Wednesday, October 14, 2015

BAB 26: WAKIL KAUM IBU JOHOR DALAM KONGRES UMNO DI MELAKA

Sebagai seorang yang masih dalam pengawasan polis, aku perlu mendapatkan kelulusan dari pihak Ibu Pejabat Polis Johor Bharu untuk ke Melaka bagi menghadiri Kongres UMNO yang diadakan di negeri itu. Pemergianku, sebagaimana yang kunyatakan adalah atas kapasiti wakil Kaum Ibu UMNO cawangan Johor.

Bagaimanapun, pihak polis tidak membenarkan aku ke Melaka dengan menaiki kereta atau bas. Rayuan Tunku Abdul Rahman Putra, Presiden UMNO  untuk membawaku bersama dengan menaiki keretanya juga telah ditolak mereka. Menurut polis, bagi memudahkan pengawasan mereka terhadapku, aku dikehendaki menaiki keretapi.

Aku akhirnya bertolak juga ke Melaka dari Johor Bharu dengan menaiki keretapi. Di Stesen Keretapi Tampin, seorang wakil Pemuda UMNO Melaka telah sedia menungguku.  Aku kemudian dibawanya  dengan keretanya ke Bandar Melaka.

Di Melaka, tindakan pertamaku adalah melaporkan diri Di Balai Polis Melaka Tengah. Aku juga turut  memaklumkan kepada mereka tempat tinggalku sepanjang masa berada di kota itu.

Dalam persidangan di Melaka itu, sebagai wakil Kaum Ibu UMNO cawangan Johor, aku telah mengemukakan suatu usul yang  agak mengejutkan anggota persidangan yang kebanyakannya terdiri dari Kaum Bapa dan Pemuda UMNO. Aku mengusulkan agar pucuk pimpinan UMNO pusat memberikan hak sama rata kepada Kaum Ibu UMNO sebagaimana yang dikecapi oleh kaum bapa dan pemuda.

Menurutku, dalam UMNO terdapat tiga cabang iaitu Kaum Bapa, Pemuda dan Kaum Ibu. Kaum Ibu dan Pemuda UMNO, dalam susun lapis hieraki  parti UMNO dianggap sebagai sayap kepada kepimpinan utama UMNO. Ini juga bererti Pemuda dan Kaum Ibu hanya layak mengundi pada aspek-aspek tertentu sahaja.

" Masalahnya, bapak-bapak, ibu-ibu serta kalangan pemuda sekelian, setiap cawangan UMNO termasuk Pemuda dibenarkan untuk menghantar dua orang wakil, Ini bererti dalam setiap Kongres akan ada 40 wakil Kaum Bapa dan 40 wakil Pemuda," kataku.

" Bagaimanapun, keadaan ini tidak berlaku kepada Kaum Ibu.  Kaum Ibu dari semua cawangan di Tanah Melayu hanya dibenarkan menghantar hanya empat orang wakil," sambungku. " Justeru itu, bapak-bapak sekelian. Jika sekiranya ada usul-usul yang baik dan bernas dari Kaum Ibu dalam Kongres seperti ini, saya yakin usul itu pasti akan tewas kerana kami kurang sokongan," tambahku lagi.

" Keadaan yang wujud pada hari ini adalah benar-benar tidak adil untuk Kaum Ibu," tekanku lagi.

Aku juga turut membangkitkan rasa tidak puas hati Kaum Ibu apabila  dikaitkan dengan  organisasi Pemuda UMNO. Menurutku, adalah kurang tepat meletakkan organisasi Kaum Ibu UMNO sebagai sayap UMNO yang lebih rendah daripada Kaum Pemuda. 

" Kaum Ibu sewajarnya diletakkan tarafnya lebih tinggi dari Pemuda, kerana kami adalah kelompok ibu- Ibu dan Kaum Pemuda adalah kelompok anak-anak. Untuk itu saya ingin mencadangkan, agar Pemuda UMNO  mewujudkan cawangan pemudinya," sambungku lagi.

Aku juga mencadangkan, sebagaimana yang dinikmati oleh Kaum Bapa dan Pemuda, setiap cawangan Kaum Ibu UMNO dibenarkaan menghantar dua orang wakil dalam setiap kongres. Ini bermakna, dengan adanya 20 cawangan Kaum Ibu UMNO seluruh Tanah Air,  akan terdapat seramai 40 orang wakil Kaum Ibu UMNO dalam setiap persidangan atau kongres.

Sebagaimana yang kami duga, usulku itu mendapat tentangan padu dari Kaum Bapa yang berpadu tenaga dengan Kaum Pemuda dan ditolak. Penolakan usul itu adalah dengan jumlah 40 undi Kaum Bapa dan 40 undi Pemuda atau 80 undi, berbanding 4 undi yang menyokong dari Kaum Ibu.

Menariknya, walaupun usul kami ditolak dalam kongres itu, usul kami itu mendapat sokongan dan simpati dari ramai pemerhati termasuk kalangan dari organisasi media-massa.

" Maaf Ibu-ibu," kata mereka. " Sayang kami semua tidak boleh mengundi. Kalau kami dibenarkan, saya pasti semua orang media akan menyokong usul dari Ibu Khadijah ini," tambah mereka lagi.

Sejak dari peristiwa itu, sebahagian dari Kaum Bapa dan Pemuda UMNO sudah mula memperlihatkan rasa kurang senang dengan kemasukanku ke dalam UMNO. Mungkin mereka memikirkan yang aku akan menjadi duri dalam daging UMNO nanti atau ada juga yang berfikiran terlalu negatif yang berpendapat Kaum Ibu UMNO dengan kehadiranku dalam parti itu,  suatu hari nanti akan menguasai UMNO.

Apabila aku kembali ke Johor Bharu, aku laporkan segala apa yang berlaku dalam kongres itu kepada Kaum Ibu UMNO cawangan Johor. Aku juga menyeru kesemua Ahli Jawatankuasa Kaum Ibu UMNO cawangan Johor untuk terus berjuang, sehingga Kaum Ibu mendapat taraf yang sama dengan Kaum Bapa.

Dalam mesyuarat itu, aku  telah dilantik pula menjadi Ketua Penerangan Kaum Ibu UMNO cawangan Johor.

Sejak mula membabitkan diri dalam pertubuhan UMNO ini, aku sudah dapat melihat senerio asas organisasi UMNO khususnya UMNO cawangan Johor serta pelbagai masalah yang sedang melumuri parti Melayu itu.

Kebanyakan Kaum Ibu Johor ketika itu, mempunyai anggapan dan dasar mentaliti kalangan feudal. Mereka beranggapan bahawa semua jawatan tertinggi dalam sebarang organisasi termasuk dalam UMNO sendiri mestilah terdiri dari kelompok orang-orang bangsawan sepertiTengku-Tengku, Datin-Datin, Syarifah-Syarifah atau isteri orang-orang besar.

Jika mereka mengadakan mesyuarat,  kesemua kelompok VIP ini akan duduk di kerusi di atas pentas khas, sementara ahli biasa atau rakyat biasa akan duduk di belakang mereka atau duduk bersimpuh di atas tikar mengkuang di lantai mengadap mereka.

Tidak hairanlah jika jumlah ahli Kaum Ibu ketika itu tidaklah ramai.  Sebahagiannya pula  telah turut menyertai parti yang ditubuhkan oleh Dato' Onn bin Jaafar. Begitu juga jumlah cawangan UMNO yang banyak terbubar kecuali di tempat-tempat tertentu seperti di Johor Bharu, Seremban dan beberapa tempat yang lain.

