Friday, December 18, 2015

BAB 31: BEBAS DARI HUKUMAN BUANG DAERAH



Selain Perak, aku juga diminta untuk mengembangkan cawangan Kaum Ibu UMNO di negeri Selangor. Di negeri itu, aku telah dibawa ke merata-rata tempat seperti ke Kuala Selangor, Kuang, Kuala Kubu, Kelang, Ulu Langat, Kajang, Sabak Bernam,  Sungai Besar, Jenderh Hilir, Rawang, Ulu Bernam, Kelumpang dan banyak lagi.

Sebagaimana keadaan perhubungan dan pengangkutan ketika itu yang serba susah, aku acapkali dibawa dari suatu tempat ke tempat lain dengan menaiki bot dan motorsikal. Banyak peristiwa pahit yang kualami ketika menubuhkan cawangan-cawangan itu. Bagaimanapun, aku mendapat kepuasan kerana dengan usahaku itu, banyak cawangan Kuam Ibu UMNO ditubuhkan.

 Malah, aku turut mendapat surat penghargaan dari UMNO Negeri Selangor.
Cuma mungkin, kawasan yang agak bermasalah sedikit di Selangor adalah Kuala Lumpur. Pertamanya mungkin kerana cawangan ini berada dalam sebuah kota besar yang mempunyai tahap pemikiran masyarakat yang lebih modern dan berpelajaran. Namun, aku  merasakan, faktor utama masalahnya adalah, cawangan Kuala Lumpur tidak mempunyai seorangpun tokoh pemimpin yang disenangi oleh mereka.

Sebenarnya, memang ada seorang pemimpin yang berpelajaran tinggi yang pernah memimpin cawangan Kaum Ibu UMNO Kuala Lumpur. Malah dia juga adalah isteri seorang Pegawai Daerah di sebuah daerah di Hulu Selangor. 

Bagaimanapun, pemimpin ini tidak begitu berpengaruh dan amat kurang disenangi oleh masyarakat Melayu. Apatah lagi, pemimpin ini dikabarkan sentiasa saja berpakaian kebaratan dan kerapkali melanggar adat istiadat dan adap sopan budaya masyarakat Melayu.

Setelah mendengar pelbagai keluhan mereka, maka aku cuba perlihatkan kepada mereka bagaimana seharusnya mereka berorganisasi dan membina semula cawangan Kaum Ibu UMNO Kuala Lumpur.

Ketika itu cawangan ini berpusat di Kampung Baru. Langkah pertamaku untuk menarik perhatian mereka adalah dengan mencngkan satu aktiviti amal iaitu mengadakan pertunjukan dan persembahan pentas. Bagi memeriahkan lagi, persembahan pentas itu, ramai artis-artis terkenal dari Singapura dijemput untuk mengadakan persembahan itu.

Pada peringkat awal, cadangan ini kurang mendapat perhatian. Namun, setelah aku meyakinkan mereka akan kebolehan diri mereka dalam mengorganisasi, maka cadangan itu akhirnya mereka terima.

Persembahan pentas itu, ternyata memberikan impak yang amat membanggakan. Cawangan Kaum Ibu UMNO Kuala Lumpur berjaya meraih keuntungan lebih $1000. Dengan wang untung sebanyak itu, Kaum Ibu UMNO cawangan Kuala Lumpur telah membeli banyak pinggan mangkuk dan sebagainya. 

Pinggan mangkuk ini kemudiannya menjadi disewakan kepada pelbagai majlis keraian, kenduri-kendara dan sebagainya  untuk mengumpulkan dana bagi keperluan aktiviti Kaum Ibu UMNO Kuala Lumpur.

Usaha-usaha yang menjurus kepada aktiviti kebajikan dan bekerjasama antara sesama mereka ternyata menarik perhatian ramai kaum ibu. Tidak hairan, tidak lama kemudian, cawangan Kaum Ibu UMNO Kuala Lumpur mendapat sokongan dan ramai kaum ibu mula menyertai pergerakan itu. 

Keadaan ini kemudiannya diikuti pula dengan pembukaan pelbagai lagi cawangan Kaum Ibu UMNO di sekitar Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang berhampiran dengannya. Rasanya aku berada hamper dua minggu membangun cawangan Kaum Ibu UMNO di kawasan itu.

Suatu hari yang lain, Pergerakan Pemuda telah membawaku ke Sabak Bernam. Oleh kerana sistem pengangkutan kurang memuaskan, kami pergi ke sana dengan menaiki motorbot. Dari Sabak Bernam aku telah dibawa ke kampung di sekitar dengan menaiki motosikal.

Pernah pada suatu masa, aku terjatuh dari motosikal kerana jalannya licin. Tambahan pula hujan ketika itu begitu lebat. Pakaian yang kupakai begitu basah  dan pakaian lain dalam beg bertaburan di atas jalan.

Malamnya, badanku terasa amat panas dan kepalaku terlalu sakit. Aku demam. Seorang doktor tempatan telah dibawa merawatku serta aku diberikannya satu suntikan.
 
Walaupun kesihatanku kurang baik, aku terpaksa juga meneruskan aktivitiku untuk melawat, berceramah serta membuka cawangan baru di sekitar tempat itu. Di mana saja, aku pergi,  telah ramai orang menunggu kehadiranku. Aku terpaksa juga mengharungi lecak dalam keadaan hujan yang amat lebat untuk tidak mahu menghampakan mereka serta tetap juga berucap dalam 10 hingga 20 minit.

Selain daripada tempat-tempat yang aku nyatakan, aku juga turut ke Kedah dan Kelantan serta negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Setiap kali aku mengunjungi negeri-negeri itu, pasti saja banyak cawangan baru Kaum Ibu UMNO aku tubuhkan. 

Bagaimanapun, satu perkara yang tidak aku lakukan adalah membuka cawangan Kaum Ibu UMNO Singapura kerana ketika itu, aku masih tidak dibenarkan masuk ke pulau itu selama 10 tahun.

Suatu hari aku terfikir, walaupun aku dilarang memasuki Singapura selama 10 tahun, anehnya aku tidak pernah menerima secara rasmi sepucuk suratpun untuk memaklumkan kepadaku akan arahan itu. Oleh itu, aku rasakan tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya aku pergi ke Singapura dengan mendapat izin pihak polis. Mungkin mereka sudah terlupa akan kes yang berlaku ke atasku dulu.

Jadi pada tahun 1954 aku mengunjungi Singapura buat pertama kali setelah dibebaskan dari penjara untuk menubuhkan cawangan Kaum ibu UMNO di situ. Ketika itu David Marshall baru saja dilantik sebagai Menteri Buruh Singapura.

Kali pertama ke Singapura, aku tidak disoal=siasat oleh polis. Jadi bagi kali keduanya aku sengaja ke Singapura bersama suamiku Dr Hamzah untuk menonton wayang mengenai Tien Tsing, orang pertama yang mendaki dan sampai ke kemuncak gunung Himalaya.  Kami menonton di Panggung Pavillion di Jalan Orchard.

Malangnya ketika kembali dari Singapura, kereta kami ditahan oleh polis di Tambak Johor. Seorang daripada mereka meminta kad pengenalanku saja walaupun di dalam kereta itu terdapat suamiku dan seorang kaum Cina pembantunya di dispensari.

Aku tunjukkan kad pengenalanku tanpa memberikan terus kepadanya. Ia sekadar menyentuh dan memandangku ke bawah ke atas. Dia kemudian meminta maaf dan memberitahuku betapa satu arahan telah diterima dari ibu pejabat untuk menahan dan menangkap seorang wanita yang bernama Khadijah yang meninggalkan Johor Bahru dari jam 3.30 petang dan masih belum kembali.

Kami bergerak dengan pantas memasuki Johor Bahru dengan rasa penuh kesyukuran kerana polis itu tidak mengecamkanku.  Mungkin wajahku agak berbeza sedikit tanpa mengenakan kacamata atau mungkin juga polis itu buta huruf dan tidak tahu membaca.

“ Syukur…!!!” kata suamiku. “ Nasib baik dia tak cam kan Jah. Kalau tidak, kita susah nanti. Anak-anak kita pula tentunya macam anak ayam kehilangan ibu,” tambahnya lagi.

Esoknya, aku memberitahu Tunku Abdul Rahman Putra,  mengenai masalah yang kuhadapi itu.

Tunku dengan segera menghubungi CID di Johor dan Singapura untuk bertanya tentang soal ini. Akhir dari perbincangan itu, Tunku telah membuat satu temujanji dengan Setiausaha Jabatan Colonial atau Pejabat Tanah Jajahan di Singapura. Aku dibawanya bersama dalam pertemuan itu. Turut menyertai kami adalah Dr Ismail.

