Friday, October 2, 2015

BAB 21 ; NASI PADANG RESTORAN MERDEKA JOHOR BAHRU

Aku berada di Muar selama hampir tiga bulan. Anehnya sepanjang tempoh itu, suamiku tidak pernah mengunjungiku.  Ada aku menulis surat memintanya datang menjemputku serta mengirimkanku sedikit wang. Malangnya, surat tidak dijawabnya.

Suatu malam anakku mengidapi asma dan batuk.  Aku tidak tidur semalaman kerana menjaga dan melayani kerenahnya. Hanya ketika lepas subuh, aku baru dapat tidur. Malangnya, tidurku terlalu lena hingga aku hanya tersedar bila hari sudah mula meninggi.

"Heng.....!!!!!," jerkah iparku bila terlihat wajahku sepagi itu. "Bangun lambat macam anak orang kaya. Inilah kalau orang tidak sedar dek untung....!!!", zahirnya deras lagi.

Esoknya aku dimarahi lagi oleh iparku kerana masalah yang sama. Anakku masih juga belum sembuh dan aku terpaksa menjaganya sepanjang malam. Sesekali terasa mahu saja aku menjawab jerkahan iparku dan memberitahu akan masalah anakku. Tapi, memikirkan hujungnya nanti akan lebih buruk, maka aku mendiamkan diri sahaja dan bergegas ke bilikku. 

Fikiranku melintuk-liuk dengan seribu masalah dan persoalan. Apa lagi dengan suamiku yang seperti orang lepas tangan. Begitu juga nasibku  seperti  melukut di tepi gantang di rumah itu. Aku seolah-olah seorang yang tiada maruah dan tiada harga diri. 

Hati di dalam semakin mendesak-desak agar aku meninggalkan saja rumah yang tidak dapat menerima kehadiranku di situ sebagai salah seorang ahli keluarga.  Namun masalahnya, ketika itu aku tidak mempunyai wang dan tiada memiliki walaupun seutus rantai atau sebentuk cincin emas yang boleh ditukar menjadi duit.

Lama juga fikiranku berbolak-balik begitu. Akhirnya, aku membulatkan tekad untuk mengikut rasa hati. Selepas mengemas katil dan sarapan pagi, aku kelek anakku dan terus ke Balai Polis Muar meminta permit untuk pergi ke Johor Bahru selama satu minggu. 

Setelah mendapat permit, aku kembali ke rumah dengan sebuah kereta sewa. Aku mengemaskan segala barangan yang ada dan memberitahu ibu mentuaku akan hasratku ke Johor Bahru dan mungkin tidak akan kembali semula ke rumah itu.

Sebenarnya, aku tidak mempunyai wang walau sesen pun ketika aku menyewa kereta sewa itu. Sebaik saja tiba di Johor Bharu, aku terus ke dispensari suamiku. Dia sedang merawat pesakitnya. Suamiku membayarkan sewa  dan terus menempatkan aku dan anakku di Hotel Heng Kee Bee di hadapan Hotel Station.

Aku menanya suamiku, alasannya kenapa dia tidak datang mengunjungiku selama tiga bulan aku dihantarkannya ke rumah ibu bapanya di Muar. Sebelumnya, dia pernah berjanji betapa aku tidak akan lama di Muar dan dia akan berusaha membawaku kembali ke Johor Bharu. Lebih memedihkan, bukan saja janjinya itu tidak ditunaikan, dia juga tidak langsung mengirimkan wang perbelanjaanku semasa di Muar.

Menurut suamiku, dia tidak dapat berbuat demikian kerana arahan dari pihak CID. Mendengar kata-katanya itu, aku bergegas ke Ibu Pejabat Polis Johor Bharu dan  bertemu dengan pegawainya berbangsa Inggeris,  Mr Woolnough. 

" Tolong tukarkan tempat  buang daerah saya dari Muar ke Johor Bahru kerana hidup saya dan anak saya amat susah apabila tiada suami berhampiran," rayu saya kepada Mr Woolnough. Pegawai Inggeris itu agak keberatan untuk menunaikan permintaanku kerana semua itu sebenarnya adalah di atas kehendak suamiku.

" Begini sajalah Mr Woolnough. Oleh kerana tuan tidak dapat menunaikan permintaan saya, maka saya cadangkan agar tuan masukkan saya semula ke dalam penjara atau lebih bagus lagi, hantar saya kembali le Indonesia." rayuku lagi dengan bersaksikan Encik Shariff yang membantu menjelaskan maksud kata-kataku kepada ketuanya.