Sebagai Ketua Penerangan Kaum Ibu UMNO Johor, menjadi tanggungjawab yang amat mencabar bagiku untuk memulihkan semula cawangan-cawangan UMNO serta berusaha untuk menambah keahlian baru dalam UMNO.  Atas alasan itulah juga, aku kerap terpaksa pergi ke kampung-kampung sekitar Johor untuk berceramah dan memujuk masyarakat Melayu untuk menyertai parti UMNO ini.

" Kami takut mahu masuk UMNO," demikian antara kata-kata mereka yang bertemuku dalam rangka kunjunganku ke kampung mereka.

" Kenapa Ibu-ibu berkata demikian? Apa yang cacat celanya UMNO ini Ibu?" tanyaku.

" UMNO kan parti untuk orang-orang kaya," jawab mereka. " Bila ada mesyuarat, kami kena duduk belakang. Kami tak mampu pakai pakaian cantik atau pakai barang kemas mahal-mahal seperti mereka, " tambah mereka lagi.

Aku cuba meyakinkan mereka betapa keadaan itu tidak seharusnya berlaku. Mereka tidak seharusnya risau tentang soal itu.

" Ibu, cuba ibu lihat diri saya." pujukku. "  Saya juga seperti anak ibu. Saya juga tidak kaya. Tetapi mereka masih memilih saya sebagai pemimpin. Jadi adalah salah untuk ibu-ibu berfikiran begitu," tambahku lagi.

" Dalam parti kita, seharusnya tidak ada kasta seperti kelompok Tengku atau Datin atau Syarifah.  Tidak harus ada kelompok si kaya atau si miskin. Semuanya sama rata. Malah dalam adat kita dan agama kita, kita mesti menghormati Tengku, Datin dan Syarifah, sebagaimana mereka perlu menghormati kita rakyat biasa. Kita semua membayar yuran sama rata sebanyak 20 sen. Tidak ada kasta dalam parti UMNO>" simpulku lagi.

Di kampung lain, ada pula kaum ibu yang mengadu kepadaku. " Bila kami datang mesyuarat terdapat jamuan teh. Tapi kami orang-orang kampung yang buruk ini hanya layak minum di dapur, tetapi bini orang-orang besar ini minum di kerusi khas." luah mereka dengan penuh kekesalan.

" Itu semua tidak sepaptutnya berlaku," jawabku. " Ibu-ibu juga sepatutnya duduk di kerusi walaupun bersebelahan dengan Tengku, Datin atau Syarifah atau Ketua Kaum Ibu sekalipun," pujukku.

Ternyata ini tugas berat yang sedang menantiku. Satu tugas untuk menukar minda pihak isteri orang kaya dan berpangkat untuk berfikiran sebagaimana orang  biasa serta menukar minda masyarakat biasa untuk berfikiran sebagai seorang yang punyai hak yang sama rata dengan kelompok lainnya.




Saturday, October 10, 2015

BAB 25: DILEMMA SEBAGAI AHLI BARU KAUM IBU UMNO.

Hatiku tiba-tiba menjadi begitu berat untuk menyertai UMNO apabila mendapat tahu borang permohonan menyertai UMNO telah hilang. Aku tahu UMNO adalah sebuah parti yang hebat dan mempunyai masa hadapan yang amat cerah. Cuma masalahnya. terdapat segelintir golongan elit dalam parti itu yang mengekang penyertaan orang biasa sepertiku ke dalam parti itu.

Ibu Zain, meminta aku bersabar dengan  keadaan itu. Ia berhasrat untuk melakukan penyiasatan sendiri untuk mengetahui ke mana menghilangnya borang keahlian UMNOku. 

Beliau telah menemui Setiausaha Agong UMNO untuk bertanya mengenai soal ini. Setiausaha Agong memaklumkan bahawa borang itu berada dalam tangan salah seorang Ahli Jawatankuasa Kaum Ibu UMNO.

Tidak lama kemudian aku dimaklumkan pula, bahawa terdapat seorang hartawan Melayu telah mengarahkan isterinya, seorang berketurunan Cina,  membuat tekanan kepada Kaum Ibu UMNO untuk menolak permohonanku  menyertai UMNO.

Mereka telah diberikan suatu alasan,  yang telah aku jangka dan aku duga. Aku, menurut mereka adalah bekas seorang penjenayah serta seorang yang bersimpati dengan perjuangan komunis. Sekiranya aku dibenarkan  menyertai UMNO, bererti aku bakal membawa malapetaka kepada parti itu. Lemungkinan besar, akan ramai ahli-ahli UMNO akan dimasukkan ke dalam  penjara.

Lanjutan dari hasutan dan  tohmahan mereka itu, kelihatan semakin ramai ahli-ahli UMNO khususnya dari kalangan Kaum Ibu yang menentang kemasukanku ke dalam parti UMNO. Lebih jauh dari itu, mereka telah beramai-ramai pergi ke rumah Tunku Abdul Rahman Putra, Presiden parti UMNO di Johor Bahru, untuk mengemukakan bantahan atau protes terhadap kemasukanku ke dalam parti UMNO.

Tunku benar-benar terkejut dengan bantahan dari Kaum Ibu UMNO cawangan Johor Bahru itu. Padanya, UMNO dewasa itu sedang tenat kerana begitu ramai ahli-ahlinya keluar dari UMNO dan menyertai parti baru IMP yang diasaskan oleh Dato' Onn bin Jaafar. Apa yang diperlukan oleh UMNO ketika itu adalah suatu kekuatan baru serta usaha dalam mempergiatkan penyertaan lebih ramai orang ke dalam parti itu dan bukan menolaknya.

Malah, menurut Tunku, beliau amat mengalu-alukan kemasukanku ke dalam UMNO kerana beliau yakin aku mampu membantunya membangunkan dan memulihkan semula UMNO yang sedang huru-hara dan porak-peranda itu.

" Kita sepatutnya mengangkat topi kepada Ibu Khadijah yang masuk penjara kerana berjuang untuk bangsa dan kemerdekaan negaranya. Kita sepatutnya memberikan dia sebutir bintang penghormatan kerana menghormati perjuangannya serta keberaniannya dalam menentang penjajah," zahir Tunku yang agak terkilan dengan sikap segelintar Kaum Ibu UMNO Johor yang menetang kemasukanku ke dalam UMNO.

" Kamu semua kan tahu. Nehru Perdana Menteri India serta Sukarno,  Presiden Indonesia dan ramai lagi yang telah masuk penjara kerana menegakkan kebenaran serta perjuangan suci demi untuk kemerdekaan Tanah air mereka. Jadi, saya amat-berharap agar Kaum Ibu tidak menentang kemasukan Ibu Khadijah ke dalam UMNO dan benarkannya menjadi ahli. Saya yakin, dia boleh membantu memperkukuhkan lagi parti kita," tambah Tunku lagi sambil memujuk mereka.

Akhirnya, Kaum Ibu UMNO Johor, menarik balik bantahan mereka. Salah seorang dari mereka, yang menyimpan borang permohonanku menyerahkannya semula kepada Tunku Abdul Rahman Putra.  Persetujuan dari Kaum Ibu UMNO Johor itu, sekaligus, menandakan titik tolak bermulanya kisah hidupku  dan perjuanganku secara rasmi sebagai ahli UMNO.

