Hatiku tiba-tiba menjadi begitu berat untuk menyertai UMNO apabila mendapat tahu borang permohonan menyertai UMNO telah hilang. Aku tahu UMNO adalah sebuah parti yang hebat dan mempunyai masa hadapan yang amat cerah. Cuma masalahnya. terdapat segelintir golongan elit dalam parti itu yang mengekang penyertaan orang biasa sepertiku ke dalam parti itu.
Ibu Zain, meminta aku bersabar dengan keadaan itu. Ia berhasrat untuk melakukan penyiasatan sendiri untuk mengetahui ke mana menghilangnya borang keahlian UMNOku.
Beliau telah menemui Setiausaha Agong UMNO untuk bertanya mengenai soal ini. Setiausaha Agong memaklumkan bahawa borang itu berada dalam tangan salah seorang Ahli Jawatankuasa Kaum Ibu UMNO.
Tidak lama kemudian aku dimaklumkan pula, bahawa terdapat seorang hartawan Melayu telah mengarahkan isterinya, seorang berketurunan Cina, membuat tekanan kepada Kaum Ibu UMNO untuk menolak permohonanku menyertai UMNO.
Mereka telah diberikan suatu alasan, yang telah aku jangka dan aku duga. Aku, menurut mereka adalah bekas seorang penjenayah serta seorang yang bersimpati dengan perjuangan komunis. Sekiranya aku dibenarkan menyertai UMNO, bererti aku bakal membawa malapetaka kepada parti itu. Lemungkinan besar, akan ramai ahli-ahli UMNO akan dimasukkan ke dalam penjara.
Lanjutan dari hasutan dan tohmahan mereka itu, kelihatan semakin ramai ahli-ahli UMNO khususnya dari kalangan Kaum Ibu yang menentang kemasukanku ke dalam parti UMNO. Lebih jauh dari itu, mereka telah beramai-ramai pergi ke rumah Tunku Abdul Rahman Putra, Presiden parti UMNO di Johor Bahru, untuk mengemukakan bantahan atau protes terhadap kemasukanku ke dalam parti UMNO.
Tunku benar-benar terkejut dengan bantahan dari Kaum Ibu UMNO cawangan Johor Bahru itu. Padanya, UMNO dewasa itu sedang tenat kerana begitu ramai ahli-ahlinya keluar dari UMNO dan menyertai parti baru IMP yang diasaskan oleh Dato' Onn bin Jaafar. Apa yang diperlukan oleh UMNO ketika itu adalah suatu kekuatan baru serta usaha dalam mempergiatkan penyertaan lebih ramai orang ke dalam parti itu dan bukan menolaknya.
Malah, menurut Tunku, beliau amat mengalu-alukan kemasukanku ke dalam UMNO kerana beliau yakin aku mampu membantunya membangunkan dan memulihkan semula UMNO yang sedang huru-hara dan porak-peranda itu.
" Kita sepatutnya mengangkat topi kepada Ibu Khadijah yang masuk penjara kerana berjuang untuk bangsa dan kemerdekaan negaranya. Kita sepatutnya memberikan dia sebutir bintang penghormatan kerana menghormati perjuangannya serta keberaniannya dalam menentang penjajah," zahir Tunku yang agak terkilan dengan sikap segelintar Kaum Ibu UMNO Johor yang menetang kemasukanku ke dalam UMNO.
" Kamu semua kan tahu. Nehru Perdana Menteri India serta Sukarno, Presiden Indonesia dan ramai lagi yang telah masuk penjara kerana menegakkan kebenaran serta perjuangan suci demi untuk kemerdekaan Tanah air mereka. Jadi, saya amat-berharap agar Kaum Ibu tidak menentang kemasukan Ibu Khadijah ke dalam UMNO dan benarkannya menjadi ahli. Saya yakin, dia boleh membantu memperkukuhkan lagi parti kita," tambah Tunku lagi sambil memujuk mereka.
Akhirnya, Kaum Ibu UMNO Johor, menarik balik bantahan mereka. Salah seorang dari mereka, yang menyimpan borang permohonanku menyerahkannya semula kepada Tunku Abdul Rahman Putra. Persetujuan dari Kaum Ibu UMNO Johor itu, sekaligus, menandakan titik tolak bermulanya kisah hidupku dan perjuanganku secara rasmi sebagai ahli UMNO.