Mr Woolnough  akhirnya dengan berat hati terpaksa juga menerima rayuanku. Sejak hari itu, penempatan wilayah buang daerahku telah dipindahkan dari Muar ke Johor Bahru. Selama seminggu aku dan anakku berada di Hotel Heng Kee Bee sebelum aku dipindahkan oleh suamiku ke dispensarinya iaitu di No. 47 Jalan Ibrahim. 

No 47 Jalan Ibrahim adalah bangunan dua tingkat. Bahagian atas disewa oleh  Parti Kongres India sementara bahagian bawah terdapat tiga bilik.  Bilik pertama adalah kedai buku. Bilik kedua adalah pejabat seorang peguam yang juga menjadi Bilik Gerakan Persatuan Melayu Semenanjung Johor (PMS). Bilik dispensari suamiku berada di bahagian  belakang sekali.

Dalam bilik inilah, aku tinggal bersama anakku. Pada siangnya aku akan duduk di sudut bilik iaitu di pangkin kayu yang juga pangkin menunggu.  Pada malamnya, katil baring pesakit aku jadikan katil tidurku.

Hidupku tidaklah menjadi lebih baik ketika aku berpindah ke situ. Sama seperti di Muar, aku benar-benar kesunyian kerana tiada sesiapapun yang ambil peduli, kerana masing-masing takut disyaki polis kerana aku adalah bekas orang tahanan. Hanya kalangan anggota Persatuan Melayu Semenanjung dan ahli Parti Kongres India yang bersimpati dan memahami dirinya. Namun, mereka kesemuanya lelaki dan pergaulan kami agak terbatas.

Aku rasa suamiku pasti bertengkar hebat dengan isteri tuanya setelah maduku itu mendapat tahu aku sudah kembali ke Johor Bahru dan menginap di dispensarinya. Keadaan ini terlihat apabila suamiku kerapkali tidak datang ke dispensarinya dan jika ada pesakitnya, aku terpaksa meminta sesiapa yang ada untuk menjemput suamiku. Menariknya, setiap kali selepas merawat pesakitnya, dia terus kembali ke rumah isteri tuannya.

Keadaan ini terus meresahkan diriku apatah lagi aku ketika itu sudah semakin sarat kerana mengandungkan anak yang kedua. Hanya Allah saja yang tahu betapa
menderitanya batin dan perasaanku ketika itu.

Suatu hari aku meminta suamiku untuk mencari satu gerai untuk aku berniaga. Tidak jauh dari bangunan no. 49 Jalan Ibrahim, terdapat sebuah gerai kosong. Tuan punyanya bersedia untuk menjualkan kepadaku pada harga $200 termasuk sebuah meja, kerusi,  almari dan dua dapur kayu. Aku setuju membelinya dan kami membuat satu surat perjanjian jualbeli serta menukar nama pada lesen di Pejabat Daerah.

Sebaik saja mengmbilalih gerai itu, aku laporkan kepada Ibu Pejabat Polis dan dibenarkan untuk berada di geraiku selepas pukul 5.00 petang hingga pukul 12.00 tengah malam.

Buat pertama kali dalam sejarah bandar Johor Bahru, aku perkenalkan masakan Nasi Padang.  Aku namakan  geraiku RESTORAN MERDEKA. Aku juga menjual pelbagai jenis minuman  dan kuih-muih. Aku mengambil seorang remaja lelaki Melayu untuk membantu perniagaanku.

Sejak kelahiran geraiku, aku sudah semakin dikenali ramai. Malah pada hari minggu, selalunya pengunjung geraiku datang dari Singapura. Mereka sengaja datang untuk merasai kelazatan masakan  Nasi Padang Restoran Merdeka. Namun, agak melucukan, apabila gerai Restoran Merdeka, kurang dikunjungi oleh orang-orang Johor Bahru itu sendiri. Mungkin kata MERDEKA pada gerai itu sudah mula menyeramkan minda orang Melayu Johor Bahru ketika itu.

Hanyalah, apabila aku mengiklankan RESTORAN MERDEKA dalam akbar Utusan Melayu, barulah perniagaanku mula mendapat sambutan. Aku  mula memperolehi pendapatan purata antara $20.00 hingga $25.00 sehari.

Perniagaanku begitu sibuk sehingga tidak memberi peluang diriku untuk berdukacita. Sebelum jam 12.00 malam, aku akan menutup geraiku. Umumnya aku balik dengan amat keletihan dan kelelahan hingga acapkali aku terlena sampai pagi.

Namun, walau apapun keadaannya,  aku amat sesungguhnya seronok dan gembira begitu.








No comments:

Post a Comment