Untungnya juga, dalam masa yang sama aku mendapat tahu, Presiden parti PERMAS yang telah aku tinggalkan beberapa bulan lalu serta Setiausaha Agongnya telah ditahan oleh pihak polis serta dihadapkan ke mahkamah atas  kes pecah amanah. Kes pecah amanah itu membabitkan  projek loteri. Mahkamah juga dimaklumkan betapa hasil jualan tiket itu tidak pernah disimpan dalam bank. Pihak PERMAS juga dikatakan telah membeli tiga buah kereta , bukan untuk kegunaan parti.  tetapi untuk kegunaan peribadi.

Presiden dan Setiausaha parti PERMAS telah disabitkan kesalahan pecah amanah itu. Akibatnya, Presiden parti, seorang kakitangan kerajaan telah dibuang kerja, sementara Setiausahanya telah merengkok dalam penjara. Tiga buah kereta yang dibeli dari hasil jualan tiket loteri itu juga terpaksa dijual.

Seminggu setelah aku sah menjadi ahli UMNO, ahli-ahli Kaum Ibu UMNO dalam satu mesyuarat mereka, tanpa kehadiranku,  telah memilihku sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Kaum Ibu UMNO cawangan Johor. Mereka juga telah memilihku sebagai wakil tunggal Kaum Ibu UMNO cawangan Johor untuk menghadiri Kongres parti UMNO yang bakal diadakan di Melaka.

" Ada baiknya ibu-ibu semua, memilih saja orang lain terlebih dahulu, kerana saya masih baru dalam UMNO," zahirku menolak cadangan itu apabila maklumat untuk dimaklumkan kepadaku kemudian. " Namun, jika tiada siapa yang sudi, apa yang boleh saya katakan lagi. Saya bersedia untuk mnggalas tanggungjawab ini demi untuk perjuangan parti," tambahku lagi.

Bagaimanapun, setelah berbincang sesama mereka, mereka akhirnya kekal dengan cadangan asal. Aku dipersetujui  menjadi wakil tunggal Kaum Ibu UMNO Johor untuk menghadiri Kongres UMNO di Melaka pada bulan April 1953. 

Encik Mohamad Shah, Setiausaha UMNO cawangan Johor, telah mengirimkan kepada aku sepucuk surat  pengesahan dan perlantikanku sebagai wakil tunggal Kaum Ibu UMNO cawangan Johor ke kongres itu.

Anehnya, tiga hari kemudian, Encik Mohamad Shah tiba-tiba menelefonku dan memberitahuku betapa  mandat yang diberikan kepadaku sebagai wakil tunggal Kaum Ibu UMNO cawangan Johor ke Kongres UMNO di Melaka telak dibatalkan serta surat pengesahan dan perlantikan sebagai wakil tunggal Kaum Ibu UMNO cawangan Johor ke kongres itu telah ditarik balik. Aku juga telah diminta untuk hadir ke dalam suatu mesyuarat lain yang ada kaitannya dengan soal itu. 

Keadaan ini telah membuatku benar-benar marah dan geram.

" Encik Mohamad Shah," zahirku sedikit keras. " Saya bukanlah seperti seekor lembu yang boleh dicucuk hidung dan diusung ke sana ke mari oleh sesiapa. Perlantikan ini pun bukannya saya yang minta. Cadangan perlantikan itu pun dibuat tanpa kehadiran saya dalam mesyuarat  itu. Mereka sendiri yang memilih saya dan mereka sendiri yang mahukan saya menjadi wakil mereka. Malah Encik Mohamad Shah sendiri yang berikan surat itu kepada saya," zahirku agak keras. lagi.

" Saya benar-benar minta maaf Ibu Khadijah. Saya  terima arahan dan ikut perintah," kata Encik Mohamad Shah.

" Begini sajalah Encik Mohamad Shah. Ini ada kaitannya dengan soal prinsip. Dan atas dasar itulah juga, saya tidak akan berpatah semula. Sama ada dibenarkan atau ditarik balik, yang pasti, saya akan tetap pergi ke Melaka juga," zahirku tegas, geram dan amat sakit hati.

Encik Mohamad Shah, kedengarannya seperti terkedu. Suaranya seperti sudah tidak terzahirkan lagi.






Tuesday, October 6, 2015

BAB 24: IBU ZAIN MEMPELAWAKU MENYERTAI UMNO

" Ibu dan kaum Ibu UMNO yang lain, tak takut ke kalau saya masuk UMNO?" tanyaku kepada Ibu Zain setelah agak lama aku terdiam dan berfikir. " Sayakan baru keluar penjara dan orang-orang UMNO kan takut dengan 'penjenayah' yang baru keluar penjara," tambahku lagi.

" Apa yang Ibu mahu takutkan. Ijah bukan masuk penjara kerana buat salah. Saya tahu kenapa Ijah masuk penjara," balas Ibu Zain.

" Ijah masuk penjara dulu kerana berjuang untuk rakyat dan menuntut kemerdekaan. Kita sepatutnya meletakkan pemimpin seperti kamu pada kedudukan sewajarnya," tambah Ibu Zain lagi.

Pandangan Ibu Zain benar-benar melegakan  hatiku. Aku yakin pandagan Ibu Zain ikhlas dan dengan kedudukannya sebagai pemimpin Kaum Ibu UMNO, beliau tentu mengharapkan orang-orang sepertiku untuk membantunya memperkukuhkan UMNO.

" Begini sajalah Ibu. Saya rasanya tidak berhalangan untuk masuk UMNO. Bagaimanapun Ibu mesti bertanya dan mendapat persetujuan Presiden UMNO dahulu, sementara saya pula  perlu mendapat izin daripada suami saya," putusku akhirnya.

Ibu Zain ternyata bersetuju dengan sarananku. Aku difahamkan kemudian, Ibu Zain telah menemui Dato' Onn Jaafar berkenaan cadangan membawaku masuk ke dalam UMNO. Ternyata, keputusannya sebagaimana yang aku duga. Datuk Onn menolak cadangan  yang dibawa oleh Ibu Zain itu.

Kisah cadangan untuk membawaku masuk ke dalam UMNO, ternyata tergantung begitu saja. Dalam tempoh masa itu, aku melahirkan anak kami yang ketiga. Anak lelaki kedua kami ini, dilahirkan di Hospital Besar Johor Bahru tanpa sebarang masalah. Kami berikannya nama Muhamad Hatta, mengambil sempena nama wakil Presiden Indonesia ketika itu.

Tidak lama selepas itu, berlaku kekecohan besar dalam Parti UMNO. Presiden UMNO, Dato' Onn bin Jaafar, mengemukakan satu cadangan untuk membuka keahlian UMNO kepada kaum bukan Melayu. Beliau beralasan, ini semua adalah kehendak kerajaan British.

Menurutnya lagi, British bersedia untuk memberi peluang untuk berkerajaan sendiri dan merdeka, sekiranya wujud satu kerjasama politik dan perpaduan antara rakyat berbilang kaum di Tanah Melayu. Hanya satu cara pada hemat Dato' Onn perkara ini boleh terjadi iaitu dengan menjadikan UMNO sebagai sebuah parti berbilang kaum.

Cadangan Dato' Onn kelihatannya telah menjurus kepada perpecahan orang Melayu dalam UMNO. Beberapa pemimpin tua dalam UMNO seperti di Perak dan Kelantan bersetuju dengan cadangan Dato' Onn bin Jaafar sementara pemimpin-pemimpin muda  dan berpendidikan tinggi menentangnya.

