Sebagaimana yang kunyatakan dahulu, di tingkat bawah bangunan kedai no. 47 Jalan Ibrahim dibahagikan kepada tiga bahagian. Di bahagian hadapan terdapat sebuah kedai buku. Bahagian tengah dihuni oleh seorang peguam semantara dispensari suamiku terletak di bahagian belakang.
Ada juga aku katakan dahulu, bilik yang dihuni oleh seorang peguam Melayu itu, kemudian turut dijadikan markas atau bilik gerakan Persatuan Melayu Semenenjung (PERMAS) cawangan Johor. Sebenarnya, parti PERMAS ini lahir anggaran enam bulan kemudian setelah aku berpindah semula ke Johor Bharu dari Muar atau tepatnya setelah aku membuka perniagaan Nasi Padang Restoran Merdeka.
Sebenarnya kewujudan PERMAS adalah merupakan titik mula aku membabitkan diri secara serius dalam organisasi politik Melayu di Tanah Melayu. Bagaimanapun, sesuai dengan urutan kisah mengenai sejarah hidupku, biarlah aku kisahkan dulu tentang kelahiran anak keduaku Nur Kemal bin Dr. Hamzah.
Sebagaimana yang kukatakan dahulu, aku telah mula mengandung anak kedua ketika aku berpindah semula ke Johor Bharu. Aku masih juga tinggal di dispensari suamiku bersama anakku walaupun aku sudah membuka perniagaan nasi padangku. Khadria ketika itu sudahpun berusia satu setengah tahun dan sudah pandai berjalan.
Suatu hari pada awal 14 Oktober 1951, selepas pulang dari geraiku, aku merasakan kesakitan yang amat sangat di bahagian perutku. Aku kembali teringat petua senaman turun naik tangga yang diberikan matron di penjara Outram Road di Singapura dahulu. Jadi, segera kukejutkan Khadria dan bersamanya pada tengah malam itu, aku melakukan senaman turun naik tangga ke tingkat atas berulang-ulang kali.
Setelah itu, aku kejutkan pembantu kedai buku (yang tidur di bilik hadapan). Aku memintanya untuk menjemput suamiku di rumah isteri tuanya di Jalan Storey.
" Sekarang baru jam 2.00 pagi kakak. Sekarang ni musim dharurat. Nanti tak pasal-pasal saya kena tangkap polis," katanya agak ketakutan. Selalunya dia tidak akan menolak jika aku meminta tolong menjemput suamiku, kerana dia seorang anak yang baik. Seketika aku teringat keadaan semasa ketika itu. Sejak tahun 1948 lagi, dharurat telah diisytiharkan di seluruh Tanah Melayu, gara-gara sifat onar dan pemberontak anggota Parti Komunis Malaya.
" Akak sakit betul ni. Rasa-rasa macam nak beranak ni. Tolonglah jemput Doktor Hamzah," rayuku lagi.
Pembantu kedai itu yang aku lupa namanya terdiam seketika. Raut wajahnya jelas ada tanda sedih dan kesihannya terhadapku.
" Begini sajalah kak, " putusnya. " Akak cuba bersabar sekejap. Kita tunggu tiga jam lagi hingga lepas subuh jam 5.00 pagi. Nanti saya jemput doktor".
Mahu tidak mahu terpaksa juga aku akur dengan kehendaknya. Aku juga tahu akan masalah yang akan terjadi jika dia ditahan polis nanti. Aku berusaha benar dalam apa cara cuba menekang dan meredakan kesakitanku itu hingga suamiku muncul nanti.
Tepat jam 5.00 pagi, anak muda pembantu kedai itu yang baik hati itu, sudah membonceng basikalnya ke Jalan Storey, rumah isteri tua suamiku Dr Hamzah. Anggaran tiga puluh minit kemudian, dia sudah tercongok semula di hadapan bilik dispensari suamiku. Begitu pantas dia mengayuh, seolah-olah seperti cuba mengelak dari dikejar oleh polis.
Bagaimanapun, suamiku tidak juga tiba ke dispensari itu sehinggalah empat jam kemudian iaitu anggaran jam 9.00 pagi. Aku sedang terbaring di atas bangku kayu ketika dia tiba. Betul-betul dia amat terkejut melihat aku yang sedang kesakitan. KMenurutnya dia tidak menyangka aku akan bersalin pada hari itu.
" Sakit apa?" tanyanya yang menyangka aku hanya mengidapi sakit perut. Dia segera memapahku ke katil rawatan. Sebaik tiba ke tempat itu, rasa sakitku semakin menggila.
" Budak nak keluar....!!!' pekikku.
Pekikanku itu benar-benar mengejutkan suamiku. Dengan segera dia meminta tolong pembantu kedai yang menjemputnya subuh tadi, memanggil seorang bidan Cina yang tinggal berhampiran. Tidak lama kemudian, bidan itu muncul di dispensari itu bersama dengan beg dan perkakasnya untuk membantu suamiku.