Tunku dan Dr Ismail beria-ia meyakinkan Setiausaha Jabatan Tanah Jajahan  itu akan kedudukanku serta perlunya aku untuk kerap ke Singapura atas urusan parti UMNO. Akhirnya, Setiausaha Jabatan Colonial itu, beralah serta bersetuju menarik larangan terhadapku untuk ke Singapura.

Bagaimanapun, aku dikenakan syarat iaitu untuk membuat satu surat jaminan dengan bayaran $10,000. Tunku dan Dr Ismail bertindak sebagai penjaminku.

“ Cik Khadijah,”  kata Tunku sebaik saja kami meninggalkan pejabat Setiausaha  Jabatan Colonial atau Setiausaha Jabatan Tanah Jajahan itu. “Mestilah hati-hati mulai sekarang. Kalau tidak saya hilang $10,000.”

Ketika pilihanraya Majlis Bandaran diadakan di Singapura, Dato’ Hamid Jumat, Ketua UMNO cawangan Singapura, yang isterinya bekas anak muridku di Indonesia, telah memintaku untuk membantu UMNO dalam kempen dan ceramah.  UMNO ketika itu telah bekerjasama dengan Parti Buruh Singapura di bawah pimpinan David Marshall.

Perikatan antara Parti Buruh dan Parti UMNO telah membuahkan kejayaan. Lanjutan dari itu David Marshall telah dilantik menjadi Ketua Menteri Singapura, sementara Dato’ Hamid Jumat dilantik sebagai seorang Menteri.

Kesempatan itu aku ambil untuk memohon pembebasan dari ikatjamin $10,000. Permohonanku telah diluluskan kemudian dan sejak itu aku bebas untuk keluar masuk Singapura.

Sepanjang penglibatanku dalam Pergerakan Kaum Ibu UMNO kh ususnya sebagai Setiausaha Hal Ehwal Kaum Ibu dan Pegawai penerangan , aku telah Berjaya menubuhkan sejumlah 130 cawangan Kaum Ibu UMNO seluruh Tanah Melayu. Selain itu, terdapat penambahan jumlah ahli UMNO melalui Kaum Ibunya seramai lebih 10,000 orang ahli.

Sepanjang tempoh itu juga, bukan saja cawangan pergerakan Kaum Ibu UMNO saja bertambah, malah ia turut mempengaruhi penubuhan cawangan UMNO Kaum Bapa dan Pemuda. Dalam kata  lain, urusan penubuhan cawangan Kaum Ibu UMNO telah menggerakkan orang-orang Melayu dari Kaum Bapa dan Pemuda untuk bersaing dan mewujudkan cawangan Parti UMNO di kawasan atau kampung mereka.

Bagi menjadikan Pergerakan Kaum Ibu lebih menarik perhatian,  saya telah menyusun strategi serta mengaturkan pelbagai aktiviti yang bermanfaat serta berkebajikan. Setiap ahli UMNO diminta membayar yuran tahunan $1.00 dan 20 sen bagi yuran khairat kematian.

Wang-wang inilah kemudian digunakan untuk pelbagai aktiviti. Sekiranya ada kematian, maka yuran yang berupa khairat kematian itu dikumpulkan dan didermakan kepada keluarga simati yang menjadi ahli UMNO. Wang itu akan digunakan untuk membeli perkakas kematian seperti kain kafan dan sebagainya. Keadaan ini dengan sendirinya meringankan beban keluarga simati.

Selain itu, aku juga menggalakkan supaya diwujudkan pelbagai kegiatan lain seperti majlis pelajaran agama dan kelas urusan rumah tangga seperti memasak dan menjahit. Bagi membolehkan semua kegiatan itu dijalankan, aku menggalakkan setiap ahli untuk mencari sebuah bilik gerakan, walaupun ia sekadar sebuah pondok.

Kesemua hasil jahitan dan masakan ini, kemudiannya dijual untuk mendapatkan hasil untuk parti pada setiap hujung minggu. Hasil jahitan dan masakan itu biarlah sentiasa berubah-ubah serta menarik atau unik atau berbeza dari yang pernah dibuat orang atau dimakan oleh orang seperti soto ayam atau puding.

Bagi tujuan memperkenalkan hasil jualan, ahli-ahli kami telah pergi ke pejabat-pejabat kerajaan dan sekolah-sekolah untuk mencari tempahan. Setiap barangan dan makanan yang ditempah, mereka perlu ambil sendiri di bilik gerakan dan membayar sekaligus. Malah, kami juga pernah menjual pelbagai resepi makanan yang kami buat dan keadaan ini telah menghasilkan pendapatan yang agak lumayan untuk pergerakan kaum ibu UMNO kami.

Segala aktiviti dan usaha ini ternyata menjadi satu tarikan kepada Kaum Ibu Melayu untuk menyertai UMNO. Mereka ketika itu sudah menyedari betapa Parti UMNO bukan lagi sebuah parti untuk golongan bangsawan dan berpangkat, tetapi sebuah parti untuk rakyat dan seluruh orang Melayu. 

Malah penglibatan mereka dalam parti bukan sia-sia tetapi bermanfaat kerana banyaknya kegiatan yang berunsur kebajikan dan bimbingan pengetahuan yang telah dijalankan.


Tidak hairanlah, UMNO ketika itu, semakin hari semakin pulih dan semakin mendapat sambutan dan sokongan menyeluruh orang Melayu.

BAB 30: MEMBANGUN CAWANGAN PERGERAKAN KAUM IBU UMNO 2


Dari Melaka, aku terus ke Negeri Sembilan. Di negeri ini, aku merasakan satu perasaan yang amat menyeronokkan kerana orang-orang Negeri Sembilan berasal dan berketurunan Minangkabau seperti aku. Aku juga merasakan begitu rapat dengan mereka kerana cara percakapan seharian yang hampir serupa dan aku senang berbicara dalam loghat itu. Aku juga merasakan seolah-olah aku berada dalam kampungku sendiri.

Sebagaimana di tempat-tempat lain, ceramahku diadakan sepanjang waktu. Misalnya, di sebelah pagi jam 10 di sebuah kampung dan diikuti dengan kampung berhampiran menjelang zohor. Selepas zohor aku beralih ke kampung berhampiran . Pada petangnya aku sudah berada di kampung lain dan pada sebelah malamnya, aku sudah pula berada di kampong lain pula.

Dalam kata lain, dalam sehari suntuk aku akan mengunjungi antara empat atau lima buah kampung untuk membuka cawangan baru Kaum Ibu UMNO.

Sudah juga menjadi kebiasaanku, setiap kali berceramah atau menubuhkan cawangan Kuam Ibu UMNO, aku akan masukkan semangat dan perasaan kemerdekaan kepada ibu-ibu dengan mengajar mereka menyanyi. Nyanyiannya ringkas tetapi apabila menyanyi, mereka akan mudah memahami maksud MERDEKA.

Aku juga meminta mereka mengajarkan lagu itu kepada anak-anak supaya mereka sama-sama menyanyi dan sekaligus berdoa untuk Tanah Melayu segera merdeka. Berikut adalah rangkap lagu itu:

“MERDEKA, MERDEKA. MALAYA MERDEKA”.

Pada mulanya, apabila aku meminta mereka turut menyanyi, mereka agak malu-malu. Namun setelah diminta terus, akhirnya mereka berjaya melagukannya dengan penuh semangat secara beramai-ramai.

Selain itu, setiap kali aku ingin memulakan ceramahku, selalunya aku menyebut begini:

” Assalam mualaikum warah matullahhi wabarah katuh, dan sekarang terimalah salam kebangsaan kita, MERDEKA!”. 

Pastinya, pekikan MERDEKA itu, aku disambut dengan amat kuat sekali dari para hadiran  akan membalas laungan itu dengan pekikan, MERDEKA!!!!.

Sebenarnya, di Negeri Sembilan sudah terdapat banyak cawangan Kaum Ibu UMNO seperti di Seremban, Rasah, Pantai, Labu, Rantau,  Pasir Panjang, Mantin dan Chuah. Oleh itu, tumpuanku di negri itu adalah di sekitar kawasan yang belum kukuh seperti di Rembau, Ulu Gadang, Ayer Kuning, Gemas, Kuala Pilah, Juasih, Sri Menanti,  Ulu Jempol, Johol, Kampong Tengah, Kampung Sawah Lebar, dan Jelebu.

Pada tahun 1953 itu juga, aku turut berusaha bersungguh-sungguh untuk membangun cawangan-cawangan Kaum Ibu UMNO di Negeri Perak. Negeri Perak ketika itu, adalah sebuah negeri yang bermasalah kepada UMNO kerana pengaruh  dan ketokohan  Dato’ Panglima Bukit Gantung.

Jika tidak silap, dalam Mesyuarat Agung UMNO di Negeri Melaka beberapa tahun sebelumnya, beliau telah dipecat dari UMNO kerana cadangannya untuk menubuhkan  parti UMNO Baru.  Beliau yang berasal dari Perak, kemudiannya, telah menubuhkan Parti NAP  atau Parti Kebangsaan Perak, untuk menyaingi UMNO di negeri Perak.