Oleh kerana tiada kebulatan kata serta tentangan hebat ahli-ahli dalam UMNO mengenai cadangan membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu, Dato' Onn akhirnya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai pemimpin tertinggi parti itu. Beliau kemudiannya menubuhkan sebuah parti baru iaitu Independent Malayan Party (IMP) atau Parti Kemerdekaan Malaya.

Parti IMP ternyata mendapat sokongan kuat daripada ramai pemimpin-pemimpin kanan UMNO. Mereka turut meninggalkan UMNO dan menyertai parti  IMP pimpinan Dato' Onn bin Jaafar. Cawangan parti IMP tumbuh dengan rancaknya di seluruh tanah air. Ramai orang-orang Melayu turut meninggalkan UMNO dan menyertai parti baru itu.

UMNO ketika itu benar-benar sebuah parti yang begitu lemah dan kucar-kacir seperti perpatah 'anak ayam kehilangan ibu'. Keadaannya sekaligus turut melemahkan matlamatnya sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib dan harapan orang Melayu. 

Kepimpinan UMNO yang tinggal ketika itu, kebanyakannya terdiri daripada kelompok anak muda lepasan institut pengajian tinggi dari luar negara seperti Abdul Razak dan Dr ismail. Mereka benar-benar kurang berpengalaman dalam memimpin suatu organisasi yang besar.

Kepimpinan muda dalam UMNO ketika itu, yang beribu pejabat di Johor Bahru, berusaha gigih untuk memulihkan semula parti UMNO. Antara tindakan segera  adalah, mereka berusaha menambah keahlian baru UMNO serta menarik tenaga-tenaga baru yang mampu membantu memulihkan UMNO. 

Antara tindakan mereka yang begitu menarik adalah dengan menjemput Tunku Abdul Rahman Putra, seorang anak raja Kedah serta bekas pemimpin Persatuan Pelajar-pelajar Melayu di United Kingdom, untuk menjadi pemimpin baru UMNO bagi menggantikan Dato' Onn bin Jaafar . 

Kemasukan Tunku dalam UMNO serta perlantikannya sebagai Yang Dipertua atau Presiden UMNO pada tahun 1953, walaupun memberi nafas baru kepada parti itu. ternyata masih belum berupaya untuk memulihkan keadaan secara total. Pengaruh dan kekuasaan terhadap orang Melayu telah turut dibawa oleh Dato' Onn ke dalam IMP.

Beberapa bulan kemudian, Ibu Zain, Ketua Kaum Ibu UMNO yang pernah menemuiku dahulu, muncul sekali lagi di rumahku untuk memujukku menyertai Parti UMNO. Sekali lagi kunyatakan kepadanya bahawa aku bersedia untuk menyertai UMNO sekiranya Presiden UMNO sendiri bersetuju dengan cadangannya itu.

Tidak lama kemudian, Ibu Zain kembali semula ke rumahku dengan satu perkabaran yang amat menggembirakan. Tunku Abdul Rahman Putra merestui dan mengalu-alukan kemasukanku ke dalam UMNO. Beliau turut membawa borang keahlian UMNO untukku. Tunku Abdul Rahman sendiri  dan setiausahanya Zulkifli Hashim bertindak sebagai pencadang dan penyokongnya.

Anehnya, setelah agak lama menunggu, aku dapati, namaku masih juga belum disahkan oleh pihak Jawatankuasa UMNO. Aku bertanya Ibu Zain mengenai soal itu. 

" Nanti saya siasat mengenai perkara ini," begitu kata Ibu Zain. 

Tidak lama kemudian dia memaklumkan kepadaku betapa borang keahlianku telah hilang dan telah disembunyikan oleh seseorang. Jelas sekali, ada segelintir orang  UMNO yang kelihatannya tidak senang dan tidak gembira dengan kemasukan aku dalam parti UMNO.




Sunday, October 4, 2015

BAB 23: PERSATUAN MELAYU SEMENANJUNG (PERMAS)

Sebenarnya pembabitan langsung diriku dalam organisasi politik orang Melayu di Tanah Melayu adalah bermula dari penubuhan Persatuan Melayu Semenanjung atau PERMAS. Segalanya bermula anggaran bulan-bulan awal tahun 1952, ketika Nur Kemal baru saja berumur 5 bulan.

Suatu hari seorang kenalan suamiku dari Kuala Lumpur telah datang berjumpa kami di Johor Bahru. Untuk perbualan yang selesa, perbualan itu diadakan di bilik pejabat teman kami peguam Melayu itu. Kami dalam hubungan ini adalah aku, suamiku Dr Hamzah dan peguam Melayu ini.

Pelbagai tajuk semasa kami perbualkan. Antara tajuk bual yang menarik perhatian ketika itu adalah mengenai perpecahan yang sedang berlaku kepada parti UMNO. Ketika itu, telah berlaku perbincangan hebat di kalangan orang Melayu  mengenai hasrat Datuk Onn bin Jaafar yang mengemukakan cadangan agar UMNO membuka pintunya kepada kaum-kaum bukan Melayu.

Datuk Onn berbuat demikian, dengan tujuan untuk menepati permintaan pihak kerajaan British untuk melihat wujudnya kerjasama politik dan perpaduan antara pelbagai kaum di Tanah Melayu, sebelum mereka menyerahkan kuasa untuk berkerajaan sendiri dan merdeka.

Cadangan Datuk Onn mendapat tentangan hebat ramai pemimpin Melayu dan UMNO kelihatannya sedang berada di ambang perpecahan. Kebanyakan pemimpin generasi tua UMNO seperti dari Perak dan Kelantan menyokong Datuk Onn. 

Bagaimanapun, puak golongan muda jelas menunjukkan penentangan mereka kepada kepimpinan Datuk Onn. Menurut mereka, UMNO ditubuhkan untuk orang Melayu dan kewujudannya adalah untuk memperjuangkan nasib dan hak orang Melayu di tanah air mereka sendiri. 

" Sebenarnya, kedatangan saya hari ini adalah untuk mengajak sahabat-sahabat serta Ibu Khadijah, bersama saya sebagai AJK penaja sebuah parti Melayu yang baru," akhirnya kenalan suamiku menzahirkan maksud kedatangannya ke Johor Bharu. Kata=katanya ternyata mula menarik perhatian kami.

" Saya bercadang untuk menamakan parti ini sebagai Persatuan Melayu Semenanjung atau PERMAS. Rasa-rasanya apa pandangan sahabat?" tanyanya.

" Apa matlamat dan tujuan penubuhan parti PERMAS ini?" tanya peguam Melayu itu.

" Kitakan orang Melayu dan kaum peribumi di rantau ini. Jadi tujuannya adalah untuk membela dan memperjuangkan hak dan nasib orang Melayu. Kita akan memimpin orang Melayu untuk menentang penjajah Inggeris serta terus tegas menuntut kemerdekaan seperti saudara kita di Indonesia," katanya lagi dengan penuh semangat.

Pertemuan itu ternyata menghasilkan keputusan yang menarik dengan kami bersetuju untuk menjadi Jawatankuasa penaja parti PERMAS. Lebih jauh dari itu, aku telah diminta oleh teman itu untuk menjadi penyelaras penubuhan cabang Kaum Ibu PERMAS dan sekaligus bertindak sebagai ketua penaja Kaum Ibu PERMAS.

