahkan perlantikanku sebagai Ketua Kaum Ibu UMNO yang
baru.
Apabila tiba pada agenda
pembentangan resolusi, Kaum Ibu UMNO ketika itu telah mengemukakan lima
resolusi. Resolusi yang terbesar ketika itu adalah, Kaum Ibu UMNO telah
mendesak UMNO Pusat, untuk memperuntukkan lima kerusi Parlimen untuk Kaum Ibu
UMNO untuk pilihanraya yang akan datang. Usul ini dibawa oleh perwakilan Kaum
Ibu UMNO dari Kuala Lumpur, Cik Aishah Ghani.
Ternyata, usul dan cadangan
lima kerusi Parlimen untuk Kaum Ibu UMNO oleh Cik Aishah Ghani, menjadi bahan
perdebatan panas dalam Dewan perhimpunan pada esoknya. Kaum Bapa dan Kaum
Pemuda menentang keras permintaan Kaum Ibu, dengan alasan Kaum Ibu adalah
kelompok kaum yang lemah dan tidak berwibawa dan umumnya mereka lebih layak
duduk di dapur.
Menurut mereka lagi, Kaum
Ibu masih belum mampu dan masih belum bersedia untuk menjadi wakil rakyat serta
mereka pula masih perlu banyak berlatih untuk berucap atau berpidato di hadapan
khalayak yang ramai.
Apabila keadaan perdebatan
semakin panas, dan puak kaum lelaki sama ada kaum bapa atau pemuda, masih tidak
mahu mengalah, maka aku akhirnya bangkit ke rostrum, lalu menyampaikan hujahku
yang agak keras dan panas. Ternyata, kata-kataku itu menjadi suatu isu besar
kemudiannya di mana ia kemungkinan besaar menjadi punca, aku disingkirkan dari UMNO.
“ Bapak-bapak dan anak-anak
muda, usahlah memandang enteng dan remeh akan kemampuan kami Kaum Ibu. Biarlah
saya berikan satu contoh, bagaimana kami sanggup pergi ke mana saja dan
berjuang atas apa saja demi untuk UMNO dan untuk merdeka,” kataku.
“Saya misalnya, adalah
seorang wanita dan bertugas dalam UMNO Pusat sebagai Setiausaha Hal Ehwal
Wanita sebelum ini. Suatu hari Tunku bertanya kepada Pegawai Penerangan UMNO, apakah mungkin kita boleh
melantik seorang Pegawai Penerangan dari Kaum
Ibu UMNO untuk memberikan penerangan
kepada kaum ibu di kampung-kampung
tentang perjuangan UMNO. Bagaimanapun, Pegawai Penerangan itu, menolak kata-kata Tunku dan
mengatakan, perlantikan Kaum Ibu adalah tidak perlu.”
“ Kemudian, saya meminta
Tunku untuk mencuba saya sebagai Pegawai Penerangan Kaum Ibu UMNO. Tunku
bersetuju. Kesannya, lihat sendiri pada hari ini. Dalam tempoh 10 bulan saja
denga kerja keras kami bergerak ke seluruh Tanah Melayu, keahlian UMNO telah
meningkat lebih 10,000 orang dan cawangan UMNO kini sudah menjadi lebih 130
buah.”
“ Apakah, bukti-bukti
perangkaan ini, tidak mempunyai sebarang maksud atau makna apa-apa? Cuba lihat,
fikir dan bandingkan. Siapakah yang mempunyai rekod yang lebih cemerlang dalam
meningkatkan jumlah keahlian UMNO di negara ini…!!!!??” zahirku tegas dan
lantang.
Kata-kataku mendapat tepukan
gemuruh khususnya dari kalangan Kaum Ibu dan kaum Bapa yang berkecuali.
Bagaimanapun, usul itu ditangguhkan untuk perbincangan dan keputusan lanjut akan dinyatakan kemudiannya.
Menjelang akhir bulan
Oktober itu juga khususnya pada 28 hb Oktober 1954, pihak berkuasa panitia
Bahasa Indonesia, telah mengadakan suatu Kongres Bahasa Indonesia di Medan,
Sumatera Utara. Bagi memeriahkan acara, pihak penganjur telah menghantar
jemputan kepada banyak organisasi Melayu serata Nusantara. Sepucuk surat telah dihantar kepada UMNO
untuk menghantarkan wakilnya ke Kongres itu.
Perkara ini telah juga
dikemukakan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tertinggi UMNO. Pada kesempatan itu,
aku merayu agar, aku dipilih menjadi wakil UMNO untuk ke Kongres itu. Selain
itu, kesempatan itu, akan memberi peluang kepadaku untuk singgah ke kampungku di
Pariaman untuk menemui keluargaku.