Kelahiran Parti NAP ternyata semakin melumpuhkan lagi parti UMNO. Tidak hairan, bagi mengimbangi pengaruh Dato’ Panglima Bukit Gantang di negeri Perak, para pemimpin UMNO pusat seperti Tunku Abdul Rahman Putra,  Dr Ismail (Tun) serta ramai lagi pemimpin UMNO yang lain termasuk diriku telah mengunjungi dan berkampung di Perak.

Ke mana saja Tunku pergi seperti ke Ipoh, Tanjung Rambutan, Selama dan banyak tempat lagi, aku akan turut serta.  Aku juga bersama  Dr Ismail pernah menaiki Land Rover memasuki dan melintasi ladang-ladang getah ke kampung-kampung seperti Bota Kanan dan Bota Kiri untuk berceramah dan berkempen bagi menyelamatkan pengaruh Parti UMNO di negeri Perak.

Setelah Tunku dan rombongannya menyelesaikan siri lawatan pengukuhan UMNO di negeri Perak, aku sekali lagi kembali ke negeri itu, untuk tujuan penubuhan cawangan-cawangan Kaum Ibu UMNO. Ketika itu penyokong kuat UMNO Malaya di Perak adalah dari Bahagian Kuala Kangsar yang dipimpin oleh Tuan Haji Said (Senator) yang berasal dari Kota Lama Kiri.

Di rumah Tuan Haji Said inilah, aku jadikan markas Kaum Ibu UMNO Negeri Perak. Melalui usaha Tuan Haji Said juga serta dibantu oleh Kaum Pemuda, aku telah dibawa mengelilingi Perak hingga meliputi Larut, Taiping, Kampung Gajah,  Temenggur,  Matang, Batu Kurau dan Semanggol.

Boleh dikatakan, di negeri Peraklah yang paling lama dan paling kerap aku kunjungi dan sentiasa berulang-alik.  Hasil dari usaha gigih dan berterusan  untuk membangun semula UMNO, parti NAP yang asalnya mendapat dokongan orang Perak semakin lemah dan cawangan Kaum Ibu UMNO berkembang dengan amat pesat sekali di negeri itu.

Sepanjang berada di Perak, aku berjaya menubuhkan sebanyak 52 cawangan Kaum Ibu UMNO. Malah kubu kuat Dato’ Panglima Bukit Gantang, cawangan Kaum Ibu NAP di Taiping, akhirnya berjaya kami ambilalih.

Aku merasakan, ke mana saja aku pergi, aku diterima dan menerima sambutan meriah dan mesra oleh  kaum-kaum ibu di tempat itu.  Mereka melayanku seperti saudara mereka sendiri. Kadang-kala kami berkongsi bantal. Ada kalanya, bila aku kepenatan atau pening, mereka membantu memicit kepala dan kakiku.

Aku terasa mereka begitu kasih dan sayang terhadapku. Alasannya mungkin mudah. 
Mereka mungkin tidak pernah menemui seorang pemimpin sepertiku. Bergurau dan saling usik mengusik tanpa batasan. Tidur bersama serta berkongsi makanan.


Malah, lebih jauh dari itu, aku juga mengenali anak-anak mereka.

BAB 29_ MEMBANGUN CAWANGAN PERGERAKAN KAUM UBU UMNO SE TANAH MELAYU


Sistem jalan di Kota Tinggi ketika itu masih tidak sempurna. Sistem perhubungan terbaik adalah melalui sungai dengan menaiki motorboat. Sebelum ke Kota Tinggi, aku telah menghubungi Pak Engku, Ketua UMNO Kota Tinggi serta ketua pemudanya. Merekalah yang membantu kami dan menguruskan perjalanan kami di sekitar Kota Tinggi itu. Oleh kerana kesuntukan masa, aturcara perjalanan kami begitu ketat sekali serta berterusan dari siang hingga malam.

Perjalanan kami begitu meletihkan. Apabila berhenti di sesebuah kampung, wakil UMNO atau Ketua Kampung, akan mengumpulkan orang ramai untuk aku bersyarah. Setelah diwujudkan cawangan Kaum Ibu UMNO, kami menaiki bot semula dan meneruskan perjalanan ke kampung lain pula.

Jadi, sepanjang lawatan selama tiga hari ke Kota Tinggi itu kami berjaya menubuhkan cawangan-cawangan di Kampung Lukut, Bukit Sengat, Tanjung Buai, Linting, Tanjung Surat, Tanjung Langsat dan Kangkung.

Umumnya, di setiap kampung, kaum ibunya begitu takut mendengar perkataan MERDEKA, kerana perkataan itu bererti menentang kerajaan penjajah Inggeris. Adakalanya, kaum ibu di sesetengah kampung menasihati kami supaya tidak menyebut MERDEKA kerana ditakuti akan ditangkap oleh mata-mata Inggeris dan disumbatkan ke dalam penjara.

Ada juga yang berpendapat, jika kita benar-benar merdeka, orang Melayu pasti akan mendapat kesusahan dan menderita. Menurut mereka, setakat manalah keupayaan orang Melayu mampu merdeka sedangkan untuk membuat jarumpun kita tidak tahu.

Oleh itu, dalam setiap ceramah, kami terpaksa menjelaskan erti MERDEKA. Setiap kali sebelum memulakan ucapanku,  aku akan mulakan dengan laungan “MERDEKA!” dengan lantang serta seterusnya menerangkan pengertian merdeka itu.

Aku katakan kepada mereka. perkataan MERDEKA adalah ilham dari Allah (SWT)  kerana dalam perkataan itu terkandung satu kekuatan yang diberi Allah (SWT). Oleh itu, kita tidak sewajarnya takut berjuang untuk MERDEKA kerana Allah (SWT) sentiasa bersama kita.

“ Kekuatan ini, setiap hari semakin berkembang seperti seorang bayi menjadi kanak-kanak atau seperti mata air menjadi sungai hingga mampu memecah ampangan,” zahirku.

“ Ibu-ibu, bapak-bapak serta saudara sekelian.  Janganlah ibu bapak merasa takut untuk menyebut MERDEKA dengan lantang. Usahlah juga taku akan kemungkinan mendapat tindak balas daripada pihak Inggeris. Lihat di sana. Ada beberapa orang mata-mata (polis) yang sedang memerhatikan saya berucap. Kalau memang satu kesalahan untuk menyebut Merdeka, pasti saya sudah ditangkap sekarang. Tapi lihat, Saya masih berdiri di sini dan mereka tidakpun menangkap saya,” zahirku lantang lagi.

“Seandainya pihak Mata-mata ingin menangkap orang yang berteriak MERDEKA, maka orang pertama yang akan ditangkap adalah para pemimpin UMNO dan khususnya orang seperti saya dan bukannya orang seperti ibu bapak. Jadi, ibu bapak serta saudara sekelian usah gusar atau bimbang,” tekanku dengan penuh semangat lagi.

Aku kemudian menceritakan kepada mereka apa yang berlaku di Indonesia dan bagaimana rakyat di sana telah berjuang bermati-matian demi untuk kemerdekaan negaranya.

“Saudara kita di Indonesia yang berjuang untuk kemerdekaan, bukan saja terdiri dari kaum lelaki dan pemuda, malah kaum ibunya. Mereka juga turut bersedia untuk menyerahkan barang-barang kemas dan pakaian serta turun ke medan perang untuk berperang menentang Belanda. Tetapi kita di Tanah Melayu tidak seperti mereka. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab kita menjadikan parti kita, parti UMNO kuat.”

“ Bukanlah tujuan saya, mengajak ibu-ibu, bapak-bapak dan saudara sekelian untuk kita berperang dengan Inggeris. Tidak. Saya hanya merayu ibu bapak dan saudara, untuk bersama kami dan menjadi ahli parti UMNO serta sama-sama berusaha agar kita berjaya mencapai kemerdekaan dari tangan penjajah Inggeris!!!!,” zahirku dengan amat bersemangat lagi.

Pernah pada suatu masa, kami bertolak dari Kota Tinggi pada pagi hari dan berhenti di kampung-kampung sepanjang sungai hingga larut malam. TIba-tiba, ketika tiba di Linting, enjin motorbot kami mati. Ketika itu, keadaan alam begitu gelap gelita. Angin pula ketika itu, bertiup dengan amat kencang sekali.

Pemuda yang menjadi jurumudi terpaksa meneriak kepada orang kampung di pinggir sungai itu untuk meminta bantuan. Tidak lama kemudian, dua buah sampan menghampiri kami dan menarik motorboat kami hingga ke tebing.

Malam itu, kami tidur di Linting. Pagi esoknya, setelah urusan selesai di Linting dan enjin motorboat telah diperbaiki, kami bertolak pula ke Tanjung Surat. Perjalanan kami terpaksa menempuh laut. Sekali lagi enjin kami tidak berfungsi dengan baik dan kami terpaksa meminta bantuan dari nelayan di sekitar kawasan itu.