Pada pertengahan tahun 1952, parti baru PERMAS telah mengadakan kongres ulung dan mesyuarat agung penubuhannya di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. Aku dan suamiku sebagai AJK penaja dan aku sebagai Ketua Penaja dan Penyelaras Kaum Ibu PERMAS turut menyertai mesyuarat selama tiga hari itu. Sebelum bertolak aku terpaksa memohon permit keluar daerah dari Ibu Pejabat Polis Johor Bahru. Di Kuala Lumpur kami menetap di sebuah hotel di Batu Road.

Dalam mesyuarat agung penubuhan PERMAS itu, aku telah dipilih sebagai Ketua Kaum Ibu PERMAS. Ketika itu terdapat kehadiran seramai lebih 100 ketua cawangan kaum ibu PERMAS dari seluruh negara,

Selepas kembali dari Kuala Lumpur, aku sebagai Ketua Kaum Ibu PERMAS berusaha gigih untuk membangunkan parti PERMAS khususnya di Johor Bharu dan Negeri Johor amnya. Bagi membolehkan aku berbuat demikian, aku segera memohon izin daripada Ibu Pejabat Polis untuk kebenaran membuka cawangan baru PERMAS di negeri itu.

Satu hari, pada  tahun 1952 juga, satu lagi persidangan PERMAS telah diadakan di Alor Setar, Kedah. Aku sekali lagi terpaksa memohon permit untuk pergi di bandar di utara Tanah Melayu itu.

Ternyata sambutan dari masyarakat Melayu begitu menggalakkan. Pendaftaran keahlian baru PERMAS datang mencurah-curah. Jelas sekali parti baru ini sudah semakin mendapat sokongan daripada masyarakat Melayu. Jelas sekali, sekiranya parti baru ini ditadbir dengan baik dan mendapat kepimpinan yang cemerlang, ia pasti akan menjadi sebuah parti Melayu yang terbesar dan mampu mengatasi UMNO sebagaimana keadaan UMNO pada hari ini.

Malangnya, pemimpin PERMAS ketika itu, adalah seorang yang cuai serta tidak berhati-hati dalam soal kewangan. Dia menerima kritikan yang pedas dalam mesyuarat yang berlangsung dengan amat panas. Dia akhirnya  telah meletakkan jawatan dan digantikan dengan orang lain dalam persidangan itu.

Pemimpin yang baru dalam PERMAS ternyata seorang yang amat gigih mencari dana untuk mengisi tabung aktiviti PERMAS. Antara cadangannya yang mendapat sokongan adalah mengenai  penganjuran jualan loteri kebajikan. Pelancaran cabutan loteri PERMAS telah diadakan di Johor Bahru. Penjualan tiket loteri atas alasan untuk mengutip dana tabungan aktiviti parti PERMAS ini ternyata mendapat sambutan hangat di seluruh Tanah Melayu.

Aku kemudiannya telah dilantik sebagai Bendahari untuk projek tabungan dana aktiviti PERMAS ini. Sebagai Bendahari, sudah tentu tanggungjawabku adalah untuk menyimpan tabungan wang kutipan setiap bulan serta menyelaraskan segala penyata kewangan jualan loteri itu. 

Malangnya, setelah  tiga bulan sesi loteri ini dijalankan, segala ini tidak pernah berlaku. Aku masih juga tidak menerima sebarang kutipan wang untuk disimpan di bank. Perkara ini pernah aku tanyakan kepada Yang Dipertua atau Presiden baru PERMAS itu sendiri.

" Ibu Khadijah usah risau tentang urusan kewangan loteri ini. Segala urusan ini adalah di bawah tanggungjawab Presiden parti," begitu mudah dia menjawabnya.

" Tapi bapak, berdasarkan perlembagaan parti, urusan kewangan sewajarnya menjadi urusan Bendahari. Saya adalah Bendaharinya. Sebagai Bendahari, tanggungjawab saya untuk mengutip segala hasil dan menyimpankanya di bank. Dan jika wang itu mahu dikeluarkan nanti,  ia perlu mendapat tandatangan dari Presiden, Setiausaha dan Bendahari," jawabku.

Presiden ternyata tidak langsung mengindahkan sarananku itu. Ia sejak itu sudah mula menunjukkan perasaan kurang senang terhadapku.  Keadaan ini menjadikan aku tidak lagi betah berada dalam persatuan itu. Aku segera meletakkan jawatan sebagai Bendahari Jawatakuasa Loteri dan sekaligus sebagai Ketua Kaum Ibu PERMAS dan ahli parti PERMAS. 

Sebelum ini, bilik gerakan PERMAS adalah di No. 47 Jalan Ibrahim. Kami tidak mengenakan sebarang bayaran kecuali bayaran air api sebanyak $5.00 sebulan. Apabila aku keluar dari PERMAS, bilik gerakan parti itu telah dipindahkan ke sebuah hotel dengan sewa bulanannya sebanyak $200 sebulan.

Perletakan jawatanku sebagai Ketua Kaum Ibu PERMAS, ternyata mendapat perhatian daripada Ketua Kaum Ibu UMNO Tanah Melayu ketika itu, Ibu Zain. Anggaran tiga bulan setelah aku meninggalkan PERMAS Ibu Zain telah datang menemuiku.

" Olah kerana Jah sudah bukan ahli parti PERMAS, apa kata kalau Jah, ikut Ibu dan masuk ke dalam parti UMNO," begitu kata-katanya kepadaku.

Aku terdiam seketika. Otakku mula bercempera. Pengalamanku dalam PERMAS begitu pahit. Walaupun aku seronok dipelawa Ibu Zain menyertai UMNO, aku rasanya perlu lebih berhati-hati. UMNO adalah parti besar dan aku tidak mahu pisang berbuah dua kali.




BAB 22: NUR KEMAL - CAHAYA KEMERDEKAAN MALAYA

Sebagaimana yang kunyatakan dahulu, di tingkat bawah bangunan kedai no. 47 Jalan Ibrahim dibahagikan kepada tiga bahagian. Di bahagian hadapan terdapat sebuah kedai buku. Bahagian tengah dihuni oleh seorang peguam semantara dispensari suamiku terletak di bahagian belakang.

Ada juga aku katakan dahulu, bilik yang dihuni oleh seorang peguam Melayu itu, kemudian turut dijadikan markas atau bilik gerakan Persatuan Melayu Semenenjung (PERMAS) cawangan Johor. Sebenarnya, parti PERMAS ini lahir anggaran enam bulan kemudian setelah aku berpindah semula ke Johor Bharu dari Muar atau tepatnya setelah aku membuka perniagaan Nasi Padang Restoran Merdeka.

Sebenarnya kewujudan PERMAS adalah merupakan titik mula aku membabitkan diri secara serius dalam organisasi politik Melayu di Tanah Melayu.  Bagaimanapun, sesuai dengan urutan kisah mengenai sejarah hidupku, biarlah aku kisahkan dulu tentang kelahiran anak keduaku Nur Kemal bin Dr. Hamzah.

Sebagaimana yang kukatakan dahulu, aku telah mula mengandung anak kedua ketika aku berpindah semula ke Johor Bharu. Aku masih juga tinggal di dispensari suamiku bersama anakku  walaupun aku sudah membuka perniagaan nasi padangku. Khadria ketika itu sudahpun berusia satu setengah tahun dan sudah pandai berjalan.

