Sebenarnya pembabitan langsung diriku dalam organisasi politik orang Melayu di Tanah Melayu adalah bermula dari penubuhan Persatuan Melayu Semenanjung atau PERMAS. Segalanya bermula anggaran bulan-bulan awal tahun 1952, ketika Nur Kemal baru saja berumur 5 bulan.
Suatu hari seorang kenalan suamiku dari Kuala Lumpur telah datang berjumpa kami di Johor Bahru. Untuk perbualan yang selesa, perbualan itu diadakan di bilik pejabat teman kami peguam Melayu itu. Kami dalam hubungan ini adalah aku, suamiku Dr Hamzah dan peguam Melayu ini.
Pelbagai tajuk semasa kami perbualkan. Antara tajuk bual yang menarik perhatian ketika itu adalah mengenai perpecahan yang sedang berlaku kepada parti UMNO. Ketika itu, telah berlaku perbincangan hebat di kalangan orang Melayu mengenai hasrat Datuk Onn bin Jaafar yang mengemukakan cadangan agar UMNO membuka pintunya kepada kaum-kaum bukan Melayu.
Datuk Onn berbuat demikian, dengan tujuan untuk menepati permintaan pihak kerajaan British untuk melihat wujudnya kerjasama politik dan perpaduan antara pelbagai kaum di Tanah Melayu, sebelum mereka menyerahkan kuasa untuk berkerajaan sendiri dan merdeka.
Cadangan Datuk Onn mendapat tentangan hebat ramai pemimpin Melayu dan UMNO kelihatannya sedang berada di ambang perpecahan. Kebanyakan pemimpin generasi tua UMNO seperti dari Perak dan Kelantan menyokong Datuk Onn.
Bagaimanapun, puak golongan muda jelas menunjukkan penentangan mereka kepada kepimpinan Datuk Onn. Menurut mereka, UMNO ditubuhkan untuk orang Melayu dan kewujudannya adalah untuk memperjuangkan nasib dan hak orang Melayu di tanah air mereka sendiri.
" Sebenarnya, kedatangan saya hari ini adalah untuk mengajak sahabat-sahabat serta Ibu Khadijah, bersama saya sebagai AJK penaja sebuah parti Melayu yang baru," akhirnya kenalan suamiku menzahirkan maksud kedatangannya ke Johor Bharu. Kata=katanya ternyata mula menarik perhatian kami.
" Saya bercadang untuk menamakan parti ini sebagai Persatuan Melayu Semenanjung atau PERMAS. Rasa-rasanya apa pandangan sahabat?" tanyanya.
" Apa matlamat dan tujuan penubuhan parti PERMAS ini?" tanya peguam Melayu itu.
" Kitakan orang Melayu dan kaum peribumi di rantau ini. Jadi tujuannya adalah untuk membela dan memperjuangkan hak dan nasib orang Melayu. Kita akan memimpin orang Melayu untuk menentang penjajah Inggeris serta terus tegas menuntut kemerdekaan seperti saudara kita di Indonesia," katanya lagi dengan penuh semangat.
Pertemuan itu ternyata menghasilkan keputusan yang menarik dengan kami bersetuju untuk menjadi Jawatankuasa penaja parti PERMAS. Lebih jauh dari itu, aku telah diminta oleh teman itu untuk menjadi penyelaras penubuhan cabang Kaum Ibu PERMAS dan sekaligus bertindak sebagai ketua penaja Kaum Ibu PERMAS.
Pada pertengahan tahun 1952, parti baru PERMAS telah mengadakan kongres ulung dan mesyuarat agung penubuhannya di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. Aku dan suamiku sebagai AJK penaja dan aku sebagai Ketua Penaja dan Penyelaras Kaum Ibu PERMAS turut menyertai mesyuarat selama tiga hari itu. Sebelum bertolak aku terpaksa memohon permit keluar daerah dari Ibu Pejabat Polis Johor Bahru. Di Kuala Lumpur kami menetap di sebuah hotel di Batu Road.
Dalam mesyuarat agung penubuhan PERMAS itu, aku telah dipilih sebagai Ketua Kaum Ibu PERMAS. Ketika itu terdapat kehadiran seramai lebih 100 ketua cawangan kaum ibu PERMAS dari seluruh negara,
Selepas kembali dari Kuala Lumpur, aku sebagai Ketua Kaum Ibu PERMAS berusaha gigih untuk membangunkan parti PERMAS khususnya di Johor Bharu dan Negeri Johor amnya. Bagi membolehkan aku berbuat demikian, aku segera memohon izin daripada Ibu Pejabat Polis untuk kebenaran membuka cawangan baru PERMAS di negeri itu.