Begitulah pelbagai pengalaman yang pahit dan getir, serta amat memenatkan, tetapi begitu menyeronokkan yang terpaksa kami lalui sepanjang usaha kami untuk menarik minat orang Melayu khususnya kaum ibu untuk menyertai UMNO. Begitulah caranya aku bekerja dan kerja kerasku untuk selama dua setengah tahun demi untuk membangunkan dan memulihkan semula parti UMNO. 

Di mana saja aku pergi, khususnya di Pontian, aku sering diterima dan mendapat sambutan. Di sana, masyarakatnya lebih bersemangat kerana kebanyakannya mempunyai pertalian darah dan kekeluargaan dengan orang Indonesia.

Setelah berusaha keras mengembangkan cawangan-cawangan Kaum Ibu UMNO di sekitar negeri Johor, aku meneruskan ‘serangan’ku ke negeri Melaka pula. Ketika itu di Melaka, hanya terdapat satu cawangan UMNO iaitu di Bandar Melaka dan tidak terdapat cawangan Kaum Ibu UMNO.

Dengan kerjasama jawatankuasa UMNO dan Kaum Ibu UMNO di Melaka yang diketuai oleh Che Noh, aku dibawa untuk  menjelajah pelbagai kampung di negeri itu. Antara tempat yang telah aku kunjungi adalah Alor Gajah, Pernu, Tedung, Kuala Sungai Baru, Sungai Baru Masjid Tanah, Ramuan China, Sungai Udang, Jasin, Umbai dan Sungai Rambai. Di setiap tempat yang kami kunjungi, dengan sendirinya wujud dan tertubuhlah satu cawangan Kaum Ibu UMNO.

Kadangkala, ketua-ketua dan setiausaha-setiausaha cawangan Kaum Ibu turut mengikuti rombonganku membuka cawangan-cawangan baru. Keadaan ini secara tidak langsung dapat melatih mereka cara-cara mengendalikan mesyuarat dan cara berucap atau berpidato di khalayak ramai.

Ketika itu, hanya satu saja keinginanku iaitu aku mahukan agar perjuangan ini akan segera mendapat sokongan dari kaum ibu. Aku mahukan agar kaum-kaum ibu Melayu dan kaum wanita segera berfikiran kritis dan mula bergerak dan bergiat untuk perjuangan mengangkat martabat bangsa.


Dalam kata lain, fikiranku ketika itu adalah kalau tidak 100 persen adalah 90 persen untuk perjuangan. Keadaan ini, pastinya member implikasi kepada rumahtangga dan anak-anakku. 

Malah, acapkali juga dalam sebulan, aku hanya sekadar empat atau lima hari saja berada di rumah untuk bersama suami dan anak-anak.

BAB 28: UMNO BAGAI KAIN BURUK YANG TAK LAKU DIJUAL - TUNKU


 Sehari selepas mesyuarat UMNO,Tunku memanggilku untuk berbincang mengenai usaha untuk mengembangkan dan memajukan UMNO termasuk dengan Kaum Ibu UMNO. UMNO ketika itu, sedang dalam keadaan serba dhaif, kerana baru saja mengalami pergolakan dalaman lanjutan perletakan jawatan Dato' Onn bin Jaafar.

Sepatah kata Tunku ketika mengambilalih jawatan Yang Di Pertua Agung UMNO Malaya ialah, " UMNO bagaikan kain buruk yang tak laku dijual". Maksud kata-kata Tunku itu adalah, ketika itu Parti UMNO benar-benar tidak mendapat sokongan dan dokongan orang Melayu, kerana Dato' Onn bin Jaafar adalah seorang tokoh pemimpin orang Melayu yang amat terkenal dan amat berpengaruh.

Apabila beliau meninggalkan UMNO, ramai pemimpin dan ahli UMNO turut meninggalkan UMNO dan menyertai parti baru yang ditubuhkan Dato' Onn bin Jaafar iaitu Parti IMP atau Independent Malayan Party.

Begitu juga keadaannya dengan Kaum Ibu UMNO. Sayap ini  ketika itu dapat diibaratkan seperti "kerakap tumbuh di batu" . Peribahasa ini membawa erti, keadaan dan kedudukan Pergerakan Kaum Ibu UMNO ketika itu,  masih belum mantap dan kuat. Kebanyakan ahlinya pula, terdiri dari penduduk kawasan bandar dan  isteri orang yang berpangkat serta isteri kakitangan kerajaan British.

Tunku meminta aku untuk turut bersama-samanya memikirkan pelbagai cara atau strategi untuk memperteguhkan parti serta menambahkan bilangan keahlian orang Melayu di dalam parti UMNO. 

Inilah  yang kulakukan sepanjang perjalanan pulangku dari Alor Setar ke Johor Bahru.  Kotak fikirku tiada henti mencongak pelbagai perkara. Akhir dari pemikiranku yang panjang, aku akhirnya mendapat satu kesimpulan bahawa, satu cara terbaik untuk meningkatkan sokongan dan pengaruh UMNO. adalah dengan mengukuhkan dan mengembangkan sayap Kaum Ibu UMNO itu sendiri.

Aku benar-benar yakin, betapa sayap Kaum Ibu UMNO yang maju, akan turut memajukan dan meningkatkan keahlian UMNO. Dalam kata lain, untuk memajukan UMNO, maka sayap Kaum Ibu perlu berusaha gigih untuk membuka lebih banyak lagi cawangan Kaum Ibu dan menarik seberapa banyak ahli-ahli Kaum Ibu.

Pada fikiranku, salah satu langkah terbaik untuk berbuat sebegitu adalah dengan melawat ke kampung-kampung untuk memberikan penerangan. Ini bererti, UMNO perlu melantik seorang lagi Pegawai Penerangan dari kalangan sayap kaum Ibu UMNO itu sendiri. 

Beberapa hari, setelah tiba di Johor Bahru, aku segera menemui Tunku di pejabat UMNO. Aku bentangkan cadanganku agar Kaum Ibu mula mengembangkan sayapnya ke kawasan-kawasan luar bandar. Aku juga kemukakan cadangan untuk melantik seorang Pegawai Penerangan dari kalangan Kaum Ibu UMNO untuk tugasan tersebut.

" Pada hemat saya, kita tidak perlukan seorang lagi Pegawai Penerangan. Saya kan sudah ada," bantah Ketua Penerangan UMNO ketika itu, Tuan Syed Jaafar Albar. Dia berkata begitu, apabila Tunku meminta pandangannya.

Aku cuba meyakinkan Tunku akan kepentingan seorang Pegawai Penerangan terdiri dari Kaum Ibu. Menurutnya, kaum ibu lebih mudah dihampiri dan diyakini oleh kaum yang sejenis dengan mereka berbanding dengan kaum bapa. Tunku akhirnya bersetuju dengan cadanganku untuk melantik seorang Pegawai Penerangan Kaum Ibu.

" Ibu ada calon pilihan? Setakat ini, saya tak nampak sesiapa yang boleh melaksanakan program itu kecuali ibu sendiri. Beginilah Ibu Khadijah. Saya dengan ini melantik ibu sebagai Pegawai Penerangan Kaum Ibu UMNO,"zahir Tunku.

Aku bersetuju dengan tawaran itu. Tunku Abdul Rahman Putra gembira dengan persetujuanku untuk menerima perlantikan sebagai Pegawai Penerangan Khas UMNO untuk Pergerakan Kaum Ibu UMNO.

" Ibu Khadijah mahu melawat kawasan mana dulu? Nanti saya bincang dengan ahli UMNO di tempat itu," kata Tunku.

" Pada fikiran saya, kawasan luar bandar yang mahu saya pergi adalah sekitar kawasan Kota Tinggi. Ada seorang ahli kita, Kak Ara, namanya ada  berminat untuk mengikut saya. Tambahan pula, Kak Ara memang asalnya orang sana dan tahu selok belok kawasan dan kampung di sekitar kawasan itu," jawabku.

Tunku mengangguk. Wajahnya kelihatan tersenyum senang.


Saturday, November 14, 2015

BAB 27 - MEMBANGUN SEMULA UMNO

Ucapan-ucapanku, pidato-pidatoku dan kata-kataku, yang menyatakan betapa setiap manusia adalah setaraf, sama ada dia seorang yang berpangkat atau orang yang dari keturunan yang baik atau bertaraf tinggi mahupun dari kalangan orang-orang biasa, ternyata mula menarik perhatian banyak pihak.

Kalangan masyarakat biasa turut mengiakan dan menyokong kritikanku mengenai kewujudan kelas masyarakat dalam sesuatu mesyuarat UMNO di mana pihak orang dari keluarga bangsawan, atau isteri orang berpangkat, duduk di  kerusi sementara kelompok masyarakat biasa, duduk bersimpoh atas tikar mengkuang mengadap mereka.