Suatu hari pada awal 14 Oktober 1951,  selepas pulang dari geraiku, aku merasakan kesakitan yang amat sangat di bahagian perutku. Aku kembali teringat petua senaman turun naik tangga yang diberikan matron di penjara Outram Road di Singapura dahulu. Jadi, segera kukejutkan Khadria dan bersamanya pada tengah malam itu, aku melakukan senaman turun naik tangga ke tingkat atas berulang-ulang kali.

Setelah itu, aku kejutkan pembantu kedai buku (yang tidur di bilik hadapan). Aku memintanya untuk menjemput suamiku di rumah isteri tuanya di Jalan Storey.

" Sekarang baru jam 2.00 pagi  kakak. Sekarang ni musim dharurat. Nanti tak pasal-pasal saya kena tangkap polis," katanya agak ketakutan. Selalunya dia tidak akan menolak jika aku meminta tolong menjemput suamiku, kerana dia seorang anak yang baik. Seketika aku teringat keadaan semasa ketika itu. Sejak tahun 1948 lagi,  dharurat telah diisytiharkan di  seluruh Tanah Melayu, gara-gara sifat onar dan pemberontak anggota Parti Komunis Malaya.

" Akak sakit betul ni. Rasa-rasa macam nak beranak ni. Tolonglah jemput Doktor Hamzah," rayuku lagi.

Pembantu kedai itu yang aku lupa namanya terdiam seketika. Raut wajahnya jelas ada tanda sedih dan kesihannya terhadapku.

 " Begini sajalah kak, " putusnya. " Akak cuba bersabar sekejap. Kita tunggu tiga jam lagi hingga lepas subuh  jam 5.00 pagi. Nanti saya jemput doktor".

Mahu tidak mahu terpaksa juga aku akur dengan kehendaknya. Aku juga tahu akan masalah yang akan terjadi jika dia ditahan polis nanti. Aku berusaha benar dalam apa cara cuba menekang dan meredakan kesakitanku itu hingga suamiku muncul nanti.

Tepat jam 5.00 pagi, anak muda pembantu kedai itu yang baik hati itu, sudah membonceng basikalnya ke Jalan Storey, rumah isteri tua suamiku Dr Hamzah. Anggaran tiga puluh minit kemudian, dia sudah tercongok semula di hadapan bilik dispensari suamiku. Begitu pantas dia mengayuh, seolah-olah seperti cuba mengelak dari dikejar oleh polis. 

Bagaimanapun, suamiku tidak juga tiba ke dispensari itu sehinggalah empat jam kemudian iaitu anggaran jam 9.00 pagi.  Aku sedang terbaring di atas bangku kayu ketika dia tiba. Betul-betul dia amat terkejut melihat aku yang sedang kesakitan. KMenurutnya dia tidak menyangka aku akan bersalin pada hari itu.

" Sakit apa?" tanyanya yang menyangka aku hanya mengidapi sakit perut. Dia segera memapahku ke katil rawatan. Sebaik tiba ke tempat itu, rasa sakitku semakin menggila. 

" Budak nak keluar....!!!' pekikku.

Pekikanku itu benar-benar mengejutkan suamiku.  Dengan segera dia meminta tolong pembantu kedai yang menjemputnya subuh tadi, memanggil seorang bidan Cina yang tinggal berhampiran. Tidak lama kemudian, bidan itu muncul di dispensari itu bersama dengan beg dan perkakasnya untuk membantu suamiku.

Tidak berapa lama kemudian, anak keduaku selamat kulahirkan ke dunia. Dia seorang bayi lelaki. Sebagai menyambut kelahirannya, suamiku segera menzahirkan azan ke telinganya.  Aku terpaksa menerima tiga jahitan kerana kelahiran itu. Selain itu, suamiku turut memberikanku suntikan penahan sakit dan ubat.

Bidan meminta suamiku mencari seseorang untuk menjagaku kerana badanku begitu lemah sekali. Aku meminta suamiku menelefon sepupuku di Singapura. Sepupuku datang beberapa jam kemudian bersama dengan seorang anak perempuannya. Bagaimanapun dia hanya betah sehari berada di situ dan meninggalkan anaknya yang berusia lapan tahun untuk menemaniku.

Apalah yang mampu dibuat oleh anak gadis sekecil ini  untuk membantuku. Oleh itu dalam keadaan tubuhku yang amat lemah, aku terpaksa melakukan sendiri semua kerja termasuk menyediakan air susu botol untuk Khadria. Esoknya tubuhku berasa amat sakit dan bisa. Sekali lagi aku terpaksa meminta pembantu kedai buku itu untuk menjemput suamiku.

Suamiku segera datang malam itu. Sebaik selesai memberi suntikan dan ubat, dia segera kembali ke rumahnya. Aku dimaklumkan oleh seseorang kemudian, betapa isteri tuanya turut datang bersamanya dan menanti di dalam kereta. Mungkin dia takut suamiku mungkin akan lama bersamaku jika dia tidak datang bersama.

Esok pagi, suamiku datang seperti biasa untuk merawatku. Aku kekal terbaring di katil rawatan pesakit. Apabila dia perlu menggunakan katil itu untuk pemeriksaan terhadap pesakitnya yang lain, aku akan beralih semula ke pangkin kayu.

" Anak kita ni belum diberikan namanya kan Ijah? tanya suamiku Dr Hamzah. Aku mengangguk. " Apa kata kalau kita berikan namanya Sukarno, " tambahnya lagi.

" Sukarno...?" ulasku agak kaget.

" Ya Sukarno. Presiden Sukarno. Nama pemimpin besar di Indonesia itu. Pemimpin besar yang menentang penjajah Belanda di Indonesia,"  tambahnya lagi.

" Kenapa abang pilih nama Sukarno?"

" Saja. Cuma malam tadi abang termimpi melihat dan terbayang wajah Sukarno. Abang sudah punyai sepuluh orang anak. Tetapi sebelum ini, abang tidak pernah mengalami mimpi yang sebegini."

Aku terdiam. Fikiranku berbolak-balik sama ada mahu bersetuju dengan nama Sukarno pilihan suamiku atau tidak. Akhirnya aku memutuskan untuk tidak bersetuju anak lelakiku diberikan nama Sukarno.

" Ijah tidak begitu setuju dengan pilihan nama abang itu. Memang nama itu hebat dan baik. Cuma, jika suatu hari nanti, anak ini menjadi orang besar tidak apa. Tapi, kalau dia menjadi sebaliknya bagaimana?" zahirku.

" Jadi, Ijah ada cadangan nama lain?"

" Rasanya ada. Ada juga Ijah terfikir tentangnya dahulu."

" Maksud Ijah?"

" Apa kata kalau kita berikan nama anak kita ini, Nur Kemal. Nur Kemal bin Hamzah. Nur Kemal bin Dr Hamzah. " lahirku separuh berlucu.

" Nur Kemal..? Pelik nama itu. Selalunya Kamal. Ini Kemal... Maksud Ijah..?"

" Nur itu maksudnya Cahaya.... Ke.. kependekan perkataan Kemerdekaan dan Mal..maksudnya Malaya," zahirku dengan memberikan pengertian untuk nama anakku Nur Kemal.

" Malaya kata bahasa orang Putih. Melayunya Tanah Melayu..., " Ulas suamiku. "Kalau namanya Cahaya Kemerdekaan Tanah Melayu...jadi...Nur...Ke...Ta Mel.. Eh... tak cantik sangat...nanti jadi....Nur Ketam.. Baiklah ijah. Abang setuju. Kita berikan nama anak kita Nur Kemal bin Hamzah, "  suamiku menzahirkan persetujuannya dalam keadaan separuh berlucu. 