Tidak berapa lama kemudian, anak keduaku selamat kulahirkan ke dunia. Dia seorang bayi lelaki. Sebagai menyambut kelahirannya, suamiku segera menzahirkan azan ke telinganya. Aku terpaksa menerima tiga jahitan kerana kelahiran itu. Selain itu, suamiku turut memberikanku suntikan penahan sakit dan ubat.
Bidan meminta suamiku mencari seseorang untuk menjagaku kerana badanku begitu lemah sekali. Aku meminta suamiku menelefon sepupuku di Singapura. Sepupuku datang beberapa jam kemudian bersama dengan seorang anak perempuannya. Bagaimanapun dia hanya betah sehari berada di situ dan meninggalkan anaknya yang berusia lapan tahun untuk menemaniku.
Apalah yang mampu dibuat oleh anak gadis sekecil ini untuk membantuku. Oleh itu dalam keadaan tubuhku yang amat lemah, aku terpaksa melakukan sendiri semua kerja termasuk menyediakan air susu botol untuk Khadria. Esoknya tubuhku berasa amat sakit dan bisa. Sekali lagi aku terpaksa meminta pembantu kedai buku itu untuk menjemput suamiku.
Suamiku segera datang malam itu. Sebaik selesai memberi suntikan dan ubat, dia segera kembali ke rumahnya. Aku dimaklumkan oleh seseorang kemudian, betapa isteri tuanya turut datang bersamanya dan menanti di dalam kereta. Mungkin dia takut suamiku mungkin akan lama bersamaku jika dia tidak datang bersama.
Esok pagi, suamiku datang seperti biasa untuk merawatku. Aku kekal terbaring di katil rawatan pesakit. Apabila dia perlu menggunakan katil itu untuk pemeriksaan terhadap pesakitnya yang lain, aku akan beralih semula ke pangkin kayu.
" Anak kita ni belum diberikan namanya kan Ijah? tanya suamiku Dr Hamzah. Aku mengangguk. " Apa kata kalau kita berikan namanya Sukarno, " tambahnya lagi.
" Sukarno...?" ulasku agak kaget.
" Ya Sukarno. Presiden Sukarno. Nama pemimpin besar di Indonesia itu. Pemimpin besar yang menentang penjajah Belanda di Indonesia," tambahnya lagi.
" Kenapa abang pilih nama Sukarno?"
" Saja. Cuma malam tadi abang termimpi melihat dan terbayang wajah Sukarno. Abang sudah punyai sepuluh orang anak. Tetapi sebelum ini, abang tidak pernah mengalami mimpi yang sebegini."
Aku terdiam. Fikiranku berbolak-balik sama ada mahu bersetuju dengan nama Sukarno pilihan suamiku atau tidak. Akhirnya aku memutuskan untuk tidak bersetuju anak lelakiku diberikan nama Sukarno.
" Ijah tidak begitu setuju dengan pilihan nama abang itu. Memang nama itu hebat dan baik. Cuma, jika suatu hari nanti, anak ini menjadi orang besar tidak apa. Tapi, kalau dia menjadi sebaliknya bagaimana?" zahirku.
" Jadi, Ijah ada cadangan nama lain?"
" Rasanya ada. Ada juga Ijah terfikir tentangnya dahulu."
" Maksud Ijah?"
" Apa kata kalau kita berikan nama anak kita ini, Nur Kemal. Nur Kemal bin Hamzah. Nur Kemal bin Dr Hamzah. " lahirku separuh berlucu.
" Nur Kemal..? Pelik nama itu. Selalunya Kamal. Ini Kemal... Maksud Ijah..?"
" Nur itu maksudnya Cahaya.... Ke.. kependekan perkataan Kemerdekaan dan Mal..maksudnya Malaya," zahirku dengan memberikan pengertian untuk nama anakku Nur Kemal.
" Malaya kata bahasa orang Putih. Melayunya Tanah Melayu..., " Ulas suamiku. "Kalau namanya Cahaya Kemerdekaan Tanah Melayu...jadi...Nur...Ke...Ta Mel.. Eh... tak cantik sangat...nanti jadi....Nur Ketam.. Baiklah ijah. Abang setuju. Kita berikan nama anak kita Nur Kemal bin Hamzah, " suamiku menzahirkan persetujuannya dalam keadaan separuh berlucu.
Kami sama-sama ketawa kecil. Sesekali seronok juga mendengarnya berlawak begitu.
" Presiden Sukarno adalah satu nama dan tokoh besar di Indonesia. Tidak ada sesiapapun yang setanding dengan dirinya di Tanah Melayu ini," sambungnya.
" Abang harap anak kita ini nanti akan jadi pemimpin dan tokoh di tanah airnya yang merdeka," tambahnya lagi.
RPKD 2016
8 years ago
No comments:
Post a Comment