Untungnya juga, dalam masa yang sama aku mendapat tahu, Presiden parti PERMAS yang telah aku tinggalkan beberapa bulan lalu serta Setiausaha Agongnya telah ditahan oleh pihak polis serta dihadapkan ke mahkamah atas kes pecah amanah. Kes pecah amanah itu membabitkan projek loteri. Mahkamah juga dimaklumkan betapa hasil jualan tiket itu tidak pernah disimpan dalam bank. Pihak PERMAS juga dikatakan telah membeli tiga buah kereta , bukan untuk kegunaan parti. tetapi untuk kegunaan peribadi.
Presiden dan Setiausaha parti PERMAS telah disabitkan kesalahan pecah amanah itu. Akibatnya, Presiden parti, seorang kakitangan kerajaan telah dibuang kerja, sementara Setiausahanya telah merengkok dalam penjara. Tiga buah kereta yang dibeli dari hasil jualan tiket loteri itu juga terpaksa dijual.
Seminggu setelah aku sah menjadi ahli UMNO, ahli-ahli Kaum Ibu UMNO dalam satu mesyuarat mereka, tanpa kehadiranku, telah memilihku sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Kaum Ibu UMNO cawangan Johor. Mereka juga telah memilihku sebagai wakil tunggal Kaum Ibu UMNO cawangan Johor untuk menghadiri Kongres parti UMNO yang bakal diadakan di Melaka.
" Ada baiknya ibu-ibu semua, memilih saja orang lain terlebih dahulu, kerana saya masih baru dalam UMNO," zahirku menolak cadangan itu apabila maklumat untuk dimaklumkan kepadaku kemudian. " Namun, jika tiada siapa yang sudi, apa yang boleh saya katakan lagi. Saya bersedia untuk mnggalas tanggungjawab ini demi untuk perjuangan parti," tambahku lagi.
Bagaimanapun, setelah berbincang sesama mereka, mereka akhirnya kekal dengan cadangan asal. Aku dipersetujui menjadi wakil tunggal Kaum Ibu UMNO Johor untuk menghadiri Kongres UMNO di Melaka pada bulan April 1953.
Encik Mohamad Shah, Setiausaha UMNO cawangan Johor, telah mengirimkan kepada aku sepucuk surat pengesahan dan perlantikanku sebagai wakil tunggal Kaum Ibu UMNO cawangan Johor ke kongres itu.
Anehnya, tiga hari kemudian, Encik Mohamad Shah tiba-tiba menelefonku dan memberitahuku betapa mandat yang diberikan kepadaku sebagai wakil tunggal Kaum Ibu UMNO cawangan Johor ke Kongres UMNO di Melaka telak dibatalkan serta surat pengesahan dan perlantikan sebagai wakil tunggal Kaum Ibu UMNO cawangan Johor ke kongres itu telah ditarik balik. Aku juga telah diminta untuk hadir ke dalam suatu mesyuarat lain yang ada kaitannya dengan soal itu.
Keadaan ini telah membuatku benar-benar marah dan geram.
" Encik Mohamad Shah," zahirku sedikit keras. " Saya bukanlah seperti seekor lembu yang boleh dicucuk hidung dan diusung ke sana ke mari oleh sesiapa. Perlantikan ini pun bukannya saya yang minta. Cadangan perlantikan itu pun dibuat tanpa kehadiran saya dalam mesyuarat itu. Mereka sendiri yang memilih saya dan mereka sendiri yang mahukan saya menjadi wakil mereka. Malah Encik Mohamad Shah sendiri yang berikan surat itu kepada saya," zahirku agak keras. lagi.
" Saya benar-benar minta maaf Ibu Khadijah. Saya terima arahan dan ikut perintah," kata Encik Mohamad Shah.
" Begini sajalah Encik Mohamad Shah. Ini ada kaitannya dengan soal prinsip. Dan atas dasar itulah juga, saya tidak akan berpatah semula. Sama ada dibenarkan atau ditarik balik, yang pasti, saya akan tetap pergi ke Melaka juga," zahirku tegas, geram dan amat sakit hati.
Encik Mohamad Shah, kedengarannya seperti terkedu. Suaranya seperti sudah tidak terzahirkan lagi.
RPKD 2016
8 years ago
No comments:
Post a Comment