Kami sama-sama ketawa kecil. Sesekali seronok juga mendengarnya berlawak begitu.

" Presiden Sukarno adalah satu nama dan tokoh besar di Indonesia. Tidak ada sesiapapun yang setanding dengan dirinya di Tanah Melayu ini," sambungnya. 

" Abang harap anak kita ini nanti akan jadi pemimpin dan tokoh di tanah airnya yang merdeka," tambahnya lagi.

Friday, October 2, 2015

BAB 21 ; NASI PADANG RESTORAN MERDEKA JOHOR BAHRU

Aku berada di Muar selama hampir tiga bulan. Anehnya sepanjang tempoh itu, suamiku tidak pernah mengunjungiku.  Ada aku menulis surat memintanya datang menjemputku serta mengirimkanku sedikit wang. Malangnya, surat tidak dijawabnya.

Suatu malam anakku mengidapi asma dan batuk.  Aku tidak tidur semalaman kerana menjaga dan melayani kerenahnya. Hanya ketika lepas subuh, aku baru dapat tidur. Malangnya, tidurku terlalu lena hingga aku hanya tersedar bila hari sudah mula meninggi.

"Heng.....!!!!!," jerkah iparku bila terlihat wajahku sepagi itu. "Bangun lambat macam anak orang kaya. Inilah kalau orang tidak sedar dek untung....!!!", zahirnya deras lagi.

Esoknya aku dimarahi lagi oleh iparku kerana masalah yang sama. Anakku masih juga belum sembuh dan aku terpaksa menjaganya sepanjang malam. Sesekali terasa mahu saja aku menjawab jerkahan iparku dan memberitahu akan masalah anakku. Tapi, memikirkan hujungnya nanti akan lebih buruk, maka aku mendiamkan diri sahaja dan bergegas ke bilikku. 

Fikiranku melintuk-liuk dengan seribu masalah dan persoalan. Apa lagi dengan suamiku yang seperti orang lepas tangan. Begitu juga nasibku  seperti  melukut di tepi gantang di rumah itu. Aku seolah-olah seorang yang tiada maruah dan tiada harga diri. 

Hati di dalam semakin mendesak-desak agar aku meninggalkan saja rumah yang tidak dapat menerima kehadiranku di situ sebagai salah seorang ahli keluarga.  Namun masalahnya, ketika itu aku tidak mempunyai wang dan tiada memiliki walaupun seutus rantai atau sebentuk cincin emas yang boleh ditukar menjadi duit.

Lama juga fikiranku berbolak-balik begitu. Akhirnya, aku membulatkan tekad untuk mengikut rasa hati. Selepas mengemas katil dan sarapan pagi, aku kelek anakku dan terus ke Balai Polis Muar meminta permit untuk pergi ke Johor Bahru selama satu minggu. 

Setelah mendapat permit, aku kembali ke rumah dengan sebuah kereta sewa. Aku mengemaskan segala barangan yang ada dan memberitahu ibu mentuaku akan hasratku ke Johor Bahru dan mungkin tidak akan kembali semula ke rumah itu.

Sebenarnya, aku tidak mempunyai wang walau sesen pun ketika aku menyewa kereta sewa itu. Sebaik saja tiba di Johor Bharu, aku terus ke dispensari suamiku. Dia sedang merawat pesakitnya. Suamiku membayarkan sewa  dan terus menempatkan aku dan anakku di Hotel Heng Kee Bee di hadapan Hotel Station.

Aku menanya suamiku, alasannya kenapa dia tidak datang mengunjungiku selama tiga bulan aku dihantarkannya ke rumah ibu bapanya di Muar. Sebelumnya, dia pernah berjanji betapa aku tidak akan lama di Muar dan dia akan berusaha membawaku kembali ke Johor Bharu. Lebih memedihkan, bukan saja janjinya itu tidak ditunaikan, dia juga tidak langsung mengirimkan wang perbelanjaanku semasa di Muar.

Menurut suamiku, dia tidak dapat berbuat demikian kerana arahan dari pihak CID. Mendengar kata-katanya itu, aku bergegas ke Ibu Pejabat Polis Johor Bharu dan  bertemu dengan pegawainya berbangsa Inggeris,  Mr Woolnough. 

" Tolong tukarkan tempat  buang daerah saya dari Muar ke Johor Bahru kerana hidup saya dan anak saya amat susah apabila tiada suami berhampiran," rayu saya kepada Mr Woolnough. Pegawai Inggeris itu agak keberatan untuk menunaikan permintaanku kerana semua itu sebenarnya adalah di atas kehendak suamiku.

" Begini sajalah Mr Woolnough. Oleh kerana tuan tidak dapat menunaikan permintaan saya, maka saya cadangkan agar tuan masukkan saya semula ke dalam penjara atau lebih bagus lagi, hantar saya kembali le Indonesia." rayuku lagi dengan bersaksikan Encik Shariff yang membantu menjelaskan maksud kata-kataku kepada ketuanya.

Mr Woolnough  akhirnya dengan berat hati terpaksa juga menerima rayuanku. Sejak hari itu, penempatan wilayah buang daerahku telah dipindahkan dari Muar ke Johor Bahru. Selama seminggu aku dan anakku berada di Hotel Heng Kee Bee sebelum aku dipindahkan oleh suamiku ke dispensarinya iaitu di No. 47 Jalan Ibrahim. 

No 47 Jalan Ibrahim adalah bangunan dua tingkat. Bahagian atas disewa oleh  Parti Kongres India sementara bahagian bawah terdapat tiga bilik.  Bilik pertama adalah kedai buku. Bilik kedua adalah pejabat seorang peguam yang juga menjadi Bilik Gerakan Persatuan Melayu Semenanjung Johor (PMS). Bilik dispensari suamiku berada di bahagian  belakang sekali.

Dalam bilik inilah, aku tinggal bersama anakku. Pada siangnya aku akan duduk di sudut bilik iaitu di pangkin kayu yang juga pangkin menunggu.  Pada malamnya, katil baring pesakit aku jadikan katil tidurku.

Hidupku tidaklah menjadi lebih baik ketika aku berpindah ke situ. Sama seperti di Muar, aku benar-benar kesunyian kerana tiada sesiapapun yang ambil peduli, kerana masing-masing takut disyaki polis kerana aku adalah bekas orang tahanan. Hanya kalangan anggota Persatuan Melayu Semenanjung dan ahli Parti Kongres India yang bersimpati dan memahami dirinya. Namun, mereka kesemuanya lelaki dan pergaulan kami agak terbatas.

Aku rasa suamiku pasti bertengkar hebat dengan isteri tuanya setelah maduku itu mendapat tahu aku sudah kembali ke Johor Bahru dan menginap di dispensarinya. Keadaan ini terlihat apabila suamiku kerapkali tidak datang ke dispensarinya dan jika ada pesakitnya, aku terpaksa meminta sesiapa yang ada untuk menjemput suamiku. Menariknya, setiap kali selepas merawat pesakitnya, dia terus kembali ke rumah isteri tuannya.

Keadaan ini terus meresahkan diriku apatah lagi aku ketika itu sudah semakin sarat kerana mengandungkan anak yang kedua. Hanya Allah saja yang tahu betapa
menderitanya batin dan perasaanku ketika itu.