Bagaimanapun, kata-kata dan pandanganku itu  ternyata turut menyinggung ramai isteri-isteri orang berpangkat  dan golongan bangsawan di Johor. Bibit-bibit penentangan terhadap kemasukanku ke dalam UMNO mula kelihatan dan semakin bercambah. 

Keadaan ini akan aku paparkan dalam urutan kisah perjuanganku ini kemudian hingga aku akhirnya berjaya mereka singkirkan secara total dari parti UMNO pada tahun 1956.

Antara bibit penentangan awal terhadap diriku berlaku tidak lama kemudian apabila Ketua Kaum Ibu UMNO Johor Bharu, isteri seorang pembesar negeri dan juga seorang Syarifah telah meletakkan jawatannya sebagai tanda protes. Tindakannya itu, menimbulkan kemarahan dan kebencian golongan wanita bangsawan serta kawan-kawannya terhadap saya.

Sebenarnya, aku tidak percaya dan amat kesal dengan tindakannya meletakkan jawatan sebagai Ketua Kaum Ibu UMNO itu, semata-mata sebagai tanda protes terhadap kata-kataku. Sebagai seorang pemimpin, dia sewajarnya seorang yang berfikiran terbuka dan dapat memperakukan secara benar dan bijaksana betapa perkara ini memang benar-benar berlaku khususnya di Johor Bharu khasnya dan di Tanah Melayu amnya.

Ketika itu, umum dapat melihat akan kemungkaran dalam sistem lapis masyarakat Melayu di Tanah Melayu ketika itu. Dalam satu majlis perkahwinan di Negeri Johor misalnya, Tengku-tengku, Datin-Datin dan Syarifah-syarifah duduk di atas sementara orang kebanyakan duduk di bawah, seolah-olah wujud satu sistem kasta yang begitu menyerlah dan menakutkan orang-orang kampung untuk menyertai UMNO.

Seorang orang biasa bernama Ramlah kemudiannya dipilih menjadi Ketua Kaum Ibu UMNO Johor Bharu yang baru untuk tempoh dua tahun. Sepanjang tempoh itulah, Ramlah dan aku, sebagai sifatnya seorang Pegawai Penerangan Kaum Ibu UMNO cwanga Johor, berusaha gigih menambahkan lagi cawangan-cawangan Kaum Ibu UMNO Johor Bharu. 

Malah tidak bersalahan jika dikatakan bahawa cawangan Kaum Ibu UMNO Johor Bharu adalah cawangan Kaum Ibu UMNO terbesar di Tanah Melayu ketika itu.

Pada tahun 1954, Perhimpunan Agung UMNO telah diadakan di Alor Setar Kedah. Kaum Ibu UMNO cawangan Johor Bharu telah menghantar dua orang wakilnya iaitu Cik Ramlah dan aku. Sebagaimana biasa, aku terpaksa memohon izin polis untuk ke Alor Setar.

Salah satu kegiatan ahli-ahli Kaum Ibu UMNO Johor Bharu adalah mewujudkan kelas Urusan Rumah Tangga. Jadi sebelum pergi ke Kedah, Kaum Ibu UMNO Johor Bharu telah bekerjasama dan bergotong-royong menyulam dan menjahit sapu tangan dengan setiap sudutnya tertulis MERDEKA dan UMNO.

Kami pergi Kedah dengan keretapi. Di Kedah, kesemua deligasi kaum Ibu UMNO seramai 50 orang ditempatkan di rumah adik Tunku Abdul Rahman, Tengku Habsah. Ketika itu, Kaum Ibu UMNO tiada ketuanya, kerana Ketua Kaum Ibu UMNO, Ibu Zain mengambil cuti beberapa bulan kerana sakit. 

Di Perhimpunan Agong UMNO itu pula, Kaum Ibu UMNO Tanah Melayu, terpaksa melantik Ketua Kaum Ibu UMNO yang baru.

Beberapa para perwakilan telah mencadangkan namaku dan nama Tengku Habsah. Tunku Abdul Rahman bagaimanapun kurang bersetuju dengan cadangan itu kerana aku ketika itu masih lagi dalam perhatian polis sementara mengenai adiknya Tengku Habsah, Tunku kurang senang dengan idea adik-beradik dilantik menerajui kepimpinan UMNO pusat.

Ketika itu, pilihan kami adalah Raja Permaisuri Perlis kerana kami berpendapat bagainda adalah seorang wanita yang progresif daripada kesemua permaisuri dan isteri Sultan-Sultan Melayu, puteri-puteri raja atau kerabat diraja ketika itu.

Lanjutan dari itu, kami Kaum Ibu UMNO telah menghantar satu rombongan untuk memujuk baginda Permaisuri Perlis. Bagaimanapun, baginda telah menolaknya dengan alasan, sebagai Permaisuri Raja Perlis, baginda tidak wajar terlibat dalam mana-mana organisasi atau pertubuhan politik.

Oleh kerana masalah dan keadaan itulah, Kongres atau Perhimpunan Agong UMNO di Kedah, para perwakilan dari Kaum Ibu UMNO tidak melantik sesiapapun untuk menjadi Ketua Kaum Ibu UMNO. Para perwakilan UMNO di perhimpunan itu,  hanya melantik Tunku Abdul Rahman sebagai Yang Di Pertua UMNO dan Tun Abdul Razak, En Saadon Jubir dan Tun Dr ismail sebagai Naib yang Di Pertua.

Bagaimanapun, suatu perkara yang menyedihkan Kaum Ibu UMNO ketika itu adalah dalam susunan barisan kepimpinan  dalam Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dipilih, tidak terdapat walau seorangpun dari kalangan Kaum Ibu UMNO.

Keadaan ini benar-benar menimbulkan kejengkilan kepada Kaum Ibu UMNO terhadap sikap Kaum Bapa dan Kaum Pemuda. Pihak Kaum Ibu merasakan, mereka ketika itu hanyalah dijadikan sebagai alat  oleh Kaum Bapa untuk bekerja saja-saja untuk mereka dan untuk UMNO. Kaum Ibu UMNO juga mahukan pengikhtirafan terhadap sumbangan mereka terhadap UMNO.

Dalam kongres itu, aku sebagai salah seorang daripada empat perwakilan yang dipilih oleh 50 wakil Kaum Ibu UMNO serata Tanah Melayu, telah menyuarakan bantahan terhadap sikap dan tindak-tanduk Kaum Bapa terhadap Kaum Ibu.

“ Kenapa tidak terdapat walau seorangpun kaum ibu yang dipilih untuk menganggotai Ahli Majlis Tertinggi UMNO?” soalku keras. “ Adakah ini bererti,  kaum bapa serta pemuda menilai taraf kaum ibu begitu rendah dan tugas kami hanyalah semata-mata untuk berbakti seluruh jiwa dan raga untuk lelaki semata-mata…!!!!” tanyaku deras dan keras lagi.

“ Kalau beginilah caranya dan kalau beginilah sikap kaum bapa dan pemuda, tidaklah ada gunanya kaum ibu menghadiri kongres ini!!!!”

“Tengok…!!” kataku lagi. Kaum ibu berusaha dan berikhtiar bermacam-macam cara untuk sama-sama membangunkan semula UMNO seperti menjual sapu tangan ini untuk mencari dana dan wang yang cukup bagi membiayai pelbagai aktiviti dan bagi memajukan parti UMNO.”

“ Soalnya, kenapakah kaum bapa tidak cuba atau tidak mahu memberikan perhatian dalam soal ini supaya dapat memberikan semangat kepada Kaum Ibu UMNO untuk sama-sama bergiat dan berjuang untuk membangunkan semula UMNO!!!!!?” tanyaku lantang.

Mungkin kata-kataku yang keras dan deras dalam perhimpunan agung UMNO yang didominasi sepenuhnya oleh kaum bapa dan pemuda menimbulkan gegaran kerana untuk pertama kali, kaum ibu yang selama ini hanya bertindak sebagai 'Mak Turut', tiba-tiba menzahirkan kritikan keras kepada kaum bapa.

Untuk seketika, kata-kataku mendapat tepukan gemuruh dari kaum ibu sementara kaum bapa semacam terdiam.. Keadaan ini mungkin juga turut menyedarkan banyak pihak khususnya kepimpinan pusat UMNO. Dalam ucapan penangguhan pada akhir persidangan UMNO di Alor Setar Tunku Abdul Rahman menzahirkan persetujuannya dengan kata-kataku itu.

“ Bolehlah nanti. Sebagai Yang Di Pertua UMNO Malaya, yang ada hak untuk memilih mengikut kehendaknya sendiri, akan melantik salah seorang dari Kaum Ibu UMNO untuk menganggotai Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaya,” kata Tunku Abdul Rahman.