Tunku Abdul Rahman Putra
telah menyokong agar aku dipilih menjadi wakil UMNO. Bagaimanapun, mesyuarat
itu berakhir tanpa sesiapapun yang dipilih untuk menjadi wakil UMNO ke Kongres
itu. Apatah lagi, dalam Majlis Tertinggi itu masih terdapat beberapa orang yang
kelihatannya, sudah mula memperlihatkan bibit-bibit tidak senang terhadap
diriku.
Tunku juga memberikan alasan
betapa dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana masa untuk Kongres itu terlalu
singkat untuk membuat sebarang passport atau suntikan vaksinasi atau memohon
visa dari konsol Indonesia.
Sebenarnya, selain perkara
di atas, di dalam Ahli Majlis Tertinggi
UMNO itu sendiri, terdapat pelbagai pandangan tentang Bahasa Melayu dan Bahasa
Indonesia. Ada kelompok yang ingin mengekalkan perbezaan antara Bahasa Melayu
dan Bahasa Indonesia. Bagaimanapun, kelompok lain,
yang kebanyakan golongan muda, yang kerap menggunakan lenggok bahasa Indonesia,
mahukan agar tulisan Bahasa Melayu yang ketika itu berbentuk Jawi di'romanize'kan
serta berusaha mencari kesatuan dan memperdekatkan persamaan antara Bahasa
Melayu dan Bahasa Indonesia.
Memandangkan peluang untukku
ke Indonesia dan terus ‘balik kampung’ sudah tertutup, maka aku meneruskan
semula perananku untuk memantapkan lagi penubuhan cawangan baru dan organisasi
UMNO. Kali ini, aku pergi atas kapasitiku sebagai seorang Ketua Kaum Ibu UMNO
Malaya. Langkahku kali imi adalah ke Sungai Petani Kedah. Aku berada selama dua hari
di sana untuk membuka beberapa buah lagi cawangan Kaum Ibu UMNO dan sekaligus
cawangan UMNO di beberapa buah kampung sekitar Sungai Petani.
Pada hari ketiganya, aku
langsung menaiki keretapi ke Johor Bharu. Sehari kemudian aku terus pula ke
Singapura untuk urusan membuka cawangan baru Kaum Ibu UMNO.
Menariknya, atas izin Allah,
ketika singgah bertemu kenalan lamaku di sana, aku bertembung dengan kenalanku yang
bertugas di pejabat Konsul Indonesia.
“ Kenapa ya, Uni Khadijah,
tidak ke Kongres Bahasa Indonesia di Medan nanti?” tanyanya.
“ Oh bukan begitu. Masanya
begitu suntuk. Apalagi mahu bikin passport, vaksinasi, tiket lagi, visa lagi,”
jawabku.
“ Kenapa tiada masa?”
katanya. “ Kalau tentang visa, saya dapatkannya hari ini juga. Nah..Ibu balik
semula ke Johor dan buatkan pasport segera. Nanti, saya juga pastikan ibu dapat
tiket untuk penerbangan ke Medan,” katanya lagi.
Amat gembira aku mendengar kata-kata temanku itu. Aku bergegas kembali ke
Johor Bahru dan meminta suamiku menyediakan satu surat perakuan dari Lembaga
Persuratan Melayu, persatuannya, yang memaklumkan bahawa aku adalah wakil dari
persatuan itu, kerana UMNO tidak bersedia menghantarku.
Sebaik mendapat surat itu,
aku bergegas ke pejabat Imigresen untuk membuat pasportku. Oleh kerana aku
adalah seorang bekas tahanan politik, pasportku agak berlainan daripada
passport biasa. Tertera dalam pasportku, yang aku masih lagi dalam pengawasan
polis. Begitu juga dengan kad pengenalanku.
Untungnya, ramai kakitangan
Imigresen itu mengenaliku sebagai seorang pemimpin Kaum Ibu UMNO pusat.
Atas alasan itu, mereka dengan rela berusaha mempercepatkan
pengeluaran pasportku. Pasportku, dapat mereka siapkan dalam tempoh satu hari. Pada malamnya, suamiku, atas
sifatnya sebagai seorang doktor perubatan bertauliah, memberikanku suntikan
vaksinasi dan kolera.
Esoknya, aku bergegas ke Konsul Indonesia untuk urusan
visa dan tiket penerbanganku pula. Ternyata, dalam tempoh 24 jam, urusan
penerbanganku ke Medan untuk menghadiri Kongres Bahasa Indonesia berjaya
dibereskan. Lusanya, rakanku
menghantarku ke Lapangan Terbang Changi Singapura dan aku akhirnya tiba juga ke
bumi Medan Indonesia, setelah sekian lama meninggalkan bumi itu.
Terasa, mahu
menitis air mataku ketika itu.
Di Medan, aku tidak menghadapi banyak masalah,
kerana kebanyakan Ahli Jawatankuasa Kongres Bahasa itu adalah bekas kenalanku
ketika menjadi guru di Indonesia.