Suatu hari aku meminta suamiku untuk mencari satu gerai untuk aku berniaga. Tidak jauh dari bangunan no. 49 Jalan Ibrahim, terdapat sebuah gerai kosong. Tuan punyanya bersedia untuk menjualkan kepadaku pada harga $200 termasuk sebuah meja, kerusi,  almari dan dua dapur kayu. Aku setuju membelinya dan kami membuat satu surat perjanjian jualbeli serta menukar nama pada lesen di Pejabat Daerah.

Sebaik saja mengmbilalih gerai itu, aku laporkan kepada Ibu Pejabat Polis dan dibenarkan untuk berada di geraiku selepas pukul 5.00 petang hingga pukul 12.00 tengah malam.

Buat pertama kali dalam sejarah bandar Johor Bahru, aku perkenalkan masakan Nasi Padang.  Aku namakan  geraiku RESTORAN MERDEKA. Aku juga menjual pelbagai jenis minuman  dan kuih-muih. Aku mengambil seorang remaja lelaki Melayu untuk membantu perniagaanku.

Sejak kelahiran geraiku, aku sudah semakin dikenali ramai. Malah pada hari minggu, selalunya pengunjung geraiku datang dari Singapura. Mereka sengaja datang untuk merasai kelazatan masakan  Nasi Padang Restoran Merdeka. Namun, agak melucukan, apabila gerai Restoran Merdeka, kurang dikunjungi oleh orang-orang Johor Bahru itu sendiri. Mungkin kata MERDEKA pada gerai itu sudah mula menyeramkan minda orang Melayu Johor Bahru ketika itu.

Hanyalah, apabila aku mengiklankan RESTORAN MERDEKA dalam akbar Utusan Melayu, barulah perniagaanku mula mendapat sambutan. Aku  mula memperolehi pendapatan purata antara $20.00 hingga $25.00 sehari.

Perniagaanku begitu sibuk sehingga tidak memberi peluang diriku untuk berdukacita. Sebelum jam 12.00 malam, aku akan menutup geraiku. Umumnya aku balik dengan amat keletihan dan kelelahan hingga acapkali aku terlena sampai pagi.

Namun, walau apapun keadaannya,  aku amat sesungguhnya seronok dan gembira begitu.








BAB 20 - DIBUANG DAERAH KE JOHOR



Aku diiringi oleh dua orang pegawai CID dalam perjalanan menyeberangi tambak Johor ke Johor Bahru. Seorang daripadanya berbangsa Inggeris dan penolongnya seorang Melayu. 

" Kamu dibuang daerah hingga 30 Januari 1960," kata pegawai Inggeris itu. Anehnya, dia tidak menunjukkan sebarang surat hitam putih yang  ada kaitannya dengan arahan buang daerah itu.

Di Johor Bahru, aku dibawa terus ke Ibu Pejabat Polis di mana suamiku sudah sedia
menunggu. Di Ibu Pejabat Polis itu, aku terpaksa menandatangani surat perintah yang tidak membenarkanku meninggalkan rumah antara lima petang hingga lima pagi. Aku perlu mendapat kebenaran pihak polis sekiranya ingin keluar antara tempoh masa itu.

Pada siang harinya pula, aku tidak dibenarkan untuk meninggalkan rumah dalam lingkungan lebih dari lima  batu (ketika itu kilometer belum digunakan) tanpa izin pihak polis. Pihak polis juga dibenarkan datang ke rumahku pada bila-bila masa untuk menyiasat diriku atau segala kemungkinan barangan yang mencurigakan dalam milikku..

Bagaimanapun, suamiku memaklumkan kepada pihak CID. aku  akan ditempatkan di Muar dan tinggal bersama ayah dan ibunya. Alasannya begitu mudah. Dia tidak inginkan timbul sebarang masalah kerana Isteri tuanya serta anak-anaknya ketika itu berada di Johor Bahru.

Selama sepuluh hari aku dan anakku Khadria berada di Johor Bharu sebelum dipindahkan ke Muar. Selama sepuluh hari itu juga kami tinggal di hotel Station. 

Ibu bapa mertuaku kelihatan begitu gembira sekali melihat kedatanganku ke rumahnya. Apatah lagi, aku dimaklumkan bahawa jurai keturunan mereka ada pertalian dengan Pagar Ruyung di Sumatera, tempat asal pemerintah Raja-raja Minangkabau.

Walaupun ibu bapa mentuaku begitu baik terhadapku, tetapi jiwaku sebenarnya agak kurang selesa dan kurang tenteram ketika berada di sana.  Aku tidak mengenali sesiapun di sana. Apatah lagi, suamiku pula berada di Johor Bharu kerana kliniknya terletak di sana. 

Sesiapa saja yang datang mengunjungi mentuaku,  kerapkali memerhatiku dengan rasa aneh dan menjengkilkan. Aku seolah-olah dilihat sebagai seorang wanita murahan. Apatah lagi, ketika itu aku kerap berpakaian baju kebaya, baju kebangsaan Indonesia. Pakaian itu ketika itu umumnya dipakai oleh isteri buruh ladang warga  Indonesia. Mereka mungkin beranggapan aku adalah kalangan orang yang berdarjat begitu.

Ada juga aku terdengar kata-kata yang kurang menyenangkan yang dilahirkan mereka mengenai cara berpakaianku. " Hanya pelacur saja yang berpakaian sebegitu untuk tarik perhatian jantan pada waktu malam," kata mereka. Hatiku benar-benar terluka bila diperkatakan begitu. 

" Ini pakaian kebangsaan dan tradisi kami dan aku berbangga memakainya," pernah aku menjawabnya seperti itu.

Suatu petang, ketika akan sedang mendorong anakku dengan kereta tolak untuk bersiar-siar di taman,  aku pernah terdengar sokseh-sokseh sindiran orang di dalam rumah. " Eiii...macam amah kodi.....".  Walaupun luka hatiku, aku buat-buat tidak peduli.

Di rumah mentuaku itu, terdapat seramai 12 orang yang terdiri dari kedua ibu bapa mentuaku, ipar-iparku dan anak-anak mereka. Salah seorang daripada iparku, kerapkali memaksaku membuat kerja-kerja seperti yang dilakukan oleh seorang amah atau orang gaji.  Mereka seolah-olah menganggap diriku ini, bukan seorang kakak ipar mereka tetapi sebagai seorang dari kelompok kasta yang lebih rendah. Namun bagi mengelakkan suasana rumah tidak harmoni, aku buat juga suruhan dan arahannya tanpa banyak masalah..

Bagaimanapun, kepatuhanku itu tidak bertahan lama. Beberapa bulan kemudian, aku sudah mula mengandungkan anak yang kedua. Ketika itu aku kerap lemah badan. Aku kerap muntah-muntah, pening dan demam. Perubahan sikap dan keadaan tubuhku ternyata menimbulkan kemarahan ipar-iparku kerana aku sudah tidak setangkas dulu, Aku banyak kali bertangguh kerja atau membuat kerja tidak leengkap atau sempurna.

Kerapkali, apabila tiba masa makan, aku kerap disindir mereka. Katanya," Ada orang di sini yang hanya tahu makan tetapi tidak tahu kerja, tetapi aku yang terpaksa bertungkus-lumus cari wang untuk beli beras dan untuk makan." 

Aku sekali lagi berpura-pura tidak mendengarnya. Tetapi sebaik saja selesai makan dan berkemas, aku lekas-lekas masuk ke bilik dan menangis. Ketika itu, aku kerapkali terkenangkan ayah ibuku di kampung. 

Mereka ibu bapaku. Mereka pasti amat menyayangi diriku.