Pada akhir ucapannya juga, Tunku Abdul Rahman memaklumkan bahawa aku, sebagai wakil Kaum Ibu UMNO, telah dipilihnya untuk menganggotai Ahli Majlis Tertinggi UMNO. 

Memandangkan jawatan Ketua Kaum Ibu UMNO masih kosong kerana Ibu Zain bercuti sakit, maka UMNO kemudian melantikku sebagai Setiausaha Hal Ehwal Kaum Ibu UMNO Malaya. Jawatanku itu, adalah sekaligus merangkap Pemangku Ketua Kaum Ibu UMNO Malaya.


Wednesday, October 14, 2015

BAB 26: WAKIL KAUM IBU JOHOR DALAM KONGRES UMNO DI MELAKA

Sebagai seorang yang masih dalam pengawasan polis, aku perlu mendapatkan kelulusan dari pihak Ibu Pejabat Polis Johor Bharu untuk ke Melaka bagi menghadiri Kongres UMNO yang diadakan di negeri itu. Pemergianku, sebagaimana yang kunyatakan adalah atas kapasiti wakil Kaum Ibu UMNO cawangan Johor.

Bagaimanapun, pihak polis tidak membenarkan aku ke Melaka dengan menaiki kereta atau bas. Rayuan Tunku Abdul Rahman Putra, Presiden UMNO  untuk membawaku bersama dengan menaiki keretanya juga telah ditolak mereka. Menurut polis, bagi memudahkan pengawasan mereka terhadapku, aku dikehendaki menaiki keretapi.

Aku akhirnya bertolak juga ke Melaka dari Johor Bharu dengan menaiki keretapi. Di Stesen Keretapi Tampin, seorang wakil Pemuda UMNO Melaka telah sedia menungguku.  Aku kemudian dibawanya  dengan keretanya ke Bandar Melaka.

Di Melaka, tindakan pertamaku adalah melaporkan diri Di Balai Polis Melaka Tengah. Aku juga turut  memaklumkan kepada mereka tempat tinggalku sepanjang masa berada di kota itu.

Dalam persidangan di Melaka itu, sebagai wakil Kaum Ibu UMNO cawangan Johor, aku telah mengemukakan suatu usul yang  agak mengejutkan anggota persidangan yang kebanyakannya terdiri dari Kaum Bapa dan Pemuda UMNO. Aku mengusulkan agar pucuk pimpinan UMNO pusat memberikan hak sama rata kepada Kaum Ibu UMNO sebagaimana yang dikecapi oleh kaum bapa dan pemuda.

Menurutku, dalam UMNO terdapat tiga cabang iaitu Kaum Bapa, Pemuda dan Kaum Ibu. Kaum Ibu dan Pemuda UMNO, dalam susun lapis hieraki  parti UMNO dianggap sebagai sayap kepada kepimpinan utama UMNO. Ini juga bererti Pemuda dan Kaum Ibu hanya layak mengundi pada aspek-aspek tertentu sahaja.

" Masalahnya, bapak-bapak, ibu-ibu serta kalangan pemuda sekelian, setiap cawangan UMNO termasuk Pemuda dibenarkan untuk menghantar dua orang wakil, Ini bererti dalam setiap Kongres akan ada 40 wakil Kaum Bapa dan 40 wakil Pemuda," kataku.

" Bagaimanapun, keadaan ini tidak berlaku kepada Kaum Ibu.  Kaum Ibu dari semua cawangan di Tanah Melayu hanya dibenarkan menghantar hanya empat orang wakil," sambungku. " Justeru itu, bapak-bapak sekelian. Jika sekiranya ada usul-usul yang baik dan bernas dari Kaum Ibu dalam Kongres seperti ini, saya yakin usul itu pasti akan tewas kerana kami kurang sokongan," tambahku lagi.

" Keadaan yang wujud pada hari ini adalah benar-benar tidak adil untuk Kaum Ibu," tekanku lagi.

Aku juga turut membangkitkan rasa tidak puas hati Kaum Ibu apabila  dikaitkan dengan  organisasi Pemuda UMNO. Menurutku, adalah kurang tepat meletakkan organisasi Kaum Ibu UMNO sebagai sayap UMNO yang lebih rendah daripada Kaum Pemuda. 

" Kaum Ibu sewajarnya diletakkan tarafnya lebih tinggi dari Pemuda, kerana kami adalah kelompok ibu- Ibu dan Kaum Pemuda adalah kelompok anak-anak. Untuk itu saya ingin mencadangkan, agar Pemuda UMNO  mewujudkan cawangan pemudinya," sambungku lagi.

Aku juga mencadangkan, sebagaimana yang dinikmati oleh Kaum Bapa dan Pemuda, setiap cawangan Kaum Ibu UMNO dibenarkaan menghantar dua orang wakil dalam setiap kongres. Ini bermakna, dengan adanya 20 cawangan Kaum Ibu UMNO seluruh Tanah Air,  akan terdapat seramai 40 orang wakil Kaum Ibu UMNO dalam setiap persidangan atau kongres.

Sebagaimana yang kami duga, usulku itu mendapat tentangan padu dari Kaum Bapa yang berpadu tenaga dengan Kaum Pemuda dan ditolak. Penolakan usul itu adalah dengan jumlah 40 undi Kaum Bapa dan 40 undi Pemuda atau 80 undi, berbanding 4 undi yang menyokong dari Kaum Ibu.

Menariknya, walaupun usul kami ditolak dalam kongres itu, usul kami itu mendapat sokongan dan simpati dari ramai pemerhati termasuk kalangan dari organisasi media-massa.

" Maaf Ibu-ibu," kata mereka. " Sayang kami semua tidak boleh mengundi. Kalau kami dibenarkan, saya pasti semua orang media akan menyokong usul dari Ibu Khadijah ini," tambah mereka lagi.

Sejak dari peristiwa itu, sebahagian dari Kaum Bapa dan Pemuda UMNO sudah mula memperlihatkan rasa kurang senang dengan kemasukanku ke dalam UMNO. Mungkin mereka memikirkan yang aku akan menjadi duri dalam daging UMNO nanti atau ada juga yang berfikiran terlalu negatif yang berpendapat Kaum Ibu UMNO dengan kehadiranku dalam parti itu,  suatu hari nanti akan menguasai UMNO.

Apabila aku kembali ke Johor Bharu, aku laporkan segala apa yang berlaku dalam kongres itu kepada Kaum Ibu UMNO cawangan Johor. Aku juga menyeru kesemua Ahli Jawatankuasa Kaum Ibu UMNO cawangan Johor untuk terus berjuang, sehingga Kaum Ibu mendapat taraf yang sama dengan Kaum Bapa.

Dalam mesyuarat itu, aku  telah dilantik pula menjadi Ketua Penerangan Kaum Ibu UMNO cawangan Johor.

Sejak mula membabitkan diri dalam pertubuhan UMNO ini, aku sudah dapat melihat senerio asas organisasi UMNO khususnya UMNO cawangan Johor serta pelbagai masalah yang sedang melumuri parti Melayu itu.

Kebanyakan Kaum Ibu Johor ketika itu, mempunyai anggapan dan dasar mentaliti kalangan feudal. Mereka beranggapan bahawa semua jawatan tertinggi dalam sebarang organisasi termasuk dalam UMNO sendiri mestilah terdiri dari kelompok orang-orang bangsawan sepertiTengku-Tengku, Datin-Datin, Syarifah-Syarifah atau isteri orang-orang besar.

Jika mereka mengadakan mesyuarat,  kesemua kelompok VIP ini akan duduk di kerusi di atas pentas khas, sementara ahli biasa atau rakyat biasa akan duduk di belakang mereka atau duduk bersimpuh di atas tikar mengkuang di lantai mengadap mereka.

Tidak hairanlah jika jumlah ahli Kaum Ibu ketika itu tidaklah ramai.  Sebahagiannya pula  telah turut menyertai parti yang ditubuhkan oleh Dato' Onn bin Jaafar. Begitu juga jumlah cawangan UMNO yang banyak terbubar kecuali di tempat-tempat tertentu seperti di Johor Bharu, Seremban dan beberapa tempat yang lain.

Sebagai Ketua Penerangan Kaum Ibu UMNO Johor, menjadi tanggungjawab yang amat mencabar bagiku untuk memulihkan semula cawangan-cawangan UMNO serta berusaha untuk menambah keahlian baru dalam UMNO.  Atas alasan itulah juga, aku kerap terpaksa pergi ke kampung-kampung sekitar Johor untuk berceramah dan memujuk masyarakat Melayu untuk menyertai parti UMNO ini.

" Kami takut mahu masuk UMNO," demikian antara kata-kata mereka yang bertemuku dalam rangka kunjunganku ke kampung mereka.

" Kenapa Ibu-ibu berkata demikian? Apa yang cacat celanya UMNO ini Ibu?" tanyaku.

