Sebagai seorang yang masih dalam pengawasan polis, aku perlu mendapatkan kelulusan dari pihak Ibu Pejabat Polis Johor Bharu untuk ke Melaka bagi menghadiri Kongres UMNO yang diadakan di negeri itu. Pemergianku, sebagaimana yang kunyatakan adalah atas kapasiti wakil Kaum Ibu UMNO cawangan Johor.
Bagaimanapun, pihak polis tidak membenarkan aku ke Melaka dengan menaiki kereta atau bas. Rayuan Tunku Abdul Rahman Putra, Presiden UMNO untuk membawaku bersama dengan menaiki keretanya juga telah ditolak mereka. Menurut polis, bagi memudahkan pengawasan mereka terhadapku, aku dikehendaki menaiki keretapi.
Aku akhirnya bertolak juga ke Melaka dari Johor Bharu dengan menaiki keretapi. Di Stesen Keretapi Tampin, seorang wakil Pemuda UMNO Melaka telah sedia menungguku. Aku kemudian dibawanya dengan keretanya ke Bandar Melaka.
Di Melaka, tindakan pertamaku adalah melaporkan diri Di Balai Polis Melaka Tengah. Aku juga turut memaklumkan kepada mereka tempat tinggalku sepanjang masa berada di kota itu.
Dalam persidangan di Melaka itu, sebagai wakil Kaum Ibu UMNO cawangan Johor, aku telah mengemukakan suatu usul yang agak mengejutkan anggota persidangan yang kebanyakannya terdiri dari Kaum Bapa dan Pemuda UMNO. Aku mengusulkan agar pucuk pimpinan UMNO pusat memberikan hak sama rata kepada Kaum Ibu UMNO sebagaimana yang dikecapi oleh kaum bapa dan pemuda.
Menurutku, dalam UMNO terdapat tiga cabang iaitu Kaum Bapa, Pemuda dan Kaum Ibu. Kaum Ibu dan Pemuda UMNO, dalam susun lapis hieraki parti UMNO dianggap sebagai sayap kepada kepimpinan utama UMNO. Ini juga bererti Pemuda dan Kaum Ibu hanya layak mengundi pada aspek-aspek tertentu sahaja.
" Masalahnya, bapak-bapak, ibu-ibu serta kalangan pemuda sekelian, setiap cawangan UMNO termasuk Pemuda dibenarkan untuk menghantar dua orang wakil, Ini bererti dalam setiap Kongres akan ada 40 wakil Kaum Bapa dan 40 wakil Pemuda," kataku.
" Bagaimanapun, keadaan ini tidak berlaku kepada Kaum Ibu. Kaum Ibu dari semua cawangan di Tanah Melayu hanya dibenarkan menghantar hanya empat orang wakil," sambungku. " Justeru itu, bapak-bapak sekelian. Jika sekiranya ada usul-usul yang baik dan bernas dari Kaum Ibu dalam Kongres seperti ini, saya yakin usul itu pasti akan tewas kerana kami kurang sokongan," tambahku lagi.
" Keadaan yang wujud pada hari ini adalah benar-benar tidak adil untuk Kaum Ibu," tekanku lagi.
Aku juga turut membangkitkan rasa tidak puas hati Kaum Ibu apabila dikaitkan dengan organisasi Pemuda UMNO. Menurutku, adalah kurang tepat meletakkan organisasi Kaum Ibu UMNO sebagai sayap UMNO yang lebih rendah daripada Kaum Pemuda.
" Kaum Ibu sewajarnya diletakkan tarafnya lebih tinggi dari Pemuda, kerana kami adalah kelompok ibu- Ibu dan Kaum Pemuda adalah kelompok anak-anak. Untuk itu saya ingin mencadangkan, agar Pemuda UMNO mewujudkan cawangan pemudinya," sambungku lagi.
Aku juga mencadangkan, sebagaimana yang dinikmati oleh Kaum Bapa dan Pemuda, setiap cawangan Kaum Ibu UMNO dibenarkaan menghantar dua orang wakil dalam setiap kongres. Ini bermakna, dengan adanya 20 cawangan Kaum Ibu UMNO seluruh Tanah Air, akan terdapat seramai 40 orang wakil Kaum Ibu UMNO dalam setiap persidangan atau kongres.
Sebagaimana yang kami duga, usulku itu mendapat tentangan padu dari Kaum Bapa yang berpadu tenaga dengan Kaum Pemuda dan ditolak. Penolakan usul itu adalah dengan jumlah 40 undi Kaum Bapa dan 40 undi Pemuda atau 80 undi, berbanding 4 undi yang menyokong dari Kaum Ibu.
Menariknya, walaupun usul kami ditolak dalam kongres itu, usul kami itu mendapat sokongan dan simpati dari ramai pemerhati termasuk kalangan dari organisasi media-massa.
" Maaf Ibu-ibu," kata mereka. " Sayang kami semua tidak boleh mengundi. Kalau kami dibenarkan, saya pasti semua orang media akan menyokong usul dari Ibu Khadijah ini," tambah mereka lagi.