Satu hari, pada tahun 1952 juga, satu lagi persidangan PERMAS telah diadakan di Alor Setar, Kedah. Aku sekali lagi terpaksa memohon permit untuk pergi di bandar di utara Tanah Melayu itu.
Ternyata sambutan dari masyarakat Melayu begitu menggalakkan. Pendaftaran keahlian baru PERMAS datang mencurah-curah. Jelas sekali parti baru ini sudah semakin mendapat sokongan daripada masyarakat Melayu. Jelas sekali, sekiranya parti baru ini ditadbir dengan baik dan mendapat kepimpinan yang cemerlang, ia pasti akan menjadi sebuah parti Melayu yang terbesar dan mampu mengatasi UMNO sebagaimana keadaan UMNO pada hari ini.
Malangnya, pemimpin PERMAS ketika itu, adalah seorang yang cuai serta tidak berhati-hati dalam soal kewangan. Dia menerima kritikan yang pedas dalam mesyuarat yang berlangsung dengan amat panas. Dia akhirnya telah meletakkan jawatan dan digantikan dengan orang lain dalam persidangan itu.
Pemimpin yang baru dalam PERMAS ternyata seorang yang amat gigih mencari dana untuk mengisi tabung aktiviti PERMAS. Antara cadangannya yang mendapat sokongan adalah mengenai penganjuran jualan loteri kebajikan. Pelancaran cabutan loteri PERMAS telah diadakan di Johor Bahru. Penjualan tiket loteri atas alasan untuk mengutip dana tabungan aktiviti parti PERMAS ini ternyata mendapat sambutan hangat di seluruh Tanah Melayu.
Aku kemudiannya telah dilantik sebagai Bendahari untuk projek tabungan dana aktiviti PERMAS ini. Sebagai Bendahari, sudah tentu tanggungjawabku adalah untuk menyimpan tabungan wang kutipan setiap bulan serta menyelaraskan segala penyata kewangan jualan loteri itu.
Malangnya, setelah tiga bulan sesi loteri ini dijalankan, segala ini tidak pernah berlaku. Aku masih juga tidak menerima sebarang kutipan wang untuk disimpan di bank. Perkara ini pernah aku tanyakan kepada Yang Dipertua atau Presiden baru PERMAS itu sendiri.
" Ibu Khadijah usah risau tentang urusan kewangan loteri ini. Segala urusan ini adalah di bawah tanggungjawab Presiden parti," begitu mudah dia menjawabnya.
" Tapi bapak, berdasarkan perlembagaan parti, urusan kewangan sewajarnya menjadi urusan Bendahari. Saya adalah Bendaharinya. Sebagai Bendahari, tanggungjawab saya untuk mengutip segala hasil dan menyimpankanya di bank. Dan jika wang itu mahu dikeluarkan nanti, ia perlu mendapat tandatangan dari Presiden, Setiausaha dan Bendahari," jawabku.
Presiden ternyata tidak langsung mengindahkan sarananku itu. Ia sejak itu sudah mula menunjukkan perasaan kurang senang terhadapku. Keadaan ini menjadikan aku tidak lagi betah berada dalam persatuan itu. Aku segera meletakkan jawatan sebagai Bendahari Jawatakuasa Loteri dan sekaligus sebagai Ketua Kaum Ibu PERMAS dan ahli parti PERMAS.
Sebelum ini, bilik gerakan PERMAS adalah di No. 47 Jalan Ibrahim. Kami tidak mengenakan sebarang bayaran kecuali bayaran air api sebanyak $5.00 sebulan. Apabila aku keluar dari PERMAS, bilik gerakan parti itu telah dipindahkan ke sebuah hotel dengan sewa bulanannya sebanyak $200 sebulan.
Perletakan jawatanku sebagai Ketua Kaum Ibu PERMAS, ternyata mendapat perhatian daripada Ketua Kaum Ibu UMNO Tanah Melayu ketika itu, Ibu Zain. Anggaran tiga bulan setelah aku meninggalkan PERMAS Ibu Zain telah datang menemuiku.
" Olah kerana Jah sudah bukan ahli parti PERMAS, apa kata kalau Jah, ikut Ibu dan masuk ke dalam parti UMNO," begitu kata-katanya kepadaku.
Aku terdiam seketika. Otakku mula bercempera. Pengalamanku dalam PERMAS begitu pahit. Walaupun aku seronok dipelawa Ibu Zain menyertai UMNO, aku rasanya perlu lebih berhati-hati. UMNO adalah parti besar dan aku tidak mahu pisang berbuah dua kali.
RPKD 2016
8 years ago
No comments:
Post a Comment