" UMNO kan parti untuk orang-orang kaya," jawab mereka. " Bila ada mesyuarat, kami kena duduk belakang. Kami tak mampu pakai pakaian cantik atau pakai barang kemas mahal-mahal seperti mereka, " tambah mereka lagi.

Aku cuba meyakinkan mereka betapa keadaan itu tidak seharusnya berlaku. Mereka tidak seharusnya risau tentang soal itu.

" Ibu, cuba ibu lihat diri saya." pujukku. "  Saya juga seperti anak ibu. Saya juga tidak kaya. Tetapi mereka masih memilih saya sebagai pemimpin. Jadi adalah salah untuk ibu-ibu berfikiran begitu," tambahku lagi.

" Dalam parti kita, seharusnya tidak ada kasta seperti kelompok Tengku atau Datin atau Syarifah.  Tidak harus ada kelompok si kaya atau si miskin. Semuanya sama rata. Malah dalam adat kita dan agama kita, kita mesti menghormati Tengku, Datin dan Syarifah, sebagaimana mereka perlu menghormati kita rakyat biasa. Kita semua membayar yuran sama rata sebanyak 20 sen. Tidak ada kasta dalam parti UMNO>" simpulku lagi.

Di kampung lain, ada pula kaum ibu yang mengadu kepadaku. " Bila kami datang mesyuarat terdapat jamuan teh. Tapi kami orang-orang kampung yang buruk ini hanya layak minum di dapur, tetapi bini orang-orang besar ini minum di kerusi khas." luah mereka dengan penuh kekesalan.

" Itu semua tidak sepaptutnya berlaku," jawabku. " Ibu-ibu juga sepatutnya duduk di kerusi walaupun bersebelahan dengan Tengku, Datin atau Syarifah atau Ketua Kaum Ibu sekalipun," pujukku.

Ternyata ini tugas berat yang sedang menantiku. Satu tugas untuk menukar minda pihak isteri orang kaya dan berpangkat untuk berfikiran sebagaimana orang  biasa serta menukar minda masyarakat biasa untuk berfikiran sebagai seorang yang punyai hak yang sama rata dengan kelompok lainnya.




Saturday, October 10, 2015

BAB 25: DILEMMA SEBAGAI AHLI BARU KAUM IBU UMNO.

Hatiku tiba-tiba menjadi begitu berat untuk menyertai UMNO apabila mendapat tahu borang permohonan menyertai UMNO telah hilang. Aku tahu UMNO adalah sebuah parti yang hebat dan mempunyai masa hadapan yang amat cerah. Cuma masalahnya. terdapat segelintir golongan elit dalam parti itu yang mengekang penyertaan orang biasa sepertiku ke dalam parti itu.

Ibu Zain, meminta aku bersabar dengan  keadaan itu. Ia berhasrat untuk melakukan penyiasatan sendiri untuk mengetahui ke mana menghilangnya borang keahlian UMNOku. 

Beliau telah menemui Setiausaha Agong UMNO untuk bertanya mengenai soal ini. Setiausaha Agong memaklumkan bahawa borang itu berada dalam tangan salah seorang Ahli Jawatankuasa Kaum Ibu UMNO.

Tidak lama kemudian aku dimaklumkan pula, bahawa terdapat seorang hartawan Melayu telah mengarahkan isterinya, seorang berketurunan Cina,  membuat tekanan kepada Kaum Ibu UMNO untuk menolak permohonanku  menyertai UMNO.

Mereka telah diberikan suatu alasan,  yang telah aku jangka dan aku duga. Aku, menurut mereka adalah bekas seorang penjenayah serta seorang yang bersimpati dengan perjuangan komunis. Sekiranya aku dibenarkan  menyertai UMNO, bererti aku bakal membawa malapetaka kepada parti itu. Lemungkinan besar, akan ramai ahli-ahli UMNO akan dimasukkan ke dalam  penjara.

Lanjutan dari hasutan dan  tohmahan mereka itu, kelihatan semakin ramai ahli-ahli UMNO khususnya dari kalangan Kaum Ibu yang menentang kemasukanku ke dalam parti UMNO. Lebih jauh dari itu, mereka telah beramai-ramai pergi ke rumah Tunku Abdul Rahman Putra, Presiden parti UMNO di Johor Bahru, untuk mengemukakan bantahan atau protes terhadap kemasukanku ke dalam parti UMNO.

Tunku benar-benar terkejut dengan bantahan dari Kaum Ibu UMNO cawangan Johor Bahru itu. Padanya, UMNO dewasa itu sedang tenat kerana begitu ramai ahli-ahlinya keluar dari UMNO dan menyertai parti baru IMP yang diasaskan oleh Dato' Onn bin Jaafar. Apa yang diperlukan oleh UMNO ketika itu adalah suatu kekuatan baru serta usaha dalam mempergiatkan penyertaan lebih ramai orang ke dalam parti itu dan bukan menolaknya.

Malah, menurut Tunku, beliau amat mengalu-alukan kemasukanku ke dalam UMNO kerana beliau yakin aku mampu membantunya membangunkan dan memulihkan semula UMNO yang sedang huru-hara dan porak-peranda itu.

" Kita sepatutnya mengangkat topi kepada Ibu Khadijah yang masuk penjara kerana berjuang untuk bangsa dan kemerdekaan negaranya. Kita sepatutnya memberikan dia sebutir bintang penghormatan kerana menghormati perjuangannya serta keberaniannya dalam menentang penjajah," zahir Tunku yang agak terkilan dengan sikap segelintar Kaum Ibu UMNO Johor yang menetang kemasukanku ke dalam UMNO.

" Kamu semua kan tahu. Nehru Perdana Menteri India serta Sukarno,  Presiden Indonesia dan ramai lagi yang telah masuk penjara kerana menegakkan kebenaran serta perjuangan suci demi untuk kemerdekaan Tanah air mereka. Jadi, saya amat-berharap agar Kaum Ibu tidak menentang kemasukan Ibu Khadijah ke dalam UMNO dan benarkannya menjadi ahli. Saya yakin, dia boleh membantu memperkukuhkan lagi parti kita," tambah Tunku lagi sambil memujuk mereka.

Akhirnya, Kaum Ibu UMNO Johor, menarik balik bantahan mereka. Salah seorang dari mereka, yang menyimpan borang permohonanku menyerahkannya semula kepada Tunku Abdul Rahman Putra.  Persetujuan dari Kaum Ibu UMNO Johor itu, sekaligus, menandakan titik tolak bermulanya kisah hidupku  dan perjuanganku secara rasmi sebagai ahli UMNO.

Untungnya juga, dalam masa yang sama aku mendapat tahu, Presiden parti PERMAS yang telah aku tinggalkan beberapa bulan lalu serta Setiausaha Agongnya telah ditahan oleh pihak polis serta dihadapkan ke mahkamah atas  kes pecah amanah. Kes pecah amanah itu membabitkan  projek loteri. Mahkamah juga dimaklumkan betapa hasil jualan tiket itu tidak pernah disimpan dalam bank. Pihak PERMAS juga dikatakan telah membeli tiga buah kereta , bukan untuk kegunaan parti.  tetapi untuk kegunaan peribadi.

Presiden dan Setiausaha parti PERMAS telah disabitkan kesalahan pecah amanah itu. Akibatnya, Presiden parti, seorang kakitangan kerajaan telah dibuang kerja, sementara Setiausahanya telah merengkok dalam penjara. Tiga buah kereta yang dibeli dari hasil jualan tiket loteri itu juga terpaksa dijual.

Seminggu setelah aku sah menjadi ahli UMNO, ahli-ahli Kaum Ibu UMNO dalam satu mesyuarat mereka, tanpa kehadiranku,  telah memilihku sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Kaum Ibu UMNO cawangan Johor. Mereka juga telah memilihku sebagai wakil tunggal Kaum Ibu UMNO cawangan Johor untuk menghadiri Kongres parti UMNO yang bakal diadakan di Melaka.

" Ada baiknya ibu-ibu semua, memilih saja orang lain terlebih dahulu, kerana saya masih baru dalam UMNO," zahirku menolak cadangan itu apabila maklumat untuk dimaklumkan kepadaku kemudian. " Namun, jika tiada siapa yang sudi, apa yang boleh saya katakan lagi. Saya bersedia untuk mnggalas tanggungjawab ini demi untuk perjuangan parti," tambahku lagi.

Bagaimanapun, setelah berbincang sesama mereka, mereka akhirnya kekal dengan cadangan asal. Aku dipersetujui  menjadi wakil tunggal Kaum Ibu UMNO Johor untuk menghadiri Kongres UMNO di Melaka pada bulan April 1953. 

Encik Mohamad Shah, Setiausaha UMNO cawangan Johor, telah mengirimkan kepada aku sepucuk surat  pengesahan dan perlantikanku sebagai wakil tunggal Kaum Ibu UMNO cawangan Johor ke kongres itu.