Sejak dari peristiwa itu, sebahagian dari Kaum Bapa dan Pemuda UMNO sudah mula memperlihatkan rasa kurang senang dengan kemasukanku ke dalam UMNO. Mungkin mereka memikirkan yang aku akan menjadi duri dalam daging UMNO nanti atau ada juga yang berfikiran terlalu negatif yang berpendapat Kaum Ibu UMNO dengan kehadiranku dalam parti itu, suatu hari nanti akan menguasai UMNO.
Apabila aku kembali ke Johor Bharu, aku laporkan segala apa yang berlaku dalam kongres itu kepada Kaum Ibu UMNO cawangan Johor. Aku juga menyeru kesemua Ahli Jawatankuasa Kaum Ibu UMNO cawangan Johor untuk terus berjuang, sehingga Kaum Ibu mendapat taraf yang sama dengan Kaum Bapa.
Dalam mesyuarat itu, aku telah dilantik pula menjadi Ketua Penerangan Kaum Ibu UMNO cawangan Johor.
Sejak mula membabitkan diri dalam pertubuhan UMNO ini, aku sudah dapat melihat senerio asas organisasi UMNO khususnya UMNO cawangan Johor serta pelbagai masalah yang sedang melumuri parti Melayu itu.
Kebanyakan Kaum Ibu Johor ketika itu, mempunyai anggapan dan dasar mentaliti kalangan feudal. Mereka beranggapan bahawa semua jawatan tertinggi dalam sebarang organisasi termasuk dalam UMNO sendiri mestilah terdiri dari kelompok orang-orang bangsawan sepertiTengku-Tengku, Datin-Datin, Syarifah-Syarifah atau isteri orang-orang besar.
Jika mereka mengadakan mesyuarat, kesemua kelompok VIP ini akan duduk di kerusi di atas pentas khas, sementara ahli biasa atau rakyat biasa akan duduk di belakang mereka atau duduk bersimpuh di atas tikar mengkuang di lantai mengadap mereka.
Tidak hairanlah jika jumlah ahli Kaum Ibu ketika itu tidaklah ramai. Sebahagiannya pula telah turut menyertai parti yang ditubuhkan oleh Dato' Onn bin Jaafar. Begitu juga jumlah cawangan UMNO yang banyak terbubar kecuali di tempat-tempat tertentu seperti di Johor Bharu, Seremban dan beberapa tempat yang lain.
Sebagai Ketua Penerangan Kaum Ibu UMNO Johor, menjadi tanggungjawab yang amat mencabar bagiku untuk memulihkan semula cawangan-cawangan UMNO serta berusaha untuk menambah keahlian baru dalam UMNO. Atas alasan itulah juga, aku kerap terpaksa pergi ke kampung-kampung sekitar Johor untuk berceramah dan memujuk masyarakat Melayu untuk menyertai parti UMNO ini.
" Kami takut mahu masuk UMNO," demikian antara kata-kata mereka yang bertemuku dalam rangka kunjunganku ke kampung mereka.
" Kenapa Ibu-ibu berkata demikian? Apa yang cacat celanya UMNO ini Ibu?" tanyaku.
" UMNO kan parti untuk orang-orang kaya," jawab mereka. " Bila ada mesyuarat, kami kena duduk belakang. Kami tak mampu pakai pakaian cantik atau pakai barang kemas mahal-mahal seperti mereka, " tambah mereka lagi.
Aku cuba meyakinkan mereka betapa keadaan itu tidak seharusnya berlaku. Mereka tidak seharusnya risau tentang soal itu.
" Ibu, cuba ibu lihat diri saya." pujukku. " Saya juga seperti anak ibu. Saya juga tidak kaya. Tetapi mereka masih memilih saya sebagai pemimpin. Jadi adalah salah untuk ibu-ibu berfikiran begitu," tambahku lagi.
" Dalam parti kita, seharusnya tidak ada kasta seperti kelompok Tengku atau Datin atau Syarifah. Tidak harus ada kelompok si kaya atau si miskin. Semuanya sama rata. Malah dalam adat kita dan agama kita, kita mesti menghormati Tengku, Datin dan Syarifah, sebagaimana mereka perlu menghormati kita rakyat biasa. Kita semua membayar yuran sama rata sebanyak 20 sen. Tidak ada kasta dalam parti UMNO>" simpulku lagi.
Di kampung lain, ada pula kaum ibu yang mengadu kepadaku. " Bila kami datang mesyuarat terdapat jamuan teh. Tapi kami orang-orang kampung yang buruk ini hanya layak minum di dapur, tetapi bini orang-orang besar ini minum di kerusi khas." luah mereka dengan penuh kekesalan.
" Itu semua tidak sepaptutnya berlaku," jawabku. " Ibu-ibu juga sepatutnya duduk di kerusi walaupun bersebelahan dengan Tengku, Datin atau Syarifah atau Ketua Kaum Ibu sekalipun," pujukku.
Ternyata ini tugas berat yang sedang menantiku. Satu tugas untuk menukar minda pihak isteri orang kaya dan berpangkat untuk berfikiran sebagaimana orang biasa serta menukar minda masyarakat biasa untuk berfikiran sebagai seorang yang punyai hak yang sama rata dengan kelompok lainnya.
RPKD 2016
8 years ago
No comments:
Post a Comment