Anehnya, tiga hari kemudian, Encik Mohamad Shah tiba-tiba menelefonku dan memberitahuku betapa  mandat yang diberikan kepadaku sebagai wakil tunggal Kaum Ibu UMNO cawangan Johor ke Kongres UMNO di Melaka telak dibatalkan serta surat pengesahan dan perlantikan sebagai wakil tunggal Kaum Ibu UMNO cawangan Johor ke kongres itu telah ditarik balik. Aku juga telah diminta untuk hadir ke dalam suatu mesyuarat lain yang ada kaitannya dengan soal itu. 

Keadaan ini telah membuatku benar-benar marah dan geram.

" Encik Mohamad Shah," zahirku sedikit keras. " Saya bukanlah seperti seekor lembu yang boleh dicucuk hidung dan diusung ke sana ke mari oleh sesiapa. Perlantikan ini pun bukannya saya yang minta. Cadangan perlantikan itu pun dibuat tanpa kehadiran saya dalam mesyuarat  itu. Mereka sendiri yang memilih saya dan mereka sendiri yang mahukan saya menjadi wakil mereka. Malah Encik Mohamad Shah sendiri yang berikan surat itu kepada saya," zahirku agak keras. lagi.

" Saya benar-benar minta maaf Ibu Khadijah. Saya  terima arahan dan ikut perintah," kata Encik Mohamad Shah.

" Begini sajalah Encik Mohamad Shah. Ini ada kaitannya dengan soal prinsip. Dan atas dasar itulah juga, saya tidak akan berpatah semula. Sama ada dibenarkan atau ditarik balik, yang pasti, saya akan tetap pergi ke Melaka juga," zahirku tegas, geram dan amat sakit hati.

Encik Mohamad Shah, kedengarannya seperti terkedu. Suaranya seperti sudah tidak terzahirkan lagi.






Tuesday, October 6, 2015

BAB 24: IBU ZAIN MEMPELAWAKU MENYERTAI UMNO

" Ibu dan kaum Ibu UMNO yang lain, tak takut ke kalau saya masuk UMNO?" tanyaku kepada Ibu Zain setelah agak lama aku terdiam dan berfikir. " Sayakan baru keluar penjara dan orang-orang UMNO kan takut dengan 'penjenayah' yang baru keluar penjara," tambahku lagi.

" Apa yang Ibu mahu takutkan. Ijah bukan masuk penjara kerana buat salah. Saya tahu kenapa Ijah masuk penjara," balas Ibu Zain.

" Ijah masuk penjara dulu kerana berjuang untuk rakyat dan menuntut kemerdekaan. Kita sepatutnya meletakkan pemimpin seperti kamu pada kedudukan sewajarnya," tambah Ibu Zain lagi.

Pandangan Ibu Zain benar-benar melegakan  hatiku. Aku yakin pandagan Ibu Zain ikhlas dan dengan kedudukannya sebagai pemimpin Kaum Ibu UMNO, beliau tentu mengharapkan orang-orang sepertiku untuk membantunya memperkukuhkan UMNO.

" Begini sajalah Ibu. Saya rasanya tidak berhalangan untuk masuk UMNO. Bagaimanapun Ibu mesti bertanya dan mendapat persetujuan Presiden UMNO dahulu, sementara saya pula  perlu mendapat izin daripada suami saya," putusku akhirnya.

Ibu Zain ternyata bersetuju dengan sarananku. Aku difahamkan kemudian, Ibu Zain telah menemui Dato' Onn Jaafar berkenaan cadangan membawaku masuk ke dalam UMNO. Ternyata, keputusannya sebagaimana yang aku duga. Datuk Onn menolak cadangan  yang dibawa oleh Ibu Zain itu.

Kisah cadangan untuk membawaku masuk ke dalam UMNO, ternyata tergantung begitu saja. Dalam tempoh masa itu, aku melahirkan anak kami yang ketiga. Anak lelaki kedua kami ini, dilahirkan di Hospital Besar Johor Bahru tanpa sebarang masalah. Kami berikannya nama Muhamad Hatta, mengambil sempena nama wakil Presiden Indonesia ketika itu.

Tidak lama selepas itu, berlaku kekecohan besar dalam Parti UMNO. Presiden UMNO, Dato' Onn bin Jaafar, mengemukakan satu cadangan untuk membuka keahlian UMNO kepada kaum bukan Melayu. Beliau beralasan, ini semua adalah kehendak kerajaan British.

Menurutnya lagi, British bersedia untuk memberi peluang untuk berkerajaan sendiri dan merdeka, sekiranya wujud satu kerjasama politik dan perpaduan antara rakyat berbilang kaum di Tanah Melayu. Hanya satu cara pada hemat Dato' Onn perkara ini boleh terjadi iaitu dengan menjadikan UMNO sebagai sebuah parti berbilang kaum.

Cadangan Dato' Onn kelihatannya telah menjurus kepada perpecahan orang Melayu dalam UMNO. Beberapa pemimpin tua dalam UMNO seperti di Perak dan Kelantan bersetuju dengan cadangan Dato' Onn bin Jaafar sementara pemimpin-pemimpin muda  dan berpendidikan tinggi menentangnya.

Oleh kerana tiada kebulatan kata serta tentangan hebat ahli-ahli dalam UMNO mengenai cadangan membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu, Dato' Onn akhirnya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai pemimpin tertinggi parti itu. Beliau kemudiannya menubuhkan sebuah parti baru iaitu Independent Malayan Party (IMP) atau Parti Kemerdekaan Malaya.

Parti IMP ternyata mendapat sokongan kuat daripada ramai pemimpin-pemimpin kanan UMNO. Mereka turut meninggalkan UMNO dan menyertai parti  IMP pimpinan Dato' Onn bin Jaafar. Cawangan parti IMP tumbuh dengan rancaknya di seluruh tanah air. Ramai orang-orang Melayu turut meninggalkan UMNO dan menyertai parti baru itu.

UMNO ketika itu benar-benar sebuah parti yang begitu lemah dan kucar-kacir seperti perpatah 'anak ayam kehilangan ibu'. Keadaannya sekaligus turut melemahkan matlamatnya sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib dan harapan orang Melayu. 

Kepimpinan UMNO yang tinggal ketika itu, kebanyakannya terdiri daripada kelompok anak muda lepasan institut pengajian tinggi dari luar negara seperti Abdul Razak dan Dr ismail. Mereka benar-benar kurang berpengalaman dalam memimpin suatu organisasi yang besar.

Kepimpinan muda dalam UMNO ketika itu, yang beribu pejabat di Johor Bahru, berusaha gigih untuk memulihkan semula parti UMNO. Antara tindakan segera  adalah, mereka berusaha menambah keahlian baru UMNO serta menarik tenaga-tenaga baru yang mampu membantu memulihkan UMNO. 

Antara tindakan mereka yang begitu menarik adalah dengan menjemput Tunku Abdul Rahman Putra, seorang anak raja Kedah serta bekas pemimpin Persatuan Pelajar-pelajar Melayu di United Kingdom, untuk menjadi pemimpin baru UMNO bagi menggantikan Dato' Onn bin Jaafar . 

Kemasukan Tunku dalam UMNO serta perlantikannya sebagai Yang Dipertua atau Presiden UMNO pada tahun 1953, walaupun memberi nafas baru kepada parti itu. ternyata masih belum berupaya untuk memulihkan keadaan secara total. Pengaruh dan kekuasaan terhadap orang Melayu telah turut dibawa oleh Dato' Onn ke dalam IMP.

Beberapa bulan kemudian, Ibu Zain, Ketua Kaum Ibu UMNO yang pernah menemuiku dahulu, muncul sekali lagi di rumahku untuk memujukku menyertai Parti UMNO. Sekali lagi kunyatakan kepadanya bahawa aku bersedia untuk menyertai UMNO sekiranya Presiden UMNO sendiri bersetuju dengan cadangannya itu.

Tidak lama kemudian, Ibu Zain kembali semula ke rumahku dengan satu perkabaran yang amat menggembirakan. Tunku Abdul Rahman Putra merestui dan mengalu-alukan kemasukanku ke dalam UMNO. Beliau turut membawa borang keahlian UMNO untukku. Tunku Abdul Rahman sendiri  dan setiausahanya Zulkifli Hashim bertindak sebagai pencadang dan penyokongnya.

Anehnya, setelah agak lama menunggu, aku dapati, namaku masih juga belum disahkan oleh pihak Jawatankuasa UMNO. Aku bertanya Ibu Zain mengenai soal itu. 

" Nanti saya siasat mengenai perkara ini," begitu kata Ibu Zain. 

Tidak lama kemudian dia memaklumkan kepadaku betapa borang keahlianku telah hilang dan telah disembunyikan oleh seseorang. Jelas sekali, ada segelintir orang  UMNO yang kelihatannya tidak senang dan tidak gembira dengan kemasukan aku dalam parti UMNO.